Macam tak sempat nak pejam celik, tiba-tiba Hari Raya Aidiladha dah tiba. Masa bagaikan berlari terburu-buru, tak sempat nak dikejar. Saya pun dah lama biarkan blog berkarat. Tak sempat nak mengejar masa (atau malas nak kejar masa sebenarnya ;-).
Hari ini, 8 Dzulhijjah di Malaysia dan 9 Dzulhijjah di Tanah Suci. Banyak keanehan dan tanda tanya mengapa kita jadi lambat beraya berbanding Arab Saudi sedangkan kalau nak ikutkan putaran masa, kita patutnya lebih cepat.
Hari ini orang berwukuf di Padang Arafah dan berpuasa sunat 9 Dzulhijjah. Kita di Malaysia masih terpinga-pinga dan tertanya-tanya, bila sebenarnya puasa sunat Arafah? Nak ikut Malaysia ke nak ikut Arab Saudi? Di kelas tajwid dan kuliah agama saya di pejabat, itulah soalan cepumas yang sering ditanyakan pada ustaz-ustaz.
Panjang lebar jadinya perbincangan. Tapi, inti patinya, kata ustaz, puasa sajalah daripada 1 hingga 9 Dzulhijjah (kalau larat) kerana memang itulah yang dituntut. Kalau nak puasa 9 Dzulhijjah saja, tepuk dada tanya selera. Kita ni hanya pak turut, tak cukup ilmu nak memandai-mandai sendiri. Biarkan yang cerdik pandai menentukan!
Tiba lagi musim orang berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Saya hanya dapat menanggung rindu. Entah bilakah saya akan diberikan peluang lagi (dan lagi) untuk menunaikan haji. Semoga peluang itu diberikan Allah ketika tenaga saya masih kuat untuk mengerjakan ibadah itu yang memang memerlukan kekuatan fizikal dan kesihatan yang baik.
Paling teringin, kalau boleh, diberikan peluang mengerjakan haji sekeluarga pula, selain suami, juga dengan anak-anak. Semoga Allah menunaikan hajat saya itu suatu hari nanti. InsyaAllah.
Raya Haji kali ni kami sekeluarga akan ke Kuala Terengganu, beraya di rumah adik-beradik pak aji, kemudian ke Cerating menghabiskan cuti. Tapi, berita banjir di Pantai Timur agak membimbangkan. Perancangan dah dibuat lama, bayaran bercuti pun dah dijelaskan kepada ejen. Tak boleh nak dibatalkan. Nampaknya kena redah sajalah sambil bertawakal.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
Tuesday, December 18, 2007
Raya lagi
Posted by mak aji at 9:31 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment