Dalam berbincang dan bertekak soal nak undi siapa, nak undi parti mana, siapa lebih berwibawa, siapa lebih rasuah, siapa lebih Islamik, siapa cakap bohong, siapa lebih telus dan manifesto siapa lebih jujur, cuba-cubalah ambil masa sejenak untuk tengok gambar ini.
Ini gambar surau Ar-Rahmah yang terletak di Seksyen 8, Shah Alam (nota: bendera lambang bulan di surau itu baru lagi dipasang untuk kempen pilihanraya. Rasanya lepas ini orang 'keris' pun akan pasang bendera mereka di sini).
Dulu, surau ini padat dengan aktiviti. Ada kelas pengajian agama, ada ceramah, ada kelas pengajian al-Quran untuk dewasa dan kanak-kanak, ada kelas Bahasa Arab dan ada macam-macam aktiviti ibadah yang lain termasuk kelas pengajian khusus untuk kaum wanita. Malam Jumaat, berkumandang suara jemaah membaca surah Yasin dan ada ahli kariah yang menghantar makanan untuk menjamu jemaah. Kadang-kadang, ada musafir dari luar negara, umpamanya orang Afghanistan, tumpang menginap beberapa hari di sini. Kadang-kadang, ada kumpulan tabligh yang bertazkirah di sini.
Pada bulan Ramadhan, surau ini penuh dengan jemaah bersolat Tarawih. Saya sendiri pernah datang bersolat Tarawih di sini sejak awal surau ini dibuka, masa jemaah wanita hanya bersolat dalam khemah yang berkuap panas di halaman surau kerana tak cukup tempat untuk masuk ke dalam ruang surau, sehinggalah surau ini dibesarkan dan selesa berhawa dingin.
Kini, surau ini sepi, kosong dan terbiar. Pintu pagarnya sentiasa dirantai dan dikunci. Tiada lagi kedengaran azan berkumandang lima kali sehari. Tiada lagi kelihatan kanak-kanak berlari mengepit al-Quran menuju ke surau. Tidak lagi kedengaran suara orang membaca al-Quran. Tiada lagi kedengaran ceramah atau bacaan Yasin. Kalau dulu, surau ini terang benderang pada waktu malam dan kenderaan penuh sesak diletakkan oleh jemaah di hadapan dan di kawasan sekitar surau. Kini, gelap-gelita dan sunyi sepi. Sejak hari pertama bulan Ramadhan tahun lepas, surau ini diperintahkan oleh pihak berkuasa supaya ditutup.
Mengapa? Kerana ada perebutan dua pihak dan campur tangan pihak tertentu untuk menguasai surau mengikut fahaman politik dan kepentingan masing-masing sehingga terjadilah perpecahan yang membawa kepada solat jemaah dua imam serentak – satu kumpulan bersolat di ruang dalam surau, satu kumpulan lagi bersolat di beranda. Apabila keadaan menjadi semakin parah, satu-satunya cara untuk meredakan keadaan adalah dengan memerintahkan supaya surau ini ditutup daripada sebarang aktiviti.
Kesimpulan ringkas: surau ini adalah mangsa politik yang diagamakan dan agama yang dipolitikkan oleh mereka yang tidak sedar bahawa agama dan politik itu sepatutnya berjalan seiring, bukan digunakan untuk memecahbelahkan ummah.
Ramai yang marah kalau ada yang mengatakan bahawa politik dan agama tidak harus dicampuradukkan. Macam-macam Hadis dan Surah dikeluarkan untuk menguatkan hujah bahawa agama dan politik itu tidak boleh dipisahkan kerana dalam politik itu ada agama dan dalam agama itu ada politik. Nanti, ramai yang keluarkan contoh betapa Rasulullah saw sendiri adalah ahli agama dan ahli politik yang hebat.
Tapi, hakikatnya, kebanyakan kita (mungkin termasuk saya) sebenarnya belum lagi bijak untuk mendukung dan menyeimbangkan agama dan politik sehingga boleh menjulang Islam dan keseluruhan ummah ke tahap yang hebat. Kebanyakan kita sebenarnya hanya pandai mencampuradukkan agama dan politik sehingga ke tahap memudaratkan dan tidak membawa apa-apa kebaikan untuk seluruh ummah.
Surau ini adalah contoh terbaik mangsa kecelaruan kita sendiri. Akibatnya, semua aktiviti di surau ini terhenti dan terbantut. Siapakah yang untung dan siapakah yang rugi? Bilakah surau ini akan dibenarkan dibuka semula? Setakat ini belum ada jawapan pasti.
Cuba-cubalah lihat rumah ibadah ‘orang lain’ yang semakin lama semakin membesar dan nampak hebat. Gelombang tekanan mereka yang bersatu untuk memperhebat rumah ibadah mereka begitu sukar dibendung sehingga dengan megahnya mereka berjaya membina banyak rumah ibadah dan patung-patung gergasi di sana sini.
Dan kejayaan kita yang ‘membanggakan’ pula adalah berjaya menutup rumah ibadah kita sendiri kerana perbezaan fahaman politik dan ‘berjaya’ menyusahkan seluruh masyarakat setempat yang tidak peduli pada pertelingkahan politik dan hanya mahu mengimarahkan dan memanfaatkan rumah Allah.
Katakanlah apa pun, keluarkan hujah apa pun, hakikatnya kebanyakan kita memang sebenarnya belum bijak lagi menyeimbangkan agama dan politik. Sebab itu, kalau rasanya akan hanya membawa kemudaratan daripada kebaikan, lebih baik apabila ke surau/masjid, tinggalkan politik di tangga atau di tepi longkang bersama selipar dan kasut yang bergelimpangan di sana. Apabila pulang nanti, sarungkan semula politik bersama selipar atau kasut di kaki.
Itu lebih baik lagi untuk kemaslahatan ummah.
Saya bukan pengikut tegar mana-mana parti politik. Semua parti politik adalah ciptaan manusia, maka itu masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, keburukan dan kebaikan, kekuatan dan kelemahan. Hanya kita terpaksa memilih yang kurang buruk daripada yang buruk, yang kurang lemah daripada yang lemah, yang lebih kuat daripada yang kuat dan yang terbaik daripada yang baik.
Tetapi yang jelas, saya akan tolak pemimpin pembohong yang suka memperbodoh-bodohkan rakyat termasuk mengaku makan tempe itu boleh menyebabkan muka tambah handsome dan boleh buat kulit muka semakin tegang, cekang, cerah dan berseri-seri. Orang Jawa di dalam dan di luar Malaysia semuanya tergelak guling-guling mendengar petua ini!
Wednesday, February 27, 2008
Sebuah surau yang sepi...
Posted by mak aji at 8:06 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
salam pen merah,
tempe pun dah dipolitikan?
This is a good joke to start my day!
mak aji
saya pernah bersembahyang di masjid yang menjadi medan politik. ajk masjid dilantik 2 tahun sekali. yang buat saya sakit hati apabila ada pemilihan ajk masjid simamat dan kawan-kawannya yang tak pernah nampak sembahyang di masjid tetiba hadir untuk pemilihan. dah tentu diorang menang pemilihan. masalahnya lepas pemilihan bayang pun tak nampak. nak jumpa diorang kena panggil meeting. ape ke namenye tu...
tentang tempe tu...hi,hi,hi semua orang dah tahu tak payahle nak kelentong lagi. tambah dosa aje ye (agaknya dia buat sebelum keluar fatwa kut)
Mak aji, saya tahu cerita surau ni sebab tak jauh dari rumah kawan baik saya. Penduduk dikawasan ini semua menangis mengenangkan nasib mereka dan nasib surau itu. Kerana perkara yang telah berlaku kita dah pasti lah lambang apa yang mereka akan pilih.
Bukan cantik tetapi ketara berlain dari wajah yang dahulu. Boleh jadi camtu kerana makan tempe?? He, he, he tapi memang saya nampak wjahnya betul macam tempe suai dengan orangnya dan nama yang dibawanya!
Salam Halela,
Hahaha...tempe isu baru untuk dipolitikkan. Isu kain sarung pelekat dan kain batik dah lama dah masuk gelanggang politik. Hihihi!
There's a lot more poltical jokes to start our day here actually. Tempe is just one of them...
Salam Encik Jo,
Di surau Seksyen 8 ini isunya pun lebih kuranglah juga. Orang tak pergi surau yang dilantik jadi jawatankuasa. Lepas tu, ada macam-macam sekatan dan halangan. Akibatnya penduduk setempat yang jadi susah. Dulu, masa semua campur tangan itu tak ada dan jawatankuasa dilantik sendiri oleh para jemaah, tak ada pula timbul masalah macam ni.
Isu tempe tu? Pada saya, suka hati dialah nak buat apa pun pada muka dia sendiri. Dosa tanggung sendiri. Tapi, janganlah ingat semua orang tu bodoh sangat dan mudah sangat diperbodoh-bodohkan.
Bukan isu tempe saja, ada banyak lagi isu lain sebelum ini sebenarnya yang dah buat ramai orang menyampah!
Salam mak teh,
Bila lalu kawasan tu, saya rasa sedih sangat sebab dulu saya ahli kariah di situ. Harap-harap masalah ini akan cepat diselesaikan dan surau itu boleh digunakan masa bulan puasa nanti. Sedih sangat tengok surau itu bergelap sahaja sepanjang bulan puasa lalu.
Maid saya orang Jawa Timur. Kira Jawi aslilah tu. Saya tanya dia fasal petua muka licin makan tempe. Dia tergelak besar!
Sedih betul bila jadi macam ni. Sekarang siapa yang kerugian?
Mudah2an surau ni akan kembali "ceria" sepertimana biasa dan lebih baik lagi drpd sebelumnya!
I have a friend whose brother is a doctor...he knows where he changed his look from ordinary to tempe-look! hahahahaha...
Salam Ondeonde,
Yang ruginya orang Islam juga, tak kiralah lambang bulan ke, lambang keris ke, lambang mata ke, lambang dacing ke. Orang lambang roket atau lambang-lambang lain tu tak rugi apa. Tumpang seronok lagi adalah.
Mudah-mudahan. Amin.
Hahahaha....bolehlah share kat mana 'beli tempe' tu. Semua orang tengah seronok nak tahu 'brand tempe' apa yang dia 'makan'. Apa kata orng tu, sharing is caring? Hahahaha!
Post a Comment