Hari ini genaplah 19 tahun pemergian Allahyarham emak ke Rahmatullah.
Hari ini, 19 tahun dulu, menjadi titik penamat penderitaan emak berperang dengan barah yang bersarang di tubuh emak secara senyap. Barah yang hanya diketahui kira-kira tiga atau empat bulan sahaja sebelum pemergian emak.
Emak,
Seolah-olah baru semalam kami melihat mata putihmu menjadi kuning tiba-tiba. Kami bawa emak ke doktor, menyangkakan emak hanya demam kuning dan selepas makan ubat nanti pasti sembuh. Sebelum itu, kami carikan susu kambing untuk emak kerana kata orang, susu kambing boleh jadi ubat sakit kuning.
Tapi, doktor tahan emak di wad. Katanya, ada ujian hendak dilakukan ke atas emak. Emak tak suka duduk hospital tetapi akhirnya akur bila kami berjanji akan bergilir-gilir tidur di hospital menemani emak.
Seminggu menjalani pelbagai ujian di hospital, doktor akhirnya beritahu kami apa sebenarnya penyakit emak. Emak kena barah pankreas. Sejenis barah yang jarang berlaku dan sukar dikesan. Biasanya barah ini hanya dapat dikesan setelah sampai ke peringkat teruk dan tiada harapan sembuh. Doktor kata, emak kena menjalani rawatan kemoterapi, satu-satunya ikhtiar yang ada untuk...untuk apa? Sebenarnya kami pun sudah tak pasti lagi untuk apa kerana kata doktor ketika itu penyakit emak sudah tiba pada peringkat teruk. Sukar sembuh. Hanya satu keajaiban atas kehendak Allah sahaja yang boleh menyembuhkan emak.
Hingga akhir hayat, emak tak tahu apa sebenarnya penyakit emak. Kami tak sampai hati hendak memberitahu emak. Cuma kami beritahu emak yang emak kena jalani rawatan kemoterapi. Tapi emak tak mahu. Emak mahu pulang dan tidak mahu lagi tinggal di hospital.
Kami minta pendapat doktor sama ada perlu paksa emak jalani rawatan atau ikut kehendaknya untuk pulang ke rumah. Kata-kata doktor itu, seorang doktor wanita berketurunan India yang amat prihatin, masih terngiang-ngiang di telinga kami.
Katanya, “Sebagai doktor, saya sarankan supaya emak awak jalani rawatan itu. Tetapi, sebagai seorang kawan, biarlah saya berterus terang sahaja lebih baik awak ikut saja kehendaknya kalau itu boleh membuat dia rasa senang. Rawatan kemoterapi itu pun sebenarnya tidak akan banyak membantu. Mungkin hanya akan melanjutkan nyawanya sebulan dua sahaja.”
Kami terkedu. Di telinga kami, kata-kata itu seolah-olah satu hukuman mati telah dijatuhkan ke atas emak. Tapi kami tetap yakin bahawa nyawa manusia bukan di tangan doktor tetapi di tangan Allah.
Kami bawa emak pulang untuk menggembirakan emak walaupun kami bimbang tiada apa yang boleh kami lakukan untuk membantu mengurangkan penderitaan emak. Maka, bermulalah episod perit dan duka melihat emak menderita di hadapan mata kami. Sesekali kami memujuk emak ke hospital tetapi emak tetap enggan, lebih suka berubat cara kampung. Walaupun tak yakin, kami tetap bawa emak ke sana sini berubat dengan mereka yang dikatakan pandai merawat penyakit macam penyakit emak. Tapi penyakit emak semakin teruk. Emak semakin lama semakin tenat.
Akhirnya tibalah saat itu. Saat perjanjian emak dengan Al-Khaliq (Pencipta)nya. Saat yang tidak boleh dilambatkan atau dipercepatkan walaupun sedetik. Ketika itu, emak baru berumur 49 tahun kalau dikira ikut Tahun Masihi. Jika mengikut Tahun Hijrah, emak sudah 51 tahun.
Emak,
Kami anak-anakmu masih tetap merasakan kepedihan kehilanganmu walaupun masa sudah lama berlalu. Kata orang, masa dapat mengubat luka. Tapi luka kami kehilangan emak masih bisa terasa. Kami reda dengan pemergian emak kerana memang itu sudah kehendakNYA. Namun masih tersimpan dalam hati ini rasa terkilan kerana emak pergi ketika kami baru hendak bertapak dalam hidup, tidak sempat membalas jasa emak dan membahagiakan emak dengan harta benda dunia walaupun kami sedar, apa pun yang kami berikan pada emak dan abah, tak kan pernah setimpal dengan jasa emak dan abah membesarkan kami.
Namun, kami puas dan bersyukur kerana diberikan kesempatan menjaga emak ketika emak bertarung dengan `pembunuh’ itu. Sempat kami bergilir-gilir menjaga emak di hospital dan di rumah. Menjaga makan minum emak, membersihkan emak dan memandikan emak. Namun, antara kami bertiga, adiklah yang paling banyak berjasa menjagamu kerana adik masih tinggal dengan emak dan abah sedangkan kami yang tua sudah berumahtangga.
Allah juga memberikan kesempatan kami menghadap emak ketika nazak dan dapat mengajar emak mengucap dua kalimah syahadah. Walaupun hati hancur luluh ketika itu, kami anak-anak perempuanmu, berusaha keras menyeka air mata supaya dapat sama-sama memandikan dan mengapankan jenazah emak. Dengan dada yang amat sebak, kami bersihkan dada emak yang pernah memberikan kami air susu, perut emak yang pernah mengandungkan kami, juga tangan emak yang pernah membelai kami.
Kami juga ikut sama menemani emak menaiki van jenazah dalam perjalanan ke pusara, ke destinasi terakhir manusia di dunia yang fana ini. Kami duduk mengelilingi jenazah emak yang terbaring tenang dalam keranda. Masing-masing membisu, tenggelam dengan fikiran dan kenangan masing-masing bersama emak. Tiada kata-kata yang dapat diucapkan ketika itu. Perjalanan itu sesungguhnya terasa amat singkat. Rasa sekelip mata sudah tiba ke tanah perkuburan sedangkan kami ingin berlama-lama lagi dengan emak.
Emak,
Hujan turun renyai-renyai ketika jenazah emak dikebumikan dan bertambah lebat selepas tok imam selesai membaca talkin. Seolah-olah alam turut berkongsi duka kami. Namun kami bertiga tetap berdiri di sisi pusara emak, memerhatikan sehingga jasad emak sudah tidak kelihatan lagi dan hanya timbunan tanah menutup lubang tempat jasad emak bersemadi. Asalnya manusia daripada tanah, kembalinya manusia ke tanah jua.
Seboleh mungkin, saat-saat terakhir akan bercerai dengan jasad emak itu cuba kami lewat-lewatkan. Kalau diberi pilihan, ingin sekali rasanya jasad emak kami simpan sahaja di rumah. Biarpun tidak lagi bernyawa, namun jasad emak tetap ada depan mata.
Tetapi itu tak mungkin terjadi. Hidup ini ada hukum dan peraturannya. Sebagai orang Islam, jasad emak mesti disempurnakan – dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Dan semua itu telah kami sempurnakan sebaik mungkin untuk emak.
Emak,
Ketika hayatmu, sering kau menyebut bahawa aku anak paling nakal, paling degil, paling berani antara kami. Dan aku tahu, aku juga anak yang paling banyak menyakiti hatimu dan memeningkan kepalamu. Ketika kecil, aku yang paling selalu dirotan, paling kerap dihukum. Emak garang dan tegas berbanding abah, tetapi itu tidak menghalang aku daripada kenakalan remajaku.
Yang paling ku kesalkan hingga kini, mengapalah amat berat lidahku hendak memohon ampun kepadamu ketika kau terlantar sakit. Ketika itu, aku sudah dapat merasakan yang hayat emak tidak akan lama. Allah akan mengambil emak daripada kami bila-bila masa sahaja. Masa emak bersama kami sudah tidak boleh lagi dihitung dengan hari tetapi dikira dengan saat. Hatiku menyuruh aku bersuara memohon ampun atas segala kesalahanku kepada emak. Tapi lidahku terasa kelu. Hati yang menyuruh itu juga rasa tidak sampai untuk mengucapkan kata-kata itu. Aku takut nanti emak akan rasa kecil hati. Takut emak menganggap aku sudah tidak sabar-sabar mahu emak pergi. Dalam keadaan emak yang sakit tenat, aku tak mahu mengecilkan hatimu atau membuat emak salah sangka. Sudah cukuplah dosaku kepada emak selama ini.
Yang mampu kulakukan ketika itu, hanyalah memandang emak sambil mengucapkan kata-kata memohon ampun dan maaf sekadar dalam hati sambil berharap emak mengampunkan aku dan menghalalkan air susumu yang ku minum sehingga sihat membesar.
Namun, jauh di sudut hati, aku tahu emak memang sentiasa mengampunkan dosa kami kerana emak sering berkata, “Walau macam mana marah pun emak pada anak-anak emak, dosa kalian tetap emak ampunkan dunia akhirat.”
Emak,
Ada kalanya aku terlalu rindu kepadamu, terlalu rindu untuk memanggil dan menyebut “emak”. Rindu itu adakalanya cukup menyesakkan dadaku dan menyeksa jiwaku. Namun rindu itu ku telan diam-diam dan ku simpan dalam-dalam jauh di sudut hati.
Dalam usia begini pun, aku amat ingin kau hadir dalam hidupku; membelaiku, bergurau denganku, menasihatiku dan menghukumku seperti dulu. Aku amat ingin kau melihat cucu-cucumu membesar di hadapan matamu. Aku amat ingin kau berada di sisiku, memberikan aku kekuatan untuk meniti hidup yang penuh cabaran ini.
Dalam usia begini pun, aku masih lagi iri melihat orang lain memimpin ibu mereka yang sudah tua, berjalan dan bercuti bersama. Ada kalanya seolah-olah ada hasutan halus dalam hatiku, mempersoalkan mengapa aku tidak turut diberikan peluang itu bersamamu. Mengapa masa bersamamu amat singkat bagiku?
Tetapi mujurlah aku cepat tersedar lantas beristighfar. Sekurang-kurangnya, walaupun masa yang diberikan Allah dirasakan teramat singkat, kami masih dapat bersamamu sehingga kami dewasa dan boleh berdikari. Ada ramai anak kecil yang tidak pernah berpeluang pun mengenali ibu ataupun ayah mereka. Kami masih bertuah berbanding mereka!
Emak,
Berehatlah emak, berehatlah di sana. Semoga rehat emak rehat yang damai. Kami anak-anakmu akan terus berdoa supaya emak, dan juga Allahyarham abah, dimasukkan ke dalam golongan orang yang soleh dan beriman. Semoga emak, juga abah, terhindar daripada seksa kubur dan azab neraka. Semoga Allah mencucuri RahmatNYA ke atas roh emak, dan juga abah. Amin.
Al-Fatihah.
Friday, September 15, 2006
Al-Fatihah buat emak
Posted by mak aji at 11:56 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Makaji, sama-samalah kita mendoakan arwah semoga dicucuri rahmat oleh Allah.Amin.
Salam untuk Mak Aji dan AlFatihah saya tujukan untuk arwah dan mereka yang telah pergi mendahului kita... rasa sebak dada saya membaca cetusan Mak Aji ini. Rasanya saya juga bukanlah anak yang baik kerana masih selalu meninggalkan emak dan abah meneruskan hidup mereka tanpa saya dan adik beradik di sisi... (Shah Alam dan Cheras tidaklah jauh mana tapi...) ya kesibukan merantai kami. Tetapi dengan cetusan Mak Aji ini, saya akan teruskan tabiat saya mengunjungi emak yang dekat tapi jauh... walaupun hanya sekali dalam seminggu.
kakyan: Amin....
Sri: Terima kasih. Memang saya sentiasa kata kpd kawan2 yang masih ada parents supaya selalulah jenguk mereka sebelum mereka "pergi". Orang yang masih ada ibu bapa walaupun dah berusia ini bagi saya sebenarnya "orang kaya".
Post a Comment