Saturday, December 29, 2007

Terkenangkan Benazir

“Benazir Dibunuh”. “Benazir Killed”. Begitu tajuk muka depan hampir semua akhbar hari ini. Sebagaimana dunia terkejut dengan pembunuhan itu, saya juga turut terkejut.

Tiba-tiba saya teringat sesuatu. Terus saya bongkar almari buku. Lama juga membongkar akhirnya berjumpa. Sebuah buku autobiografi Benazir Bhutto bertajuk “Daughter of The East” yang diterbitkan pada tahun 1988. Dalam buku itu Benazir menulis tentang pembunuhan ayahnya Presiden Zulfikar Ali Bhutto, kehidupannya sebagai pelajar di Universiti Oxford dan Harvard, pengalamannya bergelumang dalam politik Pakistan sejak kecil, pengalamannya di penjara, kehidupannya dan keluarganya bawah penindasan Zia ul Haq, perkahwinannya dan banyak lagi.

Buku itu sebenarnya ada kenangan buat saya. Dulu (masa muda-muda dululah, zaman penyokong kuat women's lib dulu, hehehe!), saya amat meminati Benazir, jadi contoh pembakar semangat atau role model lah lebih kurang. Bagi saya, Benazir lambang wanita Islam moden yang dinamik dan hebat; bijak, berkaliber, berpendidikan tinggi, berjiwa kental, tapi masih mengekalkan ciri-ciri ketimuran. Yang paling mengkagumkan saya, dia wanita Islam pertama yang berjaya menjadi Perdana Menteri Pakistan, sebuah negara Islam yang didominasi oleh lelaki. Hingga kini pun saya sebenarnya masih kagum dengan wanita hebat sepertinya.

Buku itu saya beli kerana minat untuk membaca mengenai Benazir. Tak sangka pula saya berkesempatan bertemu orangnya.

Kalau tak silap saya, pada tahun 1989 (tak pasti tahunnya betul ke tidak) diadakan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Commonwealth (CHOGM) di Kuala Lumpur. Antara yang datang untuk menghadiri mesyuarat itu termasuk dua pemimpin wanita, Benazir dan Margaret Thatcher. Saya berpeluang ditugaskan membuat liputan persidangan itu selama seminggu di PWTC.

Oleh kerana tugas saya ketika itu lebih tertumpu kepada menulis isu semasa terutama yang melibatkan wanita, sudah tentulah Benazir dan Margaret Thatcher menjadi tumpuan saya, juga ramai wartawan lain. Kedua-duanya ada persamaan tetapi banyak perbezaan. Margaret memang nampak keras di luar dan keras juga di dalam. Tak hairan dia diberi gelaran “Wanita Besi”. Benazir pula nampak lemah lembut tapi hatinya tak kurang waja. Kalau tidak, tak kan boleh jadi perdana menteri di sebuah negara yang didominasi lelaki dan sering pula bergolak. Selain itu, Benazir lebih muda dan cantik. Cara berpakaiannya yang sentiasa mengenakan pakaian wanita Pakistan berwarna-warni dan lengkap berselendang, melambangkan ciri-ciri wanita Timur, turut menarik perhatian. Satu lagi yang menarik perhatian ialah dia turut membawa anak-anaknya yang masih kecil bersama.

Perbezaan antara kedua-dua pemimpin wanita itu jadi antara bahan tulisan saya ketika itu. Persoalan yang diutarakan ialah, mampukah Benazir bertahan lama menerajui negaranya macam Margaret Thatcher kerana kedua-dua mereka menghadapi suasana masyarakat dan politik yang amat berbeza. Telahan saya itu ternyata tepat sebab tak lama lepas itu dia dipecat atas tuduhan rasuah. Tahun 1993 kembali berkuasa tetapi hanya bertahan lebih kurang tiga tahun saja.

Kembali pada kisah buku, sepanjang CHOGM berlangsung saya bawa buku berkulit keras setebal 333 halaman itu dalam beg sandang, menunggu peluang kalau-kalau boleh menghampiri Benazir untuk minta autograf. Memang bukan senang untuk menghampiri mana-mana pemimpin itu sebab semuanya ada body guard yang mengawal ketat. Yang senang nak dihampiri oleh wartawan tak kira tempatan atau asing, hanyalah PM kita. Tetapi saya tak putus asa. Bawa juga buku dengan harapan ada peluang terbuka bertemu Benazir.

Suatu ketika, kami diberitahu yang Benazir akan membuat sidang akhbar. Maka berkumpullah kami menunggu dalam sebuah bilik yang dikhaskan. Bilik kecil tapi wartawan dan jurugambar asing dan tempatan bukan main ramai lagi berasak-asak dan bersesak-sesak menunggu. Masing-masing tak mahu lepas peluang bertemu dan melihat Benazir secara dekat.

Lama menunggu, akhirnya kami diberitahu Benazir tak jadi buat sidang akhbar. Kecewa, semuanya meninggalkan bilik itu kecuali saya dan dua atau tiga orang lain. Kami kemudian berdiri sambil berbual di luar bilik.

Tiba-tiba kami nampak Benazir datang ke arah kami dengan beberapa orang pegawai pengiring dan body guardnya. Dia terus masuk ke bilik sidang akhbar yang sudah kosong dan duduk di tempat yang disediakan. Kami berempat terpempan seketika tapi tiba-tiba sedar inilah peluang keemasan untuk kami minta autograf. Orang lain tak ada lagi masa tu.

Apa lagi, kami pun berebut-rebut menghulur kertas atau buku kepada Benazir untuk ditanda tangan. Mujurlah pengawal peribadinya tak pula cuba menghalang kami. Benazir tak banyak soal bila buku itu saya suakan kepadanya, terus menurunkan tanda tangannya.

Lepas itu, suasana jadi kelam-kabut dan sesak semula bila orang lain yang dah pergi tadi datang semula. Talk about how news travel fast! Dalam keadaan begitu, memang mustahillah nak hampiri beliau lagi. Lepas habis sidang akhbar, terus dia dibawa pergi oleh pengawal peribadi dan para pegawainya.

Semasa menulis ini, saya belek semula buku itu, merenung dan menyentuh tulisan ringkasnya dengan dakwat biru di helaian depan, “ Sincerely, Benazir Bhutto”. Saya terkenangkan perjalanan hidupnya dan kegigihannya memperjuangkan idealismenya. Kerana idealisme dan perjuangan, orang sanggup buat apa saja hatta memperjudikan nyawa. Begitulah manusia yang berjiwa kental.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang yang soleh. Amin.

Al-Fatehah.

















2 comments:

Sri Diah said...

Salam Mak Aji;
Betul tu, CHOGM di Kuala Lumpur pada 1989 - tahun di mana saya berkahwin. Saya dua tahun jadi wartawan waktu itu. Saya ingat itu sebab saya juga menyukai Benazir. Dia cantik, cerdik dan bersemangat waja. Saya kecewa apabila arus politik Bhutto lenyap dengan kematian Benazir. Harap-harap anak bujangnya itu cepat sedar dan aktif berpolitik.

Anonymous said...

Wa`alaikum salam Sri,

Oo..itu tahun sri kahwin ya? Macam baru semalam kan?

Tapi...keluarga Bhutto macam keluarga Gandhi dan keluarga Kennedy. Keluarga mati berdarah. Takut pewarisnya nanti ikut jejaknya juga...