Friday, July 20, 2007

Al-Fatihah untuk mereka yang pergi

Al-Fatihah untuk semua anggota TUDM yang terkorban dalam nahas helikopter Nuri Jumaat lalu dan takziah untuk semua ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang.

Sebak dan kehilangan kata-kata melihat gambar mereka yang terkorban dan kepahitan pada wajah ahli keluarga yang ditinggalkan. Sedih dan geram kerana sesudah 18 nahas Nuri dan 95 nyawa manusia terkorban sia-sia, bila lagi pihak berkenaan akan sedar dan prihatin bahawa si Nuri itu sudah patut masuk muzium saja, tidak layak lagi berterbangan di udara. Sampai rasanya kita sudah naik lali mendengar berita Nuri jatuh berdebak-debuk macam betik masak!

Agaknya, burung Nuri pun malu dan marah jika tahu namanya diberikan pada besi buruk yang hanya layak dijual timbang kati sahaja itu..

Kematian ada di mana-mana. Mati boleh berlaku bila-bila masa. Tengah bersukan, tengah berhibur, tengah tidur, tengah menari, tengah bersolat, tengah makan, tengah pandu kereta, tengah naik kenderaan awam atau tengah buat apa sahaja, maut boleh tiba. Tetapi, naik Nuri umpama sengaja menempah maut. Betapa ruginya kehilangan wira-wira muda yang terlatih bertahun-tahun lamanya, bukan terkorban dalam peperangan, tapi terkorban kerana mempertaruhkan nyawa mereka dalam besi buruk.

Bila berlaku nahas begini, keuzuran si Nuri dan ketidakupayaannya lagi untuk berterbangan tidak pernah diketengahkan oleh pihak tertentu. Selalunya yang disalahkan adalah ‘kecuaian juruterbang’ atau ‘cuaca buruk’. Takkanlah sebegitu ramai juruterbang TUDM tak cekap langsung atau tidak terlatih dengan baik sehingga sangat cuai dalam tugas dan tidak mampu mengendalikan pesawat dalam cuaca buruk?

Maut ada di mana-mana. Tapi yang menjadi tanda tanya, kenapa memperjudikan nyawa dengan maut yang sengaja ditempah? “Kita tak mampu melakukan apa-apa,” kata VVIP.
Soalan rakyat biasa, benarkah begitu?

Entahlah. Hanya mereka yang berkenaan sahaja yang ada jawapannya.

Ada kawan cuba melawak. Katanya, “Agaknya, kalau Malaysia tengah berperang dengan satu negara lain dan hantar askar ke sana naik Nuri, belum sampai lagi ke sana Nuri dah jatuh, askar kita semuanya mati. Negara yang tengah berperang dengan Malaysia itu bersorak-sorak suka – yey...yeyy...kita dah menang. Tak payah perang!”Dalam hiba, saya tak dapat menahan ketawa. A sick joke but with a pinch of truth!

Saya sendiri pernah berpeluang naik helikopter Nuri lama dahulu. Masa itu saya mengikuti lawatan Menteri Besar Pahang dari Kuantan ke Cameron Highland. Seronok juga tapi kadangkala agak gerun kerana helikopter itu terbang rendah, hanya tinggi sedikit di atas pokok-pokok kayu. Masa itu taklah rasa ngeri sangat atau berfikir yang tidak-tidak. Tapi kalau sekarang ini disuruh naik Nuri, ya...ampun!

Saya pernah ditanya sama ada akan membenarkan abang (anak lelaki tunggal saya) menjadi juruterbang TUDM satu hari nanti. Jawab saya, “TIDAK”. Maut memang ada di mana-mana. Tetapi saya tidak cukup patriotik untuk menghantar anak saya menempah maut dengan “Si Nuri Tua”.

Wednesday, July 11, 2007

Masalah yang tak dicari

(Hello again blog!)

Semalam saya ambil cuti. Bukan sebab nak berehat santai tapi sebab terpaksa menyelesaikan satu masalah yang orang lain buat untuk saya.

Asal mulanya bila baru-baru ini saya terima surat saman letak kereta daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) Kononnya kereta saya tak peraga tiket letak kereta di satu tempat (tak tahu pun tempat itu wujud selama ni di Klang) pada satu tarikh hari bekerja (yang saya sah-sah ada di pejabat) dan pada jam 9 pagi. Apa ke jadahnya (meminjam ayat kegemaran Wan Kamaruddin NTV7) saya ada di Klang pada masa dan tarikh itu? Saya tak tinggal di Klang, bekerja pula di KL. Pukul 9 pagi saya dah ada di pejabat.

Tapi, yang paling tak seronok, walaupun nombor kereta yang didakwa itu sama dengan nombor kereta saya, jenis keretanya lain. Soal saman tu soal kedua, soal ada kereta lain sekarang ini ke hulu hilir menggunakan nombor pendaftaran kereta saya memang cukup membimbangkan. Buatnya orang yang bawa kereta itu menggunakannya untuk pergi merompak atau bunuh orang atau menyeludup dadah, tak fasal-fasal polis cari saya tengah-tengah malam di rumah. Kan aniaya namanya tu! Kalau kena gari dulu sebelum mendengar penjelasan, lagilah aniaya!

Jadi, dengan suka tak rela, terpaksalah saya rugi satu hari cuti sepanjang hari semalam untuk pergi ambil nombor dan menunggu lama di tiga tempat: pertama ke bank untuk ambil kad pendaftaran kereta, kemudian ke MPK untuk selesaikan soal kereta yang disaman, dan ketiga ke balai polis untuk buat aduan tentang ada kereta lain yang menggunakan nombor pendaftaran kereta saya.

Cukup penat, letih dan membuang masa menunggu begitu lama. Kalau di bank dan di MPK terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum dapat berurusan, di balai polis sistemnya lagi lembap dan tak canggih langsung. Dua jam menunggu pun nombor masih jauh di belakang. Nak komen lebih-lebih pun bukan ada faedahnya. Tak ada siapa pun peduli. Mereka ni akan tetap dengan cara mereka juga!

Saya harap kereta yang menggunakan nombor pendaftaran kereta saya itu akan dapat dikesan dan ditahan secepat mungkin. Letihlah saya nak membuang masa “menghadap” sana sini untuk membuktikan saya di pihak benar kalau ada apa-apa berlaku. Itu tak termasuk membuang cuti tahunan yang bukannya banyak sangat.

Inilah antara contoh seperti yang selalu saya cakap pada suami, anak-anak dan kawan-kawan: “Hidup ini penuh dengan masalah yang tak dicari. Jadi, jangan sengaja cari masalah!”