Saya setuju dengan komen Halela mengenai sikap pilih kasih (double standard) di kalangan orang Melayu (sila rujuk posting saya bertajuk ‘Murtad’. Maaflah ya, saya orang ‘matang’ (bukan tua, he..he..he) baru belajar. Belum pandai buat link lagi. Nak kena belajarlah pula nampak gayanya ni). Cuma bagi saya, sikap pilih kasih ini satu sikap yang universal, bukan hak milik mutlak orang Melayu sahaja tapi turut dikongsi tak kira bangsa. Masing-masing ada caranya tersendiri. Tidak ada satu bangsa pun yang sempurna. Dan sebagai orang Melayu, kita lebih arif dengan sikap orang Melayu sendiri.
Sedar atau tidak, kita kadang-kadang memang gemar bersikap pilih kasih. Kita boleh, orang lain tak boleh. Anak kita boleh, anak orang tak boleh. Kita boleh langgar lampu trafik yang tengah merah, bila orang buat kita maki dia. Kita boleh masuk dan duduk atas petak kuning. Bila orang lain buat kita kata dia bodoh. Ada banyak lagilah sikap pilih kasih di kalangan kita kalau nak disenaraikan. Sebahagiannya kita dah rasa lali dan anggap perkara biasa kerana semua orang buat.
Tetapi, bagaimana pula kalau ada orang menganggap bahawa junjungan besar kita, Rasulullah s.a.w. juga mengamalkan sikap pilih kasih? Salahkah kalau kita tiba-tiba rasa macam “nak tumbuh 20 tanduk atas kepala” dan tak segan bertegang urat leher untuk mempertahankan Baginda?
Suatu ketika, kami sekeluarga dalam perjalanan pergi bercuti. Masa itu kalau tak silap, kakngah baru dua tahun lebih umurnya, abang pula masih bayi. Kaklong ketika itu memanglah sudah besar, sudah awal remaja. Selain saya sekeluarga, adik dan kakak saya sekeluarga pun ada sama. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah masjid kerana waktu Maghrib hampir masuk. Azan sedang dilaungkan ketika kami sampai. Lantas masing-masing pun pergilah mengambil wuduk dan terus ke ruang solat.
Saya suruh mereka yang lain pergi berjemaah. Saya pula, selepas membersihkan kakngah dan abang di tandas, duduk di bahagian belakang ruang solat Muslimah berhampiran dinding untuk menjaga mereka supaya tidak mengganggu jemaah lain bersolat. Kakngah saya pangku manakala abang saya baringkan di atas sebuah comforter bayi yang bersih, memang untuk kegunaannya apabila ke mana-mana. Masjid itu besar jadi jarak antara saya dan jemaah wanita yang sedang bersolat itu memang agak jauh.
Selesai bersolat, mereka yang lain datang kepada saya untuk menjaga anak-anak kecil saya dan memberi peluang untuk saya pula bersolat. Tetapi, belum pun sempat saya bangun, seorang wanita mendatangi kami. Saya perasan juga wanita itu asyik tertoleh-toleh ke arah saya sejak lepas selesai memberi salam tadi dan masa menadah tangan mengaminkan doa imam. Tapi saya buat tak kisah sajalah.
Wanita itu memperkenalkan diri sebagai ahli kariah dan jawatankuasa masjid. Mulanya dia tanya umur bayi saya. Lepas itu dia menggeleng-geleng kepala (macam kami ni dah buat satu dosa yang amat besar dengan membawa bayi dan anak kecil saya itu ke dalam masjid). Kemudian dia menyuruh saya membawa anak-anak saya keluar (ketika itu hujan dan beranda masjid pun basah. Kalau nak berlari ke kereta pun pasti kuyup). Katanya, “Ustazah X marah sangat bawa budak-budak ke masjid. Kata Ustazah X, masjid bukan tempat budak-budak sebab budak-budak suka buat kotor dan buat bising, mengganggu orang nak sembahyang.”
Lalu saya jawab, “Anak-anak saya ni pakai lampin. Dah saya bersihkan dan tukar lampinnya di tandas tadi. Dan kami duduk nun di belakang ni, dekat dinding. Anak-anak saya tak buat bising apa-apa pun, dan tak mengganggu mana-mana jemaah. Salah ke mereka di sini?”
Tapi wanita itu berkeras juga menyuruh saya bawa anak saya keluar sebab katanya, “Kalau Ustazah X nampak, nanti dia marah.”
Kata saya, “Maaflah kak, di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabi di Madinah tu pun ramai orang yang bawa anak, tak kena halau pun dek pengawal yang jaga di pintu. Apa kelebihan masjid ini dibandingkan dengan dua masjid yang suci itu? Orang yang bertawaf keliling Kaabah dan bersaie pun boleh bawa budak-budak, tak sibuk pun takut kotorkan dua tempat suci tu atau ganggu jemaah lain nak beribadah. Di Masjidil haram, macam-macam ibadah orang buat 24 jam. Masjid tak pernah tutup, tak pernah tidur, tak pernah sunyi daripada manusia. Orang sentiasa ada bersolat, bertawaf, bersaie, beriktikaf, berzikir, baca al-Quran, solat sunat atau duduk merenung Kaabah sambil memuhasabah diri. Tak ada pun kanak-kanak yang berlari-lari atau menangis menjadi halangan.
“Lagipun, Nabi (Muhammad s.a.w.) sendiri tak melarang kanak-kanak dibawa ke masjid malah menggalakkan. Nabi pernah tegur sahabat-sahabatnya yang memarahi kanak-kanak yang bermain dan buat bising di masjid. Ada kanak-kanak bermain-main di bawah mimbar masa Nabi tengah sampaikan khutbah solat Jumaat lagi. Nabi suruh biarkan saja mereka kerana kata Nabi, kanak-kanak adalah ahli syurga.
“Ustazah X akak tu tak kan tak pernah baca sirah. Kan ada cerita Nabi hanya membiarkan sahaja dua cucunya, Hassan dan Hussin, naik dan duduk di atas tengkuknya ketika baginda tengah mengimamkan solat. Nabi tak bangun-bangun daripada sujudnya, sampailah budak-budak itu bangun sendiri. Begitulah sayangnya baginda kepada kanak-kanak. Banyak lagi cerita fasal nabi sayang pada kanak-kanak.”
Jawab wanita itu, “Itu cucu dia. Memanglah dibiarkannya sebab dia sayangkan cucunya. Kalau budak-budak lain mesti dia tak bagi masuk ke masjid mengganggu orang nak sembahyang. Mesti dia marah!”
Saya tercengang seketika. Astaghfirullahal azim! Adakah kami bercakap mengenai orang yang sama? Adakah yang disebut-sebut ini Nabi Muhammad s.a.w., Rasul junjungan umat Islam hingga akhir zaman yang akhlak dan setiap perlakuannya menjadi contoh ikutan malah turut menjadi sunah? Adakah yang kami perkatakan ini seorang Rasul yang ketika nazaknya tidak pernah memikirkan pun tentang kaum keluarganya sendiri, tidak pernah pun menyebut tentang isteri-isteri, anak-anak dan cucu-cucu yang bakal ditinggalkannya, sebaliknya tak putus-putus bibirnya menyebut, “ummati...ummati...ummati...” (umatku....umatku....umatku)? Apakah ini manusia yang dikatakan bersikap pilih kasih antara cucunya sendiri dan kanak-kanak lain tentang boleh tidaknya bermain di masjid?
Saya tiba-tiba rasa tidak ada gunanya bertelagah dengan “ahli jawatankuasa masjid” yang sebenarnya tak tahu pun fungsi sebenar masjid dan belum kenal pun siapa Rasulnya sendiri. Saya malas untuk terus membuang masa saya.
Lalu saya bangun dan berkata, “Kak, Nabi bukan macam kita yang boleh main pilih-pilih kasih – anak kita boleh, anak orang tak boleh. Anak orang buat salah kita beliakkan mata, anak kita buat salah, kita tutup dua-dua mata. Itu sikap kita, kita yang jahil dan lemah ini. Tapi itu bukan sikap Nabi yang maksum, yang tidak jahil dan yang sayangkan umatnya melebihi dirinya sendiri. Bila dia tengah sakit tenat pun, dia tak sebut pun nama ahli keluarganya tetapi sibuk memikirkan nasib umatnya. Masih menangis memikirkan yang sebahagian umatnya tidak masuk syurga.
“Saya nak solat sekarang dan anak-anak saya tetap duduk di sini. Saya tak mahu mereka ke mana-mana. Kalau kakak tak puas hati, minta Ustazah X tu datang jumpa saya lepas saya solat nanti,” lalu saya terus beredar meninggalkan wanita itu terkebil-kebil memandang saya dan kakak serta adik saya yang sejak tadi hanya diam saja mendengar perbualan kami, malas nak campur agaknya. Kakak dan adik saya itu memang tahu sangat perangai saya yang kadang-kadang boleh jadi “cair secair-cairnya” (orang pijak kepala pun tak apa) dan kadang -kadang boleh jadi “keras sekeras-kerasnya” kalau berhadapan dengan benda yang tak berkenan di hati saya. Mereka pula jenis yang malas nak cakap banyak. Orang suruh keluar, keluar ajalah!
Kata kakak dan adik saya, lepas saya meninggalkan mereka, wanita itu pun beredar kembali ke kumpulannya tanpa berkata apa-apa lagi. Selepas solat, saya perasan wanita itu dan beberapa orang wanita yang duduk berkelompok dengannya, bercakap-cakap sambil memerhatikan saya. Saya buat tak kisah, menyibukkan diri melipat telekung dan membawa keluar anak-anak saya.
Saya sebenarnya bukanlah jenis yang suka bertelagah atau sengaja nak tunjuk keras kepala. Tapi saya rasa, kadang-kadang kita kena tingkatkan juga keimanan kita dengan mempertahankan yang hak secara lisan. Bukannya asyik menegur dalam hati saja satu-satu perbuatan atau amalan yang kita yakin tak betul. Kalau orang anggap perbuatan kita itu sebab suka bergaduh atau sebab nak tunjuk pandai, maka terpulanglah. Niat kita hanya Allah yang tahu.
Walau apa pun alasannya, saya amat tidak bersetuju larangan membawa anak kecil ke masjid. Kita puas mengusung anak-anak kita ke merata-rata tempat – gedung beli belah, pantai, kelab, tempat peranginan, taman permainan, zoo, dan macam-macam tempat lagi sama ada yang sesuai atau tidak sesuai suasananya untuk mereka. Malah ada orang membawa bayi mereka menonton wayang atau ke konsert dan pertunjukan hiburan. Mengapa pula menjadi satu kesalahan jika kita bawa mereka ke masjid? Mengapa masjid hendak dijadikan kawasan larangan bagi kanak-kanak? Bukankah secara tidak langsung kita memberikan pemahaman yang salah kepada kanak-kanak, bahawa masjid hanya tempat orang tua, orang nak beribadat dan orang nak bertaubat sahaja. Orang muda pergi ke tempat-tempat lain dulu untuk enjoy. Dah tua kerepot nanti baru ke masjid untuk bertaubat!
Bagi saya, biarlah mereka turut sama ke masjid walaupun belum tahu bersolat, belum mengerti mengapa kita perlu bersolat. Semoga pendedahan kepada ayat-ayat Allah yang bergema hebat dalam masjid itu, diikuti pemandangan orang dewasa serentak rukuk dan serentak sujud beramai-ramai itu terpahat dalam ingatan mereka, meresap ke sanubari dan dapat menjadi asas didikan iman dan takwa yang kukuh.
Dalam buku “Pendidikan Anak-anak dalam Islam” karya Abdullah Nasih Ulwan (terjemahan oleh Syed Ahmad Semait) ada disebut mengenai peri pentingnya mengikat anak-anak dengan rumah Allah (masjid). Katanya, “Masjid itu dalam Islam adalah antara sepenting-penting tiang yang berdiri di atasnya pembentukan individu Muslim, pembangunan masyarakat Islam pada segala zaman lalu di sepanjang sejarah. Dan masjid masih tetap menjadi tiang asasi yang paling kukuh dalam pembangunan individu dan masyarakat bagi kaum Muslimin pada zaman kini dan masa hadapan. Sebab, tanpa masjid, tak mungkin anakmu dapat dididik kerohanian dan keimanannya. Tanpa masjid, kita tidak akan mendengar laungan Allahu Akbar yang suara itu menyemarak di langit dunia, lalu bergoncanglah perasaan dan menggetarkan urat-urat hati”.
Saya pun bukanlah terlalu penyabar dengan karenah kanak-kanak. Saya pun rasa terganggu juga dengan jerit pekik dan bunyi tapak kaki mereka berlari-larian ke sana sini. Tetapi saya rasa itu juga satu “sumbangan” dan “pengorbanan” kita di jalan Allah. Pengorbanan bersabar dan bersikap penuh toleransi terhadap kanak-kanak dengan niat supaya mereka dekat dan cinta kepada rumah Allah.
Bagaimanapun, saya setuju bahawa ibu bapa yang membawa anak mereka ke masjid mestilah menjaga adab-adab di masjid. Antara yang patut diketahui ialah mengenai kebersihan di masjid dan perbezaan saf berjemaah antara jemaah lelaki dewasa, jemaah kanak-kanak lelaki, jemaah wanita dewasa dan jemaah kanak-kanak perempuan. Janganlah menimbulkan kejengkelan dan kemarahan jemaah lain kerana kejahilan dan sikap tidak prihatin kita. Ada orang menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan untuk melepaskan hajat semata-mata atau membuang lampin pakai buang anak sesuka hati tanpa ada rasa sayang dan ingin sama-sama menjaga kebersihan masjid.
Membawa kanak-kanak ke masjid tidak sama dengan pergi seorang diri atau sesama dewasa. Dengan kanak-kanak, masa yang diambil lebih lama dan karenah mereka pun banyak. Saya sekeluarga kalau singgah ke masjid untuk solat, akan solat bergilir-gilir supaya ketika seorang bersolat, seorang lagi boleh menjaga dan memerhatikan anak supaya jemaah lain tidak terganggu. Untuk solat tarawih pula, memang mereka hanya dibawa sesekali sahaja untuk mendedahkan mereka dengan suasana malam Ramadhan di masjid.
Soal khusyuk atau tidaknya dengan kanak-kanak berlari-larian di masjid bagi saya sangat subjektif. Kalau solat seorang diri di dalam bilik pun, benarkah kita boleh khusyuk? Kalau masjid sunyi sepi pun, bolehkah kita benar-benar khusyuk? Kadang-kadang, dalam sunyi itu fikiran menerawang mengingatkan benda lain. Sedar-sedar terlupa dah sampai rakaat ke berapa (saya pun selalu juga kena ni!!!).
Soal khusyuk, kita yang mengawalnya, bukan meletakkan kesalahan kepada orang lain yang menyebabkan kita tidak khusyuk. Pernah ada sahabat Nabi terbenam anak panah di pahanya dalam peperangan. Masa dia solat, sahabat-sahabat yang lain cabut anak panah itu tetapi sahabat yang tengah bersolat ini tak sedar langsung. Dia hanya sedar anak panah sudah dicabut apabila kembali rasa sakit selepas solat. Begitulah tahap kekhusyukan yang telah dicapainya.
Cerita sahabat nabi itu hanyalah contoh. Bukanlah saya nak bandingkan diri kita dengan sahabat Nabi. Jauh langit dengan bumi. Saya pun amat jauh, teramat-amat-amat-amat jauh daripada tahap kekhusyukan itu. Cuma yang saya nak tonjolkan, kita ini (termasuklah saya juga) selalu banyak alasan dan suka meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain, termasuklah di bahu budak-budak kecil yang dibawa ke masjid, atas sebarang kesilapan dan kelemahan kita sendiri.
Sesekali kita kena cari juga kesilapan sendiri.
Mak aji ni dah banyak jumpa kesilapan sendiri, dah buat senarai peribadi pun, tapi masih lagi bergelut nak membetulkannya. Memang cakap lebih mudah daripada bikin!
Tuesday, August 29, 2006
Nabi pun pilih kasih?
Posted by mak aji at 1:40 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Mak aji, saya rasa kan, sebelum mak aji masuk masjid itu, sudah banyak kes2 orang lain bawa anak2 kecil dlm masjid.
Lepas tu mungkin ada yang bising atau berlari2 atau menangis kuat, kira sudah terlampau banyak kes, maka ahli jawatan kuasa masjid rasa bosan ashik beri amaran dan orang tidak ikut amaran.
Jadi mereka mengambil tindakanlah.
Kira mak aji yang "terkena" disebabkan kes2 yang terdahulu. Memang sudah ditakdirkan, betul tak?
Disebabkan hadis yang membolehkan anak2 kecil masuk masjid maka orang2 buat berlewa-lewa sahaja. Tapi walaupun hadis membolehkan, ibu/bapa itu seharusnya fikirlah, kan? Jagalah anak2 itu supaya tidak menganggu keamanan dan ketenteraman masjid.
Ada yang rasa prihati tapi mak aji sendiri tahu kan, lebih banyak ibu/bapa yang tidak bertanggung jawab darihal ini.
Dimana2 tempat sembahyang juga boleh masukkan anak2 kecil, gereja, temple dll tapi perhatikan kelainannya.
Di tempat sembahyang sana itu, anak2 tidak bising, tidak berlari2 dan menangis kuat2.
Ikut cara orang Jepun, sebelum orang lain menegur perbuatan sendiri, mereka meminta maaf terlebih dahulu dengan merendahkan diri.
Saya cuma ingin bezakan adat kelakuan masyarakat Jepun berbanding dgn masyarakat Melayu.
Mungkin juga benar kata klela yang ahli jawatankuasa masjid itu bosan dengan perangai ibu bapa yang sambil lewa bawa anak ke masjid. Saya pun kadang-kadang geram juga tengok emak bapa yang biarkan saja anak-anak buat bising di masjid. Budak kecil tak salah, emak bapa yang salah.
Saya cuma komen sebab ada ahli jawatankuasa masjid yang terlalu taksub dengan larangan membawa anak ke masjid. Sampai bayi yang terbaring pun tak boleh bawa masuk. Makin banyak masjid yang bubuh tanda larangan itu sedangkan masjid di Malaysia ni bukan penuh pun waktu solat. Ada lebih banyak tiang daripada orang.
Sebenarnya pemikiran org kita perlu kepada anjakan paradikma. Isteri saya juga pernah menghadapi peristiwa seperti ini. Isteri saya di "marahi" lengkap dengan jelingan tajam kerana membawa anak ke masjid sedangkan pada masa itu kami sedang musafir dan berhenti sebentar di masjid kerana hendak solat.
Walaubagaimanapun, saya rasa tidak semua AJK Qariah dan tak semua majid macam tu.
p/s: Saya juga tersesat ke blog Mak Aji. Asalnya nak cari link ke Kaedah Jibril. Akhirnya khusyuk membaca semua posting...
Post a Comment