Persoalan murtad yang heboh diperkatakan dan menjadi kegusaran dan kebimbangan di kalangan umat Islam kini mengingatkan saya kepada suatu pengalaman yang pernah saya sendiri lalui ketika awal remaja dulu. Niat saya menulis ini bukan untuk memprovok atau menimbulkan kegusaran sesiapa tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan mengajak kita berfikir, apakah sumbangan kita sendiri untuk membanteras gejala ini daripada berleluasa. Apakah cukup sekadar heboh bercakap sahaja? Pernah tak kita buka mata dan pandang sekeliling untuk melihat apakah peranan yang kita sendiri boleh buat, walau sekecil mana pun, untuk menangani masalah ini.
Zaman budak-budak dahulu, saya cukup berminat pada pancaragam sekolah (brass band). Rasa kagum tengok kehebatan ahli-ahli pancaragam dengan uniform kemas berwarna-warni, lengkap dengan but dan topi, mengayun langkah serentak sambil bermain alat muzik. Lebih hebat lagi melihat gaya drum major mendahului perbarisan sambil memutar dan melambung baton. Maka berangan-anganlah saya untuk menjadi ahli pancaragam sekolah jika ada peluang suatu hari nanti. Kalau boleh, saya pun mahu jadi drum major. Alangkah hebatnya!
Malangnya, di sekolah saya itu, sebuah sekolah baru di Kuala Lumpur, tiada pancaragam. Waktu itu awal tahun 1970an dan saya baru memulakan sekolah menengah, baru berpindah dari sebuah bandar di Johor (saya lahir, bersekolah rendah dan bersekolah agama di Johor walaupun ibu bapa saya bukan orang Johor).
Hinggalah pada satu hari terpampang satu notis yang cukup menggembirakan saya di papan kenyataan sekolah. Notis mengenai pelawaan untuk semua pelajar (sekolah saya sekolah perempuan) menyertai pasukan brass band satu perkumpulan yang dipanggil Girls Brigade (masa itu saya fikir Girls Brigade itu lebih kurang sama dengan Girls Guide atau Pandu Puteri. Masa itu mana ada perkumpulan Puteri Islam). Menurut notis itu, perkumpulan itu khusus untuk pelajar remaja perempuan. Siapa berminat bolehlah mendaftar diri dan menyertai latihan setiap pagi Sabtu di sebuah sekolah lain (bukan di sekolah saya).
Selepas puas memujuk emak, berjayalah saya mendapat keizinan pergi menyertai latihan itu setiap pagi Sabtu. Bukan mudah sebenarnya untuk diberi izin sebab emak memang cukup keras peraturannya dan kami anak-anaknya tidak bebas ke mana-mana sesuka hati. Lagipun, emak berniaga kuih muih dan tenaga saya diperlukan untuk membantunya di gerai. Banyaklah soalan emak mengenai kumpulan yang saya mahu masuk itu tetapi akhirnya dia benarkan bila saya kata kumpulan itu sama macam Girls Guide tapi “lebih baik” lagi kerana ada brass band.
Bersama beberapa orang kawan, saya pun pergilah mendaftar dan menyertai sesi latihan di sekolah yang disebutkan. Sebuah sekolah yang asasnya sebuah sekolah missionary, namanya juga sudah cukup menggambarkan latar belakangnya.
Maka seronoklah kami semua berlatih berbaris dan bermain alat muzik. Ada ramai remaja menyertai perkumpulan itu, termasuklah remaja Melayu seperti saya (dan saya andaikan kalau Melayu mestilah Islam). Kami semua dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan berlatih secara bergilir-gilir antara berbaris dan bermain alat muzik.
Pada setiap akhir latihan, kemuncaknya ialah kami diminta masuk ke dewan besar sekolah beramai-ramai dan diajar menyanyi. Seorang daripada facilitator latihan akan bermain piano (atau mungkin organ, saya sudah lupa) manakala yang lain memimpin kami semua menyanyi. Bukan lagu Rasa Sayang, bukan lagu P Ramlee, bukan lagu Sharifah Aini. bukan lagu A Ramlee, bukan lagu Julie Remie, bukan lagu Abba, bukan lagu Tom Jones, bukan lagu Cliff Richards dan bukan lagu Engelbert Humperdick, tetapi lagu-lagu memuja Isa anak tuhan. Sampai sekarang saya masih ingat seni kata salah sebuah lagu tersebut yang terang-terang memuja Isa.
Saya baru 13 atau 14 tahun ketika itu. Saya pernah bersekolah agama. Saya tahu siapa Nabi Isa as dalam ajaran Islam. Saya juga tahu siapa Isa anak tuhan dalam ajaran “mereka”. Dan, saya juga pernah mendengar nama Jesus seperti yang disebut-sebut dan dipuja-puja dalam lagu-lagu itu.
Saya jadi keliru, takut dan serba-salah. Bila masa menyanyi saya pandang keliling. Semua orang menyanyi ikut seni kata yang diberikan dalam sekeping kertas kepada setiap kami. Budak-budak Melayu pun ikut menyanyi. Saya sendiri tak tau nak buat apa. Kadang-kadang saya hanya mendiamkan diri. Kadang-kadang saya ikut menyanyi sebab iramanya sedap pula didengar. Lagipun, seronok menyanyi diiringi piano/organ. Anak orang susah macam saya mana ada peluang menyanyi diiringi piano/organ sebelum ini. Tetapi, jauh di sudut hati saya rasa amat bersalah. Cuma saya tak pasti mengapa saya rasa bersalah. Saya hanya menyanyi. Selain lagu-lagu memuja Isa anak tuhan, ada juga lagu “Let it Be” nyanyian kumpulan The Bettles (kalau tak silap saya) dan saya memang biasa mendengar lagu itu di radio. Tak kan salah menyanyi lagu tu, fikir saya. Ketika itu, saya berperang dengan perasaan.
Facilitator cukup mesra alam. Senyuman sentiasa menguntum di bibir. Suara lemah lembut. Mereka menjadikan suasana cukup seronok dan meriah. Kalau dilihatnya sesiapa tidak menyanyi, dia akan datang rapat dan sambil senyum mesra mengajak ikut menyanyi dengan kata-kata memberi perangsang seperti, “Come on girl, let us sing together now. Let us all enjoy the session!” sambil berdiri di sebelah untuk memastikan budak itu menyanyi bersama. Kadang-kadang bahu kita dipeluknya sambil menyanyi.
Sikapnya memang cukup berbeza dengan ustaz/ustazah atau cikgu di sekolah yang kebanyakannya bengis belaka, kuat membebel, suka marah-marah, suka menghukum dan kadang-kadang mengeluarkan perkataan yang tak sedap di telinga seperti, “Kenapalah awak ni bodoh/bebal sangat?” atau “Awak ni pekak ke?” atau “Awak ni bisu ke?”
Lepas menyanyi kami diajak membasahkan tekak dengan air kosong yang sudah tersedia di sudut dewan. Sekali lagi perasaan takut datang dalam diri saya tetapi saya tak tahu mengapa. Macam-macam yang terbayang di fikiran saya. Yang utama sekali terbayang ialah wajah emak dan abah. Saya seperti ternampak-nampak emak mengerutkan kening dan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata, “X (nama saya) buat apa ni?”. Walaupun mungkin air itu sebenarnya cuma air kosong biasa, tetapi saya berprasangka yang lain. Saya tidak jamah air itu walau setitik pun kerana takut. Biasanya bila orang lain pergi minum, saya akan cepat-cepat cabut keluar dewan.
Begitulah selama tiga minggu (tiga Sabtu). Saya pergi juga menyertai latihan sebab teringin sangat nak jadi ahli brass band, tetapi hati saya semakin tidak senang dengan sesi nyanyian di dewan dan sesi minum air selepas itu. Saya teringin nak bertanya kepada sesiapa mengenai lagu dan air itu tetapi saya tak tahu kepada siapa nak diajukan soalan saya. Nak tanya ustazah di sekolah, ustazah tidak berapa “mesra alam”. Rasa takut nak pergi bersembang. Saya pula memang jenis tak berapa pandai nak beramah mesra dengan cikgu. Nak tanya emak, saya takut dimarahi kerana masuk kumpulan yang ada belajar menyanyi lagu Isa anak tuhan. Saya rasa, kalau emak tahu mesti dia marah dan suruh saya berhenti sedangkan saya masih berminat nak jadi ahli pancaragam. Ini sahajalah peluang yang ada untuk mencapai cita-cita saya itu.
Walaupun saya masih pergi latihan, hati saya sudah tidak lagi seseronok dulu. Minat nak jadi ahli brass band pun semakin pudar. Saya yakin saya sudah melakukan suatu kesalahan. Saya takut saya murtad sebab menyanyi lagu Isa anak tuhan setiap minggu (walaupun saya lebih banyak menutup mulut atau pura-pura menyanyi bila disuruh). Fikir saya, “Aku pernah sekolah agama. Aku pernah diajar mengaji al-Quran dan berzikir. Kenapa sekarang aku memuja-muja Jesus?”
Akhirnya, selepas tiga kali menghadiri latihan, saya buat keputusan sendiri untuk berhenti sahaja daripada kumpulan itu. Biarlah saya tak dapat jadi ahli pancaragam, tak dapat jadi drum major asalkan hati saya tenang dan senang. Asalkan saya tidak lagi sentiasa rasa bersalah dan berdosa.
Sampai sekarang saya sebenarnya tak tahu apa misi sebenar perkumpulan itu ketika itu. Adakah tujuan mereka hanya untuk melatih ahli-ahli baru brass band semata-mata atau ada tujuan lain yang tersembunyi. Tahun 70an kes murtad belum lagi banyak didengar. Kecuali kawan-kawan saya yang sama-sama berhenti selepas saya “menakut-nakutkan” mereka dengan kebimbangan saya, saya tak tahu sama ada remaja Melayu (dari sekolah lain) yang jadi ahli perkumpulan itu meneruskan aktiviti mereka atau turut berhenti. Saya pun sebenarnya sudah lupa peristiwa itu sehinggalah seorang kawan (bukan Islam) baru-baru ini bercerita mengenai anak lelaki remajanya yang menjadi anggota Boys Brigade dan aktif dengan kerja-kerja missionary sehingga ke luar negara. Lalu dalam diam saya mengaitkannya dengan Girls Brigade yang pernah saya anggotai tiga dekad lalu.
Saya bersyukur kerana Allah melindungi saya. Allah beri saya Hidayah untuk berfikir dan memilih jalan yang benar. Tiada orang dewasa yang memimpin saya ketika itu. Keputusan itu saya buat sendiri selepas berperang dengan perasaan sendiri. Dan saya berterima kasih kepada Allahyarham emak dan abah kerana menghantar saya ke sekolah agama, sekali gus memberikan asas agama yang kukuh di jiwa saya. Doa saya supaya Allah terus memberikan Hidayah kepada saya sekeluarga terutama anak-anak saya supaya mereka sentiasa selamat dunia akhirat. Lebih-lebih lagi dalam senario dunia kini yang cukup hebat dugaannya untuk umat Islam.
Cuma satu yang saya kesalkan, mengapakah guru-guru Melayu/Islam di sekolah saya tidak langsung prihatin dengan perkumpulan seperti itu? Lebih separuh guru di sekolah saya adalah Melayu/Islam. Ustaz dan ustazah pun ada beberapa orang. Mengapa tiada seorang pun yang ambil sedikit masa untuk meneliti notis pelawaan tersebut sebelum menaikkannya di papan kenyataan? Mengapa tiada seorang pun yang menyelidik apa sebenarnya Girls Brigade itu dan di bawah badan induk manakah ia bernaung? Mengapa tiada seorang pun mengambil inisiatif untuk memberi amaran bahawa perkumpulan itu hanya untuk remaja bukan Islam?
Inilah yang saya katakan pada awal tadi, dalam kita heboh bercakap soal gejala murtad, kita kena lihat diri sendiri apakah peranan dan sumbangan kita sendiri dalam menangani gejala ini. Ada kalanya peluang melakukan sesuatu ada di hadapan mata, tetapi kita abaikan begitu sahaja kerana sikap kita yang tidak ambil berat apa yang berlaku pada orang lain.
Sebelum kita heboh menuding jari ke arah kuman di seberang lautan, mari kita lihat dulu gajah di hadapan mata! Sebenarnya, walau sekecil mana pun, kita semua ada peranan masing-masing untuk memelihara dan menegakkan syiar Islam yang suci.
Friday, August 25, 2006
Murtad
Posted by mak aji at 3:28 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
"menuding jari ke arah kuman di seberang lautan, mari kita lihat dulu gajah di hadapan mata".
Orang melayu-muslim di Msia sekarang banyak double standard (ukuran kembar).
Satu ukuran untuk diri dan satu lagi ukuran untuk orang lain.
Untuk orang lain tidak boleh maafkan, untuk diri minta dimaafkan secepat mungkin.
Untuk orang lain menjadi salah, untuk diri minta difahamkan perbuatan salah yang dilakukan (bila dia yg buat tak menjadi salah gitu).
Anak orang lain tersasul cakap salah, anak sendiri cakap salah hari2 tak apa.
Anak orang lain nampak buruk, anak sendiri apa pun perangai nampak baik.
Alhamdulillah, saya tidak hidup dalam masyarakat melayu.
Salam kenalan mak aji.
Tahun bila mak aji pergi Mekkah?
Mungkin kita tinggal di hotel bersebelahan di Mekkah.
W`alaikum salam wrt Kak lela,
Wah... rupa-rupanya ada juga orang sudi baca blog saya yang merapu ni. Terima kasih kak lela kerana menjadi orang pertama meninggalkan komen.
Saya setuju orang Melayu memang banyak double standard. Tapi saya rasa bukan orang Melayu saja, kaum lain (sekurang-kurangnya di Malaysia)pun sama.
Saya ke Makkah tahun 2002. Mungkin saya pun akan tulis pengalaman di sana nanti. tengoklah kalau rajin.
Assalamualaikum Makaji,ini adalah satu entry yang baik AY harap ramai yang akan datang membacanya. Memang benar, memang tak dapat dinafikan "mereka" ini punya satu stail yang sungguh menarik, apa lagi dikalangan remaja. Marilah kita sama-sama menjaga anak-anak kita supaya mereka tidak terjerumus bersama :mereka" itu...nauzubillah!
Wa`alaikum salam kak yan. Tersesat juga ke blog saya ya? Terima kasih.
Saya sebenarnya sangat bimbang dengan cara halus "dakwah" golongan "itu". Bukan sekadar bimbangkan anak-anak saya sendiri, saya bimbangkan semua anak orang Islam kita. Caranya memang sangat menyeronokkan dan amat memikat. Mereka bermain dengan keseronokan dan minat anak remaja.
Bayangkan kalau daripada tahun 60an atau 70an lagi mereka dah lancarkan tektik ini, tentu sekarang ni keadaan sudah menjadi tenat. Berapa ramai yang selamat seperti saya? Berapa ramai pula yang menjadi statistik "kejayaan" mereka?
mengapa takut murtad?
kunjungi saja blog ini
http://www.indonesia.faithfreedom.org/forum/index.php
Post a Comment