Wednesday, August 01, 2007

Dimanakah privasi?

Kelmarin saya terima satu e-mel yang ada rakaman video menunjukkan isteri salah seorang anggota TUDM yang terbunuh dalam nahas helikopter Nuri berhampiran Genting Sempah baru-baru ini sedang meratapi jenazah suaminya.

Memang sebak dan berair mata dan hidung melihat isteri itu meratap sambil memeluk keranda suaminya, mohon ampun dan halalkan makan minum daripada suami yang sudah pun terbaring kaku.

Yang saya fikirkan ketika itu (selain simpati dan empati yang teramat sangat kepada isteri itu dan anak-anaknya) ialah, apabila kematian menjadi pemisah, kata-kata sudah tiada maknanya lagi. Apabila pasangan kita direnggut pergi dengan mengejut begitu, tentu ada banyak perkara yang akan menjadi kesalan dan kenangan seumur hidup. Tentu ada banyak perkara yang ingin diucapkan tapi tak akan mungkin dapat diucapkan lagi.

Semoga mereka - para isteri, anak-anak dan kaum keluarga yang ditinggalkan - tabah menghadapi ujian ini.

Tapi, yang saya hairan, dalam masa bersedih begitu, siapalah pula yang sempat merakamkannya dan kemudian sebarkan di Internet? Adakah kaum keluarga, rakan-rakan atau orang lain yang sengaja datang berziarah dan tidak dikenali oleh kaum keluarga orang yang meninggal dunia itu? Dan apa pula tujuannya? Untuk berkongsi kesedihan? Atau ada agenda tertentu yang lain?

Dulu pun, selepas Allahyarham pelakon/pengacara Hani Mohsein meninggal dunia, rakaman ketika dia sedang terbaring nazak di atas lantai di LCCT disebarkan secara meluas di Internet.

Saya rasa perbuatan itu tidak begitu beretika dan tidak menghormati privasi orang lain. Biarkanlah si isteri itu melayani kesedihannya dalam saat-saat akhir bersama jasad suaminya. Tak perlulah disebarkan ke seluruh dunia untuk jadi tontonan ramai.

Begitu juga, tak perlulah disebarkan rakaman saat-saat nazak seseorang. Itu mungkin hanya menyakiti hati kaum keluarganya sahaja.

Sejak teknologi canggih berkonsepkan langit terbuka semakin menguasai kehidupan manusia, nampaknya kita semakin kehilangan privasi. Segala-galanya berisiko jadi tontonan umum. Sesiapa saja tiba-tiba boleh mendapati dirinya menjadi ‘pelakon’ walaupun tak ada niat nak berlakon.

Privasi, dimanakah engkau?