Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan Tahun Baru Hijrah 1428. Hari ini sudah masuk 10 Muharam. Tentu ramai yang merebut peluang berpuasa hari ini.
Tanpa sedar, sudah lebih dua bulan saya tidak mengisi blog. Terlalu banyak kerja dan asyik rasa tak sihat (batuk tak henti-henti) sampai saya tak ada mood langsung untuk “beramah mesra” dengan blog sama ada kepunyaan sendiri atau orang lain. Dah lama saya tak menjenguk blog-blog kegemaran saya. Rindu juga rasanya.
Bila membaca cerita fasal dua orang bloggers yang disaman oleh sebuah kumpulan media gergasi dan pegawai-pegawai atasannya baru-baru ini, saya termenung sebentar. Menulis di blog ini ada juga bahayanya. Bukannya boleh menulis sesuka hati apa yang dirasai, difikirkan, dipandang dan didengar. Sama ada di media cetak atau pun elektronik, tidak wujud sebenarnya apa yang dikatakan kebebasan bersuara dan mengkritik. Saman sampai berjuta-juta ringgit sudah cukup untuk mengecutkan perut blogger sengkek macam saya. Mati hidup balik 10 kali pun tak kan terbayar saman yang berjuta-juta itu!
Tapi blogger jenis tidak serius, sekadar “suka-suka” dan menulis cerita-cerita remeh macam saya ni tak ada risiko agaknya. Tak ada siapa pun yang akan rasa tergugat dengan tulisan saya. Lainlah macam dua orang blogger yang kena saman itu. Tulisan mereka cukup tajam dan pedas menyengat. Tulisan yang jenis lepas dibaca, boleh buat kita tarik nafas panjang-panjang dan berfikir dalam-dalam. Banyak lagi blogger macam orang yang berdua ini yang saya suka pergi duduk melepak di blog mereka. Tapi melepak sekadar membaca sajalah untuk menajamkan minda. Tak berapa berani untuk menyampuk perbincangan yang berapi-api di sana.
Harap-harap, trend saman-menyaman bloggers ini tidak berlanjutan sehingga menjadi semacam satu wabak “pembersihan bloggers” (macam ethnic cleasing) pula. Saya fikir lebih bijak lagi kalau setiap kritikan dijawab atau diberi penjelasan secara “budiman” (gentleman) di media masing-masing yang lebih luas pembacanya berbanding pembaca blog. Saman-menyaman (dengar cerita salah seorang blogger yang kena saman itu dapat kertas saman sehingga sekaki tebalnya!) hanya akan menimbulkan macam-macam prasangka dan spekulasi. Akan hanya memburukkan lagi keadaan. Mulut boleh ditutup dengan saman, tapi hati dan minda tetap meruap dan terbakar macam api dalam sekam. Bahayanya, api itu tetap boleh membakar dalam diam. Tahu-tahu nanti, api sudah marak menyala, tak dapat dipadamkan lagi.
Tapi, yalah! Itu pendapat orang tak pandai macam saya. Orang pandai-pandai tentu lain pula pandangannya.
Bagaimanapun, saya tabik hormat pada bloggers yang tulisannya bisa "mencucuk" punggung sehingga orang boleh melompat dan melatah. Hormat kerana mereka ini berpandangan jauh dan berani mengkritik secara terang-terangan dan dengan itu terdedah kepada segala macam risiko termasuk risiko disaman, dimaki hamun dan dikomen pedas pula oleh pembaca blog mereka. Lebih hormat pula kerana walau apa pun komen sinis dan pedas orang lain terhadap tulisan mereka, mereka tidak cepat sensitif lalu "mengunci" blog mereka untuk dibaca oleh orang tertentu sahaja, malah tetap membiarkan blog mereka "terbuka" untuk diakses oleh sesiapa sahaja.
Meminjam istilah budak-budak sekarang, saya tabik "spring" kepada mereka ini.
Apa pun, sekadar jadi “si kancil yang cuba-cuba nak ikut bertempik sorak di tengah-tengah medan juang sang gajah, harimau, singa, naga dan serigala” , saya pun mahu laungkan slogan “BLOGGERS UNITED!”.
(Heh...heh...heh...! Ternampak-nampak kening pak aji berkerut-kerut kalau dia dapat baca tulisan saya ni! )
Monday, January 29, 2007
Tempikan sang kancil!
Posted by mak aji at 9:24 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment