Friday, December 19, 2008

Bukan calon popular?

Saya tergelak sorang bila baca satu berita di akhbar New Straits Times (NST) hari ini fasal satu kaji selidik oleh satu syarikat konsultan yang mendapati bahawa wartawan bukan calon popular dalam mencari pasangan hidup. Dapatan itu hasil soal selidik ke atas 1,000 orang lelaki/perempuan berusia 15 hingga 64 tahun.

Berita itu tidak pula menyatakan mengapa wartawan dan mereka yang berada dalam bidang pengiklanan, perhubungan awam dan pemasaran menjadi calon pilihan terakhir pasangan hidup. Tetapi andaian saya, mungkin kerana dua sebab. Pertama, gaji wartawan tidaklah setinggi mana, dan kedua, kehidupan wartawan dan mereka yang dalam bidang yang disebutkan itu sentiasa sibuk dan lebih banyak mengutamakan kerjaya daripada keluarga.

Saya dulu wartawan dan kahwin pula dengan wartawan juga (tapi kini kami sama-sama memilih jadi wartawan ‘pencen’). Mungkin secara kebetulan, kami hanya ada seorang anak masa jadi wartawan. Selepas berhenti jadi wartawan, baru kami dapat anak kedua dan ketiga. Saya selalu berseloroh dengan kawan-kawan lama (yang terkejut apabila mengetahui saya kini ada dua anak kecil), dunia kewartawanan menjadikan saya mengalami ‘kemandulan sekunder’ (sukar dapat anak lagi selepas mendapat anak pertama).

Bagi saya, dalam perkahwinan ini, tak kiralah siapa pun pasangan kita, sama ada wartawan, ahli perniagaan, cikgu, ahli politik atau kerani, sikap toleransi, bertimbang rasa, sabar, jujur, bertanggungjawab, memahami dan menghormati perlu ada. Kalau salah satu itu tiada, memang payah hendak mencapai persefahaman.

Apa pun, saya dan pak aji baru saja meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-23 dalam bulan Disember ini.

Happy 23rd Anniversary Dear! Let’s pray that we will grow old together and be happy for many more years to come. And let’s pray that only death will keep us apart. Amin.

Thursday, November 27, 2008

Topi untuk emak

Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan konvokesyennya yang ke-69 baru-baru ini dan adik saya antara penerima ijazah. Saya ambil cuti dan bersama-sama kak long (anak sulung saya) menemani adik pada hari bersejarahnya itu. Pada saya, hari itu amat bersejarah kerana adik bukan sekadar menerima ijazah setelah empat tahun bertungkus lumus belajar sambil bekerja, tetapi menerima ijazah sarjana muda kelas pertama dan juga Anugerah Naib Canselor kerana kecemerlangannya mendapat Sijil Dekan pada setiap semester.

Tak dapat saya gambarkan betapa bangga dan sayunya hati saya melihat adik melangkah ke pentas untuk menerima ijazahnya dengan memakai selempang Anugerah Naib Canselor. Dalam diam-diam, air mata saya mengalir. Saat itu saya teringat emak dan abah. Kalau mereka ada, pasti mereka berbangga dengan kejayaan adik. Saya rasa ketika itu diri saya berada dalam dewan itu seolah-olah sebagai wakil emak dan abah yang sudah tidak dapat bersama-sama meraikan kejayaan adik.

Walaupun saya menangis diam-diam dan berusaha menyembunyikannya, rupa-rupanya kak long di sebelah tahu saya menangis. Ketika itu dia diam saja. Di luar dewan, dia kata pada saya, “Mum, are you going to cry at everyone’s convocation? If you are, don’t come to my graduation then,” selorohnya.

Ya, saya yang ketika kanak-kanak, remaja dan muda belia dulu susah sekali nak mengeluarkan air mata walau sakit atau sedih macam mana pun, kini sudah bertukar menjadi orang tua cengeng. Kecengengan yang didorong oleh pengalaman dan kenangan-kenangan lama.

Saya peluk adik erat-erat, cium pipinya dan menangis sambil mengucapkan tahniah kepadanya. Tak peduli orang ramai termasuk kawan-kawan adik yang melihat kami. Adik juga menangis sambil berbisik ke telinga saya, “Thank you for everything!”

Ketika itu saya teringat, kematian emak ketika dia baru sahaja lulus di peringkat diploma dulu benar-benar mematahkan semangat adik. Emak tiba-tiba sakit (kanser pankreas sudah di peringkat teruk) masa adik baru sahaja selesai konvokesyen dan belum sempat memohon untuk melanjutkan pelajaran. Memang jelas apa yang diaturkan Allah itu pasti ada sebabnya. Adiklah yang banyak menjaga emak ketika sakit termasuk masa emak duduk di hospital, berbanding saya dan kakak yang masing-masing sudah berkeluarga. Saya pula ketika itu, selain ada anak kecil, melanjutkan pelajaran juga secara luar kampus. Siang bekerja, malam ke kelas. Adik juga yang banyak tolong menjaga anak kecil saya ketika itu.

Selepas emak meninggal, adik tawar hati untuk sambung belajar walaupun saya sering memujuknya. “Nak buat apa? Orang malaslah nak belajar lagi. Lagipun, bukannya emak ada nak tengok orang ambil ijazah nanti!” begitu bentaknya bila saya suruh dia sambung belajar. Selepas itu adik bekerja di beberapa tempat hinggalah akhirnya jadi wartawan juga macam saya (ketika itu). Sehingga kini adik masih lagi wartawan.

Saya pula masih tidak putus asa. Sesekali, walaupun saya tahu dia akan marah, saya cuba juga menyuruh dia sambung belajar. Tetapi jawapan yang diberikannya tetap sama.

Agaknya ibarat air menghakis batu, hati adik lama-lama lembut juga. Empat tahun lalu akhirnya terbuka juga hati adik untuk sambung belajar. Mungkin juga dia ada perancangan baru dalam kerjayanya dan melihat bahawa sekeping ijazah itu sahaja jalan untuk mencapai cita-citanya.

Saya memang berbangga kerana adik mencapai kejayaan yang cemerlang walaupun bukan pada usia muda remaja. Dalam kursus yang diambilnya, hanya tiga orang mendapat ijazah kelas pertama dan Anugerah Naib Canselor. Daripada tiga orang itu, dua adalah pelajar luar kampus termasuk adik.

Daripada pengalaman saya sendiri, bukan mudah untuk belajar sambil bekerja, apalagi kalau sudah berkeluarga. Pelajar sepenuh masa hanya perlu menumpukan masa kepada pelajaran dan aktiviti kampus saja. Pelajar luar kampus pula ada komitmen yang besar terhadap kerja. Siang bekerja, malam ke kelas setiap hari. Bos di pejabat tak mahu tahu masalah kita sebagai pelajar yang kena menyiapkan assignment, tesis atau sedang menghadapi peperiksaan. Yang dia tahu, kerja mesti dibereskan dengan baik. Kadang-kadang, mesyuarat sengaja diadakan sebelah petang sedangkan dia tahu kita perlu bergegas ke kelas. Saya ketika belajar dulu memang selalu macam cacing kepanasan kalau bos buat mesyuarat petang atau diberikan tugasan petang atau malam. Sudahlah ketika itu saya tak ada kereta, kena naik bas dan meredah kesesakan jalan dari KL ke ITM di Shah Alam. Memang cukup mendera mental dan fizikal. Cuti tahunan memang habis untuk musim peperiksaan dan untuk siapkan tugasan. Masa itu tak ada langsung istilah rehat.

Kalau kurang cekal, memang sukar nak menamatkan kursus. Sebab itu, biasanya kelas luar kampus yang penuh pada mulanya, selalunya akan tinggal separuh atau kurang daripada itu pada penghujung kursus.

Sekarang ini adik sedang menyambung pelajarannya di peringkat sarjana pula. Juga masih secara luar kampus. Saya rasa dia lebih gigih daripada saya kerana saya sendiri dulu berhenti kerja dan buat ijazah sarjana secara sepenuh masa.

Adik pernah juga mengadu dia rasa lemah semangat bila dimarahi kakak (kami ada seorang kakak) kerana masih nak sambung belajar. “Apa lagi yang tak habis-habis nak belajar? Umur pun dah lanjut. Bukan budak remaja lagi!” kata kakak.

Tetapi saya tetap memberikan semangat suruh dia sambung belajar hatta ke peringkat PhD sekalipun kalau dia rasa mampu nak belajar. “Menimba ilmu ni tak pernah merugikan walau di peringkat mana pun umur kita. Yang rugi ialah orang yang tak nak belajar. Ada orang masih nak belajar walaupun dah pencen dan dah bercucu. Kalau nak ikutkan, apa lagi yang dia orang tu nak cari? Dah tua pun. But you are still young!” kata saya.

Saya tahu adik sedih dan terkilan kerana emak dan abah tak sempat menyaksikan dia menerima ijazah. Tetapi saya pun dulu emak tak sempat melihat ketika saya menerima kedua-dua ijazah pertama dan ijazah sarjana. Sudah begitu ketentuan Tuhan, apalah daya kita untuk mengubahnya.

Tetapi hati saya puas kerana saya dan adik sama-sama dapat menunaikan hajat emak. Ketika hayatnya emak selalu menyebut, “Emak nak sangat ada antara anak-anak emak yang pakai ‘topi empat persegi’ (topi graduan) tu satu hari nanti.”

Kata-kata emak itu juga menjadi antara pencetus azam saya untuk sambung belajar dulu dan memujuk adik untuk sambung belajar. Kalau orang lain belajar untuk mengejar segulung ijazah, saya pula lebih daripada itu. Selain ijazah, saya belajar dengan azam untuk melayakkan diri memakai ‘topi hitam empat persegi’.

Kami sudah memakai topi itu mak. Kami memakainya kerana emak dan untuk emak! Dan kami akan sentiasa mendoakan semoga emak dan abah berbahagia ‘di sana’. Amin.

Wednesday, November 19, 2008

nombor apa ni?

Sudah beberapa kali saya menerima panggilan yang nombornya tak ada tapi tertera perkataan 'Private Number'. Dan saya seperti biasa tidak akan melayan panggilan daripada nombor-nombor yang sebegini. Biarlah telefon 'melalak' dengan panggilan begini 10 kali sehari pun, saya tak akan angkat.

Bagi saya, orang yang guna 'private number' itu tidak jujur. Dia tahu nombor saya tetapi saya tak boleh tahu nombor dia. Nak telefon dia semula pun tak boleh. Pada saya, sesiapa yang nak berurusan dengan saya, nombornya mesti tertera pada telefon saya. Itu baru adil. Kalau tidak, bak kata budak-budak sekarang, "kirim salam"lah saya nak sambut panggilan mereka.

Adik saya pernah sambut panggilan dari 'private number' ini sekadar nak tahu siapa yang menelefonnya. Yang memanggil biasanya nak jual sesuatu, termasuklah dari institusi kewangan atau perniagaan MLM.

Kawan saya Yah (ceritanya pernah saya tulis dulu) pula, menerima panggilan maki hamun dan dicarut bila dia sambut panggilan dari 'private number'. "Nak buat macam mana, mestilah menghadapinya kalau dah kawan dengan suami orang," kata Yah dalam ketawa. Saya hanya tumpang senyum sumbing.

Monday, October 06, 2008

Beraya dengan kawan lama

Hari Isnin, 6 Ramadhan. Saya dan pak aji kembali bekerja selepas cuti seminggu. Kak long kembali ke kampus. Cuma anak yang dua lagi masih cuti sehari lagi dan akan ke sekolah semula esok. Tak tahulah kenapa sekolahnya beri cuti terlebih sehari.

Raya saya macam biasalah. Raya orang kota, tentu tak semeriah raya orang kampung yang ramai saudara mara. Tapi, raya kali ini saya berkesempatan bertemu seorang kawan lama masa di tingkatan enam dulu. Kami pernah berkawan rapat walaupun masing-masing sudah bersuami. Dengan suami dan anak masing-masing, (anak hanya seorang masa tu) kami pernah buat kerja gila-gila merentas dari selatan ke pantai timur, dan buat rancangan spontan jam 3 pagi untuk bercuti di Port Dickson. Tahun terakhir kami berjumpa, memang terlalu banyak masa dihabiskan bercuti bersama hinggakan kami pernah menyebut, “Eh, kita ni banyak sangat bercuti bersama macam esok-esok nanti tak kan berjumpa lagi!”

Bak kata orang tua-tua, memang ‘masin’ mulut kami. Selepas itu rumah tangganya mula bermasalah dan dia menjauhkan diri daripada saya walaupun saya sentiasa berusaha untuk meyakinkan dia bahawa tiada apa yang berubah di antara kami. Katanya, “aku sudah lain sekarang”. Sejak itu kami terputus hubungan. Tapi, tahun ini dia mencari saya semula.

Bayangkanlah pertemuan kami selepas sekian lama, sejak anak masing-masing masih bersekolah rendah sehingga mereka kini di institusi pengajian tinggi. Sedih ada, suka pun ada. Dan saya tumpang gembira kerana dia sudah bertemu pengganti yang lebih baik daripada bekas suaminya dulu. Tapi, bila melihat orang lain di sampingnya sekarang, saya rasa sayu juga dalam hati. Teringat bagaimana kami dulu bersama bekas suaminya banyak menghabiskan masa bersama. Tapi, siapalah kita untuk menolak ketentuan Allah.

Tak tahulah mengapa, raya kali ini saya banyak mendengar khabar tentang kawan-kawan lama. Ada yang hendak mengahwinkan anak. Ada yang baru pulih daripada barah. Ada yang sudah bercucu. Ada yang sudah ambil persaraan pilihan.

Barangkali ini petanda yang saya perlu keluar daripada ‘kepompong’ dunia saya yang hampir keseluruhannya sejak akhir-akhir ini dihabiskan untuk anak-anak, keluarga dan kerja saja sampaikan ada kawan `menuduh’ saya ‘anti-sosial’ sebab payah sangat hendak diajak ke mana-mana. Alasan saya selalunya, susah nak tinggalkan anak-anak.

Mungkin juga sesekali saya perlu jenguk balik jejak-jejak yang pernah ditinggalkan.

Friday, September 26, 2008

Duka Ramadhan, seronok raya

Semalam kakak saya kemalangan motosikal masa balik dari pasar dengan suaminya. Bukan berlanggar dengan kenderaan lain tapi terlanggar lubang di tepi jalan. Suaminya tak ada apa-apa tapi kakak retak tulang tapak kaki dan kakinya kena simen. Dia kena duduk wad, tak tahulah berapa hari. Kata doktor, nanti kakak kena gunakan tongkat, mungkin selama tiga atau empat bulan.

Inilah yang selalu dikatakan orang, ‘malang tak berbau’. Beberapa hari lagi nak hari raya, kena duduk hospital pula. Tak tahulah pula sama ada dia terpaksa beraya di hospital tahun ini. Nasib baiklah anaknya hanya seorang (sebaya dengan anak sulung saya, kak long) dan sudah bekerja. Tidaklah teruk sangat nak buat persiapan juadah raya.

Kata kakak, mungkin juga dia kena begitu sebab Allah nak kafarahkan dosanya. Dia ambil cuti 10 hari terakhir Ramadhan untuk ‘pulun’ buat ibadah. Malam Qiamullail, siang pula nak habiskan baca al-Quran. Masa nak bercuti, kawan-kawan sepejabat sibuk bertanya kenapa nak cuti lama sangat. Tak kan nak bohong, kata kakak. Dia pun beritahu sebab sebenar nak bercuti lama.

“Mungkin sebanyak sedikit ada rasa riak masa beritahu orang yang angah nak cuti sebab nak beribadah. Sikap riak memang Allah tak suka. Sekarang ni, nak bangun pun tak boleh, nak ke bilik air pun kena duduk atas kerusi roda, kena minta tolong orang bawa. Tarawih entah ke mana, Qiamullail entah ke mana. Nak ambil wuduk pun tak boleh,” kata kakak.

“Tak apalah,”kata saya. “Masih boleh solat lagi. Solat duduk. Nanti kena cari debu nak buat tayamum.”

Begitulah kita manusia ini. Kita boleh buat macam-macam perancangan. Tapi perancangan Allah juga yang pasti berlaku.

Hari ini di pejabat saya merupakan hari terakhir bekerja bagi kebanyakan kakitangan beragama Islam sebelum bercuti panjang hari raya. Inbox saya sekejap-sekejap disinggahi mesej hari raya. Kadang-kadang tak kenal pun siapa pengirimnya. Agaknya seronok sangat nak bercuti raya sampaikan ucapan selamat hari raya dihantar pada semua orang tak kira kenal atau tidak.

Membaca mesej-mesej hari raya yang penuh ceria menggambarkan keseronokan pengirimnya hendak pulang ke kampung berhari raya bersama ibu bapa dan sanak saudara, hati saya tiba-tiba terasa amat sayu. Teringat abah, emak, adik beradik saya, anak-anak, suami, dunia kanak-kanak dan remaja yang telah lama ditinggalkan, dunia yang sedang diharungi kini dan dunia yang bakal diharungi.

Dalam masa begini saya juga selalu teringatkan jasad abah yang berada nun jauh di Jeddah, Arab Saudi. Teringat bagaimana abah ‘menghilang’ tiba-tiba sahaja daripada mata kami. Semoga roh abah dan emak dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Amin.

Lebih sayu lagi apabila teringatkan Ramadhan yang datang senyap-senyap dalam kehidupan kita, singgah selama 30 hari dan secara senyap-senyap juga pergi lagi. Apakah saya akan bertemu lagi Ramadhan tahun hadapan?

Hanya Allah yang tahu.

Friday, September 19, 2008

Tazkirah politik dan Qiam Ramadhan

Saya pernah cerita di sini fasal Surau Ar-Rahmah di Seksyen 8 Shah Alam yang diperintahkan oleh Sultan Selangor supaya ditutup pada awal Ramadhan tahun lalu kerana pertelingkahan ahli jawatankuasa yang berlainan fahaman politik sampai ke tahap solat jemaah dua imam.

Lepas Pilihan Raya Umum ke-12 Mac lalu, surau ini dibuka semula. Alhamdulillah. Bersemaraklah semula surau ini dengan pelbagai aktiviti. Selain ke Masjid Negeri Shah Alam, sesekali kami sekeluarga ke Surau Ar-Rahmah untuk bertarawih. Suatu ketika dulu, kami pernah tinggal di Seksyen 8 dan menjadi anak kariah surau ini. Sekarang, walaupun sudah berpindah, surau ini masih dekat di hati.

Berbeza dengan dulu yang ahli jawatankuasanya berfahaman ‘majmuk’ (tak semua dari satu parti politik), surau itu kini dikuasai oleh ‘orang bulan’ saja. Orang keris dah kena ‘nyah’. Maklumlah, kepala negeri sekarang ini kan orang ‘cop mata lebam’!.

Malam Nuzul Al-Quran saya memilih untuk bertarawih di surau ini. Pergi seorang diri saja sebab pak aji menghadiri undangan majlis berbuka puasa. Kakngah dan abang pula batuk dan selesema dan saya suruh mereka berehat saja di rumah dengan pembantu. Kaklong pula baru sempat dua kali pulang berbuka di rumah dan bertarawih bersama sepanjang Ramadhan.

“Malam ini abang dan kakak cuti tarawih,” kata saya.

Abang merungut, “Tak bestlah tak pergi tarawih....!”. `Tak best’ bukan sebab dia nak bersolat tarawih sangat sebenarnya. Tapi dia seronok beratur ambil moreh selepas solat (di Masjid Negeri) dan duduk makan di tepi dinding masjid. Setiap malam begitu. Letih kami menunggu si abang menikmati morehnya.

Kalau bawa anak-anak bersama, selalunya saya hanya buat tarawih lapan rakaat saja. Witir saya buat di rumah. Kalau sampai 20 rakaat, campur pula dengan witir, mereka jadi resah dan mulalah tak boleh duduk diam.

Malam itu saya ke surau Ar-Rahmah dengan hajat nak buat 20 rakaat tarawih kerana anak-anak tidak dibawa bersama. Tetapi sebelum solat, jawatankuasa surau mengumumkan bahawa pada malam itu mereka nak berikan ‘bonus’ pada jemaah. Buat lapan rakaat sahaja tapi akan diselangi oleh tazkirah. Tak apalah, fikir saya sendirian. Tazkirah diselangi solat tarawih ikut cara Rasulullah s.a.w. Bagus juga tu.

Macam yang dijanjikan, selepas empat rakaat, bermulalah tazkirah. Nama pemberi tazkirah ada diumumkan tapi saya tak ingat siapa.

Pada awalnya baguslah juga tazkirah yang diberikannya itu. Antara yang disentuh, fasal perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dahulu yang meletakkan Islam di tempat yang begitu tinggi dan terhormat suatu ketika dahulu. Sentuh juga fasal kelemahan umat Islam masa kini. Tapi, lama kelamaan, tazkirah sudah bertukar macam kempen politiklah pula. Cerita-cerita berkempen masa pilihan raya dan kebatilan `pihak satu lagi’ turut disentuh.

Saya tak tahu bagaimana keadaannya di kalangan jemaah lelaki. Tetapi kami jemaah perempuan mula saling berpandangan. Ramai yang naik resah mendengar ‘tazkirah’ panjang berjela. Saya perhatikan, lama kelamaan tak ada siapa lagi yang mendengar tazkirah tapi berbual-bual sesama sendiri atau memanggung kepala sambil melelapkan mata, letih! Ada jemaah lelaki yang menjenguk ke tempat kami, mencari isterinya untuk mengajak balik!

Jemaah di sebelah saya berbisik, “Dulu, masa ada seorang wakil rakyat wanita datang tarawih di surau ini, awak ada tak?”. Saya menggeleng. Mungkin masa itu saya ke Masjid Negeri.

“Itulah. Kami semua terkejut. Masa tazkirah, dia terus ke depan sekali, duduk bersama-sama jemaah lelaki. Lepas itu dia pula bangun bercakap. Sebut fasal pengalamannya berkempen. Sebut pula fasal dia banyak guna duit dia sendiri untuk buat itu ini. Sebut fasal kerjanya sebagai wakil rakyat. Kalau ya pun nak berkempen, tak kena tempat dan tak kena masa. Orang nak bertarawih. Bukan nak dengar cerita lain. Dia orang ni gemar mengata orang lain tak betul, tapi dia orang sendiri tak tunjuk contoh yang betul pun! Dalam surau pun tak ikut adab yang betul,” rungut kawan di sebelah saya itu.

Saya pun merungut juga. Tapi lebih banyak merungut dalam hati. Selangor cuti hari Nuzul al-Quran, bolehlah bertazkirah panjang-panjang. Saya pula kerja di KL. KL tak cuti! Terfikir juga nak balik saja. Tapi rasa tak tergamak pula. Solat tarawih baru sempat buat empat rakaat. Kalau balik, kena sambung buat di rumah pula. Tapi hati memang terasa jengkel. Kalau bertazkirah ‘solid’ fasal agama tak apalah juga. Saya sanggup dengar walaupun tiga jam. Ini diselitkan cerita kempen politik. Jelas untuk memancing sesuatu bagi pihak tertentu.

malam itu, hampir jam 11 malam baru saya tiba di rumah yang jauhnya hanya lima minit perjalanan selepas solat tarawih lapan rakaat, solat witir tiga rakaat dan mendengar `tazkirah’ politik yang kebanyakan kami tak dengar pun hujung pangkalnya!

Malam esoknya, saya ke Masjid Negeri saja, memilih untuk berada di satu ‘jajahan’ yang masih neutral (sekurang-kurang ketika solat jemaah). Tak larat lagi nak dengar tazkirah politik. Dapatlah buat solat jemaah tarawih 20 rakaat dan witir tiga rakaat, yang selesai kira-kira jam 10 malam.

Ahli jawatankuasa masjid/surau sepatutnya lebih peka. Bukan semua orang ke masjid, terutama pada bulan Ramadhan yang mulia ini, suka atau mahu mendengar cerita politik tak kiralah politik ‘pihak sana’ atau ‘pihak sini’. Malah, sebenarnya kebanyakan kita sudah semakin muak mendengarnya. Biarlah Ramadhan dipenuhi dengan ibadah semata-mata. Politik yang semakin dikotori oleh mereka yang gila kuasa, sama ada ‘orang sana’ atau ‘orang sini’, tidak layak lagi dianggap sebagai satu ibadah.

Hari ini hari ke-19 berpuasa. Esok bermulanya pencarian keberkatan dalam 10 hari terakhir Ramadhan yang semakin pantas meninggalkan kita. Tahun depan belum tentu kita masih berkesempatan menemui dan menghayati Ramadhan.

Oleh itu, tinggalkan politik kotor di tangga masjid, bergelimpangan bersama-sama kasut dan selipar kotor. Dalam 10 hari yang amat penting ini, mari kita sama-sama mencari Lailatul Qadar.

Friday, September 05, 2008

Pak Samad pulang


Selepas berbuka dan sebelum solat Maghrib semalam, saya terima SMS daripada seseorang tentang berita Tan Sri A Samad Ismail yang meninggal dunia kira-kira jam 5.58 petang itu.

Innalillahi wainnailaihi rajiun.

Di tengah-tengah negara bergolak dengan idealisme yang tidak ketahuan tentang kemerdekaan, semangat kebangsaan, perbezaan fahaman politik, dan 1,000 kecelaruan tentang apa yang benar dan apa yang salah, seorang yang benar-benar terlibat dalam memperjuangkan kemerdekaan negara lebih 51 tahun lalu pergi menemui Tuhannya.

Tan Sri Samad lebih mesra dipanggil “Pak Samad’ sahaja oleh mereka yang mengenalinya, terutama kaum wartawan. Walaupun saya masuk kategori terlalu ‘junior’ dalam alam kewartawanan dan tidak pernah berpeluang bekerja di bawahnya, banyak cerita-cerita tentang kewibawaannya sebagai wartawan yang saya dengar daripada orang lain yang lebih senior.

Agak terkilan juga rasanya kerana Pak Samad sedang sakit tenat ketika ada orang sibuk-sibuk mahu mengubah tarikh sambutan kemerdekaan negara daripada 31 Ogos yang telah disambut sejak 51 tahun lalu kepada 16 September (tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia). Kalau dia sihat, saya rasa patut ada wartawan yang pergi menemu ramah Pak Samad, bertanya pendapatnya tentang itu kerana beliau antara mereka yang menjadi anggota delegasi ke Britain pada tahun 1956 untuk rundingan kemerdekaan.

Sedih memikirkan ada golongan yang sesedap rasa mahu mengubah sejarah negara untuk kepentingan diri sendiri tanpa menghargai jerih payah orang dulu macam Pak Samad yang berhempas pulas memperjuangkan kebebasan negara daripada penjajah.

Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh Pak Samad dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Amin.

Dan semoga Allah selamat negaraku, bangsaku dan agamaku daripada dizalimi musuh-musuh Islam yang nyata dan yang tersembunyi termasuk musuh yang munafik dan fasiq. Amin.