Sambil-sambil tengok sang gajah, beruang, singa, harimau, serigala, helang, ikan paus dan dinosaur bertempur, sesekali seronok juga tengok ikan bilis dan ikan kembung mencelah-celah di medan pertempuran. Jom kita baca cerita ini.
Nenek 89 tahun bertanding di Kuala Terengganu
24-02-2008
KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang nenek, Maimun Yusof, 89, untuk menjadi calon akhirnya tercapai apabila diterima untuk bertanding pada pilihan raya umum 8 Mac ini, selepas gagal berbuat demikian sejak empat pilihan raya lepas.
Ini kerana, sejak tempoh tersebut, kertas pencalonannya ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak memenuhi syarat.
Nasibnya baik kali ini, apabila SPR menerima pencalonannya dan mengesahkan beliau bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Pengesahannya sebagai calon diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim kira-kira pukul 11.45 pagi.
Maimun akan berdepan penyandang kerusi tersebut, Datuk Razali Ismail (BN) yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.
Maimun dari Kampung Pengadang Akar dekat sini, tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Kuala Terengganu di sini, kira-kira 8.30 pagi dengan menaiki teksi bersama pencadangnya, Semah Said, 55, serta penyokongnya, Sinah Ali, 67.
Ketika ditemui pemberita, Maimun yang akan bertanding menggunakan logo kunci serta parti yang didakwanya "Parti Tanah Melayu Bersama Islam" berkata beliau menjual tanah untuk membayar wang pertaruhan sebanyak RM10,000 serta RM5,000 untuk deposit bahan kempen.
Maimun yang mempunyai seorang anak perempuan, Huzaimah Abdullah, 50, tujuh cucu dan 19 cicit, berkata beliau ingin bertanding kerana mahu menyuarakan pandangannya berhubung banyak perkara yang dirasakan perlu diperbetul.
"Banyak yang saya nak cakap nanti," katanya tanpa menyebut topik yang akan digunakan semasa berkempen.
Ditanya sama ada beliau yang menjual kain batik dan songket dari rumah ke rumah tidak sayangkan duit jika wang pertaruhannya hangus, beliau berkata "pitih (wang) boleh cari."
Maimun berkata pada pilihan raya umum sebelum ini, beliau mengemukakan pencalonan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, tetapi memilih kerusi Parlimen Kuala Terengganu kali ini kerana "berminat" untuk menentang Mohamad Sabu.
Menyedari tenaganya tidak sekuat orang muda untuk berkempen, beliau berkata beliau akan melakukannya secara kecil-kecilan iaitu dari rumah ke rumah.
"Kalau nak sokong, sokonglah..., kalau tak mahu sokong pun tak apa, itu hak mereka," katanya.
Maimun berkata beliau tidak mempercayai satu pun parti yang ada di negara ini, menyebabkan beliau memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas.
"Semua parti tak betul, apa yang mereka buat untuk rakyat. Bagi tanah orang Melayu. Saya sudah tua, saya mahu perintah sendiri," katanya. BERNAMA
Kuat sungguh semangat nenek ini. Berani, cekal, yakin pada diri sendiri dan tak kenal putus asa. Saya cukup kagum. Orang yang jauh lebih muda pun belum tentu kuat semangat macam dia.
Tapi, barangkali saya seorang yang pesimis. Kalau dah awal-awal tahu masuk bertanding buat penat badan dan rugi duit saja, buat apalah buang masa. Namun, siapa tahu....mungkin dia bertanding bukan untuk menang tetapi nak menyampaikan sesuatu mesej yang tersembunyi.
Kalau nenek ini nanti ditakdirkan menang dan berjaya menumbangkan dua lawan ‘gergasi’nya, itu satu berita besar. Patut diletakkan pada muka hadapan surat khabar!!!
Monday, February 25, 2008
Cekalnya dia...
Posted by mak aji at 10:56 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
mak aji
tempoh tarik diri ada 3 hari. lepas dapat publisiti boleh tarik diri. tapi kalau saje nak habiskan duit RM10,000 ribu adalah lebih baik diperabis untuk buat haji atau umrah. pada hemat saya dah tentu dia akan hilang depositnya. tapi siapa tahu rezeki dia...
Encik Jo,
Saya pun fikir macam tu juga. Buat apalah dok habis duit tak menentu. daripada sedekah kat SPR, baik sedekah kat rumah anak yatim. Buat amal jariah lagi bagus. Pada mata kasarnya, memang susah nenek ni nak menang. Tapi, yalah, rezeki manusia siapa tahu.
Macam saya kata, ada macam-macam cerita sekarang ni. Ada orang kata, calon-calon macam ni ada orang sponsor kerana sesuatu agenda. Apa agendanya, saya tak pasti.
Syabas kepada nenek tu! Bila baca kisah ni teringat pada emak saya yang berada dikampung. Emak saya berumur 87 tahun. Dia tidak berapa sihat dan memerlukan perhatian daripada anak-anak. Agaknya nenek yang nak bertanding ini bukan saja kuat semangat tetapi kesihatan dan badannya masih kuat.
Haha...emak mak teh lebih muda daripada nenek ni. Masih ada peluang kalau nak bertanding.
Bila baca cerita nenek ni, saya rasa tercabar juga. Bukan tercabar nak jadi calon pilihanraya. Tapi tercabar dengan semangat dan keyakinan diri yang dia ada tanpa menghiraukan usianya.
Post a Comment