Wednesday, August 16, 2006

Denda

Pak aji tak banyak cakap bila tengok pintu penumpang dan bahagian sisi sebelah hadapan kereta kemik dan tercalar. Depan kaklong dia cuma kata, “Kan ayah dah kata, hati-hati bawa kereta.”

Hanya saya yang membebel panjang lebar bila tahu kaklong bawa kereta laju dan isi kereta sepenuh-penuhnya dengan kawan-kawannya (saya tahu daripada pensyarah yang keretanya dilanggar kak long bila saya menelefonnya). Nasib baiklah pensyarah itu, Dr M, tak marah-marah. Suaranya lembut sahaja di telefon. Dia kata tak sempat lagi hantar keretanya ke bengkel. Saya berikan dia nombor telefon saya dan suruh dia telefon saya untuk minta ganti rugi. Telefon kaklong pun bukan dia boleh buat apa-apa!

Bagaimanapun, syukur Alhamdulillah tiada siapa yang cedera. Kalau cedera, lagi panjang ceritanya. Tambah lagi kaklong pemandu “P”.

Saya suruh pak aji bawa saja kereta balik dan biarkan kaklong naik/tunggu bas macam selalu. Tapi, bila pak aji pandu uji kereta keliling kampus, dia kata kereta tu okey, tak rosak apa-apa dan masih boleh dipandu.

“Kesian pulak dia susah nak ke kelas,” kata pak aji. Dia nak biarkan dulu kaklong bawa kereta kemik itu, tak mahu segera hantar ke bengkel.

Di tempat parking kereta di kolejnya, kaklong peluk ayahnya tanda minta maaf dan terima kasih sampai pelajar-pelajar lain yang lalu-lalang di situ tertoleh-toleh. Hairan agaknya tengok anak dara besar panjang macam tu tak malu memeluk ayah, lebih-lebih lagi di tempat awam. Tapi kaklong memang macam tu. Manjanya dengan ayahnya terbawa-bawa sampai ke besar. Dah banyak kali ditegur, tak manis ditengok orang anak dara dah besar panjang masih bermanja-manja dengan ayah. Tapi kaklong jawab selamba, “Apa fasal pula dia orang tu nak jealous? Ini ayah orang!”

Di belakang kaklong, barulah pak aji membebel. Dia memang macam tu selalunya. Jarang nak marah depan anak. Tapi di belakang, telinga sayalah yang kena menadah bebelannya. Dia suruh saya ulang apa yang dibebelkannya itu pada kaklong. Saya pula kena jadi penyampai bebelan. Pada mata anaknya, emaknya inilah yang kuat membebel. Ayahnya baiiiiikkkkkk!!!

“Kenapa you tak cakap sendiri pada dia?” Tanya saya.

“Tak sampai hati bila tengok muka dia. Youlah tolong cakap,” jawab pak aji.

Pulak dah!

“Kita tak boleh biarkan kaklong macam tu saja. Dia kena juga didenda. Biar dia tahu fasal tanggungjawab. Berilah idea apa nak buat,” kata pak aji.

Saya cadangkan, bila kaklong cuti semester selama tiga bulan nanti, jangan berikan elaun bulanannya macam selalu (masa tengah ada kelas ni elaun bulanan janganlah ditarik atau dikurangkan pula. Nanti tak makan pula anak aku tu!). Lepas tu, suruh dia kerja masa cuti untuk bayar ganti rugi baiki kereta.

“Bagus tu. Tapi jangan bagi dia kerja di McDonald ke, KFC ke. Suruh dia kerja di mana-mana tadika/taska atau pusat tuisyen,” kata pak aji.

Ok, sama-sama dah setuju “hukuman” untuk kaklong tu. Yang tukang sampaikan berita “baik” tu pada kaklong siapa lagi kalau tak makcik ni jugalaaaaahhhhh!!!

“What? Work at tadika/taska? Ohhh....tidak! Why can’t I work at McD or KFC?” teriak kaklong.

“Because, that is also a form of punishment for you, my dear!” kata saya.

“You are so evil,” keluh kaklong. Ayat kegemarannya sejak dulu bila didenda.

HA....HA....HA.... laughed the evil mum while dad is still wearing that shiny halo above his head.


No comments: