Thursday, June 26, 2008

Apabila wartawan boikot...

Apabila membaca cerita para wartawan dan media memboikot sidang akhbar di Parlimen termasuk yang dibuat oleh PM dan TPM kerana pihak berkuasa Parlimen mengehadkan pergerakan mereka di sana, saya bersetuju dengan mereka.

Orang media tidak boleh diperlakukan macam budak-budak kecil dan disekat pergerakan mereka sesuka hati hanya kerana ada pihak tertentu yang menganggap wartawan macam ‘duri dalam daging’. Wartawan pun ada maruah yang perlu dihormati. Bukannya dilayan taraf VIP dan digula-gulakan dengan kata-kata manis kalau perlu publisiti atau tulisan yang mulus-mulus tentang mereka (terutama masa musim pilihan raya dan pertandingan dalam parti), tapi dilayan macam kambing bila tiada sebarang kepentingan.

Saya dulu pernah juga terlibat memboikot sesuatu acara kalau dirasakan maruah wartawan tercemar. Tapi, kalau nak boikot ni, semua kena satu hati, barulah menjadi.

Yang paling saya ingat ialah ketika bersama-sama wartawan dari pelbagai akhbar dan majalah memboikot satu acara pelancaran oleh satu pertubuhan yang tersohor. Tak payahlah saya sebut nama pertubuhan itu atau apa acaranya. Perkara pun dah lama dulu. Cukuplah kalau saya sebut bahawa pertubuhan itu dinaungi oleh seorang VVIP. Majlis pelancaran dan makan malamnya juga dirasmikan oleh VVIP itu di sebuah hotel terkemuka di tengah-tengah Kuala Lumpur. Majlis malam itu memang dianggap penting bagi pertubuhan itu dan diadakan secara besar-besaran dan gilang gemilang. Wartawan yang datang ke majlis itu pun bukan main terjah sahaja tetapi diundang melalui organisasi masing-masing.

Saya yang ditugaskan membuat liputan majlis itu pergi terus dari pejabat selepas Maghrib. Sampai di ruang legar di luar Ballroom, saya nampak ramai kawan wartawan berkumpul. Ingatkan mereka memang sengaja tak nak masuk, tunggu VVIP datang baru nak masuk. Lepas mendaftar di meja pendaftaran media dan dapat satu beg kertas kecil berisi pelbagai brosur tentang pertubuhan itu dan program majlis, saya terus masuk mencari tempat untuk orang media.

Dalam Ballroom yang begitu besar, disediakan dua meja untuk media nun di belakang sekali, terpisah daripada meja-meja tetamu lain. Saya sudah mula rasa pelik sebab selalunya meja media akan di tempatkan di bahagian hadapan atau sekurang-kurangnya di sudut tepi sebelah tengah dewan supaya mudah nak membuat liputan. Kalau duduk di belakang, nak nampak apa.

Ada dua tiga orang media sudah sedia duduk di meja itu dan mereka sama-sama hairan. Kami perasan juga beberapa tetamu di meja lain yang menjeling-jeling melihat ke arah kami. Kemudian baru kami perasan bahawa meja yang dikhususkan untuk media tidak disiapkan seperti meja-meja tetamu lain. Maksudnya, meja media tiada hiasan bunga, susunan pinggan, gelas, cawan dan sudu garpu seperti di meja-meja lain. Atas meja kami kosong, cuma ada alas meja saja. Kira nasib baiklah tu, ada juga alas meja!

Saya lambai pelayan (waitress) yang berdiri tidak jauh daripada kami, bertanya mengapa meja kami kosong sahaja, tidak disusun atur macam meja tetamu lain. Sambil meminta maaf, dia jawab itu arahan penganjur majlis. Pihak hotel hanya mengikut sahaja.

Dalam kehairanan dengan jawapan pelayan itu, beberapa wartawan yang berada di luar Ballroom datang menghampiri kami. Salah seorang bertanya kami, “You all masih nak buat liputan majlis ni ke? Kami kat luar dah nak balik dah. Kami nak boikot! Cuba you tengok nota untuk media dalam beg tu!”

Dalam kehairanan saya terlupa nak lihat isi beg kertas yang diberikan penganjur. Rupa-rupanya, dalam beg itu ada diselitkan nota yang berbunyi lebih kurang, “Pihak media dijemput bersama-sama duduk dalam Ballroom sehingga selesai ucapan perasmian oleh VVIP. Apabila majlis makan malam bermula, pihak media dipersilakan ke sebuah restoran di seberang jalan di hadapan hotel untuk makan malam. Selepas makan malam selesai, pihak media dipersilakan semula ke Ballroom untuk mengikuti acara majlis seterusnya.”

Membaca nota itu, fahamlah saya mengapa rakan-rakan wartawan yang lain tak sudi nak masuk pun ke dalam Ballroom. Saya sendiri pun terasa mendidih darah selepas membaca nota itu. Terasa sangat dihina dan diperkecil-kecilkan. Macamlah kami ni sekawan kambing yang boleh dihambat ke sana-sini semata-mata untuk sesuap makanan. Dihambat melintas jalan yang sibuk untuk pergi makan, kemudian dihambat balik semula ke dewan hotel untuk buat liputan. Sekawan kambing yang tak layak nak makan bersama tetamu lain majlis itu.

Bukan kami yang minta diundang ke majlis itu dan bukan kami nak minta makan daripada mereka. Kami pun bukan mahu layanan kelas VIP, jauh sekali VVIP. Tetapi yang kami mahu ialah layanan sama rata macam tetamu lain. Bukan melayan kami macam sekawan kambing!

Saya pun tak tunggu lagi, terus angkat kaki bersama-sama yang lain meninggalkan majlis itu. Hanya tinggal seorang sahaja yang tidak mahu boikot, seorang wartawan daripada sebuah majalah berbahasa Inggeris. Katanya, dia takut editornya marah. Saya pula masa itu sudah nekad. Kalau editor nak marah pun, marahlah. Saya akan buat pekak sahaja. Tapi mujurlah editor saya cukup sporting dan bersetuju dengan tindakan saya itu.

Hasil boikot kami, tiada satu akhbar dan majalah pun, kecuali majalah berbahasa Inggeris yang wartawannya takut nak boikot itu, yang menyiarkan cerita pelancaran tersebut walaupun ia boleh dianggap cerita besar.

Itu antara kenangan masa jadi wartawan. Banyak lagi kenangan pahit, manis, masam dan kelat yang kadang-kadang seronok juga apabila diingat kembali. Apa pun, wartawan pun manusia biasa juga. Ada perasaan! Jadi, janganlah sesedap rasa nak buat mereka macam kambing!

Tuesday, June 17, 2008

Balik cepat, balik lambat

Pejabat saya memberikan kelonggaran pilihan masa kerja atau yang dipanggil flexi hour. Yang datang awal boleh pulang awal ikut flexi hour yang dipilihnya (tak boleh ditukar-tukar sesuka hati. Kena ada kelulusan boss).

Saya memilih flexi hour yang paling awal supaya saya boleh balik awal. Dengan itu, saya boleh ada banyak masa untuk anak-anak. Tapi, kadangkala tak boleh juga balik awal sebab ada banyak kerja yang perlu diselesaikan.

Selalunya, apabila tiba masa untuk saya pulang dan kerja semua sudah beres, saya tak tangguh-tangguh lagi, terus kemas beg dan angkat kaki. Pulang lebih awal begitu jalan pun masih belum terlalu sesak. Saya paling bengang kalau ada mesyuarat atau majlis yang perlu dihadiri pada sebelah petang kerana sudah tentulah saya tidak dapat balik ikut waktu flexi yang saya pilih!

Kadang-kadang ada kawan menegur bila tengok saya balik on the dot.

“I really have to go now. Another minute and my car will turn into a pumpkin!” selalunya saya berseloroh begitu, meniru dongeng Cinderella.

“And what will you turn into?” Tanya mereka.

“Probably a fish since I’m a Pisces. Unless some gallant knight can find my terompah kayu (bukan selipar kaca macam Cinderella) for me,” gurau saya lagi.

Kadang-kadang masa menunggu lift, terserempak dengan kakitangan di luar unit saya dan mereka akan tengok jam. Ada yang tegur, “Hai, cepat balik?”

“Memanglah!” jawab saya. “Awak tidur lagi saya dah sampai office tau!”

Mereka hanya ketawa.

Boss saya pernah juga slow talk dengan saya fasal pilihan saya untuk balik cepat. Katanya, dia faham mengapa saya memilih datang awal dan balik awal tetapi dia bimbang orang lain di luar unit kami yang tidak faham. Mungkin nanti mereka akan buat cerita yang saya bukan pekerja yang cekap kerana setiap hari balik awal.

Jawab saya, antara sebab saya sengaja beralih kerja daripada wartawan kepada suatu bidang kerja yang lebih bercorak `9 to 5’ adalah kerana saya mahu ada lebih masa untuk anak-anak dan tidak mahu bekerja tidak tentu masa macam dulu. Tapi, kalau kerja sekarang ini pun sama macam masa jadi wartawan, apa gunanya?

Bagi saya, cekap atau tidak bukan diukur berdasarkan berapa jam yang dihabiskan di pejabat tetapi berapa banyak kerja yang dapat diselesaikan. Kalau dah tak ada kerja tapi duduk melepak berborak-borak menghabiskan masa semata-mata, untuk apa duduk di pejabat sampai lewat petang atau malam?

Kalau perlu, saya pun balik lewat juga. Ada masa sehingga jam 11 malam masih di pejabat. Tapi kalau tak ada apa-apa keperluan, mengapa mesti bersidai di pejabat setiap hari hanya semata-mata untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa saya pekerja cekap?

Masa berputar, manusia berubah. Kalau masa jadi wartawan dulu, selagi bulan belum keluar, selagi itu tak jumpa jalan ke rumah. Kalau dah habis kerja pun, saja duduk melepak berborak dengan kawan. Tapi kini, keutamaan saya sudah lain.

Kadangkala kita boleh jadi keliru dengan nasihat dan seruan para pemimpin. Di satu sudut, kita dituntut bekerja keras untuk pembangunan diri dan negara. Kalau boleh, 24-7 disuruh abdikan kepada kerja. Tapi, di sudut lain, ibu bapa dikritik pula sebab terlalu sibuk di luar rumah sehingga mengabaikan anak-anak dan mengakibatkan gejala sosial. Jadi, nasihat mana satu yang nak diikut sekarang?

Teringat masa saya melawat Oman ketika jadi wartawan, atas jemputan Kerajaan Kesultanan Oman yang mahu wartawan asing menulis mengenai negaranya dalam usaha menarik pelancong asing ke Oman. Setiap wartawan diundang melawat Oman secara individu, bukan berkumpulan. Sepanjang seminggu di sana, saya dibawa ke sana sini termasuk ke kampung pedalaman di celah-celah gunung untuk melihat perusahaan kraf tangan yang diusahakan oleh wanita desa. Untuk ke kampung-kampung itu, saya menaiki kenderaan pacuan empat roda meredah jalan-jalan sempit di celah-celah gunung dan melalui tebing curam yang di bawahnya gaung dalam sedia menunggu, dengan hanya bertemankan beberapa pegawai lelaki Kementerian Penerangan Oman. Seram juga rasanya seorang diri dikelilingi lelaki-lelaki Arab berbadan besar dan bermuka serius.

“Kalau aku dir*g*l beramai-ramai dan dicampakkan ke dalam gaung, matilah aku. Tak siapa pun akan jumpa!” fikiran jahat terlintas dalam kepala saya ketika itu.

Kerana tak pernah ditemani pegawai wanita dalam atur cara lawatan saya, saya bertanya kepada mereka tentang perkara itu. Jawab mereka, “Don’t worry. We are your brothers. We’ll take care of you.”

Sebenarnya, bukan tak ada wanita yang bekerja di Oman tetapi masa kerja mereka lebih longgar dibandingkan lelaki. Mereka bekerja hanya sehingga jam 3 petang (kecuali kerja yang memerlukan masa yang lebih panjang seperti doktor dan jururawat).

“Kaum wanita kami bekerja juga. Tapi selepas 3 petang, mereka diperlukan keluarga di rumah,” jawab salah seorang pegawai lelaki itu apabila saya bertanya.

Tapi itu Oman pada awal atau pertengahan tahun 90-an dulu, Tak tahulah bagaimana keadaannya sekarang. Mungkin juga sudah berubah apabila semakin ramai wanita mengejar kerjaya. Kalau ada yang arif fasal keadaan wanita di Oman sekarang, mungkin boleh berkongsi di sini.

Jauh di sudut hati saya bersetuju. Saya rasa memang ideal jika wanita diberikan pilihan untuk bekerja dengan masa yang lebih pendek supaya ada lebih masa dengan anak-anak. Ia lebih ideal untuk ibu yang mempunyai anak kecil atau ibu tunggal yang terpaksa mendidik anak berseorangan. Apabila anak sudah besar, bolehlah wanita itu memilih untuk kembali bekerja ikut masa bekerja seperti orang lain.

Untuk itu, terpaksalah berkorban sedikit kalau gaji yang diterima tak sama dengan kakitangan lain yang memilih untuk bekerja dalam masa yang lebih panjang.

Saya tahu, pasti ramai yang tak setuju, terutama mereka yang memperjuangkan ‘hak’ wanita. Pelbagai persoalan akan ditimbulkan termasuk soal produktiviti kerja, senioriti, kenaikan pangkat, bonus dan sebagainya. Saya kata, kita kenalah atur ikut kesesuaian keadaan. Kalau sudah namanya peraturan buatan manusia, semuanya boleh diubah-ubah. Dan wanita yang memilih masa bekerja lebih pendek harus akur bahawa pilihannya itu adalah satu pengorbanan demi satu tanggungjawab yang amat besar.

Monday, June 16, 2008

Terima kasih Encik Polis

Semalam saya pergi jemput pak aji di KLIA (baru balik dari out station). Kereta berderet-deret menunggu sehingga ke luar bangunan KLIA. Semakin ramai yang tak mahu masuk ke tempat meletak kereta, nak jimat duit. Termasuklah saya.

Akhirnya dapatlah saya menyelit di antara deretan kereta berhampiran Pintu 7. Kereta berderet-deret menunggu sehingga double parking. Kebanyakan kereta ditunggu pemandu. Tetapi ada juga kereta yang diletakkan begitu saja tanpa pemandu. Tapi yang peliknya, polis-polis yang ada di situ buat tak tahu saja walaupun di tangan masing-masing ada `buku saman’. Tak ada satu kereta pun yang `diusik'.

Kalau dulu, mesti banyak yang dah kena saman terutama yang ditinggalkan tanpa pemandu. Kereta yang ada pemandu pula pasti sudah ‘dihalau’ pergi kerana tak boleh menunggu di situ. Hanya boleh mengambil orang yang dijemput sahaja. Dulu, pernah juga saya terpaksa berpusing dua tiga kali sementara nak menunggu pak aji keluar sebab takut disaman polis yang bersedia dengan muka bengis, buku saman dan pen di tangan. Kalau saya sampai terlalu awal, saya akan letak kereta di tempat meletak kereta walaupun terpaksa bayar. Malas dikejar-kejar polis.

Terfikir saya, mungkin pak polisi kini disuruh lebih berperi kemanusiaan dan bertolak ansur dalam keadaan serba gawat dengan kenaikan harga minyak sekarang. Tutup sajalah mata sebelah bila lihat kereta berderet-deret menunggu. Bukannya lama sangat pun. Sesak masa nak isi minyak dulu lebih teruk lagi daripada sesak di KLIA :-).

Kalau benar, baguslah dan terima kasih polis. Dalam masa yang serba sesak sekarang, perikemanusiaan dan timbang rasa memang amat diperlukan.

Terima kasih Encik Polis.

Wednesday, June 11, 2008

Apabila lelaki nak banyak isteri...

Penat dah baca cerita politik, cerita harga barang naik, cerita gaji tak naik dan macam-macam lagi yang naik dan tak naik. Tumpang murung bila baca cerita taufan melanda di Myanmar dan China. Kes bunuh pun semakin menjadi-jadi dalam negara. Nyawa manusia macam sudah tak ada harga.

Tapi, lupakan semua tu sejenak, mari hiburkan hati baca cerita permohonan dua lelaki di Terengganu untuk kahwin empat yang keluar di akhbar baru-baru ini. Satu ditangguhkan dulu keputusannya manakala satu lagi diluluskan. Ha…cerita macam ni memang menarik terutama bagi orang lelakilah!

Kes pertama, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu bulan lalu menangguhkan permohonan seorang lelaki berusia 57 tahun yang sudah ada tiga isteri, 18 anak berusia 4 hingga 34 tahun dan empat cucu, untuk kahwin kali keempat. Ini kerana hakim berpendapat, lelaki itu gagal menunjukkan bukti yang kukuh terhadap kemampuannya untuk kahwin empat kerana mempunyai pendapatan hanya RM1,500 sebulan sebagai pemandu lori selain sudah lanjut usia.

Walaupun kemudiannya lelaki itu mengaku pendapatan sebenarnya RM3,500 sebulan hasil kerja sampingan lain dan dua daripada tiga isterinya ada kebun getah dan kebun kelapa sawit, hakim masih tak puas hati dan minta dia kemukakan pula saksi-saksi lain untuk mengukuhkan keterangannya.

Dalam kes kedua pula, mahkamah dan hakim yang sama meluluskan permohonan untuk kahwin kali keempat kepada seorang broker tanah berusia 49 tahun, setelah puas hati terhadap kemampuan kewangan, faktor umurnya yang masih muda dan kemampuannya berlaku adil (mengikut keterangan seorang isterinya yang mewakili isteri-isteri yang lain). Broker tanah ini mempunyai 25 anak berusia empat hingga 25 tahun dan tiga cucu dan berpendapatan bulanan RM20,000.

Saya bukanlah nak ulas panjang lebar fasal orang nak berpoligami. Nanti saya dituduh menolak hukum Allah dan Sunah Nabi pula. Lagipun, sebagai orang Islam, kita memang kena akur bahawa lelaki dibolehkan mempunyai empat isteri sekali gus atas sebab-sebab tertentu. Kalau dikaji secara terperinci, poligami itu amat baik untuk membela nasib wanita dan anak-anak daripada teraniaya. Tetapi yang banyak dapat dilihat secara kasar sekarang, poligami itu pula menjadi punca penganiayaan terhadap wanita. Manusia kan memang pandai menukar hukum Tuhan!

Membaca cerita fasal lelaki nak cukupkan kuota isteri dan ada anak berbelas-belas dan berpuluh-puluh, perkara pertama yang saya fikirkan ialah nasib anak yang ramai itu. Adakah masa si bapa untuk memberi perhatian dan layanan terhadap setiap anak itu? Atau, adakah semua tugas dan tanggungjawab melayan, mengurus dan mendidik anak-anak itu diserahkan sepenuhnya kepada ibu masing-masing?

Kalau semua tugas itu diserahkan kepada isteri-isteri, memang mampulah berpoligami dan beranak ramai. Tapi, rasanya kalau si bapa nak memantau dan memberi perhatian secara personal kepada setiap anak, mahu ‘mati tegak’ dibuatnya.

Saya tertarik membaca kata-kata hakim dalam kes pertama bahawa bukan kemampuan kewangan sahaja yang perlu diambil kira apabila hendak berpoligami. Kemampuan di segi lain juga perlu diambil kira. Misalnya, kemampuan mendidik isteri dan anak-anak terutama memberi pendidikan agama.

Tapi, yang selalu dilihat sekarang ini, sebahagian lelaki yang nak berpoligami tak ada pun kemampuan mendidik. Malah, kemampuan kewangan pun kadang-kadang tak ada. Bak kata seorang kawan saya, “Yang kebanyakan dia orang tu mampu cuma di segi ‘Vitamin S’ saja. Yang lain tu ‘hampeh’!”.

Ha!ha!ha! dalam ‘hampeh’ tu pun, masih ramai perempuan yang mahu. Jadi, tak bolehlah disalahkan lelaki saja.

Tapi, sebenarnya kita patut tabik pada lelaki yang ada banyak isteri dan banyak anak ini. Mereka ini sudah tentu pakar dalam 'multi tasking' dalam suatu masa. Itu yang kita kena belajar.

Teringat pula saya pada seorang ustaz yang selalu beri ceramah di TV dan radio. Selalu dia menyebut yang dia tak berani nak berpoligami sebab dia takut tak mampu beri perhatian kepada dua rumahtangga sekaligus. Mungkin ustaz ini patut belajar bagaimana nak buat 'multi tasking'. :-)

Monday, June 09, 2008

Apabila harga minyak naik...

Hari Rabu minggu lepas memang hari kelam-kabut. Saya terpaksa balik lewat sedikit daripada biasa kerana ada kerja yang kena disiapkan. Hari hujan lebat. Dalam hati berkata-kata, bila nak balik nanti mesti jalan sesak teruk sebab, sudahlah hujan, orang pula pasti berebut-rebut nak mengisi minyak (awal lagi pak aji sudah SMS, untuk beritahu saya harga minyak akan naik selepas tengah malam nanti).

Memang betul pun, bila keluar pejabat, jalan sesak di sana-sini. Hujan lebat ditambah dengan orang beratur nak masuk ke stesen-stesen minyak. Mujur juga masa itu cuti sekolah, ramai pergi bercuti ke luar KL. Kalau tidak, mesti berganda-ganda lagi sesaknya. Agaknya, stesen minyak di negeri-negeri tempat orang banyak pergi bercuti itu pula jadi berganda-ganda sesak.

Selalunya saya memang tergolong kategori ‘pemalas’ nak bersesak-sesak begitu. Sebelum ini, setiap kali harga minyak naik, saya tak pernah berebut untuk ke stesen minyak. Tapi kali ini saya tiba-tiba jadi terlebih rajin, sama-sama mencelah-celah masuk untuk mengisi minyak. Alhamdulillah, saya tidak terpaksa beratur panjang. Cuma ada satu kereta saja di hadapan saya (Ha!ha! skill mencelah-celah masa zaman muda-muda dulu masih ada lagi rupanya!).

Malam itu, lepas solat Isyak, saya ajak kaklong pergi mengisi minyak keretanya pula (kaklong tengah cuti semester sekarang). Kebetulan saya pun ada urusan, jadi sambil suruh kaklong jadi pemandu saya, sambil ambil peluang isi minyak keretanya.

Dua stesen minyak yang kami lalu sudah digelapkan lampunya. Minyak dah habis, kata mereka. Kata kaklong, “Tak kan awal-awal lagi minyak dah habis? Entah-entah tipu tak?” Kata saya, “Tunggulah tengah malam nanti, adalah balik minyak tu. Tapi dengan harga barulah!”

Jalan di tempat lain di Shah Alam, lengang. Tapi, jalan menuju ke stesen-stesen minyak sesak. Akhirnya, lepas bersesak-sesak lebih setengah jam, dapatlah kami mengisi penuh tangki minyak kereta kaklong yang kebetulan sudah hampir kosong.

Sampai di rumah, pak aji telefon, tanya saya tengah buat apa (pak aji out-station). Saya jawab, “Baru balik dari jalan-jalan cari minyak!” Dia ketawa, “Rajin pula you ya!”

Sebenarnya, saya sendiri pun hairan, kenapa saya terlebih rajin sampai dua kali bersesak-sesak di stesen minyak. Satu perkara yang saya tak pernah buat pun sebelum ini.

Saya SMS adik, tanya sama ada dia dah isi minyak keretanya. Dia balas, “Malas nak q. Semua penuh. Tak kuasa.”

Malam itu, ada kawan forward SMS pada saya, “Makluman penting! Kepada sesiapa ahli, penyokong dan pemangkah BN! Sila dapatkan hadiah anda pada tepat jam 12 malam ini. Hadiah berupa kenaikan harga petrol 78 sen seliter. Jangan lepaskan peluang ini!”.

Saya balas, bergurau, “Orang pangkah Pakatan Rakyat dapat hadiah ladang babi besar-besaran kat Selangor. Huhu!”

Dia balas, “Dah isi minyak? Nampaknya nak kena ambik basikal kat kampung.”

Saya jawab, ”Dah. Tapi I kena training naik basikal balik. Dah lama tak naik”.

“Hai koyak rabaklah untuk minggu pertama training. Tapi, semangat2” balasnya.

Orang kata, “always think positive”, jadi kenalah berfikiran positif dalam keadaan yang serba kalut sekarang ini. Mungkin juga satu kebaikan daripada kenaikan harga minyak ini ialah orang semakin ramai berkongsi kereta. Sekurang-kurangnya, ada kawan di pejabat dah memulakannya hari ini (Isnin). Mungkin makin ramai yang simpan kereta di rumah dan guna motosikal atau basikal ke tempat kerja. Kuranglah sikit kesesakan jalan yang semakin melampau-lampau sekarang ni.

Tapi, orang macam saya yang tak berani naik motosikal, tak ada kawan sepejabat yang tinggal berdekatan untuk berkongsi kereta dan tak ada kenderaan awam berdekatan dengan rumah, terpaksalah memandu ke pejabat. Tak ada pilihan.

Di sana sini orang kutuk kerajaan dan Pak Lah fasal kenaikan harga minyak yang akan membawa kenaikan harga barangan lain pula. Sesetengah perkara itu saya setuju. Tapi, saya tak nampak pun si tukang kutuk itu bagi cadangan yang bernas dan membina untuk mengatasi masalah yang bukan kita saja hadapi sekarang ini tetapi dihadapi juga di peringkat global. Pada saya, kalau pandai kutuk, mesti pandai bagi idea untuk mengatasi masalah. (Agaknya sebab itulah budaya kerja di pejabat saya - boss tak nak dengar masalah saja, tapi nak dengar idea kita bagaimana hendak mengatasi masalah!). Setakat mengutuk, semua orang boleh buat. Kritik orang memang senang (bak kata Allahyarham emak saya, "Setakat menggerakkan bibir atas dan bawah saja") Bila kena buat sendiri, baru tahu susah senangnya.

(Tengok sajalah Pakatan Rakyat yang janji macam-macam di Selangor dalam manifesto PRU12. Bila dah pegang kuasa, baru tahu banyak janji itu sukar atau mustahil dapat dilaksanakan).

Hahaha! Jangan pula kata saya penyokong kuat BN dan UMNO. Saya rakyat biasa yang duduk atas pagar, yang melihat segala sesuatu daripada kaca mata rakyat marhein. Yang betul, tetap betul. Yang salah, tetap salah. Tak kiralah apa partinya pun.

Sesiapa yang ada idea bernas untuk turunkan harga minyak dan harga barangan, marilah berkongsi idea tu untuk kebaikan bersama. Setakat kutuk saja, tak mengatasi masalah.