Selamat datang wahai Ramadhan al-Mubarak. Selamat datang wahai bulan yang mulia dan penuh barakah! Kami Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat, sentiasa tertunggu-tunggu kehadiranmu, sentiasa rindu untuk berada dalam pelukanmu, sentiasa bergembira dan bersyukur kerana masih dipanjangkan usia untuk bertemu denganmu!
Ramadhan datang lagi. Setiap menjelang Ramadhan saya rasa rindu dan iri hati. Rindu untuk berada di tanah suci Makkah dan Madinah, menikmati keindahan penghayatan Ramadhan di sana. Iri hati pada orang lain yang lepas seorang, seorang lagi berlepas ke tanah suci sedangkan saya buat masa ini tidak dapat pergi sama atas beberapa sebab. Inilah yang sering dikatakan, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara Sudah lama juga rasanya saya tidak berpeluang meraikan Ramadhan di tanah suci.
Tanyalah perasaan sesiapa yang pernah ke tanah suci sama ada untuk mengerjakan haji, atau mengerjakan umrah terutama di bulan Ramadhan. Pasti kebanyakannya menjawab, itulah satu pengalaman yang cukup indah dan menyeronokkan. Seronok yang bagaimana? Sukar hendak digambarkan dengan perkataan, hanya jauh tersimpan di sudut hati satu keseronokan, ketenangan dan keindahan yang hanya diri sendiri sahaja dapat merasakannya. Pergi bercuti ke tempat-tempat lain pun seronok juga tetapi keseronokannya berbeza.
Kerana itulah, tak hairan ramai yang mahu ke tanah suci berulang-ulang kali setiap tahun, walaupun sebenarnya lebih afdal bagi orang yang sudah pernah ke tanah suci mengerjakan ibadah wajib, untuk menggunakan wang itu bagi membantu orang lain yang memerlukan, termasuk membantu membiayai pemergian orang lain yang belum pernah menjejakkan kaki ke tanah suci.
Allah s.w.t memang menjadikan hati orang mukmin sentiasa rindu kepada Makkah umpama tarikan besi kepada magnet dan ini tidak berlaku kepada tempat-tempat lain. Inilah berkat doa Nabi Ibrahim a.s yang terjemahannya lebih kurang bermaksud: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami, (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim: Ayat 37).
Saya sendiri, ketika menulis ini, terasa rindu yang amat sangat untuk ke sana. Semalam, saya ke kedai pakaian di kompleks PKNS Shah Alam. Saja nak mencari pakaian raya anak-anak. Sedang asyik membelek-belek, masuk sepasang suami isteri hendak mencari jubah putih untuk si isteri sebagai persiapan hendak pergi mengerjakan umrah tak berapa hari lagi. Irinya saya tahap `cipan’ (bak kata budak-budak sekarang!). Pada wajah mereka tergambar keseronokan dan keterujaan membilang hari untuk ke tanah suci. Macam membilang hari untuk jadi pengantin!
Kadang-kadang, benda-benda atau perkara-perkara yang mengingatkan saya kepada suasana di tanah suci, sudah cukup menimbulkan kerinduan yang tidak terucap. Misalnya, mendengar kaset-kaset bacaan al-Quran yang dipasang oleh gerai-gerai menjual kaset dan buku-buku agama, melihat pancaran matahari petang yang terang benderang menyuluh sesuatu bangunan, melintasi kedai-kedai yang menjual barang-barang keperluan dan pakaian ihram dsb. Hati terasa meronta-ronta, seolah-olah rindu kepada kekasih yang jauh di mata. Tetapi apakan daya, banyak komitmen dan keterbatasan upaya yang menghalang saya untuk ke sana lagi buat masa ini. Walau bagaimanapun, saya amat bersyukur pernah diberikan peluang menjadi Tetamu Allah. Harap-harap, peluang itu akan diberikan lagi dan terus diberikan selagi hayat masih ada. Amin!
Walaupun banyak jugalah tempat lain sudah dijejaki, tapi tak sama dengan “keindahan” kedua-dua kota itu. Kalau dilihat dengan mata kasar, yang kita nampak di sana hanyalah tanah yang gersang dan berdebu, padang pasir yang saujana mata memandang, bangunan yang tidak seindah dan sehebat bangunan di tempat-tempat lain, bahang terik matahari di langit yang hampir tiada awan dan masyarakatnya yang kasar. Tetapi, kalau dilihat dengan mata hati, maka akan terserlahlah keindahan dan kekudusannya yang tidak ada di mana-mana tempat lain di dunia kerana keindahan itu bukan terletak pada mata tetapi letaknya di hati.
Berpuasa di tanah suci ni cukup seronok. Kemeriahan Ramadhan di sana cukup terasa. Bukan dimeriahkan oleh pasar-pasar Ramadhan yang menjual beraneka jenis juadah berbuka puasa seperti di tempat kita, bukan juga oleh kain-kain rentang jualan hari raya yang sudah dipasang sebelum bermulanya puasa, atau hiasan-hiasan seperti ketupat gergasi, lampu-lampu pelita, lampu-lampu neon berkelip-kelip warna-warni atau lampu-lampu bunga manggar yang bergemerlapan dan cukup melekakan.
Kemeriahan di sana terasa dengan kehadiran umat Islam dari seluruh pelosok dunia, tanpa mengira bangsa, warna kulit serta pangkat dan darjat, yang berpusu-pusu datang untuk merebut peluang memperbanyakkan ibadah. Ini ditambah pula budaya penduduk Makkah dan Madinah sendiri dan warga Arab Saudi yang lain, yang gemar mengimarahkan masjid, terutama pada bulan Ramadhan. Selain warga asing, warga Arab Saudi sendiri akan berkunjung ke Makkah dan Madinah bersama keluarga masing-masing dengan menaiki pelbagai jenis kenderaan. Maka, bertambahlah ramai dan sesak kota Makkah dan Madinah.
Tapi, bukan pula penduduk tanah suci ini tidak berbelanja atau membuat persiapan menyambut hari raya. Bazar dan gedung perniagaan ada yang dibuka hingga ke pagi. Ada yang tak tutup langsung kecuali pada waktu solat. Kedai-kedai emas pun sesak (turut dipenuhi oleh jemaah dari luar termasuk dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei). Selepas selesai solat Tarawih, kedai-kedai dan bazar yang menjual bermacam-macam jenis barangan terutama pakaian, penuh sesak hingga ke pagi. Tapi, kompleks membeli-belah pula dibuka sama macam di tempat lain juga – 10 pagi hingga 10 malam.
Yang seronoknya, walaupun cuaca panas terik, saya tidak begitu terasa lapar dan dahaga ketika berpuasa di tanah suci. Cuma barangkali rasa letih kerana berulang alik ke masjid untuk solat di samping mengerjakan umrah. Mereka yang tidak begitu larat untuk mengerjakan umrah berulang kali, hanya memperbanyakkan tawaf sunat dan beriktikaf sahaja dalam masjid.
Kebanyakan orang berbuka puasa di masjid. Tetapi, memang kena pergi ke masjid awal-awal lagi. Kalau ke masjid lagi 10 minit atau setengah jam nak masuk Maghrib macam di sini, pasti tak dapat masuk sebab sudah terlalu sesak. Nak bergerak pun tak boleh. Terpaksalah duduk di dataran di luar masjid yang juga penuh sesak dengan manusia. Sebab tu ada jemaah memilih untuk terus duduk di masjid selepas Asar. Kalau tidak pun, sekurang-kurangnya satu jam sebelum masuk waktu berbuka, kita mestilah sudah mula bergerak ke masjid.
Bagi mereka yang sudah biasa dengan suasana berbuka puasa di tanah suci, akan hanya berlenggang sahaja ke masjid tanpa membawa sebarang bekalan makanan kerana pasti ada orang yang akan menghulurkan sebiji dua tamar atau roti sebagai sedekah. Waktu inilah ramai mengambil peluang bersedekah makanan kepada jemaah yang berpuasa, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Barang siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang berpuasa), tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikit pun,” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Samalah macam di negara kita, ramai yang akan menghantar moreh ke surau atau masjid untuk hidangan berbuka puasa. Cuma bezanya, kita menghantar berjenis-jenis makanan seperti kuih-muih, nasi, mi dan lauk-pauk manakala di sana pula, tamar yang merupakan makanan kegemaran Rasulullah s.a.w. menjadi makanan yang diutamakan dalam bersedekah.
Dalam perjalanan ke masjid, pasti kita akan bertemu dengan banyak lori kecil di tepi-tepi jalan yang dipenuhi bungkusan kecil berisi tamar atau roti atau buah-buahan dan air kotak. Dari atas lori, beberapa orang akan membahagi-bahagikan makanan kepada jemaah yang berkerumun di sekelilingnya. Kalau rajin, pergilah hulur tangan di sana, pasti dapat satu bungkusan untuk dibawa ke masjid sebagai bekal berbuka puasa. Kadang-kadang kita tak minta pun, hanya berdiri berhampiran, sekadar memerhati. Tapi orang yang sedang membahagikan makanan itu akan membaling sebungkus kepada kita! Begitulah pengalaman saya. Bungkusan plastik seperti itu ada juga dijual di kedai-kedai atau di kaki lima. Kali terakhir saya berpuasa di sana dulu, harganya antara SR2 atau SR4 (Saudi Riyal) atau lebih kurang RM2++ atau RM4++ duit kita sahaja. Sekarang ini tak tahulah.
Di luar masjid dan dalam masjid sendiri ada ramai individu yang bersedekah makanan yang serupa. Mereka membawa bungkusan besar dan membahagi-bahagikan makanan kepada jemaah yang duduk menunggu waktu berbuka atau yang lalu-lalang. Kalau belum ada bekalan, saya akan ambil bungkusan yang dihulurkan itu. Tetapi, kalau sudah dapat bungkusan sedekah itu sebelumnya, saya angkat tangan atau gelengkan sahaja kepala. Kadang-kadang, dek terlalu banyak terima sedekah walaupun sudah menggeleng tak mahu, makanan sedekah itu boleh pula kita sedekahkan kepada peminta sedekah di luar masjid, berkongsi dengan jemaah lain atau dibuat bekal berbuka untuk esok.
Selain bersedekah makanan, ada juga yang bersedekah barang seperti tasbih atau kopiah. Di bahagian jemaah wanita, selalu ada wanita Arab kaya (boleh dilihat daripada gaya dan cara berpakaian walaupun fesyen pakaian mereka tetap jubah dan jilbab hitam macam perempuan Arab yang lain) yang diiringi oleh pembantu mereka sama ada lelaki atau perempuan. Wanita-wanita ini akan membahagi-bahagikan sedekah mereka yang dipikul atau dikendong oleh pembantu mereka. Ramai yang berkerumun untuk mendapatkan sedekah itu. Kadang-kadang mereka mencampakkan atau membaling sedekah itu ke arah jemaah yang duduk agak jauh (sukar untuk melangkah kerana sesak). Saya sendiri pernah hampir melompat terperanjat sebab tengah membaca al-Quran, tiba-tiba ada tasbih terbang melayang ke atas riba. Nasib baik saya ni bukan jenis melatah. Kalau tidak haru juga! Teringat pula cerita-cerita P.Ramlee yang kadang-kadang ada adegan bersedekah dengan menabur duit emas di atas tanah yang kemudian akan direbut oleh fakir miskin. Lebih kurang begitulah!
Kalau di rumah sendiri, banyak juga orang yang gemar berbuka dengan makanan berat, nasi atau mi (termasuk sayalah tu!) selepas itu baru solat Maghrib. Kalau di tempat sendiri, awal-awal lagi kebanyakan kita dah rancang apa nak masak untuk juadah berbuka. Kalau pergi ke pasar Ramadhan pula, rasa macam semua nak dibeli. Nampak itu sedap, nampak ini teringin. Kadang-kadang, ada yang mereka-reka resipi, macam orang mengidam pula. Bila tiba waktu berbuka, yang boleh masuk ke dalam tekak sebenarnya air sahaja. Yang lain tu hanya nafsu mata. Tapi, di tanah suci, dengan sendirinya kita rasa cukup dan kenyang berbuka hanya dengan buah tamar atau sedikit roti kosong dan air zam-zam sahaja. Nafsu teringin makan itu ini untuk berbuka langsung tak ada.
Tong-tong berisi air zam-zam yang dilengkapi dengan cawan kertasnya, berderet-deret disediakan dalam masjid. Ada antara tong ini berisi air zam-zam yang dicampur dengan air batu (yang juga air zam-zam yang telah dibekukan). Kalau tak suka air zam-zam berair batu ini, carilah tong yang tertulis perkataan zam-zam berwarna hijau dalam bahasa Arab kerana yang ini mengandungi air zam-zam yang tidak dicampur air batu.
Banyak keluarga Arab gemar berbuka di masjid dan terus bersolat Maghrib, Isyak dan Tarawih. Mereka akan bawa makanan, selalunya roti dengan kuahnya sekali. Mereka juga akan bawa termos besar berisi teh (syai) atau kopi (qahwa). Kalau duduk berhampiran keluarga Arab ini, kadang-kadang mereka akan menghulurkan sedikit makanan atau minuman mereka kepada kita Ha....kalau minum kopi Arab tu hati-hati sikit. Rasa sikit dulu, jangan terus diteguk. Takut tersembur keluar sebab kopi Arab ini amat pekat dan pahit. Baunya pun agak lain kerana mungkin ditaruh cengkih. Sebab tu, kalau orang Arab menghidangkan kopi kepada tetamu (di rumah), mereka gunakan cawan-cawan kecil yang comel-comel. Bukan dalam cawan macam yang kita selalu gunakan.
Selepas solat Maghrib, sebahagian jemaah bergegas pulang ke hotel untuk makan hidangan berbuka yang disediakan oleh agensi pakej masing-masing. Selalunya hidangan nasi dengan lauk pauk Melayu dan buah-buahan. Air panas, teh, kopi, gula dan susu tepung memang sentiasa tersedia di ruang makan dan jemaah boleh buat minuman sendiri pada bila-bila masa. Lepas makan, mereka bergegas semula ke masjid untuk solat Isyak dan Tarawih. Tapi, ada juga yang terus duduk dalam masjid menunggu solat Isyak dan seterusnya solat Tarawih.
Bersambung....
Monday, September 25, 2006
Marhaban ya Ramadhan 1
Posted by mak aji at 8:51 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment