Monday, September 11, 2006

Bohong sunat?

Pak aji ke Korea selama beberapa hari dan dijangka pulang Isnin. Seperti biasa, bila pak aji ke luar daerah (out station), saya tinggal dengan dua anak yang kecil saja di rumah. Kak long di kampus.

Walaupun saya memang jenis yang berdikari dan biasa ke sana sini seorang diri, tetapi sebagai wanita, perlu juga sentiasa berhati-hati kerana wanita yang banyak jadi mangsa jenayah. Tak bolehlah nak tunjuk berani tak bertempat dan mengambil risiko terhadap keselamatan saya dan anak-anak. Sikap berwaspada ini memang jadi amalan saya sejak dulu lagi. Ini kerana tugas pak aji memang menyebabkan dia kerap ke luar daerah sama ada di dalam atau luar negara. Kadang-kadang cuma sehari dua, ada kala sampai berminggu-minggu. Selain itu, kerja saya dulu juga banyak membawa saya ke luar daerah. Ada kala berkumpulan, biasa juga berseorangan.

Pagi Sabtu, saya di dapur dan anak-anak bermain di luar rumah. Tiba-tiba saya dengar mereka menjerit memanggil saya, mengatakan ada orang nak jumpa. Bila keluar, saya lihat ada seorang lelaki berdiri di luar pagar (yang memang sentiasa berkunci). Dia tanya sama ada saya mahu bubuh tar di luar pagar saya.

Saya menolak dengan baik tapi dia seolah-olah mendesak. “Murah saja kak. Kalau taruh tar, depan ni jadi lagi cantik,” katanya. Saya terus menolak dengan alasan suami tak ada di rumah.

“Bila dia balik?” tanya lelaki itu.

Seorang lelaki asing bertanya bila suami ada di rumah sedangkan suami tidak ada di rumah selama beberapa hari. Apa yang perlu dijawab? Terus terang kata suami balik beberapa hari lagi dan mendedahkan diri dan anak-anak kepada kemungkinan bahaya bila dia tahu tak ada orang lelaki di rumah atau berbohong mengatakan suami akan pulang malam nanti?

Bukanlah saya suka berprasangka yang lelaki itu orang ‘jahat’. Mungkin dia seorang yang lebih jujur berbanding saya. Tetapi takkanlah nak beri maklumat peribadi kepada mana-mana Mamat, Ah Seng dan Rajoo yang bertanya. Saya tidak berani mengambil risiko itu. Antara bercakap benar supaya tidak digolongkan dalam golongan munafik atau berbohong untuk menjaga kemaslahatan diri, terutama anak-anak, saya terpaksa memilih yang kedua.

Maka berbohonglah saya, “Malam nanti!”

Terlupa pula saya si kecil berdua itu ada berhampiran, sedang tekun mendengar perbualan saya dan lelaki itu. Kedua-duanya memandang saya serentak dengan mata bulat.

“Eh!....Ayah bukan balik malam nilah mak! Ayah balik Isnin,” kata kakngah dengan suara kuat dan bersungguh-sungguh.

Lelaki itu memandang saya seketika kemudian berlalu ke rumah jiran. Muka saya rasa tebal tiga inci kerana tertangkap menipu. Sedangkan dua wajah kanak-kanak yang bersih itu masih memandang saya dengan pandangan menuduh.

Nak jawab apa ha? Selalu mak kata jangan cakap bohong, nanti Allah tak sayang. Mengapa pula mak yang cakap bohong sekarang? Ha, jawab mak aji, jangan tak jawab!

“Errrr....sorrylah, mak tersilap cakap tadi,” kata saya. Bohong lagiiiii!!!!

Bohong untuk menjaga diri macam ni orang Melayu istilahkan sebagai ‘bohong sunat’. Tetapi sebenarnya tiada istilah bohong sunat dalam agama. Bohong tetap bohong. Mana boleh berbohong dapat pahala!

Secara kebetulan, saya terbaca jawapan Datuk Dr Mashitah Ibrahim kepada satu kemusykilan agama yang bertanya tentang perkara yang sama iaitu dalam keadaan bagaimanakah kita dibolehkan berbohong.

Jawab Dr Mashitah, berbohong adalah perkara yang dilarang dalam agama dan tiada istilah bohong sunat kerana perkara sunat mendapat pahala sedangkan berbohong pula salah satu sifat munafik. Bagaimanapun dalam agama ada tiga keadaan di mana dibolehkan berhelah iaitu pertama antara suami isteri demi menjaga kesejahteraan rumah tangga, kedua dalam peperangan dan ketiga untuk mendamaikan antara dua sahabat yang bergaduh. Kata beliau lagi, ada kalanya manusia berada dalam keadaan tersepit dan tidak dapat bercakap benar kerana hendak menjaga hati semua orang dan juga untuk menjaga nama baik. Kadang-kadang kenyataan seseorang juga boleh disalah ertikan atau sengaja disensasikan untuk tujuan komersial (dengan merujuk kepada situasi yang dihadapi oleh artis). Sebagai manusia biasa, ada ketikanya demi maruah dan mengelak fitnah ada perkara tidak boleh dihebahkan.

Jadi, bohong saya itu termasuklah dalam kategori `bohong tersepit’. Bukanlah bohong munafik. Tetapi, tetap bukan bohong sunat!

Masalahnya, bagaimana hendak menjelaskan kepada si kecil berdua itu supaya mereka faham? Tiba-tiba saya rasa diri ini macam seekor ketam yang hendak mengajar anaknya berjalan lurus pula.

Hai anak! Perjalananmu masih panjang dan masih terlalu banyak perkara mengenai hidup yang perlu kamu pelajari. Semoga Allah sentiasa membimbingmu meniti jalan yang benar. Amin.

2 comments:

Leyla Shuri said...

"berbohong untuk menjaga kemaslahatan diri"
istilah baru ini, bohonglah kalau saya kata saya tahu maknanya....kemaslahatan!

Anonymous said...

Perkataan maslahat itu kalau tak silap saya diambil daripada bahasa Arab (kalau saya salah, sesiapa yang sudi tolonglah betulkan).

Kalau ikut Kamus Dewan (KD)maslahat bermakna "sesuatu yang berfaedah atau berguna atau usaha yang mendatangkan faedah". Contoh ayat yang diberikan KD antaranya ialah, "..setiap langkah, peraturan dan undang-undang yang dapat melindungi dan mempertahankan perkara yang disebutkan tadi adalah maslahat".

Jadi, bolehlah dikatakan maksud saya "untuk menjaga kemaslahatan diri" itu maknanya untuk menjaga kepentingan atau faedah diri.

Harap penjelasan saya dapat membantu.