Wednesday, November 22, 2006

Lepas "cuti" sebulan

Syawal dah habis. Hari ini sudah masuk Dzulkaedah. Tahun 2006 juga kian pantas berlari ke penghujung. Hujung tahun begini macam-macam musim bermula - musim cuti sekolah, musim bercuti bersama keluarga, musim kenduri kahwin, musim tengkujuh dan musim haji.

Sudah sebulan saya "bercuti" daripada mengisi blog dengan sebarang cerita. Bukan tak ada cerita tapi lebih banyak malas daripada rajin. Kalau nak diikutkan, memang banyak cerita yang boleh ditulis atau dikomen. Buka sajalah surat khabar. Itu belum lagi yang dibaca di Internet dan yang dildengar dan dilihat sendiri. Bak kata Allahyarham Pak Abbas (Astro), “Macam-macam ada!”.

Kadang-kadang sampai tak larat nak baca, nak lihat dan nak dengar. Ada cerita orang bunuh orang, cerita orang kena bom, cerita jumpa mayat tepi jalan, dalam longkang, dalam semak. Cerita suami tetak isteri, isteri bunuh suami, suami bakar rumah, nenek bakar cucu, anak tetak emak, emak dera anak. Cerita orang ini saman orang itu, orang itu buat report polis fasal orang ini. Cerita orang sana nak minta cerai, orang sini nak kahwin. Cerita orang berusaha macam-macam kaedah nak dapat anak. Cerita orang buang anak dalam tandas, dalam tong sampah, dalam sungai, tepi jalan atau bawah jambatan. Cerita perang, cerita kemusnahan, cerita bencana alam, cerita politik, cerita murtad, cerita SMS, cerita akidah.

Macam-macam cerita. Semuanya menunjukkan betapa bercelarunya dunia dan manusia. Atau manusia yang mencelarukan dunia. Atau dunia bercelaru kerana manusia! Atau manusia bercelaru kerana mengejar dunia! Semuanya membuat kita jadi takut kepada kehidupan. Takut memikirkan dunia yang bagaimana pula akan dilalui oleh anak cucu kita nanti.

Dalam banyak-banyak cerita baru-baru ini, ada tiga cerita membabitkan wanita yang menarik perhatian saya.

Cerita pertama membuat saya terkaku seketika, menggeleng dan beristighfar. Cerita dalam Harian Metro (20 November) mengenai pertemuan 100 pemimpin wanita di New York daripada beberapa perkumpulan wanita Islam seluruh dunia yang berikrar mahu mewujudkan sebuah majlis wanita bagi mentafsir sendiri kitab suci al-Quran. Menurut berita itu, pemimpin-pemimpin wanita ini mendakwa bahawa undang-undang Syariah tidak “suci” kerana ia dicipta lelaki dan mereka menuntut supaya ia dipinda untuk memasukkan hak wanita.

Berita itu turut memetik kata-kata Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS) Malaysia. Katanya, “Dalam masyarakat kami, kaum lelaki menentukan apa yang dimaksudkan oleh Islam dan bagaimana kami perlu mematuhi ajaran itu. Undang-undang itu progresif tetapi kaum lelaki yang mengawalnya tidak.”

Agak-agaknya, bagaimanalah al-Quran yang ditafsirkan oleh wanita itu nanti dan siapakah cerdik pandai yang akan menjadi pentafsirnya. Apakah Zainah sendiri antaranya dan juga cerdik pandai macam Aminah Wadud yang pernah menggemparkan dunia Islam tak lama dulu kerana mengimamkan solat Jumaat? Mereka inikah yang akan mentafsirkan al-Quran untuk “membela” nasib wanita Islam sedunia?

Ya Allah! Tolonglah kami semua! Peliharakanlah kami semua! Lindungilah kami semua! Sesungguhnya kami tidak redha ya Allah!

Apa pun, saya pasti, lepas membaca al-Quran tafsiran para cendekiawan wanita Islam itu nanti, pastilah kita semua tak payah bertudung dan berjilbab lagi. Bolehlah kita kembali bercawat dan berkemban macam orang zaman batu dulu. Wah, satu kemajuan yang cukup progresif bagi wanita!

Cerita kedua pula amat menggelikan hati saya sampai dah tak larat nak ketawa. Cerita fasal saranan seorang wakil pergerakan wanita UMNO di perhimpunan agung UMNO baru-baru ini yang suruh PM keluarkan larangan kepada isteri menteri supaya jangan berpakaian seksi di khalayak ramai. Laaa.... ada banyak lagi isu lain yang besar-besar tak selesai lagi. Isu dengan TDM pun tak habis lagi. Tak kan soal pakaian bini orang pun PM nak kena jaga juga. Itu suaminyalah yang kena jaga sendiri kak oiii!

Kalau sakit mata sangat tengok, jangan tengok. Atau, suruh saja suaminya sendiri bagi nasihat kat isterinya tu. Tarbiahkan suaminya dulu! Tak pun, suruh persatuan isteri-isteri menteri supaya buat mesyuarat tergempar untuk melantik wakil pergi menasihati isteri berkenaan. Tapi kena pilih wakil yang tutup aurat secara sempurnalah sebab macam mana nak nasihatkan orang lain fasal aurat kalau aurat sendiri pun tak terjaga. Jangan marah pula nanti kalau isteri berkenaan jawab, “It’s my right!” Inikan zaman hak asasi manusia lebih utama daripada undang-undang Tuhan!

Cerita ketiga pula sudah tentulah kisah wanita jelita dari Mongolia yang kena bunuh dan kena bom sampai berkecai itu. Cerita yang membuatkan saya menarik nafas panjang-panjang dan dalam-dalam kerana dada terasa sesak. Saya taklah berhajat nak komen fasal kes yang kini sudah pun masuk ke dalam fail mahkamah tu. Cuma, bila terkenangkan mereka yang dituduh dan akan dibicarakan fasal kes itu, saya teringat kata orang tua-tua, ada tiga “TA” yang boleh membawa kepada kejatuhan dan kemusnahan lelaki – harTA (kekayaan), takhTA (kuasa) dan waniTA.

Kalau benarlah bagaimana cerita yang disiarkan, minda yang hebat itu menjadi sia-sia kerana seorang wanita. Alangkah sayangnya dan alangkah ruginya!

Entahlah! Dunia ini sebenarnya tak seindah mana pun. Tapi saya masih sayangkan dunia, masih mahu terus hidup kerana tiga sebab – kaklong, kakngah dan abang. Mereka baru hendak hidup dan masih memerlukan saya dan ayahnya dalam segala aspek.

Menyebut fasal musim haji pula, di sana sini mereka yang akan menunaikan haji musim ini sedang sibuk membuat persiapan. Saya cuma tersedar bila terima e-mail daripada kawan-kawan di pejabat yang memohon kemaafan daripada semua sebelum berangkat ke tanah suci. Masing-masing memohon supaya kawan-kawan mendoakan mereka mendapat haji yang mabrur. InsyaAllah.

Yang seronoknya, kebanyakan kawan sepejabat yang nak pergi haji tahun ini muda-muda belaka. Masih dalam usia di awal atau pertengahan 30an. Baguslah begitu. Kerja haji memang lebih banyak menumpukan kepada pergerakan fizikal. Kalau pergi haji ketika masih muda, badan masih kuat untuk mengerjakannya dengan sempurna. Malah, boleh pula membantu orang lain yang tak kuat dan tak larat ketika di sana.

Kalau ada mood dan tak malas, akan saya tulis pengalaman saya ketika menunaikan haji pada tahun 2002 dulu. Biarlah sekadar jadi catatan peribadi dan kenangan sendiri.

Kepada semua yang akan berangkat ke tanah suci, saya ucapkan tahniah kerana terpilih menjadi tetamu Allah musim haji ini. Jangan sia-siakan peluang yang diberi kerana bukan semua orang mendapat peluang itu. Saya turut doakan semoga selamat berangkat dan selamat kembali ke tanah air dengan mendapat haji yang mabrur. Amin.