Wednesday, February 27, 2008

Sebuah surau yang sepi...


Dalam berbincang dan bertekak soal nak undi siapa, nak undi parti mana, siapa lebih berwibawa, siapa lebih rasuah, siapa lebih Islamik, siapa cakap bohong, siapa lebih telus dan manifesto siapa lebih jujur, cuba-cubalah ambil masa sejenak untuk tengok gambar ini.

Ini gambar surau Ar-Rahmah yang terletak di Seksyen 8, Shah Alam (nota: bendera lambang bulan di surau itu baru lagi dipasang untuk kempen pilihanraya. Rasanya lepas ini orang 'keris' pun akan pasang bendera mereka di sini).

Dulu, surau ini padat dengan aktiviti. Ada kelas pengajian agama, ada ceramah, ada kelas pengajian al-Quran untuk dewasa dan kanak-kanak, ada kelas Bahasa Arab dan ada macam-macam aktiviti ibadah yang lain termasuk kelas pengajian khusus untuk kaum wanita. Malam Jumaat, berkumandang suara jemaah membaca surah Yasin dan ada ahli kariah yang menghantar makanan untuk menjamu jemaah. Kadang-kadang, ada musafir dari luar negara, umpamanya orang Afghanistan, tumpang menginap beberapa hari di sini. Kadang-kadang, ada kumpulan tabligh yang bertazkirah di sini.

Pada bulan Ramadhan, surau ini penuh dengan jemaah bersolat Tarawih. Saya sendiri pernah datang bersolat Tarawih di sini sejak awal surau ini dibuka, masa jemaah wanita hanya bersolat dalam khemah yang berkuap panas di halaman surau kerana tak cukup tempat untuk masuk ke dalam ruang surau, sehinggalah surau ini dibesarkan dan selesa berhawa dingin.

Kini, surau ini sepi, kosong dan terbiar. Pintu pagarnya sentiasa dirantai dan dikunci. Tiada lagi kedengaran azan berkumandang lima kali sehari. Tiada lagi kelihatan kanak-kanak berlari mengepit al-Quran menuju ke surau. Tidak lagi kedengaran suara orang membaca al-Quran. Tiada lagi kedengaran ceramah atau bacaan Yasin. Kalau dulu, surau ini terang benderang pada waktu malam dan kenderaan penuh sesak diletakkan oleh jemaah di hadapan dan di kawasan sekitar surau. Kini, gelap-gelita dan sunyi sepi. Sejak hari pertama bulan Ramadhan tahun lepas, surau ini diperintahkan oleh pihak berkuasa supaya ditutup.

Mengapa? Kerana ada perebutan dua pihak dan campur tangan pihak tertentu untuk menguasai surau mengikut fahaman politik dan kepentingan masing-masing sehingga terjadilah perpecahan yang membawa kepada solat jemaah dua imam serentak – satu kumpulan bersolat di ruang dalam surau, satu kumpulan lagi bersolat di beranda. Apabila keadaan menjadi semakin parah, satu-satunya cara untuk meredakan keadaan adalah dengan memerintahkan supaya surau ini ditutup daripada sebarang aktiviti.

Kesimpulan ringkas: surau ini adalah mangsa politik yang diagamakan dan agama yang dipolitikkan oleh mereka yang tidak sedar bahawa agama dan politik itu sepatutnya berjalan seiring, bukan digunakan untuk memecahbelahkan ummah.

Ramai yang marah kalau ada yang mengatakan bahawa politik dan agama tidak harus dicampuradukkan. Macam-macam Hadis dan Surah dikeluarkan untuk menguatkan hujah bahawa agama dan politik itu tidak boleh dipisahkan kerana dalam politik itu ada agama dan dalam agama itu ada politik. Nanti, ramai yang keluarkan contoh betapa Rasulullah saw sendiri adalah ahli agama dan ahli politik yang hebat.

Tapi, hakikatnya, kebanyakan kita (mungkin termasuk saya) sebenarnya belum lagi bijak untuk mendukung dan menyeimbangkan agama dan politik sehingga boleh menjulang Islam dan keseluruhan ummah ke tahap yang hebat. Kebanyakan kita sebenarnya hanya pandai mencampuradukkan agama dan politik sehingga ke tahap memudaratkan dan tidak membawa apa-apa kebaikan untuk seluruh ummah.

Surau ini adalah contoh terbaik mangsa kecelaruan kita sendiri. Akibatnya, semua aktiviti di surau ini terhenti dan terbantut. Siapakah yang untung dan siapakah yang rugi? Bilakah surau ini akan dibenarkan dibuka semula? Setakat ini belum ada jawapan pasti.

Cuba-cubalah lihat rumah ibadah ‘orang lain’ yang semakin lama semakin membesar dan nampak hebat. Gelombang tekanan mereka yang bersatu untuk memperhebat rumah ibadah mereka begitu sukar dibendung sehingga dengan megahnya mereka berjaya membina banyak rumah ibadah dan patung-patung gergasi di sana sini.

Dan kejayaan kita yang ‘membanggakan’ pula adalah berjaya menutup rumah ibadah kita sendiri kerana perbezaan fahaman politik dan ‘berjaya’ menyusahkan seluruh masyarakat setempat yang tidak peduli pada pertelingkahan politik dan hanya mahu mengimarahkan dan memanfaatkan rumah Allah.

Katakanlah apa pun, keluarkan hujah apa pun, hakikatnya kebanyakan kita memang sebenarnya belum bijak lagi menyeimbangkan agama dan politik. Sebab itu, kalau rasanya akan hanya membawa kemudaratan daripada kebaikan, lebih baik apabila ke surau/masjid, tinggalkan politik di tangga atau di tepi longkang bersama selipar dan kasut yang bergelimpangan di sana. Apabila pulang nanti, sarungkan semula politik bersama selipar atau kasut di kaki.

Itu lebih baik lagi untuk kemaslahatan ummah.

Saya bukan pengikut tegar mana-mana parti politik. Semua parti politik adalah ciptaan manusia, maka itu masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, keburukan dan kebaikan, kekuatan dan kelemahan. Hanya kita terpaksa memilih yang kurang buruk daripada yang buruk, yang kurang lemah daripada yang lemah, yang lebih kuat daripada yang kuat dan yang terbaik daripada yang baik.

Tetapi yang jelas, saya akan tolak pemimpin pembohong yang suka memperbodoh-bodohkan rakyat termasuk mengaku makan tempe itu boleh menyebabkan muka tambah handsome dan boleh buat kulit muka semakin tegang, cekang, cerah dan berseri-seri. Orang Jawa di dalam dan di luar Malaysia semuanya tergelak guling-guling mendengar petua ini!

Monday, February 25, 2008

Cekalnya dia...

Sambil-sambil tengok sang gajah, beruang, singa, harimau, serigala, helang, ikan paus dan dinosaur bertempur, sesekali seronok juga tengok ikan bilis dan ikan kembung mencelah-celah di medan pertempuran. Jom kita baca cerita ini.

Nenek 89 tahun bertanding di Kuala Terengganu
24-02-2008

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang nenek, Maimun Yusof, 89, untuk menjadi calon akhirnya tercapai apabila diterima untuk bertanding pada pilihan raya umum 8 Mac ini, selepas gagal berbuat demikian sejak empat pilihan raya lepas.

Ini kerana, sejak tempoh tersebut, kertas pencalonannya ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak memenuhi syarat.

Nasibnya baik kali ini, apabila SPR menerima pencalonannya dan mengesahkan beliau bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pengesahannya sebagai calon diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim kira-kira pukul 11.45 pagi.

Maimun akan berdepan penyandang kerusi tersebut, Datuk Razali Ismail (BN) yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.

Maimun dari Kampung Pengadang Akar dekat sini, tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Kuala Terengganu di sini, kira-kira 8.30 pagi dengan menaiki teksi bersama pencadangnya, Semah Said, 55, serta penyokongnya, Sinah Ali, 67.

Ketika ditemui pemberita, Maimun yang akan bertanding menggunakan logo kunci serta parti yang didakwanya "Parti Tanah Melayu Bersama Islam" berkata beliau menjual tanah untuk membayar wang pertaruhan sebanyak RM10,000 serta RM5,000 untuk deposit bahan kempen.

Maimun yang mempunyai seorang anak perempuan, Huzaimah Abdullah, 50, tujuh cucu dan 19 cicit, berkata beliau ingin bertanding kerana mahu menyuarakan pandangannya berhubung banyak perkara yang dirasakan perlu diperbetul.

"Banyak yang saya nak cakap nanti," katanya tanpa menyebut topik yang akan digunakan semasa berkempen.

Ditanya sama ada beliau yang menjual kain batik dan songket dari rumah ke rumah tidak sayangkan duit jika wang pertaruhannya hangus, beliau berkata "pitih (wang) boleh cari."

Maimun berkata pada pilihan raya umum sebelum ini, beliau mengemukakan pencalonan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, tetapi memilih kerusi Parlimen Kuala Terengganu kali ini kerana "berminat" untuk menentang Mohamad Sabu.

Menyedari tenaganya tidak sekuat orang muda untuk berkempen, beliau berkata beliau akan melakukannya secara kecil-kecilan iaitu dari rumah ke rumah.

"Kalau nak sokong, sokonglah..., kalau tak mahu sokong pun tak apa, itu hak mereka," katanya.

Maimun berkata beliau tidak mempercayai satu pun parti yang ada di negara ini, menyebabkan beliau memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas.

"Semua parti tak betul, apa yang mereka buat untuk rakyat. Bagi tanah orang Melayu. Saya sudah tua, saya mahu perintah sendiri," katanya. BERNAMA


Kuat sungguh semangat nenek ini. Berani, cekal, yakin pada diri sendiri dan tak kenal putus asa. Saya cukup kagum. Orang yang jauh lebih muda pun belum tentu kuat semangat macam dia.

Tapi, barangkali saya seorang yang pesimis. Kalau dah awal-awal tahu masuk bertanding buat penat badan dan rugi duit saja, buat apalah buang masa. Namun, siapa tahu....mungkin dia bertanding bukan untuk menang tetapi nak menyampaikan sesuatu mesej yang tersembunyi.

Kalau nenek ini nanti ditakdirkan menang dan berjaya menumbangkan dua lawan ‘gergasi’nya, itu satu berita besar. Patut diletakkan pada muka hadapan surat khabar!!!

Friday, February 22, 2008

Diagnosis abang

Saya tulis fasal demam, saya pula yang demam. Tapi ini demam betul-betul, bukan demam nak bertanding pilihan raya. Demam, batuk, selesema, sakit kepala, tekak perit, semuanya cukup lengkap. Mungkin Allah nak kafarahkan dosa saya. Alhamdulillah. Dapat cuti sakit dua hari.

Satu ketika, saya pejam mata sambil ‘menikmati’ batuk tak henti-henti. Bila buka mata, tengok abang dan kakngah duduk depan saya dengan muka penuh simpati. Abang tolong urut-urut dada saya. Kakngah pula tepuk-tepuk belakang saya.

Dengan bersungguh-sungguh dan muka serius abang mendiagnosis penyakit saya, “Mak, abang tahu mak sakit ni bukan fasal mak nak mati, tapi fasal mak nak ada baby!”

HAHAHAHAHAHA…uhuk…uhuk…uhuk! HAHAHAHAHAHAHA….uhuk….uhuk…uhuk!

Sambil terbatuk-batuk, sambil ketawa. Aduh! Sakit dada saya.

Another baby? At my age? After three caesarean operations?

Hopefully not, abang. InsyaAllah.

Den tak larat nak ado baby laie! Dah tuo!

Tuesday, February 19, 2008

Perihal wartawan

Baru-baru ini ketika menyelak helaian sebuah akhbar, saya terjumpa nama adik saya bersama satu rencana yang ditulisnya (adik saya masih lagi seorang wartawan. Belum jadi wartawan pencen macam saya…hihihi!). Rencana itu mengenai penerokaan perniagaan baru oleh sebuah syarikat.

Teringat saya adik pernah bercerita beberapa hari sebelum itu mengenai pengalamannya ketika menemu bual pengurus syarikat baru itu. Selepas habis sesi temu bual, dia menghulurkan sampul berisi wang kepada adik saya. Puas adik saya menolak tetapi pengurus itu berkeras sehingga ke tahap merayu suruh adik saya mengambilnya. Katanya, kalau adik saya tak ambil, dia (pengurus itu) akan dimarahi oleh pihak pengurusan syarikat kerana duit itu memang diperuntukkan sebagai ‘hadiah’ kepada wartawan yang menulis mengenai syarikat mereka.

“Apa nak buat ni Lang? I don’t want the money!" kata adik saya.

“Berapa isinya?” Tanya saya.

“RM50.”

“Hemmm…cheap skate! Bagilah RM5,000 ke atau RM50,000 ke. Kata business berjaya! Takkan kaya macam tu nak beli wartawan dengan RM50 aja! Kedekut!” kata saya sinis.

Adik saya ikut senyum sinis. Dia memang tahu saya suka main-main kalau dia bertanya perkara-perkara yang dianggapnya serius.

“I nak sedekahkan ke masjid sajalah. Boleh tak?” Tanya adik saya lagi.

“Memang boleh. Kalau sedekah dapat pahala. But, is that what you really want? Dapat pahala, tapi orang yang beri duit itu nanti fikir memang betullah wartawan ni semua cheap skate macam dia juga, memang kena hulur duit atau beri hadiah, baru boleh keluar cerita dia kat surat khabar.” kata saya.

“Pulangkan saja duit tu. Cakap dengan dia orang, itu menyalahi etika kerja. Wartawan dah dibayar gaji untuk tulis cerita tu. Tak payah dibayar lagi. Anggap saja tulisan di akhbar tu nanti sebagai khidmat masyarakat percuma seorang wartawan kepada orang kaya-kaya kat luar sana tu,” kata saya lagi, masih sinis.

Saya sudah terlupa perbualan dengan adik dan terlupa nak tanya dia sama ada dia sudah pulangkan duit itu atau belum sehinggalah saya terbaca rencana tulisannya itu. Lalu saya SMS adik.

I saw your story on the ***. Duit dah pulangkan?”

“Dah. Lepas ni kalau ada lagi orang nak bagi duit, I nak suruh dia belikan beg tangan ajelah. Yang ribu riban punya harga. Ok tak?” Adik saya memang pengumpul beg tangan. Saya selalu kata dia nak jadi Imelda Marcos, bekas Wanita Pertama Filipina yang gemar kumpul kasut sampai beribu-ribu pasang.

“Baik suruh belikan banglo terus.” Jawab saya.

“Hehehe…ok juga tu!” balas adik.

Sebenarnya, apa yang adik saya lalui bukan perkara baru atau perkara pelik dalam dunia wartawan. Sejak dulu lagi ia sudah berlaku dan pasti akan terus berlaku. Mungkinkah ia berlaku juga pada zaman Bapa Kewartawanan Malaysia, Rahim Kajai, atau tokoh-tokoh wartawan hebat seperti Allahyarham Dato’ Melan Abdullah, Tan Sri A Samad Ismail dan yang lain-lain itu? Saya tak pasti tapi pokoknya, sejak saya masuk ke dunia kewartawanan pada tahun 80an, ia memang berlaku.

Saya sendiri tidak pernah mengalaminya tetapi saya tahu ada rakan-rakan wartawan yang pernah melalui apa yang dilalui oleh adik saya. Sama ada mereka mengambil atau memulangkan ‘hadiah’ yang diberikan itu, saya tak mahu komen.

Memang lumrah kalau wartawan dijemput menghadiri mana-mana majlis, akan diberikan cenderahati kecil seperti pen, rantai kunci, payung, kalendar, buku catatan, topi atau door gift yang sama atau agak istimewa berbanding tetamu lain. Dalam musim perayaan pula, syarikat-syarikat besar seperti syarikat penerbangan atau hotel-hotel akan menghantar hamper, kuih, dodol, limau atau makanan lain ke meja wartawan sebagai tanda terima kasih atas kerjasama dan publisiti yang diberikan sepanjang tahun. Makanan dan hamper ini biasanya dibahagi-bahagikan sesama mereka yang bertugas termasuk bos.

Bagaimanapun, tanpa cenderahati atau hamper atau makanan, cerita, berita dan publisiti tetap juga ditulis dan disiarkan di media. Lebih-lebih lagi kalau jenis berita yang boleh ‘jual’ media (ahak!). Mereka tak payah cari wartawan, wartawan yang akan cari mereka.

Tetapi, pemberian wang atau hadiah yang mahal-mahal kepada wartawan secara peribadi tidak boleh diterima sama sekali tanpa kebenaran syarikat kerana ia dianggap melanggar etika kewartawanan dan etika syarikat. Kalau pihak pengurusan mengetahuinya, wartawan berkenaan boleh diambil tindakan tata tertib. Kalau nak keluarkan duit juga, beli iklan atau ruang khas untuk keluarkan cerita mereka. Duit itu pergi pada syarikat, bukan wartawan.

Suatu waktu dahulu, wartawan dipandang tinggi kerana tugas mereka yang menjadi penyalur berita, penyampai maklumat, malah penggegar semangat juang dan semangat nasionalisme melalui tulisan mereka. Untuk memperjuangkan kemerdekaan pada tahun-tahun 1950an dulu, wartawan ada peranannya. Laporan berbentuk penyiasatan atau investigative reporting yang dilakukan oleh wartawan, boleh meruntuhkan sebuah empayar atau organisasi seperti yang berlaku dalam skandal Watergate di Amerika suatu waktu dahulu.

Wartawan dulu juga dianggap hebat kerana dilihat bergaul rapat dengan orang penting dan kenamaan yang sukar didekati orang biasa. Tetapi, sama seperti profesion perguruan, wartawan kini dipandang rendah dan remeh oleh sebahagian anggota masyarakat. Kalau difikir-fikirkan, tak boleh juga menyalahkan sepenuhnya orang luar yang berpandangan begitu, kena salahkan sebahagian wartawan itu sendiri yang bersikap ‘sebab nila setitik rosak susu sebelanga’.

Sebenarnya, wartawan pun sama macam orang lain juga. Kalau ada guru, polis, doktor, peguam, kerani, ustaz, imam, ketua jabatan, ketua hakim (hehehehe!) atau menteri (hehehehe!) yang jujur dan yang menyeleweng, wartawan pun ada yang jujur dan ada yang menyeleweng. Sama macam mereka yang lain itu juga, wartawan pun ada yang amanah menjalankan tugas dengan niat menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan ada juga yang ‘main belasah’ saja untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam dunia wartawan sama juga macam di organisasi lain, ada politicking, ada back stabbing, ada yang jadi mangsa dan ada yang jadi pemangsa. Ada wartawan yang sangat tajam pemikiran dan jauh pandangannya, ada juga yang jenis blur, malas, buat kerja asal siap dan tak buat homework dulu sebelum menulis. Sebab itu tidak adil membuat tanggapan buruk secara umum kepada semua wartawan.

Kepada adik-adik yang masih jadi wartawan macam Syahril (yang pernah ‘berasap’ apabila ada orang mengutuk wartawan) dan adik saya, jangan lekas putus asa, marah atau rendah diri jika ada orang memandang serong pada wartawan. Walaupun mungkin kecil, tetapi kita juga ada peranan penting kepada masyarakat. Tanpa wartawan, orang yang mengutuk wartawan itu nanti akan jadi katak di bawah tempurung, tidak akan tahu perkembangan semasa dunia. Tak nak tengok dan baca media tempatan dan nak tengok atau baca berita-berita CNN, Al-Jazeera, Reuters, AFP, Astro dan yang seumpamanya saja? Mereka itu pun wartawan juga! Ada yang betul dan ada yang tak betulnya!

Saya pernah jadi wartawan dan bukanlah mudah sebenarnya untuk jadi wartawan yang baik. Saya pernah melalui latihan intensif kewartawanan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) selama tiga bulan sebelum dipercayai untuk dilepaskan keluar bertugas. Pernah berhempas pulas selama empat tahun di ITM (sekarang UiTM) untuk mengejar sekeping pengiktirafan dalam bidang kewartawanan, pernah melalui pelbagai pengalaman pahit manis jadi wartawan dan pernah menang anugerah kewartawanan. Tetapi semua itu masih belum menjanjikan seseorang itu boleh menjadi wartawan yang baik.

Bagi saya, wartawan yang baik ialah yang ada rasa tanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, bukan menulis untuk mensensasikan cerita, untuk melariskan akhbar/majalah semata-mata atau untuk mengejar populariti. Dan apabila kita rasa tidak berupaya menegakkan tanggungjawab itu lagi, maka tibalah masanya untuk berundur dan jadilah wartawan pencen macam saya!

Monday, February 18, 2008

Mengapa ya?

Di celah-celah cerita ‘demam’ pilihan raya di akhbar-akhbar hari ini, terselit satu berita tentang kes mahkamah Kamariah Ali, 57, pengikut ajaran sesat Kerajaan Langit pimpinan Ayah Pin di Terengganu. (Ayah Pin sekarang ini cabut lari bersembunyi, isteri-isteri dan para pengikut setianya yang jadi mangsa terpaksa menghadapi tindakan pihak berkuasa).

Cerita hari ini ialah tentang Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu mendapati Kamariah bersalah atas tuduhan mengaku murtad dan hukuman akan dijatuhkan pada 3 Mac nanti. Kamariah sebelum ini pernah membuat permohonan melalui surat akuan bersumpah untuk mengisytiharkan dirinya bukan Islam tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Yang menarik ialah apabila Kamariah mengaku insaf dan bertaubat tetapi berdolak-dalik di mahkamah apabila diminta melafazkan dua kalimah syahadah atas alasan dia bukan budak-budak lagi dan sudah banyak kali bersyahadah dalam sembahyang, syahadah itu antara dia dengan Tuhan dan Tuhan sendiri pun tak pernah beritahu yang dia (Kamariah) murtad. Tetapi (mungkin kerana desakan mahkamah) akhirnya dia melafazkannya juga sebanyak tiga kali.

Apa pun hukuman yang bakal dijatuhkan mahkamah nanti, saya rasa tanggungjawab pihak berkuasa tidak boleh berhenti setakat itu saja. Saya ingin sekali kalau ada pihak tertentu, jabatan agama misalnya, atau mungkin pensyarah atau pelajar dari jabatan pengajian Islam di universiti, melakukan kajian ke atas Kamariah.

Pada saya, kes ini lebih membimbangkan daripada kes murtad lain seperti kes Lina Joy, Hartina Kamaruddin atau Aishah Bukhari yang pernah menggemparkan kita di Malaysia suatu waktu dahulu. Kes seperti Lina, Hartina dan Aishah membabitkan mereka yang masih muda dan turut membabitkan elemen cinta. Kecuali Aishah yang dikatakan terdidik dengan didikan agama sejak kecil, Lina dan Hartina boleh dikatakan kurang pendidikan agama. Mungkin agak mudah untuk difahami mengapa mereka dengan mudah boleh terbabas akidah.

Tetapi kes Kamariah membabitkan seorang yang sudah berusia lebih separuh abad dan matang. Saya tak tahulah sama ada ada elemen cinta juga di situ tetapi agak merunsingkan kerana orang yang dikatakan murtad ini adalah seorang bekas pelajar Universiti Al-Azhar di Mesir, sebuah universiti yang cukup berprestij dan banyak mengeluarkan cendekiawan Islam di seluruh dunia. Kamariah pernah menjadi ustazah dan saya pasti segala hukum hakam dalam Islam, ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. pasti ada di hujung jarinya. Rasanya, bukan calang-calang orang yang boleh berdebat tentang agama dengan Kamariah. Kalau sekadar ilmu di hujung-hujung kuku macam saya ni, sudah tentu dengan mudah dapat dipatahkannya.

Kalau dilihat di segi usia dan ilmu agama yang dia ada, sepatutnya dia lebih matang dan bijak menangkis ajaran sesat. Persoalan yang sentiasa menghantui saya ialah, mengapa orang sepertinya pun boleh murtad? Mengapa orang yang ada ilmu agama yang mendalam sepertinya pun boleh terpengaruh kepada ajaran sesat? Mengapa dia yang pernah mendidik orang lain tentang kesucian Islam tiba-tiba berpaling daripada agama yang suci ini?

Mengapa? Mengapa? Mengapa? Terlalu banyak persoalan yang menghantui fikiran saya dan saya masih tercari-cari jawapannya.

Mesti ada sesuatu yang mendorongnya. Sesuatu itulah yang mesti dikaji hingga ke akar umbi untuk mencari puncanya. Kita perlu tahu dan kita perlu belajar daripadanya sebab iman kita sendiri pun ada kala seperti permainan roller coaster, sekejap meninggi sekejap merendah.

Nauzubillah. Semoga Allah tidak menguji kita dan keluarga kita dengan perkara-perkara yang sebegini berat. Amin.

Wednesday, February 13, 2008

Bidadari gigi

Semalam satu lagi gigi susu abang tercabut. Bila saya tanya di mana dia taruh gigi itu, dia kata dia simpan di bawah bantalnya.

“Nak buat apa abang simpan gigi tu bawah bantal?” tanya saya.

“Nak suruh bidadari gigi ambil. Nanti dia gantikan dengan buku ke, dengan mainan ke,” kata abang.

Huh!??...Bidadari gigi?

“Alaaa...tooth fairy lah mak!” sampuk kakngah.

“Mana abang tahu fasal bidadari gigi ni?” tanya saya.

“Abang tengok dalam Rolly Polly Olie (lebih kurang begitulah bunyinya. Satu cerita kartun di TV). Bila gigi dia tercabut, dia letak bawah bantal. Kemudian bidadari gigi ambil gigi tu, lepas tu dia letak mainan kat bawah bantal Olie,” jawab abang.

“Itu dalam cerita aja bang. Kalau betul-betul tak ada bidadari gigi,” kata saya.

“Adalah mak.....!!!” balas abang bersungguh-sungguh.

“Kita orang Islam. Kita tak percaya ada bidadari gigi.”

“Tak apalah mak. Abang nak letak juga gigi tu kat bawah bantal,” abang berkeras dan saya pun mengalah.

Pagi tadi, abang angkat bantal dan tengok gigi itu masih ada. Dia ambil dan beri pada saya.

“Nah, mak simpanlah mak.”

“Abang tak nak simpan bawah bantal lagi? Tak nak tunggu bidadari gigi ambil gigi abang ni?” tanya saya.

“Tak nak. Sebenarnya abang tahu, betul cakap mak. Bidadari gigi tu tak ada! Tapi abang saja aja nak tengok sendiri, betul ke tidak,” katanya.

Saya senyum.

Begitulah kita. Kadang-kadang kita tahu apa yang dinasihati orang itu adalah benar, tapi kita masih mahu mencuba. Lebih puas belajar daripada kesilapan dan pengalaman sendiri daripada sekadar menerima bulat-bulat pandangan orang lain. Jatuh bangun dalam kehidupan, itulah yang mematangkan kita.

Monday, February 11, 2008

Musim demam

Semua orang tahu, sekarang ini musim demam. Bukan demam denggi, bukan demam panas, bukan demam selesema, tapi demam pilihan raya. Ubat demam yang ini tak ada pada doktor, pun tak boleh beli di farmasi. Demam jenis ini hanya boleh kebah dengan dua cara. Satu, nama naik jadi calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Dua, banyak orang pangkah sehingga menang pilihan raya. Demam pun kebah serta-merta dan senyum pun lebar hingga ke telinga apabila mula dipanggil YB, lebih-lebih lagi YB baru.

Rakyat marhaen macam saya ni, kalau ada kesempatan, masa inilah patut ambil peluang ‘buli’ mereka ni. Kalau pada masa lain, mereka ni sibuk. Kalau diundang merasmikan majlis yang tak berapa penting dan tak berapa glamor, biasanya mereka akan hantar wakil sahaja menggantikan mereka. Tetapi pada saat-saat genting macam ni, panggillah untuk merasmikan jamban baru atau perigi baru sekalipun, pasti mereka datang. Lebih-lebih lagi kalau ada liputan media.

Kalau terasa nak bersalam atau nak tengok muka mereka ni secara dekat, selepas penamaan calon nanti, rajin-rajinlah ke pasar, ke kedai kopi, ke rumah-rumah kampung, ke rumah-rumah setinggan atau ke tempat-tempat yang becak, lecak, kotor dan berselut. Pasti boleh bertemu mereka ni. Masa ni, suruhlah mereka dodoi bayi dalam buaian, tumbuk padi, kisar padi, tumbuk sambal, redah sawah, panjat pokok kelapa, panjat pokok durian atau apa saja (walaupun sekadar bergambar supaya gambar itu nanti masuk dalam surat khabar), pasti mereka buat.

Inilah juga masanya untuk minta itu ini – mintalah jalan raya lebih baik, minta gantikan jambatan uzur, minta bina sekolah baru, minta masuk air dan api kalau masih belum ada lagi, minta derma itu ini, minta betulkan rumah yang nak roboh, dan macam-macamlah lagi. Pasti akan dijanjikan dapat semua itu selepas menang nanti. Tapi, janganlah pegang sangat janji tu sebab banyak kali juga terjadi, janji hanya tinggal janji. Dan janji itu akan diperbaharui semula empat tahun kemudian untuk memancing semula hati pengundi. Bak kata falsafah ‘Manusia suka membohongi dan dibohongi. Manusia juga suka menggunakan dan dipergunakan’.

Saya bukan orang politik, cuma suka memerhati yang mana sempat diperhatikan. Seronok memerhatikan mereka terutama dalam musim demam ini. Tak kiralah apa parti pun sama ada parti pemerintah atau parti pembangkang. Pada saya, kebanyakannya dua kali lima sahaja. Masa inilah macam-macam drama, macam-macam sandiwara, macam-macam lakonan boleh kita tonton. Aku tuduh engkau, engkau tuduh aku balik; aku kata engkau, engkau kata aku balik; aku perleceh engkau, engkau perleceh aku balik; aku kutuk engkau, engkau kutuk aku balik! Yang paling kelakar dan klise adalah apabila masing-masing sebut benda yang sama, “Pengundi kini sudah bijak dan tidak mudah terpengaruh.” Nak bodek pengundilah tu!

Suka hati merekalah. Yang bertarung, mereka. Yang kalah atau menang nanti, mereka. Yang bertambah kaya, mereka. Yang boleh buat rumah ala istana nanti, mereka. Yang boleh tambah isteri atau girlfriend nanti, mereka. Yang boleh besarkan business nanti, mereka. Yang boleh beli kereta mewah nanti, mereka. Kita hanyalah pengundi yang menjadi titian untuk mereka merealisasikan impian.

Selepas penamaan calon nanti, poster muka calon-calon itu nanti pastilah terpampang di merata jalan. Nak bagi pengundi kenal siapa calon bagi kawasan mereka. Kerenah pengundi pun pelbagai. Ada yang mengundi parti, tak kira siapa calon, Ada mengundi calon, tak kira apa parti. Ada tengok manifesto dulu. Ada tengok track record dulu. Dan macam-macam perkara lagi yang ditengok sebelum memangkah.

Bercakap fasal poster ini saya teringat cerita seorang kawan masa musim mengundi lama dulu. Kawan ini selalunya tak pernah ambil peduli siapa calon di kawasannya. Yang dipangkahnya ialah parti, bukan calon. Letaklah siapa pun, dia mesti pangkah parti itu juga. Agaknya kalau letak muka kambing pun, dia pangkah juga. Nama calon pun kadang-kadang dia tak tahu. Poster-poster muka calon di tepi jalan biasanya dia tak pandang pun.

Hinggalah tiba hari mengundi. Dalam perjalanan nak pergi membuang undi, barulah kali pertama dia memandang dan merenung poster muka calon parti yang selalu dipangkahnya. Tiba-tiba dia rasa ‘menyampah’ tengok muka calon itu. “Aku tengok mukanya macam playboy tua aja. Senyumnya yang senget itu pun dah cukup buat bulu roma aku meremang. Terfikir aku, kalau aku pangkah dia dan dia menang nanti, pasti lepas tu dia tambah bini lagi,” kata kawan itu.

Penyudahnya, apabila sampai di tempat membuang undi, dia pangkah parti lain yang selama ini tak pernah dipangkahnya. Hahahahaha.....saya sakit perut ketawa mendengar kawan itu bercerita, siap dengan mimik mukanya sekali. Kasihan calon berkenaan. Hanya fasal gambar yang memberikan impak bertentangan daripada apa yang diharapkan, dia hilang satu undi.

Jadi, bagi bakal-bakal calon pilihan raya kali ini, pastikan gambar untuk poster itu nanti buat yang elok-elok dan muka dalam gambar itu biar nampak innocent. Mana tahu, ada lagi pengundi macam kawan saya tu, tak fasal-fasal rugi undi hanya kerana gambar.

Kepada YB lama yang bakal terpilih semula dan mereka yang bakal jadi YB, jangan seronok sangat dengan gelaran ‘Yang Berhormat’ tu kerana YB juga bermakna `Yang Bekerja’, `Yang Berusaha’, `Yang Berkhidmat’, `Yang Bertugas’, `Yang Bertanggungjawab’ atau `Yang Berbakti’.

Saya pun YB juga, `Yang Berceloteh’.

Sunday, February 03, 2008

Ada isukah atau tak ada isu?

Nur, pembantu rumah saya, tak suka tempoyak.

“Di Indon tak ada tempoyak bu. Orang Indon tak makan tempoyak,” katanya.

Indon??? Twangggg!!! Tiba-tiba ada bulb lampu keluar daripada otak saya. Alaaa….yang macam dalam kartun/komik tulah…yang bila ada idea, gambar bulb lampu keluar daripada kepalanya.

“Apa kamu kata tadi Nur? Indon?”

“Ya bu? Mengapa?” Tanyanya balik, kehairanan.

“Kalau sebut Indon tak menghinakah? Perkataan Indon tu bukankah macam menghina orang Indonesia?”

“Tak adalah bu. Kami pun biasa sebut Indon.” Katanya.

“Tapi mengapa sekarang keluar berita orang Indonesia marah bila orang Malaysia sebut Indon? Kata mereka panggilan itu menghina.”

Dia terkebil-kebil sebentar. “Entahlah bu. Tak ada menghina apa pun.” Katanya.

“Tapi kamu tahu tak, orang Indonesia marah sangat pada orang Malaysia sebab panggilan itu. Mereka balas balik, panggil kami ‘Malingsia’.”

Dia ketawa. “Ibu tahu apa makna ‘maling’?”

“Ya saya tahu.” Jawab saya. Maling ertinya pencuri dalam bahasa Indonesia.

“Tak tahulah saya, bu.” Ulangnya lagi.

Nur anak jati Indonesia. Berasal dari Jawa Timur. Belum pernah datang ke Malaysia sebelum bekerja dengan saya sejak setahun lalu. Sebenarnya, sebelum ini pun sudah banyak kali dia menyebut perkataan `Indon’ ketika bercakap fasal negaranya atau mengenai orang senegaranya. Tapi saya selalunya tak ambil pusing.

Kalau anak jati Indonesia memanggil bangsanya dan negaranya sendiri dengan singkatan ‘Indon’, mengapa orang sana ribut-ribut bila orang kita menggunakan perkataan yang sama?

Rasanya sudah banyak sangat isu-isu remeh-temeh yang diperbesar-besarkan mereka. Daripada isu lagu, isu tarian, isu kain batik hinggalah ke isu perkataan ‘Indon’ yang kalau nak ikut kata Nur anak jati Indonesia itu, tak ada apa isu pun sebenarnya! Kalau dilihat melalui media, marah mereka bukan main berapi-api sampai membuat demonstrasi, membakar bendera dan melaung-laungkan slogan basi zaman Pak Sukarno dulu.

Soalnya, mengapa isu yang tak ada isu itu dijadikan isu?

Boleh dikatakan kebanyakan (bukan semua) orang Melayu Malaysia kalau disusur galur keturunannya, ada ‘akar’nya di tanah seberang. Oleh kerana itu, maka sudah tentu sedikit sebanyak ada adat budaya lama yang turut dibawa bersama. Pastilah ada sedikit sebanyak persamaan di segi bahasa, budaya, permainan, pakaian, tarian, lagu dan makanan. Apakah adat budaya itu dengan mudah dapat dibuang sepenuhnya oleh mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu suatu waktu dahulu?

Nenek moyang saya sendiri daripada kedua-dua belah pihak berasal dari Tanah Minangkabau di Sumatera (Ranah Minang kata orang sana). Ketika emak saya masih ada dulu, saya biasa mendengar dia (orang Minang Hulu Langat, Selangor) berbual dengan saudara maranya menggunakan bahasa Minang yang pekat (bukan bahasa yang digunakan oleh orang Negeri Sembilan yang masih boleh difahami orang luar).

Abah saya pula yang ayahnya berasal dari Ranah Minang, tidak berbahasa Minang tetapi berbahasa Nogori (Negeri Sembilan) yang menggunakan `esei’ dan ‘ekau’ sebagai ganti diri. Di rumah pula, kedua-dua emak dan abah saya berbahasa Melayu Malaysia (nak kata bahasa baku pun bukan juga). Disebabkan bahasa Minangkabau tidak dibiasakan kepada kami anak-anaknya, maka jadilah kami anak Minangkabau jati yang tidak tahu langsung berbahasa Minang (bagi saya, itu satu kerugian yang amat besar!)

Walaupun begitu, masih ada anak-anak Minang lain di Malaysia ini yang masih boleh berbahasa Minang dan mengamalkan sepenuhnya adat budaya Minangkabau. Di Negeri Sembilan saja ada banyak bangunan bercirikan reka bentuk rumah tradisional Minangkabau seperti di Sumatera, selain makanan, pakaian dan adat budaya yang hampir sama. Selain orang Minangkabau, ada banyak lagi orang Melayu di sini yang nenek moyangnya berasal dari seberang. Umpamanya, orang Jawa, orang Boyan, Orang Bugis, orang Banjar, orang Aceh dan banyak lagi suku kaum yang lain Apakah mereka harus membuang semua adat budaya semata-mata kerana kini mereka orang Malaysia?

Masa kakak saya kahwin, dia enggan memakai pakaian tradisional wanita Minangkabau (yang hiasan kepalanya macam tanduk kerbau tulah!) dan saya nampak emak sangat kecewa. Apabila saya kahwin dua tahun kemudian, saya bersetuju memakainya untuk tidak mengecewakan emak (zaman itu zaman `jahiliyah’ saya. Aurat pun tak tutup lagi!).

Itulah antara contoh masih ada ciri-ciri budaya pembawaan nenek moyang dari seberang yang masih dipegang oleh orang Melayu Malaysia. Apakah itu bermakna orang di sini menciplak budaya orang di sana?

Kalau ada sahabat serumpun yang membaca tulisan saya ini dan rasa tersinggung, saya rasa sedih tapi tak dapat nak meminta maaf kerana saya juga tersinggung bila mana negara tercinta ini dipanggil `negara maling’ semata-mata atas isu yang tak ada isu!

Untuk kemajuan dan pembangunan bersama, ada baiknya jika kita bersama-sama mengenepikan atau melupakan terus isu remeh-temeh yang hanya saling singgung-menyinggung dan nantinya membakar hati masing-masing. Bara yang telah padam, tak usahlah dinyalakan. Perkara yang tiada isu, tak usahlah dijadikan isu.

Perkataan serumpun itu usah hanya menjadi permainan di bibir tetapi sewajarnya ditanamkan seikhlas-ikhlasnya di hati.

Apa pun, jangan bimbang. Saya tak akan dera pembantu rumah saya hanya kerana isu yang tak ada isu :-)

Ini contoh pakaian tradisional wanita Minangkabau. Tetapi si jelita ini bukan saya...hahahaha!

Kaklong berpakaian gadis Minang ketika berusia 7 tahun. Gambar ini diambil di Istana Pagar Ruyung Bukit Tinggi Sumatera ketika kami sekeluarga bercuti di sana.