Friday, September 26, 2008

Duka Ramadhan, seronok raya

Semalam kakak saya kemalangan motosikal masa balik dari pasar dengan suaminya. Bukan berlanggar dengan kenderaan lain tapi terlanggar lubang di tepi jalan. Suaminya tak ada apa-apa tapi kakak retak tulang tapak kaki dan kakinya kena simen. Dia kena duduk wad, tak tahulah berapa hari. Kata doktor, nanti kakak kena gunakan tongkat, mungkin selama tiga atau empat bulan.

Inilah yang selalu dikatakan orang, ‘malang tak berbau’. Beberapa hari lagi nak hari raya, kena duduk hospital pula. Tak tahulah pula sama ada dia terpaksa beraya di hospital tahun ini. Nasib baiklah anaknya hanya seorang (sebaya dengan anak sulung saya, kak long) dan sudah bekerja. Tidaklah teruk sangat nak buat persiapan juadah raya.

Kata kakak, mungkin juga dia kena begitu sebab Allah nak kafarahkan dosanya. Dia ambil cuti 10 hari terakhir Ramadhan untuk ‘pulun’ buat ibadah. Malam Qiamullail, siang pula nak habiskan baca al-Quran. Masa nak bercuti, kawan-kawan sepejabat sibuk bertanya kenapa nak cuti lama sangat. Tak kan nak bohong, kata kakak. Dia pun beritahu sebab sebenar nak bercuti lama.

“Mungkin sebanyak sedikit ada rasa riak masa beritahu orang yang angah nak cuti sebab nak beribadah. Sikap riak memang Allah tak suka. Sekarang ni, nak bangun pun tak boleh, nak ke bilik air pun kena duduk atas kerusi roda, kena minta tolong orang bawa. Tarawih entah ke mana, Qiamullail entah ke mana. Nak ambil wuduk pun tak boleh,” kata kakak.

“Tak apalah,”kata saya. “Masih boleh solat lagi. Solat duduk. Nanti kena cari debu nak buat tayamum.”

Begitulah kita manusia ini. Kita boleh buat macam-macam perancangan. Tapi perancangan Allah juga yang pasti berlaku.

Hari ini di pejabat saya merupakan hari terakhir bekerja bagi kebanyakan kakitangan beragama Islam sebelum bercuti panjang hari raya. Inbox saya sekejap-sekejap disinggahi mesej hari raya. Kadang-kadang tak kenal pun siapa pengirimnya. Agaknya seronok sangat nak bercuti raya sampaikan ucapan selamat hari raya dihantar pada semua orang tak kira kenal atau tidak.

Membaca mesej-mesej hari raya yang penuh ceria menggambarkan keseronokan pengirimnya hendak pulang ke kampung berhari raya bersama ibu bapa dan sanak saudara, hati saya tiba-tiba terasa amat sayu. Teringat abah, emak, adik beradik saya, anak-anak, suami, dunia kanak-kanak dan remaja yang telah lama ditinggalkan, dunia yang sedang diharungi kini dan dunia yang bakal diharungi.

Dalam masa begini saya juga selalu teringatkan jasad abah yang berada nun jauh di Jeddah, Arab Saudi. Teringat bagaimana abah ‘menghilang’ tiba-tiba sahaja daripada mata kami. Semoga roh abah dan emak dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Amin.

Lebih sayu lagi apabila teringatkan Ramadhan yang datang senyap-senyap dalam kehidupan kita, singgah selama 30 hari dan secara senyap-senyap juga pergi lagi. Apakah saya akan bertemu lagi Ramadhan tahun hadapan?

Hanya Allah yang tahu.

Friday, September 19, 2008

Tazkirah politik dan Qiam Ramadhan

Saya pernah cerita di sini fasal Surau Ar-Rahmah di Seksyen 8 Shah Alam yang diperintahkan oleh Sultan Selangor supaya ditutup pada awal Ramadhan tahun lalu kerana pertelingkahan ahli jawatankuasa yang berlainan fahaman politik sampai ke tahap solat jemaah dua imam.

Lepas Pilihan Raya Umum ke-12 Mac lalu, surau ini dibuka semula. Alhamdulillah. Bersemaraklah semula surau ini dengan pelbagai aktiviti. Selain ke Masjid Negeri Shah Alam, sesekali kami sekeluarga ke Surau Ar-Rahmah untuk bertarawih. Suatu ketika dulu, kami pernah tinggal di Seksyen 8 dan menjadi anak kariah surau ini. Sekarang, walaupun sudah berpindah, surau ini masih dekat di hati.

Berbeza dengan dulu yang ahli jawatankuasanya berfahaman ‘majmuk’ (tak semua dari satu parti politik), surau itu kini dikuasai oleh ‘orang bulan’ saja. Orang keris dah kena ‘nyah’. Maklumlah, kepala negeri sekarang ini kan orang ‘cop mata lebam’!.

Malam Nuzul Al-Quran saya memilih untuk bertarawih di surau ini. Pergi seorang diri saja sebab pak aji menghadiri undangan majlis berbuka puasa. Kakngah dan abang pula batuk dan selesema dan saya suruh mereka berehat saja di rumah dengan pembantu. Kaklong pula baru sempat dua kali pulang berbuka di rumah dan bertarawih bersama sepanjang Ramadhan.

“Malam ini abang dan kakak cuti tarawih,” kata saya.

Abang merungut, “Tak bestlah tak pergi tarawih....!”. `Tak best’ bukan sebab dia nak bersolat tarawih sangat sebenarnya. Tapi dia seronok beratur ambil moreh selepas solat (di Masjid Negeri) dan duduk makan di tepi dinding masjid. Setiap malam begitu. Letih kami menunggu si abang menikmati morehnya.

Kalau bawa anak-anak bersama, selalunya saya hanya buat tarawih lapan rakaat saja. Witir saya buat di rumah. Kalau sampai 20 rakaat, campur pula dengan witir, mereka jadi resah dan mulalah tak boleh duduk diam.

Malam itu saya ke surau Ar-Rahmah dengan hajat nak buat 20 rakaat tarawih kerana anak-anak tidak dibawa bersama. Tetapi sebelum solat, jawatankuasa surau mengumumkan bahawa pada malam itu mereka nak berikan ‘bonus’ pada jemaah. Buat lapan rakaat sahaja tapi akan diselangi oleh tazkirah. Tak apalah, fikir saya sendirian. Tazkirah diselangi solat tarawih ikut cara Rasulullah s.a.w. Bagus juga tu.

Macam yang dijanjikan, selepas empat rakaat, bermulalah tazkirah. Nama pemberi tazkirah ada diumumkan tapi saya tak ingat siapa.

Pada awalnya baguslah juga tazkirah yang diberikannya itu. Antara yang disentuh, fasal perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dahulu yang meletakkan Islam di tempat yang begitu tinggi dan terhormat suatu ketika dahulu. Sentuh juga fasal kelemahan umat Islam masa kini. Tapi, lama kelamaan, tazkirah sudah bertukar macam kempen politiklah pula. Cerita-cerita berkempen masa pilihan raya dan kebatilan `pihak satu lagi’ turut disentuh.

Saya tak tahu bagaimana keadaannya di kalangan jemaah lelaki. Tetapi kami jemaah perempuan mula saling berpandangan. Ramai yang naik resah mendengar ‘tazkirah’ panjang berjela. Saya perhatikan, lama kelamaan tak ada siapa lagi yang mendengar tazkirah tapi berbual-bual sesama sendiri atau memanggung kepala sambil melelapkan mata, letih! Ada jemaah lelaki yang menjenguk ke tempat kami, mencari isterinya untuk mengajak balik!

Jemaah di sebelah saya berbisik, “Dulu, masa ada seorang wakil rakyat wanita datang tarawih di surau ini, awak ada tak?”. Saya menggeleng. Mungkin masa itu saya ke Masjid Negeri.

“Itulah. Kami semua terkejut. Masa tazkirah, dia terus ke depan sekali, duduk bersama-sama jemaah lelaki. Lepas itu dia pula bangun bercakap. Sebut fasal pengalamannya berkempen. Sebut pula fasal dia banyak guna duit dia sendiri untuk buat itu ini. Sebut fasal kerjanya sebagai wakil rakyat. Kalau ya pun nak berkempen, tak kena tempat dan tak kena masa. Orang nak bertarawih. Bukan nak dengar cerita lain. Dia orang ni gemar mengata orang lain tak betul, tapi dia orang sendiri tak tunjuk contoh yang betul pun! Dalam surau pun tak ikut adab yang betul,” rungut kawan di sebelah saya itu.

Saya pun merungut juga. Tapi lebih banyak merungut dalam hati. Selangor cuti hari Nuzul al-Quran, bolehlah bertazkirah panjang-panjang. Saya pula kerja di KL. KL tak cuti! Terfikir juga nak balik saja. Tapi rasa tak tergamak pula. Solat tarawih baru sempat buat empat rakaat. Kalau balik, kena sambung buat di rumah pula. Tapi hati memang terasa jengkel. Kalau bertazkirah ‘solid’ fasal agama tak apalah juga. Saya sanggup dengar walaupun tiga jam. Ini diselitkan cerita kempen politik. Jelas untuk memancing sesuatu bagi pihak tertentu.

malam itu, hampir jam 11 malam baru saya tiba di rumah yang jauhnya hanya lima minit perjalanan selepas solat tarawih lapan rakaat, solat witir tiga rakaat dan mendengar `tazkirah’ politik yang kebanyakan kami tak dengar pun hujung pangkalnya!

Malam esoknya, saya ke Masjid Negeri saja, memilih untuk berada di satu ‘jajahan’ yang masih neutral (sekurang-kurang ketika solat jemaah). Tak larat lagi nak dengar tazkirah politik. Dapatlah buat solat jemaah tarawih 20 rakaat dan witir tiga rakaat, yang selesai kira-kira jam 10 malam.

Ahli jawatankuasa masjid/surau sepatutnya lebih peka. Bukan semua orang ke masjid, terutama pada bulan Ramadhan yang mulia ini, suka atau mahu mendengar cerita politik tak kiralah politik ‘pihak sana’ atau ‘pihak sini’. Malah, sebenarnya kebanyakan kita sudah semakin muak mendengarnya. Biarlah Ramadhan dipenuhi dengan ibadah semata-mata. Politik yang semakin dikotori oleh mereka yang gila kuasa, sama ada ‘orang sana’ atau ‘orang sini’, tidak layak lagi dianggap sebagai satu ibadah.

Hari ini hari ke-19 berpuasa. Esok bermulanya pencarian keberkatan dalam 10 hari terakhir Ramadhan yang semakin pantas meninggalkan kita. Tahun depan belum tentu kita masih berkesempatan menemui dan menghayati Ramadhan.

Oleh itu, tinggalkan politik kotor di tangga masjid, bergelimpangan bersama-sama kasut dan selipar kotor. Dalam 10 hari yang amat penting ini, mari kita sama-sama mencari Lailatul Qadar.

Friday, September 05, 2008

Pak Samad pulang


Selepas berbuka dan sebelum solat Maghrib semalam, saya terima SMS daripada seseorang tentang berita Tan Sri A Samad Ismail yang meninggal dunia kira-kira jam 5.58 petang itu.

Innalillahi wainnailaihi rajiun.

Di tengah-tengah negara bergolak dengan idealisme yang tidak ketahuan tentang kemerdekaan, semangat kebangsaan, perbezaan fahaman politik, dan 1,000 kecelaruan tentang apa yang benar dan apa yang salah, seorang yang benar-benar terlibat dalam memperjuangkan kemerdekaan negara lebih 51 tahun lalu pergi menemui Tuhannya.

Tan Sri Samad lebih mesra dipanggil “Pak Samad’ sahaja oleh mereka yang mengenalinya, terutama kaum wartawan. Walaupun saya masuk kategori terlalu ‘junior’ dalam alam kewartawanan dan tidak pernah berpeluang bekerja di bawahnya, banyak cerita-cerita tentang kewibawaannya sebagai wartawan yang saya dengar daripada orang lain yang lebih senior.

Agak terkilan juga rasanya kerana Pak Samad sedang sakit tenat ketika ada orang sibuk-sibuk mahu mengubah tarikh sambutan kemerdekaan negara daripada 31 Ogos yang telah disambut sejak 51 tahun lalu kepada 16 September (tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia). Kalau dia sihat, saya rasa patut ada wartawan yang pergi menemu ramah Pak Samad, bertanya pendapatnya tentang itu kerana beliau antara mereka yang menjadi anggota delegasi ke Britain pada tahun 1956 untuk rundingan kemerdekaan.

Sedih memikirkan ada golongan yang sesedap rasa mahu mengubah sejarah negara untuk kepentingan diri sendiri tanpa menghargai jerih payah orang dulu macam Pak Samad yang berhempas pulas memperjuangkan kebebasan negara daripada penjajah.

Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh Pak Samad dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Amin.

Dan semoga Allah selamat negaraku, bangsaku dan agamaku daripada dizalimi musuh-musuh Islam yang nyata dan yang tersembunyi termasuk musuh yang munafik dan fasiq. Amin.

Wednesday, September 03, 2008

Marhaban Ya Ramadhan

Marhaban....marhaban ya Ramadhan!

Alhamdulillah kerana Allah masih memberikan kesempatan untuk saya bernafas dan menyambut Ramadhan tahun ini. Apakah kesempatan ini akan diberikan sehingga ke penghujungnya? Hanya Allah Maha Mengetahui.

Kepada sesiapa yang pernah singgah ke blog ini, sama ada meninggalkan sapaan atau menjadi pembaca senyap, juga kepada mereka yang saya pernah tinggalkan komen di blog mereka, saya mohon maaf jika ada tulisan saya yang pernah menyinggung perasaan.

Lupakan perbalahan sesama kita, lupakan pegangan dan fahaman politik masing-masing, mari kita eratkan ukhwah dan persaudaraan, mari kita raikan Ramadhan!