Kakngah (anak nombor dua) sekarang ini belajar dalam Tahun Satu. Hari Isnin dan Selasa dia ada subjek sains. Isnin lalu dia mengadu kena berdiri sepanjang kelas sebab tak bawa buku aktiviti sains. Ada empat orang budak lain pun kena berdiri juga. Kata cikgu, kalau hari Selasa tak bawa juga buku tu, kakngah dan kawan-kawannya kena berdiri lagi. Mungkin juga nanti kena cubit.
Saya tak tahulah mengapa budak-budak yang berempat lagi tu tak bawa buku aktiviti sains itu ke sekolah. Adakah mereka terlupa atau memang tak ada buku. Tapi dalam kes kakngah, sebenarnya, sejak awal tahun lagi kami dah puas mencari buku tu di sana sini. Semua kedai buku yang disinggahi kata buku itu “out of stock”. Kedai buku sekolah pun sejak Januari hingga Ogos, beri jawapan sama. Habis tu nak buat macam mana? Tak kan nak cetak sendiri buku tu kot!
Waktu pagi, pak aji yang menghantar kakngah ke sekolah. Pagi Selasa lalu, sampai saja di sekolah, pak aji terus ke bilik guru dan suruh kakngah pergi panggil guru sainsnya keluar berjumpa pak aji (bilik guru di sekolah itu berasingan untuk guru perempuan dan guru lelaki. Guru sains kakngah perempuan).
Bila guru itu keluar berjumpa pak aji, terus pak aji tanya dia di mana hendak cari buku aktiviti itu sebab kami dah puas cari tapi tak jumpa. “Saya dah pergi merata-rata cikgu. Sampai ke Bangi, sampai ke Klang pun saya dah pergi. Semuanya tak ada buku tu. Di kedai sekolah pun tak ada. Habis nak cari di mana ya?” tanya pak aji.
Cikgu sains kakngah pun mengaku yang buku itu memang susah nak cari. Kedai buku sekolah pun sejak awal tahun tak ada stok. Pak aji beritahu cikgu tu yang dia akan terus berusaha cari buku itu sampai dapat.
Kata pak aji pada saya, dia cuma nak sampaikan mesej pada cikgu tu yang kami bukanlah sengaja tak ambil berat hal anak di sekolah. Tapi ada perkara memang di luar kuasa kita, tak boleh nak buat apa. Apa lagi anak-anak kecil itu. Mereka lagilah tak tahu apa-apa.
“Bukanlah cikgu tak boleh marah atau denda anak kita. Kalau nakal atau malas bolehlah didenda. Tapi biarlah kena pada tempatnya. Orang salah pun diberi peluang bicara di mahkamah dulu baru dihukum. Ini cikgu tu hukum budak-budak tak siasat dulu. Patutnya dia tanya dulu kenapa tak bawa buku. Terlupa ke? Tak ada buku ke? Kalau tak ada buku kenapa? Tak ada duit nak beli ke? Tak ada jual di kedai ke? Janganlah terus didenda budak-budak tu. Mereka pun jadi keliru sebab bukan salah mereka,” rungut pak aji pada saya.
Malam itu saya tanya kakngah. “Kakak kena berdiri depan kelas lagi tak hari ini? Cikgu sains cubit kakak tak tadi?”
Kakngah menggeleng, senyumnya lebar. “Tak ada”.
Syukur Alhamdullillah. Berjaya juga usaha pak aji menyelamatkan anaknya!
Thursday, August 17, 2006
Kasih ayah
Posted by mak aji at 10:06 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment