Kejutan Budaya
Kalau kali pertama ke sana, mungkin ada yang terkena kejutan budaya. Begitulah yang saya rasakan dulu. Kalau nak menghayati kekhusyukan penghayatan ibadah dalam Islam, di sanalah tempatnya. Tetapi, kalau nak lihat gambaran betapa tidak berhemahnya pekerti sebahagian umat Islam, di sana jugalah tempatnya.
Selalu kita diajar berlemah lembut dan menghormati orang lain apa lagi orang yang tengah bersolat. Kita diajar supaya jangan lalu-lalang di hadapan orang bersolat. Kena hormat. Tapi di sana, bukan sekadar lalu lalang, ada kalanya kepala orang tengah bersolat pun dilangkah begitu sahaja. Mungkin kerana terlalu ramai manusia di sana dan datangnya pula daripada latar belakang dan budaya yang berbeza-beza.
Kerenah manusia lebih banyak ditemui ketika di masjid. Di sinilah iblis bekerja keras memainkan peranannya untuk merosakkan ibadah kita. Bersoraklah dia apakala yang kita dapat hanya penat badan, rugi masa dan duit.
Kalau bersolat jemaah di masjid/surau di tanah air, iblis berjaya menjalankan jarumnya melalui saf-saf yang renggang dan tidak memenuhi peraturan saf berjemaah. Di tanah suci pula, ketiadaan langsung ruang boleh juga menjadi satu ‘modal’ bagi iblis melaksanakan kerja jahatnya. Bersempit-sempit dan tiada rasa timbang rasa boleh menimbulkan pergaduhan atau berjawab-jawab.
Di sana, kalau pada musim haji dan musim Ramadhan, jangan haraplah dapat tempat solat yang selesa, lebih-lebih lagi kalau di tingkat bawah atau di dataran menghadap Kaabah. Kadang-kadang, masa duduk menunggu waktu solat, dengan ruang di hadapan kita cukup-cukup sahaja untuk sujud secara bersempit-sempit, akan datang seorang minah Arab dan duduk di ruang itu. Bila kita tepuk bahunya dan buat isyarat yang tempat dia duduk tu ialah tempat yang sepatutnya kita sujud masa solat nanti, dia akan sama ada buat tak tahu, atau cakap dalam bahasanya yang kita tak mengerti. Mengikut kata pak aji, di kawasan jemaah lelaki bersolat pun sama juga keadaannya.
Di sinilah tahap kesabaran kita memang perlu berada di puncaknya. Mahu tak mahu, ketika bersolat nanti, carilah ruang untuk membolehkan sujud. Sama ada mengalihkan sedikit kepala ke kanan atau ke kiri. Nasib baiklah Kaabah ada di hadapan. Jadi, alih ke mana pun tetap menghadap kiblat.
Saya pernah sujud di atas punggung mak Arab yang tiba-tiba datang dan ambil tempat di ruang depan saya, yang memang sudah sedia sempit, masa solat jemaah sudah bermula. Pernah juga saya sujud dan bila nak bangun, suasana sekitar gelap gelita. Rupa-rupanya saya kena selubung dengan jubah mak Arab kat depan saya. Kadang-kadang, tengah sujud, terasa tapak kaki orang di hadapan atas kepala kita sebab ruang sudah terlalu sempit. Ada juga masanya, tengah sujud, orang melangkah kepala kita macam melangkah kain buruk.
Mula-mula memang hati rasa sedikit hangat. Maklumlah, bagi kita kepala merupakan anggota paling mulia kerana otak letaknya di kepala. Tetapi sesudah itu saya muhasabah diri sendiri. “Begitulah hinanya aku di sisi Allah. Kepalaku hanya layak di punggung atau di tapak kaki mak Arab tu saja!”
Satu lagi kerenah dalam masjid ialah suka “cop” tempat. Di dataran di hadapan Kaabah yang dipanggil mataf, kawasan yang diperuntukkan kepada jemaah wanita selalunya sudah dipenuhi oleh mak-mak Arab sejak lepas Asar lagi. Mereka lebih tahan terik matahari dibandingkan dengan kita yang datang dari Asia Tenggara ni. Menjelang hampir masuk waktu Maghrib, jangan haraplah ada ruang di sana untuk kita mencelah. Kawasan itu memang amat diminati kerana boleh terus memandang Kaabah yang tersergam di hadapan kita. Begitu juga di tempat-tempat lain dalam Masjidil Haram yang boleh terus memandang Kaabah tanpa dilindungi oleh tiang. Semua sudah kena “cop” awal-awal lagi.
Kawasan mataf yang diperuntukkan bagi jemaah wanita sangatlah terbatas. Baru-baru ini ada berita dalam akhbar Saudi yang menyebut bahawa pihak berkuasa haji Arab Saudi bercadang untuk melarang wanita bersolat dalam kawasan dataran Kaabah itu. Kononnya untuk mengurangkan kesesakan di dataran tersebut di samping melindungi wanita daripada lensa kamera TV dan pergerakan orang ramai. Cadangan ini mendapat bantahan keras kaum wanita dan pertubuhan wanita Saudi sendiri selain wanita Islam di seluruh dunia. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah membataskan wanita dengan Baitullah. Cadangan oleh pihak berkuasa haji Saudi itu dilihat sebagai usaha yang keterlaluan untuk menafikan hak wanita dalam beribadah.
Walaupun tiada tabir dalam Masjidil Haram, sebenarnya ada diperuntukkan kawasan berasingan bagi jemaah lelaki dan wanita. Tapi kadang-kadang, mungkin kerana kejahilan, ada jemaah yang tak ikut langsung peraturan saf. Ada jemaah lelaki enggan pergi ke kawasan jemaah lelaki dan mahu solat di sebelah isterinya. Maka, bersolatlah dia di tengah-tengah jemaah wanita tanpa menghiraukan peraturan saf solat berjemaah.
Jangan pelik jika melihat ada pak atau mak Arab yang bawa bangku lipat ke dalam masjid. Bangku ini memang banyak dijual di kedai-kedai atau kompleks membeli belah di sekitar masjid. Mulanya saya ingatkan hanya mereka yang tua dan uzur atau sakit saja yang bersolat sambil duduk atas bangku. Tapi kemudian ada juga saya nampak yang muda belia (dalam lingkungan awal 20-an) dan nampak sihat wal`afiat pun turut bersolat atas bangku. Mereka ini akan berdiri dan ruku’ sebagaimana biasa, tetapi apabila tiba bab sujud, mereka akan duduk atas bangku dan tundukkan sedikit badan (gaya solat orang sakit). Nak kata sakit, cergas dan laju pula mereka berjalan keluar masjid sambil menjinjing bangku. Pernah ada yang terlentang di depan mata saya sendiri bila bangku yang didudukinya tu patah!
Seorang kawan saya yang boleh berbahasa Arab pernah cuba bertanya kepada seorang mak Arab yang solat atas bangku itu adakah dia sakit kaki atau sakit lutut atau sakit lain yang menyusahkannya untuk sujud macam biasa? Jawabnya tidak. Kata kawan saya, kalau tak sakit, mengapa sujud duduk atas bangku? Mak Arab tu diam tak mahu menjawab.
Saya pernah bergurau dengan adik saya masa di sana, suatu hari nanti nak usung sofa masuk ke masjid untuk solat. Lepas tu, kami terkejut besar bila tengok rakaman solat hari raya Aidilfitri di TV dari Masjid Nabawi (kami menyambut hari raya di Makkah tahun itu), kerana ternampak seorang pak Arab (muda lagi dan nampak tegap) duduk atas sofa dalam masjid. Sofanya bukan main-main, yang berukir-ukir stail buatan Itali. Amat janggal kelihatan dia duduk di atas sofa berukir itu di tengah-tengah ribuan jemaah lain yang bersila di lantai.
Pencopet dan pengemis
Tiap-tiap masuk waktu solat, kedai-kedai dan bazar akan ditutup dan dibuka selepas selesai solat jemaah di masjid. Ada yang hanya direntang dengan kain dan ditinggalkan begitu sahaja. Tak takut jualan dikebas pencuri. Kadar jenayah di Arab Saudi dikatakan amat rendah dibandingkan dengan di negara-negara lain. Mungkin kerana hukum hudud dan qisas yang tetap diamalkan di sana. Hukuman potong tangan untuk pencuri dan rotan untuk penzina yang dilakukan di khalayak ramai, tetap dijalankan.
Walau bagaimanapun, pencuri dan pencopet (penyeluk saku) tetap ada malah di tengah-tengah kesesakan orang bertawaf pun ada yang masih sempat melakukannya. Tetapi mereka ini dikatakan bukan orang Saudi tetapi orang luar. Hairan sungguh kita kerana kalau di dalam masjid yang suci dan di hadapan Baitullah pun orang tak merasa takut melakukan dosa, apa lagi yang boleh menggerunkan dan menginsafkan mereka?
Kes-kes baju atau jubah ditoreh dengan pisau untuk mengambil beg duit biasa didengar. Pernah juga ada yang datang menangis di hadapan jemaah yang sedang duduk menunggu masuk waktu solat sambil menunjukkan jubahnya yang rabak kena toreh ketika dia sedang tawaf. Habis semua wang yang ada padanya (saya tahu ceritanya lepas diberitahu oleh seorang mak Arab yang duduk di sebelah saya melalui bahasa isyarat). Maka ramailah yang menghulur wang untuk membantu. Ada juga suara-suara sumbang yang mempersoalkan sama ada orang itu bercakap benar atau menipu. Bagi saya, tak usah pening-pening kepala memikirkannya. Kalau nak bagi, bagi saja tanpa banyak soal. Kalau tak nak bagi, kunci saja mulut rapat-rapat. Niat ikhlas kita hendak menolong tetap dipandang oleh Allah. Jika dia menipu, itu antara dia dengan Allah!
Suatu ketika, pernah saya dan jemaah wanita lain yang tengah duduk dalam masjid yang mulai sesak kerana waktu solat hampir tiba, tiba-tiba gempar apabila beberapa pengawal keselamatan mengejar dua lelaki yang cuba lari mencelah di tengah-tengah jemaah wanita. Dua lelaki itu dapat ditangkap, seorang berjubah manakala seorang lagi dalam pakaian ihram. Kedua-duanya menangis-nangis, merayu supaya dilepaskan. Sekali lagi ada mak Arab di sebelah saya jadi “guru bahasa isyarat”, menjelaskan bahawa kedua-dua lelaki itu disyaki cuba mencopet. Saya tunduk, tak sampai hati tengok wajah mereka yang berlinangan air mata merayu-rayu. Terbayang-bayang di mata, kalaulah sabit kesalahan mereka selepas dibicarakan nanti, sudah tentu mereka akan kehilangan tangan. Ngeri! Tapi, bukanlah semudah itu hukuman hudud akan dilaksanakan. Sudah tentu perbicaraan mengikut hukum dan lunas-lunas yang ditetapkan akan dilakukan terlebih dahulu. Dan, antara yang akan dilihat ialah, apakah yang mendorong mereka mencuri. Apakah disebabkan terdesak kerana kemiskinan sedangkan tiada siapa membantu atau ada sebab lain.
Walaupun ada papan tanda di sekitar masjid yang meminta supaya jangan mengemis, pengemis lelaki dan perempuan banyak berkeliaran di sekitar kawasan masjid. Sesetengah pengemis perempuan membawa anak kecil untuk menarik simpati jemaah. Samalah macam di negara kita juga. Ada juga pengemis lelaki yang cacat anggota, kudung tangan atau kaki. Sesetengahnya memang cacat sejak lahir. Yang lain dikatakan mangsa perang atau mereka yang pernah menjalani hukum hudud. Mana satu yang betul, tak dapatlah saya nak pastikan. Mereka yang membawa tong-tong derma untuk umat Islam Palestin sambil melaung-laungkan “Fisabilillah” pun ramai juga. Tong-tong derma ini ditampal dengan gambar-gambar mangsa kekejaman Zionis.
Samalah seperti yang disebutkan tadi, kalau rasa nak bersedekah, beri sahajalah tanpa banyak soal. Kalau tidak, jangan pula banyak siasat dan cemuhan. Bagaimanapun, kalau nak bersedekah, hati-hati supaya diri tidak menghadapi masalah diserbu kumpulan mereka hingga tak berupaya nak melayannya. Yang eloknya, awal-awal lagi sediakan wang kecil SR1 (kalau nak sedekah wang kecil) dan berikan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak disedari oleh pengemis-pengemis yang lain. Selain pengemis, kita juga boleh bersedekah kepada pekerja-pekerja pencuci masjid.
Pernah seorang remaja lelaki (anak salah seorang jemaah dalam kumpulan saya) yang berjalan pulang ke hotel dari masjid, dihampiri oleh seorang pengemis. Untuk memberi sedekah kepada pengemis itu, dia mengeluarkan semua wang dalam poketnya (mujurlah wang yang dibawanya dalam poket tak banyak) untuk mencari wang kecil. Tiba-tiba sahaja dia diserbu oleh sekumpulan pengemis lain yang berebut-rebut menadah tangan. Dia naik bingung nak bagi yang mana satu. Tengah kalut begitu, tiba-tiba wang di tangannya dirampas dan si pengemis ramai-ramai cabut lari. Tinggallah dia berdiri terpinga-pinga. Malam itu, dia menceritakan pengalamannya kepada kami dengan gaya lucu hingga kami yang simpati jadi geli hati. Emaknya hanya larat menjeling tajam pada anak bujangnya yang "happy-go-lucky" tu. Dah tak terkata apa!
Bersambung....
Thursday, September 28, 2006
Marhaban ya Ramadhan 4
Posted by mak aji at 10:56 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment