Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan konvokesyennya yang ke-69 baru-baru ini dan adik saya antara penerima ijazah. Saya ambil cuti dan bersama-sama kak long (anak sulung saya) menemani adik pada hari bersejarahnya itu. Pada saya, hari itu amat bersejarah kerana adik bukan sekadar menerima ijazah setelah empat tahun bertungkus lumus belajar sambil bekerja, tetapi menerima ijazah sarjana muda kelas pertama dan juga Anugerah Naib Canselor kerana kecemerlangannya mendapat Sijil Dekan pada setiap semester.
Tak dapat saya gambarkan betapa bangga dan sayunya hati saya melihat adik melangkah ke pentas untuk menerima ijazahnya dengan memakai selempang Anugerah Naib Canselor. Dalam diam-diam, air mata saya mengalir. Saat itu saya teringat emak dan abah. Kalau mereka ada, pasti mereka berbangga dengan kejayaan adik. Saya rasa ketika itu diri saya berada dalam dewan itu seolah-olah sebagai wakil emak dan abah yang sudah tidak dapat bersama-sama meraikan kejayaan adik.
Walaupun saya menangis diam-diam dan berusaha menyembunyikannya, rupa-rupanya kak long di sebelah tahu saya menangis. Ketika itu dia diam saja. Di luar dewan, dia kata pada saya, “Mum, are you going to cry at everyone’s convocation? If you are, don’t come to my graduation then,” selorohnya.
Ya, saya yang ketika kanak-kanak, remaja dan muda belia dulu susah sekali nak mengeluarkan air mata walau sakit atau sedih macam mana pun, kini sudah bertukar menjadi orang tua cengeng. Kecengengan yang didorong oleh pengalaman dan kenangan-kenangan lama.
Saya peluk adik erat-erat, cium pipinya dan menangis sambil mengucapkan tahniah kepadanya. Tak peduli orang ramai termasuk kawan-kawan adik yang melihat kami. Adik juga menangis sambil berbisik ke telinga saya, “Thank you for everything!”
Ketika itu saya teringat, kematian emak ketika dia baru sahaja lulus di peringkat diploma dulu benar-benar mematahkan semangat adik. Emak tiba-tiba sakit (kanser pankreas sudah di peringkat teruk) masa adik baru sahaja selesai konvokesyen dan belum sempat memohon untuk melanjutkan pelajaran. Memang jelas apa yang diaturkan Allah itu pasti ada sebabnya. Adiklah yang banyak menjaga emak ketika sakit termasuk masa emak duduk di hospital, berbanding saya dan kakak yang masing-masing sudah berkeluarga. Saya pula ketika itu, selain ada anak kecil, melanjutkan pelajaran juga secara luar kampus. Siang bekerja, malam ke kelas. Adik juga yang banyak tolong menjaga anak kecil saya ketika itu.
Selepas emak meninggal, adik tawar hati untuk sambung belajar walaupun saya sering memujuknya. “Nak buat apa? Orang malaslah nak belajar lagi. Lagipun, bukannya emak ada nak tengok orang ambil ijazah nanti!” begitu bentaknya bila saya suruh dia sambung belajar. Selepas itu adik bekerja di beberapa tempat hinggalah akhirnya jadi wartawan juga macam saya (ketika itu). Sehingga kini adik masih lagi wartawan.
Saya pula masih tidak putus asa. Sesekali, walaupun saya tahu dia akan marah, saya cuba juga menyuruh dia sambung belajar. Tetapi jawapan yang diberikannya tetap sama.
Agaknya ibarat air menghakis batu, hati adik lama-lama lembut juga. Empat tahun lalu akhirnya terbuka juga hati adik untuk sambung belajar. Mungkin juga dia ada perancangan baru dalam kerjayanya dan melihat bahawa sekeping ijazah itu sahaja jalan untuk mencapai cita-citanya.
Saya memang berbangga kerana adik mencapai kejayaan yang cemerlang walaupun bukan pada usia muda remaja. Dalam kursus yang diambilnya, hanya tiga orang mendapat ijazah kelas pertama dan Anugerah Naib Canselor. Daripada tiga orang itu, dua adalah pelajar luar kampus termasuk adik.
Daripada pengalaman saya sendiri, bukan mudah untuk belajar sambil bekerja, apalagi kalau sudah berkeluarga. Pelajar sepenuh masa hanya perlu menumpukan masa kepada pelajaran dan aktiviti kampus saja. Pelajar luar kampus pula ada komitmen yang besar terhadap kerja. Siang bekerja, malam ke kelas setiap hari. Bos di pejabat tak mahu tahu masalah kita sebagai pelajar yang kena menyiapkan assignment, tesis atau sedang menghadapi peperiksaan. Yang dia tahu, kerja mesti dibereskan dengan baik. Kadang-kadang, mesyuarat sengaja diadakan sebelah petang sedangkan dia tahu kita perlu bergegas ke kelas. Saya ketika belajar dulu memang selalu macam cacing kepanasan kalau bos buat mesyuarat petang atau diberikan tugasan petang atau malam. Sudahlah ketika itu saya tak ada kereta, kena naik bas dan meredah kesesakan jalan dari KL ke ITM di Shah Alam. Memang cukup mendera mental dan fizikal. Cuti tahunan memang habis untuk musim peperiksaan dan untuk siapkan tugasan. Masa itu tak ada langsung istilah rehat.
Kalau kurang cekal, memang sukar nak menamatkan kursus. Sebab itu, biasanya kelas luar kampus yang penuh pada mulanya, selalunya akan tinggal separuh atau kurang daripada itu pada penghujung kursus.
Sekarang ini adik sedang menyambung pelajarannya di peringkat sarjana pula. Juga masih secara luar kampus. Saya rasa dia lebih gigih daripada saya kerana saya sendiri dulu berhenti kerja dan buat ijazah sarjana secara sepenuh masa.
Adik pernah juga mengadu dia rasa lemah semangat bila dimarahi kakak (kami ada seorang kakak) kerana masih nak sambung belajar. “Apa lagi yang tak habis-habis nak belajar? Umur pun dah lanjut. Bukan budak remaja lagi!” kata kakak.
Tetapi saya tetap memberikan semangat suruh dia sambung belajar hatta ke peringkat PhD sekalipun kalau dia rasa mampu nak belajar. “Menimba ilmu ni tak pernah merugikan walau di peringkat mana pun umur kita. Yang rugi ialah orang yang tak nak belajar. Ada orang masih nak belajar walaupun dah pencen dan dah bercucu. Kalau nak ikutkan, apa lagi yang dia orang tu nak cari? Dah tua pun. But you are still young!” kata saya.
Saya tahu adik sedih dan terkilan kerana emak dan abah tak sempat menyaksikan dia menerima ijazah. Tetapi saya pun dulu emak tak sempat melihat ketika saya menerima kedua-dua ijazah pertama dan ijazah sarjana. Sudah begitu ketentuan Tuhan, apalah daya kita untuk mengubahnya.
Tetapi hati saya puas kerana saya dan adik sama-sama dapat menunaikan hajat emak. Ketika hayatnya emak selalu menyebut, “Emak nak sangat ada antara anak-anak emak yang pakai ‘topi empat persegi’ (topi graduan) tu satu hari nanti.”
Kata-kata emak itu juga menjadi antara pencetus azam saya untuk sambung belajar dulu dan memujuk adik untuk sambung belajar. Kalau orang lain belajar untuk mengejar segulung ijazah, saya pula lebih daripada itu. Selain ijazah, saya belajar dengan azam untuk melayakkan diri memakai ‘topi hitam empat persegi’.
Kami sudah memakai topi itu mak. Kami memakainya kerana emak dan untuk emak! Dan kami akan sentiasa mendoakan semoga emak dan abah berbahagia ‘di sana’. Amin.
Thursday, November 27, 2008
Topi untuk emak
Posted by mak aji at 11:43 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Tahniah buat adik mak aji.. Tahun depan adik saya terima ijazah kat UUM. Rasanya mcm nak jemput semua wartawan dtg nak cerita pada dunia, terutamanya warga peneroka felda. Sbbnya..
1. Ini adik yg no 7 berjaya di menara gading.. Pun dpt Dean list, sayangnya sikit lagi nak 1st class. Yang atas dari no 1 sampai no 6 semua dah merasa topi empat persegi. No 8 pun di UUM, bakal grad lagi setahun. Tinggal yg bongsu shj masih di Sek Men. (terima kasih kepada akak sulong dan suamninya yang memahami)
2. Arwah parents meninggalkan kami semua semasa no 1 baru setahun graduate. no 2 dan 3 masih di IPT. No 3 masih di sek men dan yg paling kecil berumur 2 tahun (skrg dah tkt 4)
Salam Anon,
Jadi semuanya 9 beradik ya? Wah....kaya...kaya! kaya saudara! Tahniah kerana semuanya berjaya walaupun tanpa ibu bapa di sisi. Saya percaya sudah tentu itu berkat tali persaudaraan yang kukuh.
menangis saya baca cerita ni.. situasi saya sekarang sama seperti adik akak. saya terjumpa artikel ni pun ingin mencari cerita2 patutkah saya sambung belajar atau bekerja. ibu saya meninggal kerana kanser payudara seelok saya tamat diploma. masa graduation pun mak xdpat datang sebb kanser mak dah merebak jantung. tulang belakang mak lemah die dah xboleh berdiri. cuma kakak yang tua saja datang bersama teman lelakinya (sekarang sdh jadi abang ipar) kini sudah masuk 2 tahun mak pergi.. d sebbkn kesempitan keluarga. adik2 juga masih muda. masih ade 3 adik di bawah saya. umur 22, 20 dan 19. sekarang. saya bekerja sejak itu. awal tahun ni saya masukkn dua orang adik y berumur 22 dan 20(kedua2 perempuan) ke kemahiran mara. saya support serba sedikit perbelanjaan mereka. smbil di bntu kakk yang tua. kini saya dalam delima untuk sambung belajar atau tidak.. hasrat hati untuk apply ijazah graphic design intake disember 2014 ini. jika saya sambung belajar cukupkah sekadar bantuan pttn.? tentulah tidak cukup..!! adik2 di ikm mara masih memerlukan bntuan dari saya. kakak yang tua pula sdh bekeluarga dan baru lahirkan anaknya y pertama. mana mungkin die dapat membantu saya dr segi kewangan sedangkan adik di ikm pun memerlukan bantuan.? penting diri kah saya kalau tetap sambung belajar tanpa fikirkan kebajikan adik y lain.? hurm.. tapi jauh dalam hati saya.. saya nak sgat sambung beljar sebelum umur saya semakin meningkat.
Post a Comment