Abang mengadu, “Mak, semalam kan, Yasmin pukul abang.” Yasmin pergi ke Tadika yang sama dengan abang. Umurnya setahun lebih tua daripada abang.
“Kenapa pula Yasmin pukul abang? Abang pukul dia ke?” Tanya saya.
“Taaaaakkkk!” panjang nada abang menafikan.
“Habis tu, abang ada ambil barang dia ke?”
“Taaaakkk!”
“Abang kacau dia ke?”
“Taaakkkk!”
“Habis tu, kenapa dia pukul abang?”
Abang mengangkat kedua-dua bahunya. “Entah, abang tak tahu. Abang cuma cakap dia gemuk aja. Lepas tu terus dia pukul abang.”
Saya gelak. Adik saya yang ada sama pun ikut gelak. Adik saya kata pada abang, ”Abang, never tell a lady she is fat. You will surely get it from her!”
“But she IS fat!” abang berkeras.
Inilah yang dikatakan orang, “Sebab pulut santan binasa. Sebab mulut badan merasa”.
Risau juga saya tengok si abang ni. Kadang-kadang mulut dia laser sangat.
Dulu, depan kami dia kutuk rambut seorang budak perempuan (juga sama tadika dengan dia). Budak itu cantik dan comel bertocang dua. Tapi abang cakap pada dia, “Rambut awak macam rabbit!”
Budak itu memasamkan mukanya, “Tapi ini mama kita yang ikatkanlah!”
“Yalah.....tapi macam rrrrrabbit!” cemuh abang, menggulung huruf “r” lebih tebal di lidahnya untuk menekankan lagi kritikan fesyennya.
Budak perempuan itu mula mencebik hendak menangis.
Entahlah abang.... jangan buat perangai mulut laser macam ni sampai ke besar. Nanti semua perempuan pakat-pakat boikot abang!
Ada dua perkara abang kena belajar di sini.
Pertama, kadang-kadang lebih baik simpan sahaja diam-diam pandangan kita sebab bukan semua orang boleh terima komen yang jujur. Lazimnya orang hanya mahu dengar apa yang sedap di telinganya sahaja walaupun tak benar.
Kedua, belajarlah berdiplomasi sikit bila nak kritik perempuan!
Wednesday, August 30, 2006
Mulut laser
Posted by mak aji at 7:56 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
Mak Aji, salam perkenalan. Nanti abang akan belajar berdiplomasi lah tu...nanti bila dah jumpa yang membuatkan lidahnya kelu tak terkata.
Salam perkenalan juga untuk kakteh,
Blogger tersohor singgah di blog merapu mak aji. I'm honoured.
Ha..ha...betul tu kakteh. Takut dah besar nanti, lidah terus kelu jumpa perempuan.
Jangan lah sekat abang tu dari mengatakan opinion dia, takut nanti dia terus tak nak bagi kritikan membina tu :-).
Macam kak teh kata, satu hari dia akan jumpa seorang akan membuat lidahnya kelu hehe.
Pasal cara nak buat link tu, camni cara dia.
1. Highlightkan nama/perkataan yg yang mak aji nak bubuh link tu.
e.g Klela <---hilite kat situ,
2.Tekan icon "link" kat atas tu. Akan keluar pop-up window "http:// " Masukkan link kat situ misalnya "melayu-okinawa.blogspot.com"
Jadilah tu. Selamat mencuba :-)
Wah, abang berkata benar walaupun pahit untuk diterima dan abang berkata jujur kerana dia telah diajar supaya jangan menipu berdasarkan apa yang dipandang. Budak-budak memang naif, orang dewasa yang kadang-kadang menjadikan mereka keliru. Salam perjuangan untuk Mak Aji. Ya, masih PERTAMA belum bersara ;-)
AN, terima kasih ajar buat link. nanti boleh cuba ni. Fasal abg tu, memang tak berapa sekat dia bercakap. Itu yg main ikut sedap dia aje tu...
Sri, memang kadang-kadang orang dewasa yang kelirukan kanak-kanak. Kita suruh mereka cakap benar, kemudian suruh pula "bohong sunat". Tapi ini sikap orang Melayu saja ke?
Post a Comment