Wednesday, September 13, 2006

Jutawan Senyap

Baru-baru ini satu isu ditimbulkan oleh media iaitu isu guru sekolah yang membuka kelas tuisyen di rumah.

Di luar waktu kerja, setiap individu berhak atas masanya sendiri. Tetapi persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai kejujuran dan keseimbangan pengajaran guru itu di sekolah dan di kelas tuisyennya. Adakah guru itu melaksanakan tanggungjawabnya di sekolah dengan penuh amanah walaupun dia membuka kelas tambahan di rumah? Atau, adakah dia bersikap mengajar pelajaran yang asas sahaja atau secara sambil lewa kerana mahu lebih ramai pelajar mengambil kelas tambahan di rumahnya dan dengan itu dia akan beroleh keuntungan yang berlipat ganda berbanding gajinya di sekolah?

Muka depan akhbar The New Straits Times (NST) Isnin lalu memaparkan petikan kata-kata daripada dua guru.

Guru 1 kata, “Sebahagian kami mengajar pelajaran yang asas sahaja di sekolah. Kami mengajar apa yang diperlukan sahaja. Untuk pemahaman terperinci, pelajar kena menghadiri tuisyen.”

Guru 2 pula kata, “Guru tidak lagi mahu memberikan yang terbaik di sekolah. Jika kami berikan yang terbaik, tidak ada lagi cara untuk kami mendapat pendapatan sampingan.”

Dua petikan kata-kata itu memang bukan mewakili keseluruhan kaum guru di Malaysia. Tetapi saya tetap berasa gusar dan bimbang kerana ternyata ada guru yang bersikap tidak amanah dan lebih mementingkan poketnya sendiri sahaja daripada masa depan dan kebajikan pelajar-pelajarnya di sekolah. Kalau begitu sikap mereka, bagaimana dengan pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau ramai adik beradik dan keluarganya tak mampu menghantarnya ke kelas tuisyen? Adilkah bagi mereka ini?

Kalau guru tu beragama Islam, halalkah gaji yang diperolehnya melalui kerja yang sambil lewa kerana ada niat lain di sebaliknya? Oppppsss...halal haram itu antara dia dengan Allah kan? Siapa kita untuk mempersoalkannya?

Zaman saya bersekolah dulu, orang pergi tuisyen kalau memang dia jenis lemah atau sangat lembap dalam sesuatu mata pelajaran dan memerlukan bimbingan dan perhatian yang lebih rapi, yang sukar diberikan oleh guru di sekolah. Sebab itu dulu kebanyakan orang hanya pergi tuisyen untuk satu atau dua mata pelajaran sahaja yang dia benar-benar lemah. Sekarang, budak pergi tuisyen bukan kerana dia lemah, tetapi kerana ilmu yang diajarkan di sekolah tidak memadai dan mencukupi sebagaimana yang sepatutnya. Sebab itu kebanyakan budak sekolah sekarang mengambil tuisyen untuk hampir semua mata pelajaran.

Dulu, ketika kaklong hendak ambil peperiksaan SPM, dia pergi tuisyen di rumah guru matematiknya. Cikgu itu baru berpindah ke rumah barunya, jenis banglo berkembar yang tersergam megah dengan halaman yang luas (boleh masuk 10 kereta). Dua kereta jenis mewah berehat di bawah anjung. Di kawasan saya tinggal, rumah sebegitu pada masa itu (lingkungan tahun 2002-2003), berharga antara RM450,000 hingga RM600,000 (ikut keluasan tanah). Kalau sekarang, harganya bermula dengan RM600,000 ke atas. Antara deretan rumah jenis itu di situ, rumah guru itu antara yang mempunyai halaman paling luas. Jadi, sudah boleh diagak berapa harga rumahnya. Kalau nak diikutkan, pendapatan sebagai guru sekolah pasti tidak mampu memiliki rumah dan kereta seperti yang dimilikinya (saya tahu suami guru itu bukan ahli perniagaan, tokoh korporat atau ketua jabatan yang bergaji puluhan ribu).

Cikgu kaklong itu menawarkan dua subjek – matematik dan matematik tambahan. Satu subjek cajnya RM50. Kalau ambil dua subjek, diberikan diskaun RM80. Satu malam kiraan kasar saya ada lebih kurang 30 pelajar yang datang tuisyen (mungkin lebih). Kalau seorang pelajar ambil satu subjek sahaja, pendapatan bersih satu malam sudah RM1,500. Kalau semuanya ambil dua subjek, sudah jadi RM2,400.

Cikgu kaklong buka kelas tuisyen enam hari seminggu. Setiap pelajar yang ambil dua subjek kena datang dua kali seminggu. Andaikanlah semua pelajar ambil dua subjek, bermakna guru itu akan ada tiga kumpulan pelajar yang berlainan dalam seminggu. Kalau daripada satu kumpulan (katakan 30 pelajar) dia dapat RM2,400. Darab tiga, jumlahnya jadi RM7,200 sebulan. Bebas cukai. Wow!

Di atas itu cuma congakan bodoh saya yang tak berapa pandai matematik ini. Bila saya baca laporan di NST, rupa-rupanya angka sebenar boleh mencecah sehingga RM15,000 sebulan! Mungkin inilah yang diistilahkan sekarang ini sebagai ‘Jutawan Senyap’. Guru itu boleh ketawa besar ketika mengisi borang cukai pendapatan setiap tahun dengan mengisytiharkan gajinya yang mungkin hanya RM2,000 atau RM3,000 sebulan. Pendapatan ‘tersembunyi’ RM15,000 itu tak perlu bayar cukai pendapatan kerana tak payah isytihar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. (LHDN) Menurut berita di NST itu lagi, pendapatan tersembunyi itu digunakan untuk membiayai pengajian anak mereka di luar negara, beli rumah besar dan kereta mewah serta bercuti sekeluarga ke luar negara, terutama di Eropah, setiap tahun.

Aduhai!...menyesalnya saya tolak tawaran menjadi guru dulu. Kalau tidak, sekarang ini pasti dah kaya!

Pendapatan guru mengajar tuisyen di rumah merupakan pendapatan bersih, Tak perlu bayar cukai, tak perlu bayar sewa bangunan, tak perlu bayar elektrik dan air, tak perlu bayar kakitangan dan tenaga pengajar lain macam yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang buka pusat tuisyen.

Guru itu tak perlu buat promosi dan pemasaran macam pusat tuisyen untuk menarik pelanggan (pelajar) seperti menggantung kain rentang atau sepanduk atau buat flyers dan terpaksa menjelajah dari rumah ke rumah untuk memasukkan flyers dalam kotak pos. Guru itu sudah ada pelanggan sedia iaitu pelajar-pelajarnya sendiri di sekolah. Pelajar dari sekolah lain pun ada juga hasil iklan mulut-ke-mulut sesama pelajar dan ibu bapa. Tak perlu lagi nak iklankan perkhidmatannya macam yang terpaksa dilakukan oleh pusat tuisyen.

Guru itu juga tak perlu mengeluarkan wang untuk mengikuti apa-apa kursus berkaitan teknik pengajaran terkini dan seumpamanya kerana kalau dia mengikuti kursus sebegitu, semuanya percuma kerana dihantar oleh Jabatan Pendidikan (sekarang ini dah tukar semula kepada Jabatan Pelajaran kan?).

Memang untung kalau buka tuisyen di rumah. Duit masuk setiap bulan beribu-ribu, yang keluar hampir sifar kecuali perbelanjaan yang dibuat semata-mata untuk kegunaan diri dan keluarga sahaja.

Jadi, mengapa tidak semua guru mahu membuka kelas tuisyen?

Soalan itu mungkin telah dijawab oleh seorang guru yang diwawancara dalam berita di TV malam tadi (sama ada RTM atau TV3, saya lupa kerana asyik tukar-tukar saluran). Guru itu tidak membuka kelas tuisyen. Katanya (lebih kurang), “Saya tidak kata buka kelas tuisyen itu tidak baik. Kalau guru itu rasa dia mampu melakukan kerja-kerja di sekolah termasuk persediaan mengajar dan lain-lain itu dengan baik dan pada masa yang sama mampu buka kelas tuisyen, dia bolehlah melakukannya. Saya sendiri tidak buka kelas tuisyen kerana saya rasa tidak mampu melakukan dua kerja itu serentak dengan baik.”

Memang tepat sekali. Perkataan "melakukan tugas dengan baik" itu adalah kunci katanya. Kita bukan meminta guru jangan buka kelas tuisyen. Guru pun sama macam orang lain juga, mahu cari pendapatan tambahan untuk kemakmuran dan keselesaan hidup keluarga. Lebih-lebih lagi kalau tinggal di bandar besar yang serba mahal. Cuma yang kita mahu, berlaku jujurlah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di sekolah kerana itu amanah. Amanah itu termasuk daripada pembayar cukai pendapatan macam saya ini (yang tak ada cara nak kelentung LHDN sebab semuanya ada dalam slip gaji. Kadang-kadang ada orang dapat bonus hujung bulan muka semakin berkerut sebab duit bonus habis buat bayar cukai pendapatan sahaja - Talk about daylight robbery!). Cukai yang kita bayar digunakan antaranya untuk membayar gaji penjawat awam seperti guru. Jadi, pembayar cukai berhak mempersoalkan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas guru.

Selalu juga kita dengar rungutan guru mengenai bebanan kerja yang diberikan kepada mereka. Kata mereka, selain mengajar, mereka perlu membuat persediaan mengajar, perlu menyemak kerja sekolah pelajar, perlu pula terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum, perlu juga buat kerja-kerja pentadbiran, perlu pula menghadiri kursus itu ini di situ di sini. Kata mereka, nampak sahaja mereka mengajar setengah hari tetapi selalunya mereka terpaksa berada di sekolah sehari suntuk. Mereka juga merungut kerana kena ke sekolah untuk kelas tambahan hari Sabtu atau aktiviti lain seperti yang diarahkan.

Bila mendengar semua rungutan ini, kadang-kadang terfikir juga, kalau sibuk sampai begitu sekali, mengapa masih ramai yang ada masa buka kelas tuisyen di rumah atau menjadi tenaga pengajar di pusat tuisyen? Bila pula ada masa bersama keluarga kalau dah sibuk sepanjang hari di sekolah, kemudian kena mengajar tuisyen hingga jam 10 atau 11 malam setiap hari? Mungkin mereka ini jenis pandai membahagikan masa. Yang lain itu, rasanya perlu belajar daripada mereka.

Saya menulis ini bukan kerana hasad dengki atau iri hati kepada guru. Ini mesti saya tekankan kerana trend kini, kalau seseorang mengkritik atau memberi pandangan mengenai sesuatu isu, nanti mesti ada yang kata, “Ha...itulah sikap orang Melayu. Suka hasad dengki sesama bangsa. Tak senang tengok orang maju, mesti dia berusaha nak jatuhkan orang lain. Bukannya dia pula nak cari jalan dan berusaha untuk maju!”

Tak pedulilah apa orang nak kata kerana saya menulis disebabkan prihatin mengenai mutu pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Ini soal masa depan anak bangsa. Anak-anak saya sendiri masih bersekolah dan bakal bersekolah. Jika tidak prihatin dengan nasib anak-anak bangsa, sekurang-kurangnya saya prihatin terhadap nasib anak-anak saya sendiri.

Guru satu tugas yang tersangat mulia. Saya amat menghormati guru dan saya yakin begitu juga perasaan kebanyakan orang. Janganlah guru pula yang membuang rasa hormat itu.

2 comments:

Unknown said...

Bukan semua Guru mcm tu. Ada guru yang mengajar bagsi nak rak di sekolah dan hebat mencari pendapatan sampingan di luar sekolah. Jangan suka highlight guru..pekerja sektor lain pun sama terpaksa mencari pendapatan sampingan atas desakan hidup...
Guru disekolah ada tatacara mengajar. Bukan ajar semborono...guru perlu habiskan sukatan ikut silibus yg ditetapkan oleh kementerian...latih tubi dibuat semasa kelas tambahan disekolah..ada juga guru yg membuat latih tubi semasa proses pdp...
Tanpa guru siapalah kita...

Unknown said...

Betul, bukan semua guru macam tu. Walaupun saya bukan seorang guru, dan cuma sekadar guru tuisyen sahaja sebagai cara menjana tambahan pendapatan, tapi berkaitan dengan tuisyen, memang hakikatnya mengajar tuisyen adalah sesuatu pekerjaan yang menguntungkan dan dalam masa yang sama tidak dikenakan sebarang cukai sekiranya kelas dilakukan di rumah. Cuma, dengan kadar bayaran yang ada, tanggungjawab juga harus seiring dengan kadar bayaran dan amanah yang digalas daripada ibu bapa dan pelajar untuk menjadikan pemahaman dan penguasaan pelajar lebih baik terhadap subjek yang mereka ambil tuisyen. Nak mengajar walaupun cuma kelas tuisyen, tak boleh nak diambil ringan dan buat secara semberono sahaja. Itu pandangan saya sebab kebelakangan ni part timer yang buat kelas tuisyen ni sememangnya sangat ramai walaupun tak ada sebarang pengalaman.