Monday, August 07, 2006

Perihal angin, pokok dan beruk

Kata pepatah Melayu, “Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang.” Tapi ada orang kata, pokok tak semestinya digoyangkan oleh angin. Kadang-kadang pokok bergoyang sebab digoncang beruk.

Ha…ha….ha…he...he...he...! Betul juga tu! Kadang-kadang pokok pun boleh bergoyang sebab ada tupai melompat-lompat. Kadang-kadang pokok bergoyang sebab dipanjat orang. Boleh jadi juga sebab ada orang tengah menjolok buahnya. Bergoyang jugalah pokok tu!

Yang musykilnya, mengapalah beruk-beruk dan tupai-tupai dan orang (bukan orang-orang tau! Yang itu scarecrow yang terpacak di tengah sawah untuk menakutkan burung-burung masa musim padi masak) itu semua nakal sangat mengusik pokok yang sebatang tu. Kenapa tak goyang sama pokok-pokok lain? Bukan pokok nan sebatang itu sahaja yang ada potensi tumbuh subur meninggi sampai boleh menghalang semua yang ada di bawahnya daripada mendapat kehangatan cahaya sang suria, nyaman hembusan bayu atau kesegaran air hujan.

Agaknya....(ini teori kosong sahajalah, bukan teori berasas), sebab pokok nan sebatang itu tempat paling suka disinggahi pontianak harum sundal malam yang jelita untuk tempat bersantai. Maka cemburulah beruk-beruk, tupai-tupai dan orang yang melihatnya maka digoncangkanlah pokok itu supaya sang pontianak itu terbang lari. Padahal, sang pontianak hanya sekadar singgah berteduh di pohon rendang. Kasihan sang pokok, kasihan sang pontianak.

Lagi kasihan pada serangga yang merayap, unggas yang berterbangan dan mergastua yang melata menumpang hidup dan mencari makan di hutan hadhari yang permai ini. Setiap kali ada beruk, tupai atau orang menggoncang pokok, serangga, unggas dan mergastua turut sama terkena bahananya.

Macam sekarang inilah, tak tahulah fasal angin atau fasal beruk, ada pokok tua yang keras batangnya, kukuh akarnya dan tinggi duduknya, tengah meliuk-lintuk melibas pokok-pokok muda dan tak berapa muda di sekelilingnya. Maka bertempiaranlah serangga, unggas dan mergastua lari mencari perlindungan. Takut terkena ranting dan dahan yang terpelanting di sana sini. Tapi, haiwan yang melata ini pun tak lari jauh. Masih seronok juga nak jadi pemerhati. Masing-masing ingin nak tahu. Kesudahannya nanti, pokok mana yang akhirnya megah berdiri?


Yang pasti, pokok mana pun yang tegak berdiri, hidup haiwan yang melata tetap macam itulah juga........... Yang untung, tetaplah kaum sang beruk juga!

No comments: