Friday, September 29, 2006

Marhaban ya Ramadhan 5

Malam Lailatul Qadar

Walaupun malam Lailatul Qadar tidak dapat ditentukan secara jelas, menurut sebuah buku panduan umrah yang saya baca, biasanya malam 27 Ramadhan dianggap sebagai malam yang ditunggu-tunggu itu. Pada malam ini, imam membaca surah-surah dengan nada sedih dan berdoa sehingga menangis.

Suatu pengalaman yang sukar dilupakan pada suatu malam 27 Ramadhan di Masjidil Haram, saya pernah berdiri tersangat lama sehingga kaki rasa sudah tak larat nak menampung badan dan terpaksa duduk untuk mengelakkan pitam. Walaupun duduk, lutut pula lenguh menanti Imam Sheikh Abdul Rahman al-Sudaisy menghabiskan bacaannya dalam nada sedih dan tersedu sedan. Para jemaah Arab di sekeliling saya juga turut menangis. Walaupun tak faham apa yang dibaca, saya turut rasa sebak kerana suasana yang begitu syahdu dan menimbulkan satu macam perasaan kerdil di hati mengenangkan kehebatan Allah s.w.t.

Di tengah-tengah suara lantang bacaan imam, angin bertiup kencang hingga telekung dan pakaian jemaah wanita seolah-olah berterbangan. Suasana itu tidak penah berlaku pada malam-malam sebelumnya. Sukar menggambarkan perasaan ketika itu. Terasa amat kerdil dan terlalu banyak dosa kepada Allah.

Esoknya, pak aji mengajak saya naik ke bumbung hotel untuk melihat suasana alam. Walaupun kebiasaan ketika itu matahari sudah mula bersinar garang, pagi itu matahari bersinar lembut dan suasana seolah-olah sedikit berkabus. Amat lain dirasakan berbanding pada hari-hari yang lain. Itulah satu-satunya pengalaman yang saya tak boleh lupa dan tak bertemu lagi setakat ini.

Berhari Raya di Makkah

Malam hari raya di tanah suci, masjid tetap penuh sesak, sama seperti sepanjang Ramadhan. Orang bertawaf dan bersaie pun ramai. Tetapi, nampaklah sedikit perbezaan kerana kumpulan “merpati putih” (ini gelaran peribadi saya sendiri pada orang Asia Tenggara macam kita yang ke masjid dalam telekung putih) sudah banyak meninggalkan kota Makkah. Yang tinggal dan meramaikan masjid ialah “gagak hitam” (warga Arab Saudi sendiri di samping mereka dari tanah Arab yang lain, yang lebih gemar mengenakan pakaian serba hitam termasuk purdah dan jilbab).

Sama macam malam-malam lain juga sepanjang Ramadhan, ramai yang membawa kanak-kanak dan bayi ke masjid. Ada yang tengah lasak, ada yang bertatih, ada yang merangkak dan ada yang masih terkapai-kapai sahaja di perbaringan. Apabila solat jemaah bermula, suara imam diiringi oleh suara jemaah yang terbatuk-batuk bersahut-sahutan dengan suara tangisan kanak-kanak yang ibunya tengah bersolat. Sesetengahnya pula merangkak-rangkak di celah-celah jemaah yang sedang bersolat.

Kebanyakan kita di Malaysia cukup jengkel bila ada orang yang membawa kanak-kanak ke masjid - bising dan mengacau sahaja hingga tak dapat khusyuk, kata mereka. Tetapi budaya Arab, anak-anak mereka dikenalkan, dibiasakan dan dibawa berjinak-jinak dengan masjid sejak masih merah lagi. Kalau di Malaysia, ada masjid yang meletakkan amaran, “kanak-kanak di bawah umur 7 (atau 5) tahun di larang masuk ke masjid atau ke ruang solat”, di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang merupakan dua antara tiga masjid paling suci dan penuh barakah itu, tiada sebarang larangan demikian. Pengawal di pintu masjid pun tak kata apa-apa bila ada yang masuk ke masjid bersama bayi dan anak-anak kecil mereka.

Selepas solat maghrib, takbir hari raya mula berkumandang. Tetapi takbirnya lebih ringkas dan tidaklah mendayu-dayu seperti di tempat kita. Masa tu, terasa rindu juga nak mendengar takbir macam yang sudah biasa didengar sejak kecil.

Solat hari raya dilakukan kira-kira 10 minit selepas waktu syuruk. Bukan jam 8 pagi macam di Malaysia.

Pengalaman lucu kali pertama berhari raya di Makkah, lepas solat Subuh kami terus pulang ke hotel dan kembali semula ke masjid hampir jam 8 untuk solat hari raya. Tapi peliknya, masjid agak lengang, tidak sesak seperti yang sepatutnya. Lama menunggu, kemudian barulah diketahui bahawa solat hari raya sudah pun lama selesai! Tak ada siapa yang memberitahu kami sebelum tu dan kami pun tak teringat nak bertanya. Rugilah solat hari raya untuk tahun tu. Lebih rugi lagi sebab kami berada di tanah suci! Tapi, tahun itu memang kami tidak merancang untuk berhari raya di tanah suci. Sepatutnya sudah pulang sehari sebelum hari raya tetapi terkandas dua hari kerana masalah penerbangan pulang.

Kali kedua, sudah cerdik sedikit dan lebih bersedia kerana sejak awal memang merancang untuk beraya di Makkah. Pergi solat Subuh siap-siap dengan “baju raya”. Rupa-rupanya, kebanyakan warga Makkah juga berpakaian baru/raya ketika ke masjid untuk solat Subuh. Anak-anak mereka juga turut diangkut ke masjid dengan berpakaian baru/cantik. Lepas solat, penduduk tempatan berdedai pulang ke rumah masing-masing sementara kami pula pulang ke hotel untuk sarapan raya. Adalah juga nasi impit dan rendang serta kuah kacang. Lemang atau ketupat memanglah tak ada.

Begitulah kami merayakan Aidilfitri di Makkah. Saya tak tahulah bagaimana cara orang Arab merayakan Aidilfitri di rumah masing-masing atau apa jenis hidangan pagi raya bagi mereka sebab tak berpeluang ke rumah mereka. Walaupun pak aji dan kawan-kawannya pernah pergi berbuka puasa di rumah seorang Malaysia yang sudah lama bermastautin di sana, tetapi saya sendiri tak pergi. Rumahnya tak jauh. Nampak daripada masjid. Tapi untuk sampai ke rumahnya kena memanjat bukit batu yang saya rasa ada setinggi Batu Caves. Tak laratlah saya. Takut skru lutut tercabut!

Selamat berpuasa semua!

Thursday, September 28, 2006

Marhaban ya Ramadhan 4

Kejutan Budaya

Kalau kali pertama ke sana, mungkin ada yang terkena kejutan budaya. Begitulah yang saya rasakan dulu. Kalau nak menghayati kekhusyukan penghayatan ibadah dalam Islam, di sanalah tempatnya. Tetapi, kalau nak lihat gambaran betapa tidak berhemahnya pekerti sebahagian umat Islam, di sana jugalah tempatnya.

Selalu kita diajar berlemah lembut dan menghormati orang lain apa lagi orang yang tengah bersolat. Kita diajar supaya jangan lalu-lalang di hadapan orang bersolat. Kena hormat. Tapi di sana, bukan sekadar lalu lalang, ada kalanya kepala orang tengah bersolat pun dilangkah begitu sahaja. Mungkin kerana terlalu ramai manusia di sana dan datangnya pula daripada latar belakang dan budaya yang berbeza-beza.

Kerenah manusia lebih banyak ditemui ketika di masjid. Di sinilah iblis bekerja keras memainkan peranannya untuk merosakkan ibadah kita. Bersoraklah dia apakala yang kita dapat hanya penat badan, rugi masa dan duit.

Kalau bersolat jemaah di masjid/surau di tanah air, iblis berjaya menjalankan jarumnya melalui saf-saf yang renggang dan tidak memenuhi peraturan saf berjemaah. Di tanah suci pula, ketiadaan langsung ruang boleh juga menjadi satu ‘modal’ bagi iblis melaksanakan kerja jahatnya. Bersempit-sempit dan tiada rasa timbang rasa boleh menimbulkan pergaduhan atau berjawab-jawab.

Di sana, kalau pada musim haji dan musim Ramadhan, jangan haraplah dapat tempat solat yang selesa, lebih-lebih lagi kalau di tingkat bawah atau di dataran menghadap Kaabah. Kadang-kadang, masa duduk menunggu waktu solat, dengan ruang di hadapan kita cukup-cukup sahaja untuk sujud secara bersempit-sempit, akan datang seorang minah Arab dan duduk di ruang itu. Bila kita tepuk bahunya dan buat isyarat yang tempat dia duduk tu ialah tempat yang sepatutnya kita sujud masa solat nanti, dia akan sama ada buat tak tahu, atau cakap dalam bahasanya yang kita tak mengerti. Mengikut kata pak aji, di kawasan jemaah lelaki bersolat pun sama juga keadaannya.

Di sinilah tahap kesabaran kita memang perlu berada di puncaknya. Mahu tak mahu, ketika bersolat nanti, carilah ruang untuk membolehkan sujud. Sama ada mengalihkan sedikit kepala ke kanan atau ke kiri. Nasib baiklah Kaabah ada di hadapan. Jadi, alih ke mana pun tetap menghadap kiblat.

Saya pernah sujud di atas punggung mak Arab yang tiba-tiba datang dan ambil tempat di ruang depan saya, yang memang sudah sedia sempit, masa solat jemaah sudah bermula. Pernah juga saya sujud dan bila nak bangun, suasana sekitar gelap gelita. Rupa-rupanya saya kena selubung dengan jubah mak Arab kat depan saya. Kadang-kadang, tengah sujud, terasa tapak kaki orang di hadapan atas kepala kita sebab ruang sudah terlalu sempit. Ada juga masanya, tengah sujud, orang melangkah kepala kita macam melangkah kain buruk.

Mula-mula memang hati rasa sedikit hangat. Maklumlah, bagi kita kepala merupakan anggota paling mulia kerana otak letaknya di kepala. Tetapi sesudah itu saya muhasabah diri sendiri. “Begitulah hinanya aku di sisi Allah. Kepalaku hanya layak di punggung atau di tapak kaki mak Arab tu saja!”

Satu lagi kerenah dalam masjid ialah suka “cop” tempat. Di dataran di hadapan Kaabah yang dipanggil mataf, kawasan yang diperuntukkan kepada jemaah wanita selalunya sudah dipenuhi oleh mak-mak Arab sejak lepas Asar lagi. Mereka lebih tahan terik matahari dibandingkan dengan kita yang datang dari Asia Tenggara ni. Menjelang hampir masuk waktu Maghrib, jangan haraplah ada ruang di sana untuk kita mencelah. Kawasan itu memang amat diminati kerana boleh terus memandang Kaabah yang tersergam di hadapan kita. Begitu juga di tempat-tempat lain dalam Masjidil Haram yang boleh terus memandang Kaabah tanpa dilindungi oleh tiang. Semua sudah kena “cop” awal-awal lagi.

Kawasan mataf yang diperuntukkan bagi jemaah wanita sangatlah terbatas. Baru-baru ini ada berita dalam akhbar Saudi yang menyebut bahawa pihak berkuasa haji Arab Saudi bercadang untuk melarang wanita bersolat dalam kawasan dataran Kaabah itu. Kononnya untuk mengurangkan kesesakan di dataran tersebut di samping melindungi wanita daripada lensa kamera TV dan pergerakan orang ramai. Cadangan ini mendapat bantahan keras kaum wanita dan pertubuhan wanita Saudi sendiri selain wanita Islam di seluruh dunia. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah membataskan wanita dengan Baitullah. Cadangan oleh pihak berkuasa haji Saudi itu dilihat sebagai usaha yang keterlaluan untuk menafikan hak wanita dalam beribadah.

Walaupun tiada tabir dalam Masjidil Haram, sebenarnya ada diperuntukkan kawasan berasingan bagi jemaah lelaki dan wanita. Tapi kadang-kadang, mungkin kerana kejahilan, ada jemaah yang tak ikut langsung peraturan saf. Ada jemaah lelaki enggan pergi ke kawasan jemaah lelaki dan mahu solat di sebelah isterinya. Maka, bersolatlah dia di tengah-tengah jemaah wanita tanpa menghiraukan peraturan saf solat berjemaah.

Jangan pelik jika melihat ada pak atau mak Arab yang bawa bangku lipat ke dalam masjid. Bangku ini memang banyak dijual di kedai-kedai atau kompleks membeli belah di sekitar masjid. Mulanya saya ingatkan hanya mereka yang tua dan uzur atau sakit saja yang bersolat sambil duduk atas bangku. Tapi kemudian ada juga saya nampak yang muda belia (dalam lingkungan awal 20-an) dan nampak sihat wal`afiat pun turut bersolat atas bangku. Mereka ini akan berdiri dan ruku’ sebagaimana biasa, tetapi apabila tiba bab sujud, mereka akan duduk atas bangku dan tundukkan sedikit badan (gaya solat orang sakit). Nak kata sakit, cergas dan laju pula mereka berjalan keluar masjid sambil menjinjing bangku. Pernah ada yang terlentang di depan mata saya sendiri bila bangku yang didudukinya tu patah!

Seorang kawan saya yang boleh berbahasa Arab pernah cuba bertanya kepada seorang mak Arab yang solat atas bangku itu adakah dia sakit kaki atau sakit lutut atau sakit lain yang menyusahkannya untuk sujud macam biasa? Jawabnya tidak. Kata kawan saya, kalau tak sakit, mengapa sujud duduk atas bangku? Mak Arab tu diam tak mahu menjawab.

Saya pernah bergurau dengan adik saya masa di sana, suatu hari nanti nak usung sofa masuk ke masjid untuk solat. Lepas tu, kami terkejut besar bila tengok rakaman solat hari raya Aidilfitri di TV dari Masjid Nabawi (kami menyambut hari raya di Makkah tahun itu), kerana ternampak seorang pak Arab (muda lagi dan nampak tegap) duduk atas sofa dalam masjid. Sofanya bukan main-main, yang berukir-ukir stail buatan Itali. Amat janggal kelihatan dia duduk di atas sofa berukir itu di tengah-tengah ribuan jemaah lain yang bersila di lantai.

Pencopet dan pengemis

Tiap-tiap masuk waktu solat, kedai-kedai dan bazar akan ditutup dan dibuka selepas selesai solat jemaah di masjid. Ada yang hanya direntang dengan kain dan ditinggalkan begitu sahaja. Tak takut jualan dikebas pencuri. Kadar jenayah di Arab Saudi dikatakan amat rendah dibandingkan dengan di negara-negara lain. Mungkin kerana hukum hudud dan qisas yang tetap diamalkan di sana. Hukuman potong tangan untuk pencuri dan rotan untuk penzina yang dilakukan di khalayak ramai, tetap dijalankan.

Walau bagaimanapun, pencuri dan pencopet (penyeluk saku) tetap ada malah di tengah-tengah kesesakan orang bertawaf pun ada yang masih sempat melakukannya. Tetapi mereka ini dikatakan bukan orang Saudi tetapi orang luar. Hairan sungguh kita kerana kalau di dalam masjid yang suci dan di hadapan Baitullah pun orang tak merasa takut melakukan dosa, apa lagi yang boleh menggerunkan dan menginsafkan mereka?

Kes-kes baju atau jubah ditoreh dengan pisau untuk mengambil beg duit biasa didengar. Pernah juga ada yang datang menangis di hadapan jemaah yang sedang duduk menunggu masuk waktu solat sambil menunjukkan jubahnya yang rabak kena toreh ketika dia sedang tawaf. Habis semua wang yang ada padanya (saya tahu ceritanya lepas diberitahu oleh seorang mak Arab yang duduk di sebelah saya melalui bahasa isyarat). Maka ramailah yang menghulur wang untuk membantu. Ada juga suara-suara sumbang yang mempersoalkan sama ada orang itu bercakap benar atau menipu. Bagi saya, tak usah pening-pening kepala memikirkannya. Kalau nak bagi, bagi saja tanpa banyak soal. Kalau tak nak bagi, kunci saja mulut rapat-rapat. Niat ikhlas kita hendak menolong tetap dipandang oleh Allah. Jika dia menipu, itu antara dia dengan Allah!

Suatu ketika, pernah saya dan jemaah wanita lain yang tengah duduk dalam masjid yang mulai sesak kerana waktu solat hampir tiba, tiba-tiba gempar apabila beberapa pengawal keselamatan mengejar dua lelaki yang cuba lari mencelah di tengah-tengah jemaah wanita. Dua lelaki itu dapat ditangkap, seorang berjubah manakala seorang lagi dalam pakaian ihram. Kedua-duanya menangis-nangis, merayu supaya dilepaskan. Sekali lagi ada mak Arab di sebelah saya jadi “guru bahasa isyarat”, menjelaskan bahawa kedua-dua lelaki itu disyaki cuba mencopet. Saya tunduk, tak sampai hati tengok wajah mereka yang berlinangan air mata merayu-rayu. Terbayang-bayang di mata, kalaulah sabit kesalahan mereka selepas dibicarakan nanti, sudah tentu mereka akan kehilangan tangan. Ngeri! Tapi, bukanlah semudah itu hukuman hudud akan dilaksanakan. Sudah tentu perbicaraan mengikut hukum dan lunas-lunas yang ditetapkan akan dilakukan terlebih dahulu. Dan, antara yang akan dilihat ialah, apakah yang mendorong mereka mencuri. Apakah disebabkan terdesak kerana kemiskinan sedangkan tiada siapa membantu atau ada sebab lain.

Walaupun ada papan tanda di sekitar masjid yang meminta supaya jangan mengemis, pengemis lelaki dan perempuan banyak berkeliaran di sekitar kawasan masjid. Sesetengah pengemis perempuan membawa anak kecil untuk menarik simpati jemaah. Samalah macam di negara kita juga. Ada juga pengemis lelaki yang cacat anggota, kudung tangan atau kaki. Sesetengahnya memang cacat sejak lahir. Yang lain dikatakan mangsa perang atau mereka yang pernah menjalani hukum hudud. Mana satu yang betul, tak dapatlah saya nak pastikan. Mereka yang membawa tong-tong derma untuk umat Islam Palestin sambil melaung-laungkan “Fisabilillah” pun ramai juga. Tong-tong derma ini ditampal dengan gambar-gambar mangsa kekejaman Zionis.

Samalah seperti yang disebutkan tadi, kalau rasa nak bersedekah, beri sahajalah tanpa banyak soal. Kalau tidak, jangan pula banyak siasat dan cemuhan. Bagaimanapun, kalau nak bersedekah, hati-hati supaya diri tidak menghadapi masalah diserbu kumpulan mereka hingga tak berupaya nak melayannya. Yang eloknya, awal-awal lagi sediakan wang kecil SR1 (kalau nak sedekah wang kecil) dan berikan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak disedari oleh pengemis-pengemis yang lain. Selain pengemis, kita juga boleh bersedekah kepada pekerja-pekerja pencuci masjid.

Pernah seorang remaja lelaki (anak salah seorang jemaah dalam kumpulan saya) yang berjalan pulang ke hotel dari masjid, dihampiri oleh seorang pengemis. Untuk memberi sedekah kepada pengemis itu, dia mengeluarkan semua wang dalam poketnya (mujurlah wang yang dibawanya dalam poket tak banyak) untuk mencari wang kecil. Tiba-tiba sahaja dia diserbu oleh sekumpulan pengemis lain yang berebut-rebut menadah tangan. Dia naik bingung nak bagi yang mana satu. Tengah kalut begitu, tiba-tiba wang di tangannya dirampas dan si pengemis ramai-ramai cabut lari. Tinggallah dia berdiri terpinga-pinga. Malam itu, dia menceritakan pengalamannya kepada kami dengan gaya lucu hingga kami yang simpati jadi geli hati. Emaknya hanya larat menjeling tajam pada anak bujangnya yang "happy-go-lucky" tu. Dah tak terkata apa!

Bersambung....

Wednesday, September 27, 2006

Marhaban ya Ramadhan 3

Pengajaran atau kebetulan?

Macam yang saya tulis sebelum ini, saya pernah “terhukum” sebab tak ikut cakap pak aji ketika di tanah suci. Ceritanya sebenarnya biasa sahaja, dan mungkin pernah kita alami walaupun bukan di tanah suci. Kalau berlaku di tempat lain, selalunya kita anggap hanya disebabkan silap komunikasi. Tapi, bila berlaku di tanah suci, seolah-olah ada satu suara dalam hati yang mengingatkan kita bahawa itu adalah satu pengajaran yang perlu dijadikan iktibar.

Satu ketika dalam perjalanan pulang ke hotel, selepas selesai saie dan bertahalul, pak aji mahu singgah mencukur rambutnya di kedai gunting. Berhampiran Bukit Marwah, tempat berakhirnya saie, ada sederet kedai gunting rambut yang macam kedai gunting rambut di Jalan Tuanku Abdul Rahman di KL, tempat jemaah lelaki bercukur rambut. Di hadapan pintu setiap kedai, ramailah jemaah lelaki dalam pakaian ihram yang beratur menunggu giliran untuk mencukur kepala. Mereka ini pun sudah selesai mengerjakan umrah seperti kami. Pak aji kata, kalau saya nak tunggu dia pun boleh, kalau nak balik dulu ke hotel pun tak apa. Saya memutuskan untuk tunggu pak aji supaya kami boleh berjalan pulang bersama-sama. Lalu pak aji suruh saya jangan pergi ke mana-mana dan tunggu dia di kaki lima kedai emas yang tidak berapa jauh dari situ lalu dia pun pergilah beratur di salah satu kedai gunting itu.

Saya pandang ke kaki lima kedai emas itu. Sesak dengan orang yang keluar masuk kedai dan yang lalu-lalang. Ada pula beberapa peniaga wanita (selalunya orang Patani atau Badwi) yang menghamparkan barang-barang perniagaan mereka seperti anak tudung, tudung, seluar panjang, stokin dan macam-macam lagi. Saya rasa lemas berdiri di situ kerana ramai sangat orang lalu lalang, lalu saya memilih untuk berdiri di tepi satu tiang di pinggir dataran masjid yang menghadap ke deretan kedai gunting itu. Tempat yang saya pilih itu lebih dekat dan lebih mudah nak nampak kalau pak aji keluar nanti.

Berdirilah saya di situ dengan mata tak lepas-lepas memandang ke arah pintu kedai gunting tempat pak aji beratur tadi. Takut terlepas pandang bila pak aji keluar nanti. Kelibat pak aji tak kelihatan ketika itu. Mungkin giliran pak aji tengah bercukur, kata hati saya. Dari tempat saya berdiri itu, kaki lima kedai emas tempat pak aji suruh saya menunggunya itu pun nampak jelas. Saya fikir, kalaupun tak nampak pak aji keluar dari kedai gunting tu, saya mesti boleh nampak ketika dia berjalan ke kedai emas itu.

Dari lima minit jadi 10 minit, 20, 30, 45 minit, satu jam! Tapi pak aji tak keluar-keluar dari kedai itu. Kumpulan jemaah lelaki yang beratur sama-sama dengan pak aji tadi sudah lama berganti dengan jemaah yang lain pula. Tiap sebentar keluarlah mereka yang sudah licin kepalanya dari kedai itu. Hanya pak aji yang tak keluar-keluar. Saya jadi musykil sungguh mengapa pak aji lama sangat dalam kedai tu. Nak pergi jenguk, saya segan sebab hanya orang lelaki sahaja ramai-ramai di situ. Maka berdirilah saya di tepi tiang itu dengan perasaan sebal. Hari semakin tinggi dan sinar matahari semakin terik. Cuma bayang-bayang tiang itu yang semakin menipis menjadi pelindung saya daripada dipanah terus oleh pancaran matahari.

Tiba-tiba, dari jauh saya nampak abah saya keluar dari salah satu kedai gunting itu sambil mengibas-ngibas kepalanya yang sudah botak dicukur dengan kain ihram. Tadi, kami sama-sama ke Tanaim (ke masjid tempat Saidatina Aisyah bermiqat ihram. Masjid ini merupakan salah satu tempat untuk berniat umrah bagi mereka yang berada di Makkah). Apabila tiba di Masjidil Haram untuk mengerjakan umrah, abah menyuruh kami jalan dahulu. “Engkau orang jalan dulu, tak payah tunggu abah. Abah nak buat sorang-sorang, slow-slow,” kata abah. Lalu pak aji dan saya pun ikut saja permintaannya.

Abah ternampak saya lalu dia datang kepada saya dan bertanya, “Engkau buat apa kat sini? Mana N? (nama pak aji)”. Saya beritahu abah yang saya sedang tunggu pak aji bercukur. Abah pun tak banyak tanya lalu berkata, “Abah balik ke bilik dulu.”

Maka, berdirilah terus saya di situ dalam keadaan terik matahari sudah terasa berbahang dalam jubah dan telekung saya. Bayang-bayang tiang tempat saya berlindung tu tak cukup teduh untuk memberi perlindungan sepenuhnya. Terasa begitu letih berdiri begitu lama di situ, apa lagi selepas bertawaf dan bersaie, ditambah lagi tekak yang semakin kering kerana berpuasa. Lutut pun rasa nak patah kepenatan.

Tak berapa lama selepas abah berlalu, tiba-tiba muncullah pak aji dari arah hotel kami! (bukan dari kedai gunting yang mata saya tak lepas-lepas memerhatikannya). Dia sudah pun menukar pakaian ihramnya dengan jubah dan berkopiah. Nampak segar berbanding saya yang terasa kusut masai dengan peluh.

You buat apa kat sini”
You pergi mana tadi?”

Hampir serentak kami bertanya (selingan sikit: pak aji dan saya ni kadang-kadang masih ber”I/you” ketika bercakap. Satu tabiat yang sukar dibuang sebab mula berjumpa dulu pun sebagai kawan sepejabat. Ambil masa jugalah baru masing-masing “terberkenan” antara satu sama lain!).

Kata pak aji, dia beratur dan selesai bercukur hanya dalam masa 10 atau 15 minit sahaja. Bercukur bagi botak, tentulah cepat. Lepas tu dia terus ke kaki lima kedai emas untuk mendapatkan saya, tapi saya tak ada di situ. Dia lalu mencari saya dalam kedai emas itu, mana tahu dah penat menunggu, saya masuk nak jamu mata pula. Tapi, tentulah di situ pun saya tak ada. Lalu pak aji mencari pula saya di kedai-kedai lain dan menjenguk-jenguk di celah-celah orang ramai yang berkerumun membelek barang jualan wanita Patani dan Badwi itu. Tapi, di sana pun saya tak ada. Kemudian pak aji terfikir mungkin saya ubah fikiran sebab malas nak menunggunya lalu terus pulang ke bilik. Lantas pak aji pun pulang ke hotel. Tapi, bila dia ke bilik saya, kawan sebilik saya kata, saya belum balik lagi.

Pak aji naik bingung juga memikirkan ke mana saya pergi. Tapi, sifat pak aji memang tidak mudah panik dan selalu tenang dalam keadaan terdesak. Bukan macam saya yang mudah risau dan menggelabah. Lagipun, dia tahu yang saya ni dah biasa ke sana sini seorang diri kerana kerja dan bukanlah jenis penakut. Lalu pak aji memutuskan untuk mandi dan menukar pakaian ihramnya dulu, kemudian dia akan pergi mencari saya di kedai-kedai yang lebih jauh lagi (walaupun dia tahu bukan tabiat saya ke mana-mana tanpa memberitahunya). Selesai mandi dan tengah berpakaian, abah yang berkongsi bilik dengannya pun pulang. “Eh...engkau kat sini? Si Amatullah (he..he..he...tentulah dia tak sebut nama ini tapi nama sebenar saya) tunggu engkau kat tepi tiang depan kedai gunting tu. Kau tak nampak dia ke tadi?” tanya abah.

Mendengar cakap abah saya tu, pak aji pun lekas-lekas turun pergi mencari saya. Memang sahlah saya ada di situ dengan muka yang sudah macam udang kena bakar (muka saya ni memang mudah merah dan lebam birat kalau berpanas lama-lama).

Peristiwa itu membuat saya terfikir. Hanya disebabkan tak ikut arahan suami supaya “JANGAN PERGI KE MANA-MANA DAN TUNGGU DI SITU” yang pada mata kasarnya tak mendatangkan apa-apa mudarat pun (suami suruh tunggu di tempat lain tapi saya tunggu di tempat lain. Itu saja!), saya “dihukum” berdiri dalam panas terik dalam keadaan letih, lapar dan dahaga selama lebih satu jam. Bagaimana kalau isteri yang curang terhadap suami? Yang keluar rumah tanpa izin suami, yang ingkar terhadap suruhan suami supaya menutup aurat dsb. Apakah hukumannya di dunia dan bagaimana pula hukumannya di akhirat kelak?

Kalau hendak dilihat secara logik akal, tak mungkin saya boleh terlepas pandang bila pak aji keluar daripada kedai gunting itu. Paling tidak, saya mesti nampak dia berjalan ke arah kedai emas itu. Tapi, sesungguhnya, Allah menutup hijab saya ketika itu daripada mengenali suami sendiri. Dan Allah juga menutup akal saya daripada berfikir mengikut logik.

Kalau dalam keadaan biasa, mengikut logik akal, ada empat perkara yang biasanya akan dilakukan/difikirkan dalam keadaan itu. Pertama, pergi menjenguk ke kedai gunting itu untuk melihat mengapa pak aji lama sangat di dalamnya (dah tak peduli segan dengan orang lelaki yang beratur ramai-ramai di situ). Kedua, terfikir yang mungkin saya dah terlepas pandang dan mungkin pak aji dah balik ke bilik. Ketiga, dah lama sangat menunggu, lebih baiklah balik dulu ke bilik. Kemudian, tentu pak aji datang mencari. Dan keempat, minta abah saya tolong pergi tengokkan pak aji dalam kedai itu.

Tapi anehnya, dalam fikiran saya ketika itu LANGSUNG TAK TERLINTAS itu semua. Yang ada dalam kepala saya ketika itu cuma, saya MESTI BERDIRI di situ sampai pak aji datang menjemput saya. Dalam panas terik itu, saya juga tak terfikir langsung untuk pergi berlindung di kaki lima kedai emas tempat pak aji suruh saya menunggunya. Juga, tak terfikir langsung untuk balik dulu ke hotel dan kemudian pasti pak aji akan datang mencari di bilik. Abah saya sendiri pun tak terfikir langsung nak tawarkan diri pergi tolong jenguk mencari pak aji di kedai gunting itu sedangkan memang agak aneh mengapa pak aji tak siap-siap lagi bercukur sedangkan abah saya sendiri yang bergerak lambat di belakang kami pun sudah selesai bercukur.

Begitulah keadaannya di tanah suci. Kadang-kadang, secara halus kita “diajar” dan “dihukum”. Perkara-perkara yang mungkin biasanya remeh dan boleh kita atasi dengan mudah, di sana tiba-tiba kita jadi “bodoh” dan tak boleh berfikir. Perkara-perkara yang biasanya boleh kita selesaikan secara logik akal, di sana sudah tak nampak kelogikannya lagi! Tapi, terpulanglah kepada kita sama ada hendak menjadikannya iktibar, sebagai modal untuk muhasabah diri atau tetap menganggapnya sekadar sebagai silap komunikasi.

Bersambung....

Tuesday, September 26, 2006

Marhaban ya Ramadhan 2

Solat Tarawih dan Ibadah Malam

Malam pertama solat Tarawih, imam di surau dekat rumah saya masih imam yang biasa dan baca ayat-ayat lazim sahaja. Masuk malam kedua, imam hafiz daripada Maahad Tahfiz mengambil alih, sama macam tahun-tahun lepas. Bermula dengan surah al-Baqarah, imam muda yang merdu suaranya, lancar bacaannya dan fasih sebutannya itu memulakan "marathon" baca ayat sepanjang-panjang yang boleh. Nak kejar untuk khatam al-Quran sampai solat tarawih terakhir nanti. Saya berkata dalam hati, esok mesti ramai yang "lari" cari surau atau masjid lain yang imamnya baca ayat pendek-pendek saja. Memang lumrah manusia mahu cari yang ringkas dan mudah sahaja.

Kalau di tempat sendiri bolehlah kita main pilih-pilih imam mana baca ayat pendek atau masjid/surau mana buat lapan rakaat sahaja. Tetapi di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, tiada pilihan. Solat dilakukan sebanyak 20 rakaat dan dicampur pula dengan tiga witir (jadi, 23 rakaatlah semuanya. Sama macam yang diamalkan di kebanyakan masjid di Malaysia). Tempoh untuk menghabiskan 23 rakaat ini mengambil masa hampir-hampir tiga jam kerana hendak menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap malam. Selepas setiap salam, imam akan terus bangun mendirikan rakaat seterusnya, tidak ada selawat dan doa macam yang biasa diamalkan di negara kita.

Selepas 10 rakaat, imam akan diganti. Imam yang kedua ini akan membawa 10 rakaat yang berbaki dan ditambah dengan tiga witir. Biasanya selepas 15 Ramadhan, akan dibaca doa Qunut Nazilah yang panjang sebelum sujud dalam solat witir yang akhir. Masa saya ke sana dulu, di Masjidil Haram, sesi kedua ini biasanya akan diimamkan oleh imam veteran, Sheikh Abdul Rahman al-Sudaisy yang cukup diminati oleh ramai jemaah kerana suaranya yang merdu dan bacaannya yang cukup lancar dan jelas. Kalau kita melintasi kedai-kedai menjual kaset dan buku sama ada di Makkah atau di Madinah, kaset bacaan beliau antara yang selalu diperdengarkan oleh pekedai.

Sebab terlalu minat dengan suara Sheikh Abdul Rahman ini, saya selalu bergurau dengan pak aji, memberitahu dia yang Sheikh itu boy friend saya. Pak aji cuma menggolekkan biji matanya sahaja. “Suka hati awaklah!’” katanya dengan suara `malas nak layan’. Bagi kami, bergurau macam ini tak jadi hal sebab masing-masing tahu gurauan begitu tak sampai ke mana pun. Adik saya pula menggelarkan Sheikh Abdul Rahman sebagai “imam brutal” sebab panjangnya bacaan surahnya sehingga kaki dan lutut kita boleh menggeletar dibuatnya. Begitupun, kalau sehari Sheikh itu tidak mengimamkan solat, terasa macam ada yang tak lengkap pula.

Bermula malam 20 Ramadhan, sesiapa yang berada di Makkah dapatlah merasai suasana ibadah malam yang panjang. Pada waktu ini, akan bermulalah solat tahajud berjemaah di masjid yang dilakukan kira-kira selepas tengah malam. Masa ni, ramai juga jemaah yang tidur sahaja di masjid selepas solat tarawih kerana takut tak terjaga untuk menyertai solat tahajud. Solat tahajud ini biasanya mengandungi lapan rakaat dan tiga rakaat witir (ketika ini, solat witir tidak dilakukan selepas solat tarawih).

Jika di tempat kita, qiamullail dilakukan dengan mendirikan beberapa jenis solat sunat termasuk tahajud, yang diikuti dengan solat sunat taubat, hajat, tasbih dan diakhiri dengan witir. Tetapi di sana, pada kebiasaannya hanya solat tahajud yang diakhiri dengan solat witir sahaja yang dilakukan. Walaupun tahajud hanya lapan rakaat (satu salam bagi setiap dua rakaat), masa yang diambil cukup lama. Biasanya solat ini berakhir hampir jam 3 pagi. Selepas itu, jemaah akan pulang ke tempat penginapan masing-masing untuk bersahur dan bersiap semula untuk ke masjid kerana waktu solat Subuh semakin hampir.

Lamanya masa diambil untuk solat tahajud itu ialah kerana ayat yang dibaca adalah panjang-panjang belaka. Setiap rukuk, i’tidal dan sujud juga mengambil masa yang agak lama dan memberi peluang bagi jemaah untuk bertasbih sebagaimana tasbih yang biasa dilakukan dalam solat tasbih. Tasbih bolehlah dibaca sebanyak mana yang boleh. Selalu juga turut dibaca ayat-ayat Sajdah yang memerlukan kita sujud Sajdah/sujud tilawah.

Mengerjakan Umrah

Suasana umrah Ramadhan di Makkah bolehlah diumpamakan seperti suasana musim haji “kecil”. Ramainya manusia sama macam musim haji juga. Cuma bezanya, tumpuan hanya di Masjidil Haram dan tiada ibadah wukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah dan melontar jamrah di Mina.

Kerja umrah, sama seperti kerja haji, adalah ibadah yang lebih menumpukan kepada perbuatan/pergerakan. Walaupun pergerakan utama bagi umrah hanya melibatkan tawaf tujuh kali dan saie tujuh kali, kedua-duanya terpaksa dilakukan dalam keadaan bersesak-sesak (dan panas terik bagi tawaf) memandangkan antara dua hingga tiga juta umat Islam dari seluruh dunia tertumpu di sana untuk satu tujuan yang sama. Kalau mengerjakan umrah dalam musim lain, kita boleh bebas meneguk air zam-zam sebanyak mana yang kita suka selepas bertawaf atau bersaie. Dalam bulan Ramadhan, tekak yang kering selepas bertawaf dan bersaie terpaksalah ditahan sahaja. Mungkin sebab itu ramai juga memilih untuk mengerjakan umrah pada sebelah malam selepas solat Isyak atau solat tarawih kerana udara lebih nyaman.

Begitupun, janganlah harap ada masa kurang sesak untuk bertawaf dan bersaie pada musim Ramadhan (atau haji). Sepanjang masa sesak dengan manusia walaupun pada tengah hari panas terik atau tengah malam. Kita dari Asia Tenggara mungkin mengelak daripada mengerjakan umrah apda masa tengah hari tepat sebab tak tahan panas. Tetapi jemaah dari negara-negara Arab dan Afrika yang kuat dan tegap belaka itu macam tak pedulikan panas.

Banyak juga jemaah memilih untuk mengerjakan umrah pada waktu pagi selepas solat Subuh. Waktu ini pun belum terlalu panas terik. Selalunya boleh selesai sebelum masuk waktu Zuhur. Lepas itu duduk dulu di masjid menunggu masuk waktu Zuhur atau bolehlah balik ke bilik untuk tidur sebentar. Ini yang selalu saya lakukan bersama pak aji dan ahli keluarga.

Kadangkala kami akan ke Tanaim untuk bermiqat selepas Zuhur, kemudian bertawaf sebelum masuk waktu Asar. Selepas solat Asar, barulah kami mengerjakan saie pula.

Ada juga masanya pak aji ke Tanaim sebelum Asar tetapi menyelesaikan kerja umrahnya selepas solat Tarawih. Bermakna, dia dalam ihram pada satu jangka waktu yang panjang dan meletihkan. Tetapi yang ini biasanya dia lakukan seorang diri atau bersama jemaah lelaki yang lain. Saya dilarang ikut sama kerana katanya takut saya tak larat.

Ada masanya saya rasa bengang juga sebab pak aji ni kadang-kadang banyak sangat larangannya masa di tanah suci. Agaknya inilah masa dia nak kontrol sikit isterinya yang terlalu berdikari ni. Mengucup Hajarul Aswad juga selalu dilarangnya kerana di situ memang sentiasa sesak dan berasak-asak.

“Tak usahlah dikejar pahala sunat, tapi kemudian dapat dosa pula!” kata pak aji bila dia tengok muka saya yang agak keruh bila dia tak benarkan saya pergi mengucup batu daripada syurga itu. Maksudnya, hukum mencium Hajarul Aswad cuma sunat, tetapi jika dilakukan secara bertolak-tolak dan berasak-asak sehingga boleh memudaratkan badan, boleh menjadi haram pula.

Saya pula, walaupun dalam hati rasa jengkel, tak berani membantah bila pak aji guna kuasa vetonya (di tanah suci) sebab saya dah pernah “terhukum” sebab tak ikut cakap suami ketika di tanah suci. Nanti akan saya ceritakan. InsyaAllah.

Tapi dia sendiri pula memang tak lepas peluang mengucup Hajarul Aswad. Entah bila masanya saya pun tak tahu. Bila ditanya sama ada dah kucup atau belum batu tu, dia cuma senyum dan mengangguk. Gerammmm!!

Kadang-kadang azan berkumandang ketika kami masih bertawaf. Kalau ini berlaku, pak aji akan menarik saya dan ahli keluarga yang ada sama, menyusur keluar mengikut arus manusia untuk mencari kawasan jemaah wanita berkumpul di mataf (dataran berhampiran Kaabah). Dia akan menyuruh kami mencelah di sana sementara dia sendiri pergi ke tempat jemaah lelaki. Selepas solat, pak aji akan datang mencari kami dan kami akan sambung semula tawaf. Tetapi, tawaf tidak boleh disambung di mana tempat kita berhenti tetapi mesti dimulai semula dari garisan Hajarul Aswad.

Ganjaran Pahala

Kalau rasa tak larat, selalunya dinasihatkan supaya jangan terlalu memaksa diri mengerjakan umrah, takut tak cukup rehat dan boleh memudaratkan kesihatan. Buatlah tawaf sunat dan beriktikaf dalam masjid sahaja. Duduk saja-saja sambil merenung Kaabah pun dapat rahmat. Setiap hari, Allah menurunkan 120 rahmat kepada Kaabah - 60 rahmat diberi kepada orang yang bertawaf, 40 diberi kepada mereka yang bersolat, manakala 20 rahmat lagi diberikan kepada mereka yang hanya memandang Kaabah. Ini ada dinyatakan dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi. Solat di Masjidil Haram mempunyai 100,000 ganjaran pahala manakala di Masjid Nabi ganjarannya ialah 1,000.

Sebut fasal pahala dan ganjaran yang banyak ini, saya teringat cerita selingan seorang ustaz dalam satu ceramah. Menurutnya, dia pergi ke sebuah negara jiran atas satu urusan. Di sana dia bertemu dengan seorang hamba Allah yang baru pulang daripada mengerjakan haji. Selesai urusan pada waktu siang, “Tuan Haji” tu mengajak si ustaz pergi berhibur ke disko dan karaoke pada waktu malamnya.

Kata ustaz itu, “Hai...tuan kan baru balik daripada mengerjakan haji. Masih mahu ke disko dan karaoke lagi?”

Jawab “Tuan Haji” tu, “Masa di Makkah saya sudah mengutip juta-jutaan pahala. Satu kali solat sudah dapat 100,000 pahala. Saya di sana lebih satu bulan lamanya. Bayangkan sudah berapa juta pahala yang saya dapat? Kalau sesekali ke disko, dan markah itu ditolak, tentu masih banyak lagi bakinya bukan?”

Pulak dah! Ada juga orang yang “terlebih cerdik” macam ni!

Mak aji rock!

Demam, selesema, batuk, sakit tekak dan jangkitan paru-paru adalah penyakit biasa bagi kebanyakan jemaah. Kalau dalam masjid pada waktu solat, selain suara imam, alunan suara batuk para jemaah bersahut-sahutan macam alunan orkestra pula.

Saya pun memang selalu kena batuk setiap kali ke tanah suci. Batuk yang kering sampai sakit tekak dan dada. Agaknya alah dengan cuaca, udara dan jangkitan daripada manusia yang begitu ramai di sana. Pernah sampai hilang suara. Kadang-kadang selepas solat, ada hamba Allah menghulurkan ubat batuk kepada saya. Mungkin dia kasihankan saya kerana batuk tak henti-henti tengah bersolat. Tapi, dia tak tahu yang saya dah telan berbotol-botol dan bermacam-macam jenis ubat batuk yang dibeli di farmasi. Tapi batuk tak reda juga!

Batuk dan hilang suara itu biasanya terbawa-bawa sampai selepas seminggu dua pulang ke tanah air. Bak kata orang, kalau buat album lagu rock mesti hebat. Ratu rock si Ella tu pun boleh kalah!

“Tak apalah, Tuhan nak kafarahkan dosa awak agaknya. Di Malaysia dah banyak sangat bercakap. Di sini disuruh duduk diam-diam pula! Sesekali jadi mak aji rock apa salahnya,” usik pak aji.

Bersambung....

Monday, September 25, 2006

Marhaban ya Ramadhan 1

Selamat datang wahai Ramadhan al-Mubarak. Selamat datang wahai bulan yang mulia dan penuh barakah! Kami Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat, sentiasa tertunggu-tunggu kehadiranmu, sentiasa rindu untuk berada dalam pelukanmu, sentiasa bergembira dan bersyukur kerana masih dipanjangkan usia untuk bertemu denganmu!

Ramadhan datang lagi. Setiap menjelang Ramadhan saya rasa rindu dan iri hati. Rindu untuk berada di tanah suci Makkah dan Madinah, menikmati keindahan penghayatan Ramadhan di sana. Iri hati pada orang lain yang lepas seorang, seorang lagi berlepas ke tanah suci sedangkan saya buat masa ini tidak dapat pergi sama atas beberapa sebab. Inilah yang sering dikatakan, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara Sudah lama juga rasanya saya tidak berpeluang meraikan Ramadhan di tanah suci.

Tanyalah perasaan sesiapa yang pernah ke tanah suci sama ada untuk mengerjakan haji, atau mengerjakan umrah terutama di bulan Ramadhan. Pasti kebanyakannya menjawab, itulah satu pengalaman yang cukup indah dan menyeronokkan. Seronok yang bagaimana? Sukar hendak digambarkan dengan perkataan, hanya jauh tersimpan di sudut hati satu keseronokan, ketenangan dan keindahan yang hanya diri sendiri sahaja dapat merasakannya. Pergi bercuti ke tempat-tempat lain pun seronok juga tetapi keseronokannya berbeza.

Kerana itulah, tak hairan ramai yang mahu ke tanah suci berulang-ulang kali setiap tahun, walaupun sebenarnya lebih afdal bagi orang yang sudah pernah ke tanah suci mengerjakan ibadah wajib, untuk menggunakan wang itu bagi membantu orang lain yang memerlukan, termasuk membantu membiayai pemergian orang lain yang belum pernah menjejakkan kaki ke tanah suci.

Allah s.w.t memang menjadikan hati orang mukmin sentiasa rindu kepada Makkah umpama tarikan besi kepada magnet dan ini tidak berlaku kepada tempat-tempat lain. Inilah berkat doa Nabi Ibrahim a.s yang terjemahannya lebih kurang bermaksud: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami, (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim: Ayat 37).

Saya sendiri, ketika menulis ini, terasa rindu yang amat sangat untuk ke sana. Semalam, saya ke kedai pakaian di kompleks PKNS Shah Alam. Saja nak mencari pakaian raya anak-anak. Sedang asyik membelek-belek, masuk sepasang suami isteri hendak mencari jubah putih untuk si isteri sebagai persiapan hendak pergi mengerjakan umrah tak berapa hari lagi. Irinya saya tahap `cipan’ (bak kata budak-budak sekarang!). Pada wajah mereka tergambar keseronokan dan keterujaan membilang hari untuk ke tanah suci. Macam membilang hari untuk jadi pengantin!

Kadang-kadang, benda-benda atau perkara-perkara yang mengingatkan saya kepada suasana di tanah suci, sudah cukup menimbulkan kerinduan yang tidak terucap. Misalnya, mendengar kaset-kaset bacaan al-Quran yang dipasang oleh gerai-gerai menjual kaset dan buku-buku agama, melihat pancaran matahari petang yang terang benderang menyuluh sesuatu bangunan, melintasi kedai-kedai yang menjual barang-barang keperluan dan pakaian ihram dsb. Hati terasa meronta-ronta, seolah-olah rindu kepada kekasih yang jauh di mata. Tetapi apakan daya, banyak komitmen dan keterbatasan upaya yang menghalang saya untuk ke sana lagi buat masa ini. Walau bagaimanapun, saya amat bersyukur pernah diberikan peluang menjadi Tetamu Allah. Harap-harap, peluang itu akan diberikan lagi dan terus diberikan selagi hayat masih ada. Amin!

Walaupun banyak jugalah tempat lain sudah dijejaki, tapi tak sama dengan “keindahan” kedua-dua kota itu. Kalau dilihat dengan mata kasar, yang kita nampak di sana hanyalah tanah yang gersang dan berdebu, padang pasir yang saujana mata memandang, bangunan yang tidak seindah dan sehebat bangunan di tempat-tempat lain, bahang terik matahari di langit yang hampir tiada awan dan masyarakatnya yang kasar. Tetapi, kalau dilihat dengan mata hati, maka akan terserlahlah keindahan dan kekudusannya yang tidak ada di mana-mana tempat lain di dunia kerana keindahan itu bukan terletak pada mata tetapi letaknya di hati.

Berpuasa di tanah suci ni cukup seronok. Kemeriahan Ramadhan di sana cukup terasa. Bukan dimeriahkan oleh pasar-pasar Ramadhan yang menjual beraneka jenis juadah berbuka puasa seperti di tempat kita, bukan juga oleh kain-kain rentang jualan hari raya yang sudah dipasang sebelum bermulanya puasa, atau hiasan-hiasan seperti ketupat gergasi, lampu-lampu pelita, lampu-lampu neon berkelip-kelip warna-warni atau lampu-lampu bunga manggar yang bergemerlapan dan cukup melekakan.

Kemeriahan di sana terasa dengan kehadiran umat Islam dari seluruh pelosok dunia, tanpa mengira bangsa, warna kulit serta pangkat dan darjat, yang berpusu-pusu datang untuk merebut peluang memperbanyakkan ibadah. Ini ditambah pula budaya penduduk Makkah dan Madinah sendiri dan warga Arab Saudi yang lain, yang gemar mengimarahkan masjid, terutama pada bulan Ramadhan. Selain warga asing, warga Arab Saudi sendiri akan berkunjung ke Makkah dan Madinah bersama keluarga masing-masing dengan menaiki pelbagai jenis kenderaan. Maka, bertambahlah ramai dan sesak kota Makkah dan Madinah.

Tapi, bukan pula penduduk tanah suci ini tidak berbelanja atau membuat persiapan menyambut hari raya. Bazar dan gedung perniagaan ada yang dibuka hingga ke pagi. Ada yang tak tutup langsung kecuali pada waktu solat. Kedai-kedai emas pun sesak (turut dipenuhi oleh jemaah dari luar termasuk dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei). Selepas selesai solat Tarawih, kedai-kedai dan bazar yang menjual bermacam-macam jenis barangan terutama pakaian, penuh sesak hingga ke pagi. Tapi, kompleks membeli-belah pula dibuka sama macam di tempat lain juga – 10 pagi hingga 10 malam.

Yang seronoknya, walaupun cuaca panas terik, saya tidak begitu terasa lapar dan dahaga ketika berpuasa di tanah suci. Cuma barangkali rasa letih kerana berulang alik ke masjid untuk solat di samping mengerjakan umrah. Mereka yang tidak begitu larat untuk mengerjakan umrah berulang kali, hanya memperbanyakkan tawaf sunat dan beriktikaf sahaja dalam masjid.

Kebanyakan orang berbuka puasa di masjid. Tetapi, memang kena pergi ke masjid awal-awal lagi. Kalau ke masjid lagi 10 minit atau setengah jam nak masuk Maghrib macam di sini, pasti tak dapat masuk sebab sudah terlalu sesak. Nak bergerak pun tak boleh. Terpaksalah duduk di dataran di luar masjid yang juga penuh sesak dengan manusia. Sebab tu ada jemaah memilih untuk terus duduk di masjid selepas Asar. Kalau tidak pun, sekurang-kurangnya satu jam sebelum masuk waktu berbuka, kita mestilah sudah mula bergerak ke masjid.

Bagi mereka yang sudah biasa dengan suasana berbuka puasa di tanah suci, akan hanya berlenggang sahaja ke masjid tanpa membawa sebarang bekalan makanan kerana pasti ada orang yang akan menghulurkan sebiji dua tamar atau roti sebagai sedekah. Waktu inilah ramai mengambil peluang bersedekah makanan kepada jemaah yang berpuasa, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Barang siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang berpuasa), tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikit pun,” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Samalah macam di negara kita, ramai yang akan menghantar moreh ke surau atau masjid untuk hidangan berbuka puasa. Cuma bezanya, kita menghantar berjenis-jenis makanan seperti kuih-muih, nasi, mi dan lauk-pauk manakala di sana pula, tamar yang merupakan makanan kegemaran Rasulullah s.a.w. menjadi makanan yang diutamakan dalam bersedekah.

Dalam perjalanan ke masjid, pasti kita akan bertemu dengan banyak lori kecil di tepi-tepi jalan yang dipenuhi bungkusan kecil berisi tamar atau roti atau buah-buahan dan air kotak. Dari atas lori, beberapa orang akan membahagi-bahagikan makanan kepada jemaah yang berkerumun di sekelilingnya. Kalau rajin, pergilah hulur tangan di sana, pasti dapat satu bungkusan untuk dibawa ke masjid sebagai bekal berbuka puasa. Kadang-kadang kita tak minta pun, hanya berdiri berhampiran, sekadar memerhati. Tapi orang yang sedang membahagikan makanan itu akan membaling sebungkus kepada kita! Begitulah pengalaman saya. Bungkusan plastik seperti itu ada juga dijual di kedai-kedai atau di kaki lima. Kali terakhir saya berpuasa di sana dulu, harganya antara SR2 atau SR4 (Saudi Riyal) atau lebih kurang RM2++ atau RM4++ duit kita sahaja. Sekarang ini tak tahulah.

Di luar masjid dan dalam masjid sendiri ada ramai individu yang bersedekah makanan yang serupa. Mereka membawa bungkusan besar dan membahagi-bahagikan makanan kepada jemaah yang duduk menunggu waktu berbuka atau yang lalu-lalang. Kalau belum ada bekalan, saya akan ambil bungkusan yang dihulurkan itu. Tetapi, kalau sudah dapat bungkusan sedekah itu sebelumnya, saya angkat tangan atau gelengkan sahaja kepala. Kadang-kadang, dek terlalu banyak terima sedekah walaupun sudah menggeleng tak mahu, makanan sedekah itu boleh pula kita sedekahkan kepada peminta sedekah di luar masjid, berkongsi dengan jemaah lain atau dibuat bekal berbuka untuk esok.

Selain bersedekah makanan, ada juga yang bersedekah barang seperti tasbih atau kopiah. Di bahagian jemaah wanita, selalu ada wanita Arab kaya (boleh dilihat daripada gaya dan cara berpakaian walaupun fesyen pakaian mereka tetap jubah dan jilbab hitam macam perempuan Arab yang lain) yang diiringi oleh pembantu mereka sama ada lelaki atau perempuan. Wanita-wanita ini akan membahagi-bahagikan sedekah mereka yang dipikul atau dikendong oleh pembantu mereka. Ramai yang berkerumun untuk mendapatkan sedekah itu. Kadang-kadang mereka mencampakkan atau membaling sedekah itu ke arah jemaah yang duduk agak jauh (sukar untuk melangkah kerana sesak). Saya sendiri pernah hampir melompat terperanjat sebab tengah membaca al-Quran, tiba-tiba ada tasbih terbang melayang ke atas riba. Nasib baik saya ni bukan jenis melatah. Kalau tidak haru juga! Teringat pula cerita-cerita P.Ramlee yang kadang-kadang ada adegan bersedekah dengan menabur duit emas di atas tanah yang kemudian akan direbut oleh fakir miskin. Lebih kurang begitulah!

Kalau di rumah sendiri, banyak juga orang yang gemar berbuka dengan makanan berat, nasi atau mi (termasuk sayalah tu!) selepas itu baru solat Maghrib. Kalau di tempat sendiri, awal-awal lagi kebanyakan kita dah rancang apa nak masak untuk juadah berbuka. Kalau pergi ke pasar Ramadhan pula, rasa macam semua nak dibeli. Nampak itu sedap, nampak ini teringin. Kadang-kadang, ada yang mereka-reka resipi, macam orang mengidam pula. Bila tiba waktu berbuka, yang boleh masuk ke dalam tekak sebenarnya air sahaja. Yang lain tu hanya nafsu mata. Tapi, di tanah suci, dengan sendirinya kita rasa cukup dan kenyang berbuka hanya dengan buah tamar atau sedikit roti kosong dan air zam-zam sahaja. Nafsu teringin makan itu ini untuk berbuka langsung tak ada.

Tong-tong berisi air zam-zam yang dilengkapi dengan cawan kertasnya, berderet-deret disediakan dalam masjid. Ada antara tong ini berisi air zam-zam yang dicampur dengan air batu (yang juga air zam-zam yang telah dibekukan). Kalau tak suka air zam-zam berair batu ini, carilah tong yang tertulis perkataan zam-zam berwarna hijau dalam bahasa Arab kerana yang ini mengandungi air zam-zam yang tidak dicampur air batu.

Banyak keluarga Arab gemar berbuka di masjid dan terus bersolat Maghrib, Isyak dan Tarawih. Mereka akan bawa makanan, selalunya roti dengan kuahnya sekali. Mereka juga akan bawa termos besar berisi teh (syai) atau kopi (qahwa). Kalau duduk berhampiran keluarga Arab ini, kadang-kadang mereka akan menghulurkan sedikit makanan atau minuman mereka kepada kita Ha....kalau minum kopi Arab tu hati-hati sikit. Rasa sikit dulu, jangan terus diteguk. Takut tersembur keluar sebab kopi Arab ini amat pekat dan pahit. Baunya pun agak lain kerana mungkin ditaruh cengkih. Sebab tu, kalau orang Arab menghidangkan kopi kepada tetamu (di rumah), mereka gunakan cawan-cawan kecil yang comel-comel. Bukan dalam cawan macam yang kita selalu gunakan.

Selepas solat Maghrib, sebahagian jemaah bergegas pulang ke hotel untuk makan hidangan berbuka yang disediakan oleh agensi pakej masing-masing. Selalunya hidangan nasi dengan lauk pauk Melayu dan buah-buahan. Air panas, teh, kopi, gula dan susu tepung memang sentiasa tersedia di ruang makan dan jemaah boleh buat minuman sendiri pada bila-bila masa. Lepas makan, mereka bergegas semula ke masjid untuk solat Isyak dan Tarawih. Tapi, ada juga yang terus duduk dalam masjid menunggu solat Isyak dan seterusnya solat Tarawih.

Bersambung....

Tuesday, September 19, 2006

I asked Allah

I received the poem below through e-mail and I believed that many people have also received it and gained strength from the beautiful meaning hidden behind it like I do. Whoever that writer was, I pray that Allah will continue to give her/him Hidayah, strength and wisdom to share many more beautiful poems like this with us. Allah is Great.

I ASKED ALLAH

I asked for strength
And Allah gave me difficulties to make me strong

I asked for wisdom
And Allah gave me problem to solve

I asked for prosperity
And Allah gave me brain and brawn to work

I asked for courage
And Allah gave me danger to overcome

I asked for love
And Allah gave me trouble people to help

I asked for favors
And Allah gave me opportunities

I received nothing I wanted…….
I received everything I really needed!!!

Friday, September 15, 2006

Al-Fatihah buat emak

Hari ini genaplah 19 tahun pemergian Allahyarham emak ke Rahmatullah.

Hari ini, 19 tahun dulu, menjadi titik penamat penderitaan emak berperang dengan barah yang bersarang di tubuh emak secara senyap. Barah yang hanya diketahui kira-kira tiga atau empat bulan sahaja sebelum pemergian emak.

Emak,
Seolah-olah baru semalam kami melihat mata putihmu menjadi kuning tiba-tiba. Kami bawa emak ke doktor, menyangkakan emak hanya demam kuning dan selepas makan ubat nanti pasti sembuh. Sebelum itu, kami carikan susu kambing untuk emak kerana kata orang, susu kambing boleh jadi ubat sakit kuning.

Tapi, doktor tahan emak di wad. Katanya, ada ujian hendak dilakukan ke atas emak. Emak tak suka duduk hospital tetapi akhirnya akur bila kami berjanji akan bergilir-gilir tidur di hospital menemani emak.

Seminggu menjalani pelbagai ujian di hospital, doktor akhirnya beritahu kami apa sebenarnya penyakit emak. Emak kena barah pankreas. Sejenis barah yang jarang berlaku dan sukar dikesan. Biasanya barah ini hanya dapat dikesan setelah sampai ke peringkat teruk dan tiada harapan sembuh. Doktor kata, emak kena menjalani rawatan kemoterapi, satu-satunya ikhtiar yang ada untuk...untuk apa? Sebenarnya kami pun sudah tak pasti lagi untuk apa kerana kata doktor ketika itu penyakit emak sudah tiba pada peringkat teruk. Sukar sembuh. Hanya satu keajaiban atas kehendak Allah sahaja yang boleh menyembuhkan emak.

Hingga akhir hayat, emak tak tahu apa sebenarnya penyakit emak. Kami tak sampai hati hendak memberitahu emak. Cuma kami beritahu emak yang emak kena jalani rawatan kemoterapi. Tapi emak tak mahu. Emak mahu pulang dan tidak mahu lagi tinggal di hospital.

Kami minta pendapat doktor sama ada perlu paksa emak jalani rawatan atau ikut kehendaknya untuk pulang ke rumah. Kata-kata doktor itu, seorang doktor wanita berketurunan India yang amat prihatin, masih terngiang-ngiang di telinga kami.

Katanya, “Sebagai doktor, saya sarankan supaya emak awak jalani rawatan itu. Tetapi, sebagai seorang kawan, biarlah saya berterus terang sahaja lebih baik awak ikut saja kehendaknya kalau itu boleh membuat dia rasa senang. Rawatan kemoterapi itu pun sebenarnya tidak akan banyak membantu. Mungkin hanya akan melanjutkan nyawanya sebulan dua sahaja.”

Kami terkedu. Di telinga kami, kata-kata itu seolah-olah satu hukuman mati telah dijatuhkan ke atas emak. Tapi kami tetap yakin bahawa nyawa manusia bukan di tangan doktor tetapi di tangan Allah.

Kami bawa emak pulang untuk menggembirakan emak walaupun kami bimbang tiada apa yang boleh kami lakukan untuk membantu mengurangkan penderitaan emak. Maka, bermulalah episod perit dan duka melihat emak menderita di hadapan mata kami. Sesekali kami memujuk emak ke hospital tetapi emak tetap enggan, lebih suka berubat cara kampung. Walaupun tak yakin, kami tetap bawa emak ke sana sini berubat dengan mereka yang dikatakan pandai merawat penyakit macam penyakit emak. Tapi penyakit emak semakin teruk. Emak semakin lama semakin tenat.

Akhirnya tibalah saat itu. Saat perjanjian emak dengan Al-Khaliq (Pencipta)nya. Saat yang tidak boleh dilambatkan atau dipercepatkan walaupun sedetik. Ketika itu, emak baru berumur 49 tahun kalau dikira ikut Tahun Masihi. Jika mengikut Tahun Hijrah, emak sudah 51 tahun.

Emak,
Kami anak-anakmu masih tetap merasakan kepedihan kehilanganmu walaupun masa sudah lama berlalu. Kata orang, masa dapat mengubat luka. Tapi luka kami kehilangan emak masih bisa terasa. Kami reda dengan pemergian emak kerana memang itu sudah kehendakNYA. Namun masih tersimpan dalam hati ini rasa terkilan kerana emak pergi ketika kami baru hendak bertapak dalam hidup, tidak sempat membalas jasa emak dan membahagiakan emak dengan harta benda dunia walaupun kami sedar, apa pun yang kami berikan pada emak dan abah, tak kan pernah setimpal dengan jasa emak dan abah membesarkan kami.

Namun, kami puas dan bersyukur kerana diberikan kesempatan menjaga emak ketika emak bertarung dengan `pembunuh’ itu. Sempat kami bergilir-gilir menjaga emak di hospital dan di rumah. Menjaga makan minum emak, membersihkan emak dan memandikan emak. Namun, antara kami bertiga, adiklah yang paling banyak berjasa menjagamu kerana adik masih tinggal dengan emak dan abah sedangkan kami yang tua sudah berumahtangga.

Allah juga memberikan kesempatan kami menghadap emak ketika nazak dan dapat mengajar emak mengucap dua kalimah syahadah. Walaupun hati hancur luluh ketika itu, kami anak-anak perempuanmu, berusaha keras menyeka air mata supaya dapat sama-sama memandikan dan mengapankan jenazah emak. Dengan dada yang amat sebak, kami bersihkan dada emak yang pernah memberikan kami air susu, perut emak yang pernah mengandungkan kami, juga tangan emak yang pernah membelai kami.

Kami juga ikut sama menemani emak menaiki van jenazah dalam perjalanan ke pusara, ke destinasi terakhir manusia di dunia yang fana ini. Kami duduk mengelilingi jenazah emak yang terbaring tenang dalam keranda. Masing-masing membisu, tenggelam dengan fikiran dan kenangan masing-masing bersama emak. Tiada kata-kata yang dapat diucapkan ketika itu. Perjalanan itu sesungguhnya terasa amat singkat. Rasa sekelip mata sudah tiba ke tanah perkuburan sedangkan kami ingin berlama-lama lagi dengan emak.

Emak,
Hujan turun renyai-renyai ketika jenazah emak dikebumikan dan bertambah lebat selepas tok imam selesai membaca talkin. Seolah-olah alam turut berkongsi duka kami. Namun kami bertiga tetap berdiri di sisi pusara emak, memerhatikan sehingga jasad emak sudah tidak kelihatan lagi dan hanya timbunan tanah menutup lubang tempat jasad emak bersemadi. Asalnya manusia daripada tanah, kembalinya manusia ke tanah jua.

Seboleh mungkin, saat-saat terakhir akan bercerai dengan jasad emak itu cuba kami lewat-lewatkan. Kalau diberi pilihan, ingin sekali rasanya jasad emak kami simpan sahaja di rumah. Biarpun tidak lagi bernyawa, namun jasad emak tetap ada depan mata.

Tetapi itu tak mungkin terjadi. Hidup ini ada hukum dan peraturannya. Sebagai orang Islam, jasad emak mesti disempurnakan – dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Dan semua itu telah kami sempurnakan sebaik mungkin untuk emak.

Emak,
Ketika hayatmu, sering kau menyebut bahawa aku anak paling nakal, paling degil, paling berani antara kami. Dan aku tahu, aku juga anak yang paling banyak menyakiti hatimu dan memeningkan kepalamu. Ketika kecil, aku yang paling selalu dirotan, paling kerap dihukum. Emak garang dan tegas berbanding abah, tetapi itu tidak menghalang aku daripada kenakalan remajaku.

Yang paling ku kesalkan hingga kini, mengapalah amat berat lidahku hendak memohon ampun kepadamu ketika kau terlantar sakit. Ketika itu, aku sudah dapat merasakan yang hayat emak tidak akan lama. Allah akan mengambil emak daripada kami bila-bila masa sahaja. Masa emak bersama kami sudah tidak boleh lagi dihitung dengan hari tetapi dikira dengan saat. Hatiku menyuruh aku bersuara memohon ampun atas segala kesalahanku kepada emak. Tapi lidahku terasa kelu. Hati yang menyuruh itu juga rasa tidak sampai untuk mengucapkan kata-kata itu. Aku takut nanti emak akan rasa kecil hati. Takut emak menganggap aku sudah tidak sabar-sabar mahu emak pergi. Dalam keadaan emak yang sakit tenat, aku tak mahu mengecilkan hatimu atau membuat emak salah sangka. Sudah cukuplah dosaku kepada emak selama ini.

Yang mampu kulakukan ketika itu, hanyalah memandang emak sambil mengucapkan kata-kata memohon ampun dan maaf sekadar dalam hati sambil berharap emak mengampunkan aku dan menghalalkan air susumu yang ku minum sehingga sihat membesar.

Namun, jauh di sudut hati, aku tahu emak memang sentiasa mengampunkan dosa kami kerana emak sering berkata, “Walau macam mana marah pun emak pada anak-anak emak, dosa kalian tetap emak ampunkan dunia akhirat.”

Emak,
Ada kalanya aku terlalu rindu kepadamu, terlalu rindu untuk memanggil dan menyebut “emak”. Rindu itu adakalanya cukup menyesakkan dadaku dan menyeksa jiwaku. Namun rindu itu ku telan diam-diam dan ku simpan dalam-dalam jauh di sudut hati.

Dalam usia begini pun, aku amat ingin kau hadir dalam hidupku; membelaiku, bergurau denganku, menasihatiku dan menghukumku seperti dulu. Aku amat ingin kau melihat cucu-cucumu membesar di hadapan matamu. Aku amat ingin kau berada di sisiku, memberikan aku kekuatan untuk meniti hidup yang penuh cabaran ini.

Dalam usia begini pun, aku masih lagi iri melihat orang lain memimpin ibu mereka yang sudah tua, berjalan dan bercuti bersama. Ada kalanya seolah-olah ada hasutan halus dalam hatiku, mempersoalkan mengapa aku tidak turut diberikan peluang itu bersamamu. Mengapa masa bersamamu amat singkat bagiku?

Tetapi mujurlah aku cepat tersedar lantas beristighfar. Sekurang-kurangnya, walaupun masa yang diberikan Allah dirasakan teramat singkat, kami masih dapat bersamamu sehingga kami dewasa dan boleh berdikari. Ada ramai anak kecil yang tidak pernah berpeluang pun mengenali ibu ataupun ayah mereka. Kami masih bertuah berbanding mereka!

Emak,
Berehatlah emak, berehatlah di sana. Semoga rehat emak rehat yang damai. Kami anak-anakmu akan terus berdoa supaya emak, dan juga Allahyarham abah, dimasukkan ke dalam golongan orang yang soleh dan beriman. Semoga emak, juga abah, terhindar daripada seksa kubur dan azab neraka. Semoga Allah mencucuri RahmatNYA ke atas roh emak, dan juga abah. Amin.

Al-Fatihah.

Wednesday, September 13, 2006

Jutawan Senyap

Baru-baru ini satu isu ditimbulkan oleh media iaitu isu guru sekolah yang membuka kelas tuisyen di rumah.

Di luar waktu kerja, setiap individu berhak atas masanya sendiri. Tetapi persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai kejujuran dan keseimbangan pengajaran guru itu di sekolah dan di kelas tuisyennya. Adakah guru itu melaksanakan tanggungjawabnya di sekolah dengan penuh amanah walaupun dia membuka kelas tambahan di rumah? Atau, adakah dia bersikap mengajar pelajaran yang asas sahaja atau secara sambil lewa kerana mahu lebih ramai pelajar mengambil kelas tambahan di rumahnya dan dengan itu dia akan beroleh keuntungan yang berlipat ganda berbanding gajinya di sekolah?

Muka depan akhbar The New Straits Times (NST) Isnin lalu memaparkan petikan kata-kata daripada dua guru.

Guru 1 kata, “Sebahagian kami mengajar pelajaran yang asas sahaja di sekolah. Kami mengajar apa yang diperlukan sahaja. Untuk pemahaman terperinci, pelajar kena menghadiri tuisyen.”

Guru 2 pula kata, “Guru tidak lagi mahu memberikan yang terbaik di sekolah. Jika kami berikan yang terbaik, tidak ada lagi cara untuk kami mendapat pendapatan sampingan.”

Dua petikan kata-kata itu memang bukan mewakili keseluruhan kaum guru di Malaysia. Tetapi saya tetap berasa gusar dan bimbang kerana ternyata ada guru yang bersikap tidak amanah dan lebih mementingkan poketnya sendiri sahaja daripada masa depan dan kebajikan pelajar-pelajarnya di sekolah. Kalau begitu sikap mereka, bagaimana dengan pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau ramai adik beradik dan keluarganya tak mampu menghantarnya ke kelas tuisyen? Adilkah bagi mereka ini?

Kalau guru tu beragama Islam, halalkah gaji yang diperolehnya melalui kerja yang sambil lewa kerana ada niat lain di sebaliknya? Oppppsss...halal haram itu antara dia dengan Allah kan? Siapa kita untuk mempersoalkannya?

Zaman saya bersekolah dulu, orang pergi tuisyen kalau memang dia jenis lemah atau sangat lembap dalam sesuatu mata pelajaran dan memerlukan bimbingan dan perhatian yang lebih rapi, yang sukar diberikan oleh guru di sekolah. Sebab itu dulu kebanyakan orang hanya pergi tuisyen untuk satu atau dua mata pelajaran sahaja yang dia benar-benar lemah. Sekarang, budak pergi tuisyen bukan kerana dia lemah, tetapi kerana ilmu yang diajarkan di sekolah tidak memadai dan mencukupi sebagaimana yang sepatutnya. Sebab itu kebanyakan budak sekolah sekarang mengambil tuisyen untuk hampir semua mata pelajaran.

Dulu, ketika kaklong hendak ambil peperiksaan SPM, dia pergi tuisyen di rumah guru matematiknya. Cikgu itu baru berpindah ke rumah barunya, jenis banglo berkembar yang tersergam megah dengan halaman yang luas (boleh masuk 10 kereta). Dua kereta jenis mewah berehat di bawah anjung. Di kawasan saya tinggal, rumah sebegitu pada masa itu (lingkungan tahun 2002-2003), berharga antara RM450,000 hingga RM600,000 (ikut keluasan tanah). Kalau sekarang, harganya bermula dengan RM600,000 ke atas. Antara deretan rumah jenis itu di situ, rumah guru itu antara yang mempunyai halaman paling luas. Jadi, sudah boleh diagak berapa harga rumahnya. Kalau nak diikutkan, pendapatan sebagai guru sekolah pasti tidak mampu memiliki rumah dan kereta seperti yang dimilikinya (saya tahu suami guru itu bukan ahli perniagaan, tokoh korporat atau ketua jabatan yang bergaji puluhan ribu).

Cikgu kaklong itu menawarkan dua subjek – matematik dan matematik tambahan. Satu subjek cajnya RM50. Kalau ambil dua subjek, diberikan diskaun RM80. Satu malam kiraan kasar saya ada lebih kurang 30 pelajar yang datang tuisyen (mungkin lebih). Kalau seorang pelajar ambil satu subjek sahaja, pendapatan bersih satu malam sudah RM1,500. Kalau semuanya ambil dua subjek, sudah jadi RM2,400.

Cikgu kaklong buka kelas tuisyen enam hari seminggu. Setiap pelajar yang ambil dua subjek kena datang dua kali seminggu. Andaikanlah semua pelajar ambil dua subjek, bermakna guru itu akan ada tiga kumpulan pelajar yang berlainan dalam seminggu. Kalau daripada satu kumpulan (katakan 30 pelajar) dia dapat RM2,400. Darab tiga, jumlahnya jadi RM7,200 sebulan. Bebas cukai. Wow!

Di atas itu cuma congakan bodoh saya yang tak berapa pandai matematik ini. Bila saya baca laporan di NST, rupa-rupanya angka sebenar boleh mencecah sehingga RM15,000 sebulan! Mungkin inilah yang diistilahkan sekarang ini sebagai ‘Jutawan Senyap’. Guru itu boleh ketawa besar ketika mengisi borang cukai pendapatan setiap tahun dengan mengisytiharkan gajinya yang mungkin hanya RM2,000 atau RM3,000 sebulan. Pendapatan ‘tersembunyi’ RM15,000 itu tak perlu bayar cukai pendapatan kerana tak payah isytihar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. (LHDN) Menurut berita di NST itu lagi, pendapatan tersembunyi itu digunakan untuk membiayai pengajian anak mereka di luar negara, beli rumah besar dan kereta mewah serta bercuti sekeluarga ke luar negara, terutama di Eropah, setiap tahun.

Aduhai!...menyesalnya saya tolak tawaran menjadi guru dulu. Kalau tidak, sekarang ini pasti dah kaya!

Pendapatan guru mengajar tuisyen di rumah merupakan pendapatan bersih, Tak perlu bayar cukai, tak perlu bayar sewa bangunan, tak perlu bayar elektrik dan air, tak perlu bayar kakitangan dan tenaga pengajar lain macam yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang buka pusat tuisyen.

Guru itu tak perlu buat promosi dan pemasaran macam pusat tuisyen untuk menarik pelanggan (pelajar) seperti menggantung kain rentang atau sepanduk atau buat flyers dan terpaksa menjelajah dari rumah ke rumah untuk memasukkan flyers dalam kotak pos. Guru itu sudah ada pelanggan sedia iaitu pelajar-pelajarnya sendiri di sekolah. Pelajar dari sekolah lain pun ada juga hasil iklan mulut-ke-mulut sesama pelajar dan ibu bapa. Tak perlu lagi nak iklankan perkhidmatannya macam yang terpaksa dilakukan oleh pusat tuisyen.

Guru itu juga tak perlu mengeluarkan wang untuk mengikuti apa-apa kursus berkaitan teknik pengajaran terkini dan seumpamanya kerana kalau dia mengikuti kursus sebegitu, semuanya percuma kerana dihantar oleh Jabatan Pendidikan (sekarang ini dah tukar semula kepada Jabatan Pelajaran kan?).

Memang untung kalau buka tuisyen di rumah. Duit masuk setiap bulan beribu-ribu, yang keluar hampir sifar kecuali perbelanjaan yang dibuat semata-mata untuk kegunaan diri dan keluarga sahaja.

Jadi, mengapa tidak semua guru mahu membuka kelas tuisyen?

Soalan itu mungkin telah dijawab oleh seorang guru yang diwawancara dalam berita di TV malam tadi (sama ada RTM atau TV3, saya lupa kerana asyik tukar-tukar saluran). Guru itu tidak membuka kelas tuisyen. Katanya (lebih kurang), “Saya tidak kata buka kelas tuisyen itu tidak baik. Kalau guru itu rasa dia mampu melakukan kerja-kerja di sekolah termasuk persediaan mengajar dan lain-lain itu dengan baik dan pada masa yang sama mampu buka kelas tuisyen, dia bolehlah melakukannya. Saya sendiri tidak buka kelas tuisyen kerana saya rasa tidak mampu melakukan dua kerja itu serentak dengan baik.”

Memang tepat sekali. Perkataan "melakukan tugas dengan baik" itu adalah kunci katanya. Kita bukan meminta guru jangan buka kelas tuisyen. Guru pun sama macam orang lain juga, mahu cari pendapatan tambahan untuk kemakmuran dan keselesaan hidup keluarga. Lebih-lebih lagi kalau tinggal di bandar besar yang serba mahal. Cuma yang kita mahu, berlaku jujurlah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di sekolah kerana itu amanah. Amanah itu termasuk daripada pembayar cukai pendapatan macam saya ini (yang tak ada cara nak kelentung LHDN sebab semuanya ada dalam slip gaji. Kadang-kadang ada orang dapat bonus hujung bulan muka semakin berkerut sebab duit bonus habis buat bayar cukai pendapatan sahaja - Talk about daylight robbery!). Cukai yang kita bayar digunakan antaranya untuk membayar gaji penjawat awam seperti guru. Jadi, pembayar cukai berhak mempersoalkan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas guru.

Selalu juga kita dengar rungutan guru mengenai bebanan kerja yang diberikan kepada mereka. Kata mereka, selain mengajar, mereka perlu membuat persediaan mengajar, perlu menyemak kerja sekolah pelajar, perlu pula terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum, perlu juga buat kerja-kerja pentadbiran, perlu pula menghadiri kursus itu ini di situ di sini. Kata mereka, nampak sahaja mereka mengajar setengah hari tetapi selalunya mereka terpaksa berada di sekolah sehari suntuk. Mereka juga merungut kerana kena ke sekolah untuk kelas tambahan hari Sabtu atau aktiviti lain seperti yang diarahkan.

Bila mendengar semua rungutan ini, kadang-kadang terfikir juga, kalau sibuk sampai begitu sekali, mengapa masih ramai yang ada masa buka kelas tuisyen di rumah atau menjadi tenaga pengajar di pusat tuisyen? Bila pula ada masa bersama keluarga kalau dah sibuk sepanjang hari di sekolah, kemudian kena mengajar tuisyen hingga jam 10 atau 11 malam setiap hari? Mungkin mereka ini jenis pandai membahagikan masa. Yang lain itu, rasanya perlu belajar daripada mereka.

Saya menulis ini bukan kerana hasad dengki atau iri hati kepada guru. Ini mesti saya tekankan kerana trend kini, kalau seseorang mengkritik atau memberi pandangan mengenai sesuatu isu, nanti mesti ada yang kata, “Ha...itulah sikap orang Melayu. Suka hasad dengki sesama bangsa. Tak senang tengok orang maju, mesti dia berusaha nak jatuhkan orang lain. Bukannya dia pula nak cari jalan dan berusaha untuk maju!”

Tak pedulilah apa orang nak kata kerana saya menulis disebabkan prihatin mengenai mutu pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Ini soal masa depan anak bangsa. Anak-anak saya sendiri masih bersekolah dan bakal bersekolah. Jika tidak prihatin dengan nasib anak-anak bangsa, sekurang-kurangnya saya prihatin terhadap nasib anak-anak saya sendiri.

Guru satu tugas yang tersangat mulia. Saya amat menghormati guru dan saya yakin begitu juga perasaan kebanyakan orang. Janganlah guru pula yang membuang rasa hormat itu.

Monday, September 11, 2006

Bohong sunat?

Pak aji ke Korea selama beberapa hari dan dijangka pulang Isnin. Seperti biasa, bila pak aji ke luar daerah (out station), saya tinggal dengan dua anak yang kecil saja di rumah. Kak long di kampus.

Walaupun saya memang jenis yang berdikari dan biasa ke sana sini seorang diri, tetapi sebagai wanita, perlu juga sentiasa berhati-hati kerana wanita yang banyak jadi mangsa jenayah. Tak bolehlah nak tunjuk berani tak bertempat dan mengambil risiko terhadap keselamatan saya dan anak-anak. Sikap berwaspada ini memang jadi amalan saya sejak dulu lagi. Ini kerana tugas pak aji memang menyebabkan dia kerap ke luar daerah sama ada di dalam atau luar negara. Kadang-kadang cuma sehari dua, ada kala sampai berminggu-minggu. Selain itu, kerja saya dulu juga banyak membawa saya ke luar daerah. Ada kala berkumpulan, biasa juga berseorangan.

Pagi Sabtu, saya di dapur dan anak-anak bermain di luar rumah. Tiba-tiba saya dengar mereka menjerit memanggil saya, mengatakan ada orang nak jumpa. Bila keluar, saya lihat ada seorang lelaki berdiri di luar pagar (yang memang sentiasa berkunci). Dia tanya sama ada saya mahu bubuh tar di luar pagar saya.

Saya menolak dengan baik tapi dia seolah-olah mendesak. “Murah saja kak. Kalau taruh tar, depan ni jadi lagi cantik,” katanya. Saya terus menolak dengan alasan suami tak ada di rumah.

“Bila dia balik?” tanya lelaki itu.

Seorang lelaki asing bertanya bila suami ada di rumah sedangkan suami tidak ada di rumah selama beberapa hari. Apa yang perlu dijawab? Terus terang kata suami balik beberapa hari lagi dan mendedahkan diri dan anak-anak kepada kemungkinan bahaya bila dia tahu tak ada orang lelaki di rumah atau berbohong mengatakan suami akan pulang malam nanti?

Bukanlah saya suka berprasangka yang lelaki itu orang ‘jahat’. Mungkin dia seorang yang lebih jujur berbanding saya. Tetapi takkanlah nak beri maklumat peribadi kepada mana-mana Mamat, Ah Seng dan Rajoo yang bertanya. Saya tidak berani mengambil risiko itu. Antara bercakap benar supaya tidak digolongkan dalam golongan munafik atau berbohong untuk menjaga kemaslahatan diri, terutama anak-anak, saya terpaksa memilih yang kedua.

Maka berbohonglah saya, “Malam nanti!”

Terlupa pula saya si kecil berdua itu ada berhampiran, sedang tekun mendengar perbualan saya dan lelaki itu. Kedua-duanya memandang saya serentak dengan mata bulat.

“Eh!....Ayah bukan balik malam nilah mak! Ayah balik Isnin,” kata kakngah dengan suara kuat dan bersungguh-sungguh.

Lelaki itu memandang saya seketika kemudian berlalu ke rumah jiran. Muka saya rasa tebal tiga inci kerana tertangkap menipu. Sedangkan dua wajah kanak-kanak yang bersih itu masih memandang saya dengan pandangan menuduh.

Nak jawab apa ha? Selalu mak kata jangan cakap bohong, nanti Allah tak sayang. Mengapa pula mak yang cakap bohong sekarang? Ha, jawab mak aji, jangan tak jawab!

“Errrr....sorrylah, mak tersilap cakap tadi,” kata saya. Bohong lagiiiii!!!!

Bohong untuk menjaga diri macam ni orang Melayu istilahkan sebagai ‘bohong sunat’. Tetapi sebenarnya tiada istilah bohong sunat dalam agama. Bohong tetap bohong. Mana boleh berbohong dapat pahala!

Secara kebetulan, saya terbaca jawapan Datuk Dr Mashitah Ibrahim kepada satu kemusykilan agama yang bertanya tentang perkara yang sama iaitu dalam keadaan bagaimanakah kita dibolehkan berbohong.

Jawab Dr Mashitah, berbohong adalah perkara yang dilarang dalam agama dan tiada istilah bohong sunat kerana perkara sunat mendapat pahala sedangkan berbohong pula salah satu sifat munafik. Bagaimanapun dalam agama ada tiga keadaan di mana dibolehkan berhelah iaitu pertama antara suami isteri demi menjaga kesejahteraan rumah tangga, kedua dalam peperangan dan ketiga untuk mendamaikan antara dua sahabat yang bergaduh. Kata beliau lagi, ada kalanya manusia berada dalam keadaan tersepit dan tidak dapat bercakap benar kerana hendak menjaga hati semua orang dan juga untuk menjaga nama baik. Kadang-kadang kenyataan seseorang juga boleh disalah ertikan atau sengaja disensasikan untuk tujuan komersial (dengan merujuk kepada situasi yang dihadapi oleh artis). Sebagai manusia biasa, ada ketikanya demi maruah dan mengelak fitnah ada perkara tidak boleh dihebahkan.

Jadi, bohong saya itu termasuklah dalam kategori `bohong tersepit’. Bukanlah bohong munafik. Tetapi, tetap bukan bohong sunat!

Masalahnya, bagaimana hendak menjelaskan kepada si kecil berdua itu supaya mereka faham? Tiba-tiba saya rasa diri ini macam seekor ketam yang hendak mengajar anaknya berjalan lurus pula.

Hai anak! Perjalananmu masih panjang dan masih terlalu banyak perkara mengenai hidup yang perlu kamu pelajari. Semoga Allah sentiasa membimbingmu meniti jalan yang benar. Amin.

Friday, September 08, 2006

Belajar taruh gambar

Hari ini nak belajar letak gambar di blog.


Ha, jadi pun!! Gambar lama abang dan kakngah. Masa ni abang baru dua tahun lebih dan kakngah empat tahun lebih. Jarak umur dua tahun tapi macam kembar - tak boleh berenggang. Kakngah mentor pada abang. Apa yang kakngah buat, abang mesti nak buat juga. Mujurlah kakngah suka barbie doll tapi abang tak ikut suka pula (kalau tidak, haru!).

Wednesday, September 06, 2006

Di tengah panas terik kota

Di tengah kota raya Kuala Lumpur,
disuluh sang matahari panas membara,
jalan bersimpang-siur,
kenderaan bertali arus,
asap dan debu meruap ke udara,
sesak di jalan, sesak di dada, sesak di mata.

Dua kereta tiba-tiba berhenti,
dua anak muda meluru keluar lantas berlengan,
tolak menolak, tunjal menunjal, sepak menyepak,
makin lama semakin rancak.
Dua wanita ikut bergegas keluar,
mungkin isteri, mungkin hanya kawan,
yang nyata, seorang memboyot perutnya,
masing-masing cuba menarik pasangan,
yang enggan dileraikan,
kerana sedang ghairah tunjuk jantan,
hendak beradu taji macam ayam sabung zaman Pak Kaduk,
walaupun menang kampung tergadai.

Kenderaan lain yang mengesot macam kura-kura,
Hanya memerhati, tiada yang berhenti,
(termasuklah yours truly).
Masing-masing punya alasan sendiri;
ada urusan penting, mahu cepat sampai ke destinasi,
malas masuk campur hal orang, tak mahu dikata busy body,
tak mahu tambah sesak jalan, tak fasal-fasal nanti turut kena maki,
takut sebiji dua penumbuk singgah percuma ke muka sendiri,
takut bertabur gigi.
Yang mampu dilakukan, hanya menegur dalam hati,
“Sudah-sudahlah tu oiiii!! Bawa bersabar. Di sini bukan gelanggang tunjuk berani!”

Masing-masing meneruskan perjalanan ke destinasi sendiri-sendiri,
setelah mata sekilas dicuci dengan lakonan tanpa kamera,
di tengah-tengah kota raya yang panas membara.

Aku tak tahu apa jadi pada dua anak muda yang hangat kepala,
mungkin ada yang tidur di hospital,
mungkin ada yang tidur di lokap,
atau,
mungkinkah ada yang tidur terus di `batu dua'?
Segala-galanya mungkin.

Apa pun,
itu bukan senario luar biasa,
di tengah-tengah kesesakan kota raya,
di bawah sinaran sang suria yang hangat membara.

Friday, September 01, 2006

Langgar

Bulan Ogos agaknya bulan kempen “Mari Kita Langgar Kereta Orang” dalam keluarga saya. Kaklong rasmikan “kempen” pada awal bulan, adik saya pula buat “upacara penutup” pada hari terakhir Ogos.

Saya bersantai sahaja di rumah petang tu bila adik telefon. Suaranya panik. “Alang, adik kat tempat parking Giant ni. I hit someone’s car lah! I nak reverse kereta, tak sedar dekat sangat pula dengan kereta tu. Terus terlanggar. Kemik sikitlah. Nak buat apa ha?”

“Do you want to be honest or do you want the easy way out?” saya berseloroh. Saja nak kurangkan panik adik.

“What’s the easy way out?” tanya adik.

“Cabut larilah!” saya ketawa.

“Eh! That’s a good suggestion! Why didn't I think of it before?” dalam panik, adik pun masih sempat bergurau. “But, seriously, what do I do now?”

“Ada dua pilihan saja,” kata saya. “Sama ada adik pergi ke kaunter penerangan Giant, minta staff di situ tolong page tuan kereta atau tunggu sahajalah di situ sampai tuannya datang. Tapi, kalau dia tengah bershopping sakan, jenuhlah nak tunggu.”

“I think I’ll just wait here. Nak tengok tuannya Melayu ke bukan. Kalau Melayu, I will own up. Kalau bukan, I buat tak tahu ajalah,” giliran adik pula berseloroh.

“Habis, kalau bukan Melayu tu bukan orang ke? Dia pun orang juga tau. Dosa menganiaya orang ni sama aja,” kata saya.

“I was just kidding lah! I’ll go page the owner now,” Kata adik.

Saya telefon adik dalam 15 minit kemudian. “Ha... macam mana? Dah jumpa tuan kereta? Dia marah tak?”

“Dah. Adik pergi page dia di kaunter. Lepas tu patah balik ke keretanya. Dia ada di situ tengah masukkan barang dalam kereta. Dia tak dengar pun pengumuman panggil dia tu.”

Menurut adik, tuan punya kereta seorang lelaki Cina pertengahan umur. Dia tak sedar pun keretanya kena langgar sampailah adik memberitahunya. Mereka kemudian bertukar-tukar nombor telefon untuk menyelesaikan soal bayaran membaiki kereta lelaki itu nanti.

Kata adik, dalam panik sebenarnya ada juga terbetik di fikirannya untuk mengambil jalan mudah macam yang saya “cadangkan”, cabut saja dari tempat itu. Tapi dia tak sanggup pula. Keretanya sendiri pernah dilanggar di tempat letak kereta. Yang tukang langgar cabut lari begitu sahaja. Memang sakit hati kalau kena begitu. Berbakul-bakul sumpah pada si tukang langgar yang pengecut itu. Orang yang langgar lari memang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah.

“Hai...larilah budget bulan ni. Tapi tak apalah. At least my conscience is clear,” kata adik.

Yang membuatkan adik rasa tersentuh ialah bila lelaki Cina itu kata, ” I appreciate your honesty and sincerity that you waited for me. I can pay for the damage myself but each of us has to be accountable for what we do because we are honest people. Each of us pray in our own way but I guess, in the end, we pray to the same God.”

Apa pun, bagi saya adik dah buat satu sumbangan yang, walaupun nampak kecil, tetapi besar ertinya dalam menaikkan nama dan imej orang Melayu dan Islam pada mata orang bukan Islam. Apa lagi sejak kebelakangan ini orang Melayu amnya dan orang Islam khususnya asyik dilemparkan dengan pelbagai kecaman dan tohmahan walaupun sebahagian daripada kecaman itu hanyalah diperbesar-besarkan dan tidak menyamai hakikat sebenar. Sekurang-kurangnya lelaki itu mungkin akan kata pada orang lain yang dia pernah bertemu dengan orang Melayu Islam yang jujur.

Berkenaan menyembah Tuhan yang satu itu saya tak berani nak komen banyak sebab saya bukan alim ulama. Ustazah pun bukan. Cuma saya teringat kepada surah al-Kaafirun (surah 109: ayat 6) yang terjemahannya berbunyi:

“Katakanlah; “Hai orang-orang yang kafir.
Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.
Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.
Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.
Bagimulah agamamu, dan bagikulah agamaku.”

Soal kejujuran dan soal akidah, dua soal yang berbeza.