Yang saya tabik pada dia ialah sikap berani mengaku salah dan letak semua jawatan apabila tahu tembelangnya sudah pecah. Nak buat apa lagi berselindung di sebalik 'lalang sehelai' kalau sudah memang buat salah. Menafikan macam mana pun, 'satu Malaya' dah tahu. Sudah ramai yang menonton DVD lakonannya itu walaupun rasanya dia tak pernah bercita-cita nak jadi pelakon.
Dari segi itu bolehlah dikatakan dia lelaki budiman (gentleman). Tak ramai orang lain yang macam dia sebenarnya. Kebanyakannya akan beriya-iya menafikan perkara yang sudah terang dan tak perlu lagi bersuluh.
Tentang isterinya yang buat kenyataan sudah memaafkan dan akan sentiasa memberi sokongan kepada suaminya, bagi saya itu skrip biasa para isteri dalam keadaan begitu. Apa lagi yang hendak dikatakan? Meluahkan apa yang sebenarnya terbuku di hati pun tiada gunanya. Hanya memberikan 'peluru' untuk orang menggali dan menayangkan hal ehwal keluarga yang amat peribadi kepada umum. Dalam keadaan ini, dia bertindak sebagaimana yang sepatutnya. Berikan kenyataan ringkas supaya jangan berterusan dihambat media dan kemudian berdiam diri. Itulah yang terbaik.
Memang nampak jelaslah ada orang yang mahu menjatuhkan pak menteri ini. Dan ternyata perancangan itu berjaya. Kerjaya politik dan nama baik yang dibina bertahun-tahun, jatuh merudum dan hancur lebur sekelip mata. Hanya kerana nikmat yang sekejap saja.
Tapi, perancangan itu tak kan berjaya kalau yang empunya diri tidak 'memberikan kerjasama'. Yang jadi persoalan dalam kepala saya, sebagai orang lama dalam politik, yang sudah masak dengan tendang terajang politik, kenapa dedahkan diri kepada bahaya fitnah? Tak kan dia tak tahu akibatnya?
Sebagai pemimpin, sepatutnya dia lebih pandai menjaga diri. Bukankah pemimpin selalu memberikan nasihat berapi-api mengenai jati diri, amalan 'bersih', sifat dan sikap terpuji...dan macam-macam lagi nasihat. Mengapa tak amalkan apa yang dinasihati? Lebih-lebih lagi jadi Menteri Kesihatan. Patutnya dia lebih tahu menjaga 'kesihatan' diri. Bukan setakat jaga kesihatan tubuh badan sahaja, kesihatan minda dan nafsu pun kena jaga juga.
Saya tengok berita di TV, ada temuramah dengan beberapa orang yang mengutuk perbuatan merakamkan aksi itu yang dikatakan dilakukan di sebuah bilik hotel. Kata mereka, ini perbuatan melanggar privasi dan takut nanti pelancong lari.
Jadi hairan pula saya. Memang betullah perbuatan itu pada dasarnya melanggar privasi. Siapa pun marah kalau terkena begitu. Tetapi ini bukan rakaman perlakuan sepasang suami isteri yang sedang bercuti dan menginap di hotel. Kalau itu memang boleh dianggap melanggar privasi. Yang ini membabitkan seorang pemimpin dengan perempuan yang bukan isterinya. Dan pemimpin secara idealnya tidak boleh "cakap tak serupa bikin".
(Teringat pula saya cerita seseorang yang menghadiri satu majlis memperagakan busana muslimah. Katanya, dia rasa pelik dan musykil tengok orang yang merasmikan majlis itu berucap beriya-iya fasal busana muslimah dan menasihati wanita Islam supaya mengamalkan berbusana gaya muslimah, tetapi nampaknya dia sendiri belum sampai "seru" untuk mengamalkan nasihatnya sendiri. Tapi tak usahlah hairan. Anggaplah itu cuma sesi bacaan skrip sahaja.)
Nampaknya, keutamaan kita kini sudah berbeza. Yang paling utama sekarang ialah privasi untuk buat kerja-kerja mungkar. Perbuatan sumbang dan salah laku dah jadi soal kedua. Balik-balik hak asasi kemanusiaan yang diperjuangkan tanpa ada tanda aras atau sempadannya. Tidak mengapa kalau pemimpin salah laku selagi perbuatan itu tertutup rapat. Pemimpin boleh buat apa saja yang dia suka di belakang mata orang lain. Depan rakyat marhaen, berilah nasihat supaya jangan lakukan itu ini (yang dia sendiri buat di belakang orang).
Apapun, ini satu lagi bukti yang kejatuhan lelaki lazimnya berasaskan tiga TA: harTA, takhTA dan waniTA.
Orang lelaki kat luar sana tu, cuba-cubalah belajar daripada pengalaman orang lain.
Saturday, January 05, 2008
Kerana waniTA
Posted by mak aji at 2:16 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment