Solat Tarawih dan Ibadah Malam
Malam pertama solat Tarawih, imam di surau dekat rumah saya masih imam yang biasa dan baca ayat-ayat lazim sahaja. Masuk malam kedua, imam hafiz daripada Maahad Tahfiz mengambil alih, sama macam tahun-tahun lepas. Bermula dengan surah al-Baqarah, imam muda yang merdu suaranya, lancar bacaannya dan fasih sebutannya itu memulakan "marathon" baca ayat sepanjang-panjang yang boleh. Nak kejar untuk khatam al-Quran sampai solat tarawih terakhir nanti. Saya berkata dalam hati, esok mesti ramai yang "lari" cari surau atau masjid lain yang imamnya baca ayat pendek-pendek saja. Memang lumrah manusia mahu cari yang ringkas dan mudah sahaja.
Kalau di tempat sendiri bolehlah kita main pilih-pilih imam mana baca ayat pendek atau masjid/surau mana buat lapan rakaat sahaja. Tetapi di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, tiada pilihan. Solat dilakukan sebanyak 20 rakaat dan dicampur pula dengan tiga witir (jadi, 23 rakaatlah semuanya. Sama macam yang diamalkan di kebanyakan masjid di Malaysia). Tempoh untuk menghabiskan 23 rakaat ini mengambil masa hampir-hampir tiga jam kerana hendak menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap malam. Selepas setiap salam, imam akan terus bangun mendirikan rakaat seterusnya, tidak ada selawat dan doa macam yang biasa diamalkan di negara kita.
Selepas 10 rakaat, imam akan diganti. Imam yang kedua ini akan membawa 10 rakaat yang berbaki dan ditambah dengan tiga witir. Biasanya selepas 15 Ramadhan, akan dibaca doa Qunut Nazilah yang panjang sebelum sujud dalam solat witir yang akhir. Masa saya ke sana dulu, di Masjidil Haram, sesi kedua ini biasanya akan diimamkan oleh imam veteran, Sheikh Abdul Rahman al-Sudaisy yang cukup diminati oleh ramai jemaah kerana suaranya yang merdu dan bacaannya yang cukup lancar dan jelas. Kalau kita melintasi kedai-kedai menjual kaset dan buku sama ada di Makkah atau di Madinah, kaset bacaan beliau antara yang selalu diperdengarkan oleh pekedai.
Sebab terlalu minat dengan suara Sheikh Abdul Rahman ini, saya selalu bergurau dengan pak aji, memberitahu dia yang Sheikh itu boy friend saya. Pak aji cuma menggolekkan biji matanya sahaja. “Suka hati awaklah!’” katanya dengan suara `malas nak layan’. Bagi kami, bergurau macam ini tak jadi hal sebab masing-masing tahu gurauan begitu tak sampai ke mana pun. Adik saya pula menggelarkan Sheikh Abdul Rahman sebagai “imam brutal” sebab panjangnya bacaan surahnya sehingga kaki dan lutut kita boleh menggeletar dibuatnya. Begitupun, kalau sehari Sheikh itu tidak mengimamkan solat, terasa macam ada yang tak lengkap pula.
Bermula malam 20 Ramadhan, sesiapa yang berada di Makkah dapatlah merasai suasana ibadah malam yang panjang. Pada waktu ini, akan bermulalah solat tahajud berjemaah di masjid yang dilakukan kira-kira selepas tengah malam. Masa ni, ramai juga jemaah yang tidur sahaja di masjid selepas solat tarawih kerana takut tak terjaga untuk menyertai solat tahajud. Solat tahajud ini biasanya mengandungi lapan rakaat dan tiga rakaat witir (ketika ini, solat witir tidak dilakukan selepas solat tarawih).
Jika di tempat kita, qiamullail dilakukan dengan mendirikan beberapa jenis solat sunat termasuk tahajud, yang diikuti dengan solat sunat taubat, hajat, tasbih dan diakhiri dengan witir. Tetapi di sana, pada kebiasaannya hanya solat tahajud yang diakhiri dengan solat witir sahaja yang dilakukan. Walaupun tahajud hanya lapan rakaat (satu salam bagi setiap dua rakaat), masa yang diambil cukup lama. Biasanya solat ini berakhir hampir jam 3 pagi. Selepas itu, jemaah akan pulang ke tempat penginapan masing-masing untuk bersahur dan bersiap semula untuk ke masjid kerana waktu solat Subuh semakin hampir.
Lamanya masa diambil untuk solat tahajud itu ialah kerana ayat yang dibaca adalah panjang-panjang belaka. Setiap rukuk, i’tidal dan sujud juga mengambil masa yang agak lama dan memberi peluang bagi jemaah untuk bertasbih sebagaimana tasbih yang biasa dilakukan dalam solat tasbih. Tasbih bolehlah dibaca sebanyak mana yang boleh. Selalu juga turut dibaca ayat-ayat Sajdah yang memerlukan kita sujud Sajdah/sujud tilawah.
Mengerjakan Umrah
Suasana umrah Ramadhan di Makkah bolehlah diumpamakan seperti suasana musim haji “kecil”. Ramainya manusia sama macam musim haji juga. Cuma bezanya, tumpuan hanya di Masjidil Haram dan tiada ibadah wukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah dan melontar jamrah di Mina.
Kerja umrah, sama seperti kerja haji, adalah ibadah yang lebih menumpukan kepada perbuatan/pergerakan. Walaupun pergerakan utama bagi umrah hanya melibatkan tawaf tujuh kali dan saie tujuh kali, kedua-duanya terpaksa dilakukan dalam keadaan bersesak-sesak (dan panas terik bagi tawaf) memandangkan antara dua hingga tiga juta umat Islam dari seluruh dunia tertumpu di sana untuk satu tujuan yang sama. Kalau mengerjakan umrah dalam musim lain, kita boleh bebas meneguk air zam-zam sebanyak mana yang kita suka selepas bertawaf atau bersaie. Dalam bulan Ramadhan, tekak yang kering selepas bertawaf dan bersaie terpaksalah ditahan sahaja. Mungkin sebab itu ramai juga memilih untuk mengerjakan umrah pada sebelah malam selepas solat Isyak atau solat tarawih kerana udara lebih nyaman.
Begitupun, janganlah harap ada masa kurang sesak untuk bertawaf dan bersaie pada musim Ramadhan (atau haji). Sepanjang masa sesak dengan manusia walaupun pada tengah hari panas terik atau tengah malam. Kita dari Asia Tenggara mungkin mengelak daripada mengerjakan umrah apda masa tengah hari tepat sebab tak tahan panas. Tetapi jemaah dari negara-negara Arab dan Afrika yang kuat dan tegap belaka itu macam tak pedulikan panas.
Banyak juga jemaah memilih untuk mengerjakan umrah pada waktu pagi selepas solat Subuh. Waktu ini pun belum terlalu panas terik. Selalunya boleh selesai sebelum masuk waktu Zuhur. Lepas itu duduk dulu di masjid menunggu masuk waktu Zuhur atau bolehlah balik ke bilik untuk tidur sebentar. Ini yang selalu saya lakukan bersama pak aji dan ahli keluarga.
Kadangkala kami akan ke Tanaim untuk bermiqat selepas Zuhur, kemudian bertawaf sebelum masuk waktu Asar. Selepas solat Asar, barulah kami mengerjakan saie pula.
Ada juga masanya pak aji ke Tanaim sebelum Asar tetapi menyelesaikan kerja umrahnya selepas solat Tarawih. Bermakna, dia dalam ihram pada satu jangka waktu yang panjang dan meletihkan. Tetapi yang ini biasanya dia lakukan seorang diri atau bersama jemaah lelaki yang lain. Saya dilarang ikut sama kerana katanya takut saya tak larat.
Ada masanya saya rasa bengang juga sebab pak aji ni kadang-kadang banyak sangat larangannya masa di tanah suci. Agaknya inilah masa dia nak kontrol sikit isterinya yang terlalu berdikari ni. Mengucup Hajarul Aswad juga selalu dilarangnya kerana di situ memang sentiasa sesak dan berasak-asak.
“Tak usahlah dikejar pahala sunat, tapi kemudian dapat dosa pula!” kata pak aji bila dia tengok muka saya yang agak keruh bila dia tak benarkan saya pergi mengucup batu daripada syurga itu. Maksudnya, hukum mencium Hajarul Aswad cuma sunat, tetapi jika dilakukan secara bertolak-tolak dan berasak-asak sehingga boleh memudaratkan badan, boleh menjadi haram pula.
Saya pula, walaupun dalam hati rasa jengkel, tak berani membantah bila pak aji guna kuasa vetonya (di tanah suci) sebab saya dah pernah “terhukum” sebab tak ikut cakap suami ketika di tanah suci. Nanti akan saya ceritakan. InsyaAllah.
Tapi dia sendiri pula memang tak lepas peluang mengucup Hajarul Aswad. Entah bila masanya saya pun tak tahu. Bila ditanya sama ada dah kucup atau belum batu tu, dia cuma senyum dan mengangguk. Gerammmm!!
Kadang-kadang azan berkumandang ketika kami masih bertawaf. Kalau ini berlaku, pak aji akan menarik saya dan ahli keluarga yang ada sama, menyusur keluar mengikut arus manusia untuk mencari kawasan jemaah wanita berkumpul di mataf (dataran berhampiran Kaabah). Dia akan menyuruh kami mencelah di sana sementara dia sendiri pergi ke tempat jemaah lelaki. Selepas solat, pak aji akan datang mencari kami dan kami akan sambung semula tawaf. Tetapi, tawaf tidak boleh disambung di mana tempat kita berhenti tetapi mesti dimulai semula dari garisan Hajarul Aswad.
Ganjaran Pahala
Kalau rasa tak larat, selalunya dinasihatkan supaya jangan terlalu memaksa diri mengerjakan umrah, takut tak cukup rehat dan boleh memudaratkan kesihatan. Buatlah tawaf sunat dan beriktikaf dalam masjid sahaja. Duduk saja-saja sambil merenung Kaabah pun dapat rahmat. Setiap hari, Allah menurunkan 120 rahmat kepada Kaabah - 60 rahmat diberi kepada orang yang bertawaf, 40 diberi kepada mereka yang bersolat, manakala 20 rahmat lagi diberikan kepada mereka yang hanya memandang Kaabah. Ini ada dinyatakan dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi. Solat di Masjidil Haram mempunyai 100,000 ganjaran pahala manakala di Masjid Nabi ganjarannya ialah 1,000.
Sebut fasal pahala dan ganjaran yang banyak ini, saya teringat cerita selingan seorang ustaz dalam satu ceramah. Menurutnya, dia pergi ke sebuah negara jiran atas satu urusan. Di sana dia bertemu dengan seorang hamba Allah yang baru pulang daripada mengerjakan haji. Selesai urusan pada waktu siang, “Tuan Haji” tu mengajak si ustaz pergi berhibur ke disko dan karaoke pada waktu malamnya.
Kata ustaz itu, “Hai...tuan kan baru balik daripada mengerjakan haji. Masih mahu ke disko dan karaoke lagi?”
Jawab “Tuan Haji” tu, “Masa di Makkah saya sudah mengutip juta-jutaan pahala. Satu kali solat sudah dapat 100,000 pahala. Saya di sana lebih satu bulan lamanya. Bayangkan sudah berapa juta pahala yang saya dapat? Kalau sesekali ke disko, dan markah itu ditolak, tentu masih banyak lagi bakinya bukan?”
Pulak dah! Ada juga orang yang “terlebih cerdik” macam ni!
Mak aji rock!
Demam, selesema, batuk, sakit tekak dan jangkitan paru-paru adalah penyakit biasa bagi kebanyakan jemaah. Kalau dalam masjid pada waktu solat, selain suara imam, alunan suara batuk para jemaah bersahut-sahutan macam alunan orkestra pula.
Saya pun memang selalu kena batuk setiap kali ke tanah suci. Batuk yang kering sampai sakit tekak dan dada. Agaknya alah dengan cuaca, udara dan jangkitan daripada manusia yang begitu ramai di sana. Pernah sampai hilang suara. Kadang-kadang selepas solat, ada hamba Allah menghulurkan ubat batuk kepada saya. Mungkin dia kasihankan saya kerana batuk tak henti-henti tengah bersolat. Tapi, dia tak tahu yang saya dah telan berbotol-botol dan bermacam-macam jenis ubat batuk yang dibeli di farmasi. Tapi batuk tak reda juga!
Batuk dan hilang suara itu biasanya terbawa-bawa sampai selepas seminggu dua pulang ke tanah air. Bak kata orang, kalau buat album lagu rock mesti hebat. Ratu rock si Ella tu pun boleh kalah!
“Tak apalah, Tuhan nak kafarahkan dosa awak agaknya. Di Malaysia dah banyak sangat bercakap. Di sini disuruh duduk diam-diam pula! Sesekali jadi mak aji rock apa salahnya,” usik pak aji.
Bersambung....
No comments:
Post a Comment