Monday, February 11, 2008

Musim demam

Semua orang tahu, sekarang ini musim demam. Bukan demam denggi, bukan demam panas, bukan demam selesema, tapi demam pilihan raya. Ubat demam yang ini tak ada pada doktor, pun tak boleh beli di farmasi. Demam jenis ini hanya boleh kebah dengan dua cara. Satu, nama naik jadi calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Dua, banyak orang pangkah sehingga menang pilihan raya. Demam pun kebah serta-merta dan senyum pun lebar hingga ke telinga apabila mula dipanggil YB, lebih-lebih lagi YB baru.

Rakyat marhaen macam saya ni, kalau ada kesempatan, masa inilah patut ambil peluang ‘buli’ mereka ni. Kalau pada masa lain, mereka ni sibuk. Kalau diundang merasmikan majlis yang tak berapa penting dan tak berapa glamor, biasanya mereka akan hantar wakil sahaja menggantikan mereka. Tetapi pada saat-saat genting macam ni, panggillah untuk merasmikan jamban baru atau perigi baru sekalipun, pasti mereka datang. Lebih-lebih lagi kalau ada liputan media.

Kalau terasa nak bersalam atau nak tengok muka mereka ni secara dekat, selepas penamaan calon nanti, rajin-rajinlah ke pasar, ke kedai kopi, ke rumah-rumah kampung, ke rumah-rumah setinggan atau ke tempat-tempat yang becak, lecak, kotor dan berselut. Pasti boleh bertemu mereka ni. Masa ni, suruhlah mereka dodoi bayi dalam buaian, tumbuk padi, kisar padi, tumbuk sambal, redah sawah, panjat pokok kelapa, panjat pokok durian atau apa saja (walaupun sekadar bergambar supaya gambar itu nanti masuk dalam surat khabar), pasti mereka buat.

Inilah juga masanya untuk minta itu ini – mintalah jalan raya lebih baik, minta gantikan jambatan uzur, minta bina sekolah baru, minta masuk air dan api kalau masih belum ada lagi, minta derma itu ini, minta betulkan rumah yang nak roboh, dan macam-macamlah lagi. Pasti akan dijanjikan dapat semua itu selepas menang nanti. Tapi, janganlah pegang sangat janji tu sebab banyak kali juga terjadi, janji hanya tinggal janji. Dan janji itu akan diperbaharui semula empat tahun kemudian untuk memancing semula hati pengundi. Bak kata falsafah ‘Manusia suka membohongi dan dibohongi. Manusia juga suka menggunakan dan dipergunakan’.

Saya bukan orang politik, cuma suka memerhati yang mana sempat diperhatikan. Seronok memerhatikan mereka terutama dalam musim demam ini. Tak kiralah apa parti pun sama ada parti pemerintah atau parti pembangkang. Pada saya, kebanyakannya dua kali lima sahaja. Masa inilah macam-macam drama, macam-macam sandiwara, macam-macam lakonan boleh kita tonton. Aku tuduh engkau, engkau tuduh aku balik; aku kata engkau, engkau kata aku balik; aku perleceh engkau, engkau perleceh aku balik; aku kutuk engkau, engkau kutuk aku balik! Yang paling kelakar dan klise adalah apabila masing-masing sebut benda yang sama, “Pengundi kini sudah bijak dan tidak mudah terpengaruh.” Nak bodek pengundilah tu!

Suka hati merekalah. Yang bertarung, mereka. Yang kalah atau menang nanti, mereka. Yang bertambah kaya, mereka. Yang boleh buat rumah ala istana nanti, mereka. Yang boleh tambah isteri atau girlfriend nanti, mereka. Yang boleh besarkan business nanti, mereka. Yang boleh beli kereta mewah nanti, mereka. Kita hanyalah pengundi yang menjadi titian untuk mereka merealisasikan impian.

Selepas penamaan calon nanti, poster muka calon-calon itu nanti pastilah terpampang di merata jalan. Nak bagi pengundi kenal siapa calon bagi kawasan mereka. Kerenah pengundi pun pelbagai. Ada yang mengundi parti, tak kira siapa calon, Ada mengundi calon, tak kira apa parti. Ada tengok manifesto dulu. Ada tengok track record dulu. Dan macam-macam perkara lagi yang ditengok sebelum memangkah.

Bercakap fasal poster ini saya teringat cerita seorang kawan masa musim mengundi lama dulu. Kawan ini selalunya tak pernah ambil peduli siapa calon di kawasannya. Yang dipangkahnya ialah parti, bukan calon. Letaklah siapa pun, dia mesti pangkah parti itu juga. Agaknya kalau letak muka kambing pun, dia pangkah juga. Nama calon pun kadang-kadang dia tak tahu. Poster-poster muka calon di tepi jalan biasanya dia tak pandang pun.

Hinggalah tiba hari mengundi. Dalam perjalanan nak pergi membuang undi, barulah kali pertama dia memandang dan merenung poster muka calon parti yang selalu dipangkahnya. Tiba-tiba dia rasa ‘menyampah’ tengok muka calon itu. “Aku tengok mukanya macam playboy tua aja. Senyumnya yang senget itu pun dah cukup buat bulu roma aku meremang. Terfikir aku, kalau aku pangkah dia dan dia menang nanti, pasti lepas tu dia tambah bini lagi,” kata kawan itu.

Penyudahnya, apabila sampai di tempat membuang undi, dia pangkah parti lain yang selama ini tak pernah dipangkahnya. Hahahahaha.....saya sakit perut ketawa mendengar kawan itu bercerita, siap dengan mimik mukanya sekali. Kasihan calon berkenaan. Hanya fasal gambar yang memberikan impak bertentangan daripada apa yang diharapkan, dia hilang satu undi.

Jadi, bagi bakal-bakal calon pilihan raya kali ini, pastikan gambar untuk poster itu nanti buat yang elok-elok dan muka dalam gambar itu biar nampak innocent. Mana tahu, ada lagi pengundi macam kawan saya tu, tak fasal-fasal rugi undi hanya kerana gambar.

Kepada YB lama yang bakal terpilih semula dan mereka yang bakal jadi YB, jangan seronok sangat dengan gelaran ‘Yang Berhormat’ tu kerana YB juga bermakna `Yang Bekerja’, `Yang Berusaha’, `Yang Berkhidmat’, `Yang Bertugas’, `Yang Bertanggungjawab’ atau `Yang Berbakti’.

Saya pun YB juga, `Yang Berceloteh’.

5 comments:

jorazak said...

Mak aji
saya pun buat entry fasal demam tapi dari sudut lain. macam komen saya, saya tak boleh demam. nanti demam tak kebah.

Anonymous said...

Mak Aji;

Demam saya di Kelantan dan Terengganu paling teruk.

Di Selangor dan KL dah mula nak batuk-batuk...

Saya pun dah mula demam.
Nak ubat demam sebiji ;-)
- Sri Diah

IKHWANI said...

hehehehe..bapak kita beriya-iya suruh kita balik mengundi, nama dah ada dalam list senarai pengundi; genting katanya, tambang balik di tanggung beres - macamlah dia tahu apa yang kita pangkah..hehehehe

mak aji said...

Encik Jo: Saya dah baca posting Encik Jo fasal demam. Heheheh...macam saya katalah, mereka ni tengah berdrama. Hari ini Parlimen bubar. Makin demamlah dia orang!

Sri: Pasang mata dan telinga sajalah tengok orang demam tu. Esok boleh jadi idea novel baru Sri.

OndeOnde: Wah...siap bayar tambang suruh balik mengundi. Memangkah kat mana ye?

IKHWANI said...

mak aji, negeri che' siti wan kembang :)