Tuesday, February 19, 2008

Perihal wartawan

Baru-baru ini ketika menyelak helaian sebuah akhbar, saya terjumpa nama adik saya bersama satu rencana yang ditulisnya (adik saya masih lagi seorang wartawan. Belum jadi wartawan pencen macam saya…hihihi!). Rencana itu mengenai penerokaan perniagaan baru oleh sebuah syarikat.

Teringat saya adik pernah bercerita beberapa hari sebelum itu mengenai pengalamannya ketika menemu bual pengurus syarikat baru itu. Selepas habis sesi temu bual, dia menghulurkan sampul berisi wang kepada adik saya. Puas adik saya menolak tetapi pengurus itu berkeras sehingga ke tahap merayu suruh adik saya mengambilnya. Katanya, kalau adik saya tak ambil, dia (pengurus itu) akan dimarahi oleh pihak pengurusan syarikat kerana duit itu memang diperuntukkan sebagai ‘hadiah’ kepada wartawan yang menulis mengenai syarikat mereka.

“Apa nak buat ni Lang? I don’t want the money!" kata adik saya.

“Berapa isinya?” Tanya saya.

“RM50.”

“Hemmm…cheap skate! Bagilah RM5,000 ke atau RM50,000 ke. Kata business berjaya! Takkan kaya macam tu nak beli wartawan dengan RM50 aja! Kedekut!” kata saya sinis.

Adik saya ikut senyum sinis. Dia memang tahu saya suka main-main kalau dia bertanya perkara-perkara yang dianggapnya serius.

“I nak sedekahkan ke masjid sajalah. Boleh tak?” Tanya adik saya lagi.

“Memang boleh. Kalau sedekah dapat pahala. But, is that what you really want? Dapat pahala, tapi orang yang beri duit itu nanti fikir memang betullah wartawan ni semua cheap skate macam dia juga, memang kena hulur duit atau beri hadiah, baru boleh keluar cerita dia kat surat khabar.” kata saya.

“Pulangkan saja duit tu. Cakap dengan dia orang, itu menyalahi etika kerja. Wartawan dah dibayar gaji untuk tulis cerita tu. Tak payah dibayar lagi. Anggap saja tulisan di akhbar tu nanti sebagai khidmat masyarakat percuma seorang wartawan kepada orang kaya-kaya kat luar sana tu,” kata saya lagi, masih sinis.

Saya sudah terlupa perbualan dengan adik dan terlupa nak tanya dia sama ada dia sudah pulangkan duit itu atau belum sehinggalah saya terbaca rencana tulisannya itu. Lalu saya SMS adik.

I saw your story on the ***. Duit dah pulangkan?”

“Dah. Lepas ni kalau ada lagi orang nak bagi duit, I nak suruh dia belikan beg tangan ajelah. Yang ribu riban punya harga. Ok tak?” Adik saya memang pengumpul beg tangan. Saya selalu kata dia nak jadi Imelda Marcos, bekas Wanita Pertama Filipina yang gemar kumpul kasut sampai beribu-ribu pasang.

“Baik suruh belikan banglo terus.” Jawab saya.

“Hehehe…ok juga tu!” balas adik.

Sebenarnya, apa yang adik saya lalui bukan perkara baru atau perkara pelik dalam dunia wartawan. Sejak dulu lagi ia sudah berlaku dan pasti akan terus berlaku. Mungkinkah ia berlaku juga pada zaman Bapa Kewartawanan Malaysia, Rahim Kajai, atau tokoh-tokoh wartawan hebat seperti Allahyarham Dato’ Melan Abdullah, Tan Sri A Samad Ismail dan yang lain-lain itu? Saya tak pasti tapi pokoknya, sejak saya masuk ke dunia kewartawanan pada tahun 80an, ia memang berlaku.

Saya sendiri tidak pernah mengalaminya tetapi saya tahu ada rakan-rakan wartawan yang pernah melalui apa yang dilalui oleh adik saya. Sama ada mereka mengambil atau memulangkan ‘hadiah’ yang diberikan itu, saya tak mahu komen.

Memang lumrah kalau wartawan dijemput menghadiri mana-mana majlis, akan diberikan cenderahati kecil seperti pen, rantai kunci, payung, kalendar, buku catatan, topi atau door gift yang sama atau agak istimewa berbanding tetamu lain. Dalam musim perayaan pula, syarikat-syarikat besar seperti syarikat penerbangan atau hotel-hotel akan menghantar hamper, kuih, dodol, limau atau makanan lain ke meja wartawan sebagai tanda terima kasih atas kerjasama dan publisiti yang diberikan sepanjang tahun. Makanan dan hamper ini biasanya dibahagi-bahagikan sesama mereka yang bertugas termasuk bos.

Bagaimanapun, tanpa cenderahati atau hamper atau makanan, cerita, berita dan publisiti tetap juga ditulis dan disiarkan di media. Lebih-lebih lagi kalau jenis berita yang boleh ‘jual’ media (ahak!). Mereka tak payah cari wartawan, wartawan yang akan cari mereka.

Tetapi, pemberian wang atau hadiah yang mahal-mahal kepada wartawan secara peribadi tidak boleh diterima sama sekali tanpa kebenaran syarikat kerana ia dianggap melanggar etika kewartawanan dan etika syarikat. Kalau pihak pengurusan mengetahuinya, wartawan berkenaan boleh diambil tindakan tata tertib. Kalau nak keluarkan duit juga, beli iklan atau ruang khas untuk keluarkan cerita mereka. Duit itu pergi pada syarikat, bukan wartawan.

Suatu waktu dahulu, wartawan dipandang tinggi kerana tugas mereka yang menjadi penyalur berita, penyampai maklumat, malah penggegar semangat juang dan semangat nasionalisme melalui tulisan mereka. Untuk memperjuangkan kemerdekaan pada tahun-tahun 1950an dulu, wartawan ada peranannya. Laporan berbentuk penyiasatan atau investigative reporting yang dilakukan oleh wartawan, boleh meruntuhkan sebuah empayar atau organisasi seperti yang berlaku dalam skandal Watergate di Amerika suatu waktu dahulu.

Wartawan dulu juga dianggap hebat kerana dilihat bergaul rapat dengan orang penting dan kenamaan yang sukar didekati orang biasa. Tetapi, sama seperti profesion perguruan, wartawan kini dipandang rendah dan remeh oleh sebahagian anggota masyarakat. Kalau difikir-fikirkan, tak boleh juga menyalahkan sepenuhnya orang luar yang berpandangan begitu, kena salahkan sebahagian wartawan itu sendiri yang bersikap ‘sebab nila setitik rosak susu sebelanga’.

Sebenarnya, wartawan pun sama macam orang lain juga. Kalau ada guru, polis, doktor, peguam, kerani, ustaz, imam, ketua jabatan, ketua hakim (hehehehe!) atau menteri (hehehehe!) yang jujur dan yang menyeleweng, wartawan pun ada yang jujur dan ada yang menyeleweng. Sama macam mereka yang lain itu juga, wartawan pun ada yang amanah menjalankan tugas dengan niat menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan ada juga yang ‘main belasah’ saja untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam dunia wartawan sama juga macam di organisasi lain, ada politicking, ada back stabbing, ada yang jadi mangsa dan ada yang jadi pemangsa. Ada wartawan yang sangat tajam pemikiran dan jauh pandangannya, ada juga yang jenis blur, malas, buat kerja asal siap dan tak buat homework dulu sebelum menulis. Sebab itu tidak adil membuat tanggapan buruk secara umum kepada semua wartawan.

Kepada adik-adik yang masih jadi wartawan macam Syahril (yang pernah ‘berasap’ apabila ada orang mengutuk wartawan) dan adik saya, jangan lekas putus asa, marah atau rendah diri jika ada orang memandang serong pada wartawan. Walaupun mungkin kecil, tetapi kita juga ada peranan penting kepada masyarakat. Tanpa wartawan, orang yang mengutuk wartawan itu nanti akan jadi katak di bawah tempurung, tidak akan tahu perkembangan semasa dunia. Tak nak tengok dan baca media tempatan dan nak tengok atau baca berita-berita CNN, Al-Jazeera, Reuters, AFP, Astro dan yang seumpamanya saja? Mereka itu pun wartawan juga! Ada yang betul dan ada yang tak betulnya!

Saya pernah jadi wartawan dan bukanlah mudah sebenarnya untuk jadi wartawan yang baik. Saya pernah melalui latihan intensif kewartawanan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) selama tiga bulan sebelum dipercayai untuk dilepaskan keluar bertugas. Pernah berhempas pulas selama empat tahun di ITM (sekarang UiTM) untuk mengejar sekeping pengiktirafan dalam bidang kewartawanan, pernah melalui pelbagai pengalaman pahit manis jadi wartawan dan pernah menang anugerah kewartawanan. Tetapi semua itu masih belum menjanjikan seseorang itu boleh menjadi wartawan yang baik.

Bagi saya, wartawan yang baik ialah yang ada rasa tanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, bukan menulis untuk mensensasikan cerita, untuk melariskan akhbar/majalah semata-mata atau untuk mengejar populariti. Dan apabila kita rasa tidak berupaya menegakkan tanggungjawab itu lagi, maka tibalah masanya untuk berundur dan jadilah wartawan pencen macam saya!

6 comments:

Mak Teh said...

salam mak aji, your sister should not have taken the money. Malu je orang tu, dah le nak upah sogok-sogok beripun Rm 50 je! Dua kali buat benda yang tak senonoh! Sangat cheap skate! Dengarpun mak teh nak termun.....!

Anonymous said...

Dalam dunia wartawan sama juga macam di organisasi lain, ada politicking, ada back stabbing, ada yang jadi mangsa dan ada yang jadi pemangsa.

(I LOVE THAT QUOATATION)

Mak Aji, saya benci bila wartawan dibeli, saya paling benci bila wartawan dituduh dibeli, dan kebencian saya meluap-luap kepada wartawan yang sanggup dipergunakan setelah 'maruahnya' berjaya dibeli

tetapi manusia memang begitu, kuman di seberang laut nampak sangat (masalahnya betulkah ia kuman?) tetapi gajah di depan mata
buat-buat tak nampak.

Mungkin gajah sifatnya manja dan macam slow, tetapi jangan lupa gajah jugalah yang boleh membinasakan seluruh harta benda termasuk tanaman orang.

mak aji, saya sangat kecewa. Terlalu kecewa.

Tapi saya tidak berdendam. Saya tahu dalam usaha mengekalkan kedudukan, ada yang mesti menjadi korban.

Saya pasrah jika sayalah 'korban' itu, tetapi saya percaya, benih yang baik, walau campak ke mana pasti akan menjadi pulau.

Saya cuma berdoa kebenaran akan terserlah suatu hari nanti, pada diri ini sekelumit dendam pun tiada, kerana saya tahu, Tuhan lebih berkuasa di atas segalanya.

IKHWANI said...

di mana-mana pun sama, berada dalam bidang saya ni pun banyak "melihat" benda2 mungkar seperti ini misalnya, cuma saya Alhamdulillah tidak terlibat, tapi nak menegah diluar kemampuan saya (menunjukkan kelemahan iman saya)

kalau nak lulus projek, kenalah "hulur" sekian and sekian..harga rm50 tu sama lah harga sepucuk surat yang telah di tanda-tangan oleh pihak yang ada authoriti.

Contoh: kami hantar proposal untuk sesuatu kelulusan, dah ada approval letter daripada pihak berkenaan, kena pergi ambik surat. Clerk yang jaga surat tu ada yang perlu "di bayar" barulah boleh ambik surat tu kalau tak, nanti surat boleh "hilang" dan fail pun turut "hilang". Ada satu masa tu, ada banjir kilat kat satu jabatan di bandaraya kita ni, then bila cleaning up, terjumpa sekian banyak fail-fail diatas loteng jabatan berkenaan - fail yang "dihilangkan" on purpose.


Mujurlah bila berlaku demikian, tak akan melibatkan kami, kami cuma hantar proposal dan yang pegi ambik surat tu pihak lain. Neverthelsss...

Pegawai atasan okay jer, orang bawahan pulak buat hal. Bayangkan satu surat rm50, kalau dah banyak...but then duit tak berkat nak buat apa tak?

Tapi ada juga yang sudah bertitle Haji berpangkat atasan di jabatan yang meluluskan - kalau nak projek lulus, kena lah "bagi hadiah" satu atau dua unit rumah/kondo pada dia.


Saya malu bila dengar cerita macam ni sebab yang "ambik" hadiah tu muslim dan yang beri tu biasalah kan? Even contractors ni dah tetapkan harga sekian dan sekian untuk si polan dan sipolan. Sesama mereka, depa bincang jangan kasi lebih pada "market rates". Sepucuk surat penting sometimes will cost about rm1,000!

Sebab tu lah saya mohon, kalau boleh walaupun tak terlibat secara langsung tapi biarlah Allah tidak lagi meletakkan saya ditempat yang boleh saya mendengar cerita2 macam ni semasa di kalangan mereka sebab saya berasa sangat-sangat malu dan berasa bersalah!

mak aji said...

Salam Mak Teh,

My sister was stunned actually. Dia dah banyak cover story orang korporat sampai level multinational, tapi itu pertama kali jumpa orang cheap skate yang fikir orang lain pun cheap skate juga. Tak pernah sebelum tu dia diberi 'hadiah' duit sebab orang yang ditemubualnya selalunya profesional dan tahu tugas wartawan.

Macam Mak Teh, saya pun nak mun... dengan orang macam ni.

mak aji said...

Salam Syahril,

Bila adik bercerita, saya gelak-gelak. Tapi dalam hati sebenarnya mendidih. Begitu murah dia orang ukur maruah orang.

Kita sama-sama tahu dunia wartawan ini macam mana. Tapi sebenarnya di mana-mana pun sama. Dalam dunia korporat yang saya berada sekarang pun begitu juga.

Wartawan selalu tulis macam-macam untuk mendidik orang mengenai hak (dlm apa segi sekalipun). Tapi hak wartawan itu sendiri sebenarnta tak ada siapa nak bela.

Betul tu, benih yang baik walau dicampak ke mana pun akan baik juga jadinya.

Tak usah berdendam kerana dendam Allah itu lebih hebat daripada dendam manusia. Rezeki di tangan Allah, bukan di tangan manusia.

mak aji said...

Salam OndeOnde,

Telinga kita dah lali dengar cerita macam ini kan? Orang atasan ke atau orang bawahan, ada saja jenis tak jujur. Masing-masing dengan caranyalah. Orang atas makan ribu-ribu atau juta-juta. Orang bawah pula dapat puluh-puluh atau ratus-ratus pun jadi.

Title haji/hajah tak menjamin peribadi yang baik. Iman yang kukuh menjadi benteng.

Kadang-kadang, bila orang bukan Islam bercerita tentang 'duit kopi' yang dia kena sediakan untuk kelancaran projeknya dengan satu-satu jabatan - dpd pembawa fail hinggalah tukang meluluskan - telinga kita jadi panas. Tapi apa nak buat. Bak kata orang, 'Tak tumbuh tak melata. Tak sungguh orang tak kata'.