Hari ini hari terakhir bulan Disember 2007. Esok, angka 07 bertukar jadi angka 08. Bertambah satu angka pada tahun, bertambah satu angka pada umur. Ada orang kata, apa ada pada angka. Tetapi ada banyak benda pada angka. Kalau barang harga RM10, kita tak cukup RM1, barang itu tak dapat dibeli kan? Begitulah pentingnya angka.
Saya bukan jenis yang suka buat azam tahun baru. Kalau buat azam tahun baru pun, tak kan menjadi sebab tak pernah diikut pun. Pengalaman saya, sesuatu azam itu datang sendiri daripada dalam hati, timbul daripada sesuatu kesedaran dan keinsafan. Azam saya tak ikut masa dan tanpa dipaksa. Tak semua pula azam itu berjaya dipenuhi setakat ini. Masih banyak lagi azam saya yang masih dalam peringkat ongoing.
Salah satunya ialah azam untuk mengulang kaji dan membetulkan semula bacaan tajwid. Tengah ongoing lah sekarang ini. Mula semula mengulang kaji daripada sebutan huruf, sebutan bacaan hinggalah hukum tajwid. Guna buku Iqra’ yang budak-budak tadika gunakan. Rasa macam baru masuk tadika pula. Ustaz kami (tengah buat PhD dalam bidang pengajian al-Quran) pun selalu bergurau memanggil kami ‘budak tadika’. “Lepas khatam buku Iqra’ ni, sebelum naik al-Quran, bolehlah kita buat kenduri pulut kuning!” guraunya selalu.
Memang berbeza antara belajar mengaji masa budak-budak dengan belajar mengaji bila dah tua ni. Masa budak-budak, otak segar lagi, mudah menangkap ajaran guru. Cuma kurang penghayatan kerana belajar bukan atas kehendak sendiri tapi disuruh emak ayah. Sekarang ni, ada lebih penghayatan kerana belajar atas kehendak sendiri. Tapi otak dah berkarat, lambat sikit nak ingat terutama hukum tajwid. Walaupun dah pernah belajar masa budak-budak, tapi asyik terlupa juga yang mana hukum idham, yang mana iqlab; yang mana mad jaiz mutassil, yang mana mad jaiz munfasil; yang mana mad silah, yang mana mad silah towilah (sekadar contoh). Paling lemah ialah bila ustaz suruh buat homework. Setiap seorang diberi satu muka surat ayat dan kemudian disuruh buat pembentangan mengenai hukum-hukum tajwid bagi setiap ayat itu dalam kelas. Nampaknya, lambat lagilah ustaz nak merasa pulut kuning dan ayam golek kami!
Barangkali lepas ini saya nak belajar bertaranum (bacaan berlagu) pula. Mana tahu kot sempat lagi nak bersaing dengan Johan Qariah Malaysia yang tujuh lapan kali menang Musabaqah peringkat antarabangsa macam Hajah Rogayah Sulong atau Hajah Faridah Mat Saman! Hahahaha…angan-angan setinggi langit!. Yang sebenarnya, tak terlintas pun nak masuk musabaqah. Tak ada bakat. Cuma ingin memperbetulkan bacaan sendiri saja supaya lebih yakin membaca dan lebih yakin mengajar anak-anak.
Tahun 2008, anak bongsu dan lelaki tunggal saya, abang, mula bersekolah. Dia ke sekolah rendah agama integrasi yang sama dengan kakngah, anak nombor dua. Nak masuk ke sekolah itu dulu dia kena menduduki peperiksaan dan Alhamdulillah, lulus. Kalau tidak, kami dah sediakan Plan B, masuk sekolah agama swasta. Kakngah pula akan masuk darjah tiga. Anak sulung, kaklong, sekarang dalam tahun tiga di universiti.
Jumaat lalu sekolah abang ada hari orientasi untuk murid tahun satu. Saya dan pak aji sama-sama bercuti untuk menghantar abang. Melihat abang dalam uniform sekolahnya, kemeja lengan pendek putih, seluar panjang biru dan songkok hitam, pak aji kata,”Terasa diri dah makin tua. Anak-anak semua dah sekolah.”
Balas saya selamba, “Memang dah tua pun. Kalau nak ikutkan, kakngah patutnya sekarang ni dalam tingkatan lima atau dah masuk matrikulasi. Abang pula patut dah tingkatan tiga atau tingkatan empat. Nak buat macam mana. Dah reproduction system kita lembap. Umur dah tua anak kecil lagi.”
Pak aji sengih saja.
Begitulah, manusia merancang tetapi Allah yang menentukan sejauh mana perancangan itu berjaya. Kami tak pernah merancang pun untuk menjarakkan anak begitu jauh – 13 tahun antara kaklong dan kakngah. Tetapi Allah menentukannya begitu. Saya percaya pasti ada Hikmahnya.
Begitu cepat masa berlalu, terasa baru semalam mengandungkan kaklong, sekarang dia sudah dewasa, sudah menjadi teman berbual, berbincang dan bertengkar atau kawan pergi bershopping atau bergosip. Kadang-kadang rasa tak percaya pula, bayi yang saya kandung, kendung, dukung, suap dan mandikan dulu sudah lebih besar dan tinggi daripada saya dan kini jadi driver adik-adiknya ke kelas mengaji dan kelas tambahan bila dia bercuti.
Rasanya baru sangat lagi terkejut tak percaya mendengar berita saya mengandungkan kakngah setelah sekian lama menunggu dan dah sampai ke peringkat ‘tak kisah’; atau melihat abang terbaring dalam inkubator kerana lahir tak cukup bulan. Sekarang kedua-duanya sudah bersekolah.
Pejam celik pejam celik, burung-burung kecil dalam sangkar saya dan pak aji ini kian membesar. Sampai masanya akan berterbanganlah mereka untuk menjalani kehidupan masing-masing. Yang sangat saya harapkan ialah kami panjang umur sehingga sampai masanya sayap mereka benar-benar kukuh untuk terbang sendiri.
Monday, December 31, 2007
Celoteh 31 Disember 2007
Posted by mak aji at 11:33 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Mak Aji
Saya ada beli Al-Duran (Rasm Uthmani) yang bertajwid dan disertai makna oleh Ustaz Mahadi bin Dahlan dan Ustaz Azharuddin Sahil dari 10 jilid, 1 jilid 3 juzuk. Ada penanda buku kod hukum tajwid. Dalam Al-Quran tu ditandakan kod tajwid. Senang untuk semakan. Saya pun tengah belajar semula. Al-Quran ni saya beli di kedai buku MPH kat Alamanda. Harga satu jilid antara RM14-18. Selamat belajar dan khatam Quran.
Encik Jo, Thanks for the info. Nanti saya akan cuba cari. Saya ada beberapa buku rujukan tajwid rasm uthmani. Tapi kena juga berguru. Selamat belajar juga untuk Encik Jo.
Post a Comment