Monday, October 16, 2006

Raya di mana?

“Raya nanti balik mana?”
“Raya tak balik kampung ke?”
“Raya nanti balik kampung husband ke kampung sendiri?”

Sigh!

Dah tibalah masa untuk menghadapi pertanyaan yang sama setiap tahun. Nasib baiklah pertanyaan bermusim. Kalau tiap-tiap hari, memang tak larat nak menjawabnya sebab satu jawapan akan mencetuskan pertanyaan yang lain pula. Nak jawab, kena pula buka salasilah keluarga! Yang buat lagi malas nak jawab ialah bila soalan diajukan oleh orang yang sama setiap tahun.

Tapi, orang bertanya takkan tak jawab kan? Biasanya saya akan senyum dan jawab, “Saya beraya di rumah saja. Tak ada kampung.”

Jawapan ini pasti akan mencetuskan soalan seterusnya. “Tak ada kampung? Macam mana pula tu? You asal orang mana? Habis tu husband you pun tak ada kampung?”

Panjang lebarlah pula lepas tu saya nak kena jelaskan kenapa saya tak ada kampung.

Mungkin nanti saya akan buat macam seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Heathrow masa saya dan beberapa orang kawan setugas ke London beberapa tahun dulu (sebenarnya singgah bercuti di London setelah ke Kuwait untuk membuat liputan suasana Kuwait selepas Perang Teluk). Tengah beratur untuk mengecop pasport, saya perasan pegawai imigresen depan kami sebiji macam muka John Major, Perdana Menteri Britain ketika itu. Lalu saya cuit kawan di hadapan saya untuk memberitahunya apa yang saya nampak.

Sampai giliran kawan saya menyerahkan pasportnya kepada pegawai itu, dia cuba-cubalah nak beramah tamah, “You look like your Prime Minister.”

Nak tahu apa pegawai itu buat? Dia langsung tak mengangkat muka tapi mengeluarkan satu sepanduk kecil daripada bawah mejanya dan mengangkatnya tinggi-tinggi. Pada sepanduk itu tertulis, “I KNOW!”

Saya ingat, saya pun patut buat satu sepanduk macam tu. Atasnya saya tulis, “SAYA BERAYA DI RUMAH SAHAJA SEBAB TAK ADA SIAPA DI KAMPUNG. MAK BAPA SAYA DAN MAK BAPA MENTUA SEMUA DAH MENINGGAL”.

Bila orang tanya, saya angkat saja sepanduk itu. Taklah letih mulut nak menjawab.

Senang gitu kan?

Kalau nak sebut nama kampung asal emak (di Hulu Langat, Selangor) dan abah (di Rembau, Negeri Sembilan) sebagai kampung saya, memang boleh (ha...inilah dia anak Minang jati yang tak tahu bercakap bahasa Minang walau sepatah pun! Rugi...rugi!). Tapi apalah ertinya kampung yang sudah tiada sesiapa lagi di sana kecuali saudara jauh. Sudah pangkat “berpupu-pupu”, bukan sepupu atau dua pupu lagi! Tak mesra kerana tidak biasa bergaul sejak kecil. Orang tua-tua semuanya sudah tak ada, kebanyakannya jenis tak panjang umur. Begitulah keadaannya sama ada di sebelah emak mahupun di sebelah abah.

Sejak zaman budak-budak lagi saya sudah duduk di KL dan kini masih tinggal dalam lingkungan Lembah Klang juga. Adik beradik saya pun dua-duanya di sini. Kalau mereka duduk di kampung bolehlah juga saya balik kampung! Orang balik kampung kerana akarnya ada di sana. "Akar" saya tiada di kedua-dua kampung itu. Akar saya di sini. Di rumah sendiri.

Memang saya ditakdirkan miskin keluarga. Jenis tak “berkembang biak” dan tak berapa panjang umur (mudah-mudahan saya sekeluarga panjang umur, InsyaAllah. Amin!). Kadang-kadang saya teringin juga mempunyai keluarga besar macam orang lain. Ramai sampai boleh buat satu persatuan atau kelab, boleh buat satu perjumpaan besar-besaran macam yang pernah keluar ceritanya di akhbar atau majalah. Tapi, kata seorang kawan saya yang datang daripada keluarga besar, "Ramai saudara, banyaklah pula ragamnya. Kadang-kadang nampak elok on the surface sahaja. Di sebaliknya ada macam-macam cerita!" Pulak! Begitu ke?

Sama macam saya, pak aji pun “anak yatim piatu” (tapi, yatim piatu bila dah dewasalah!). Mak dan ayahnya juga sudah meninggal dunia selepas kami berkahwin. Kalau balik kampung, kami balik ke rumah kakak dan abang pak aji di Kuala Terengganu (KT). Seorang lagi kakaknya di Bangi. Kalau pak aji rajin dan dapat cuti panjang, dan kalau kakaknya yang di Bangi itu pulang beraya di KT, barulah pak aji akan mengajak kami beraya di sana untuk berkumpul dengan adik beradiknya. Barulah tahun itu saya boleh tersengih menjawab, "Saya balik beraya di KT tahun ini!"

Tapi, beraya di rumah kakak dan abang ipar tentulah berbeza dengan beraya di rumah orang tua sendiri atau di rumah mentua. Apa lagi kakak-kakak pak aji sudah bermenantu dan bercucu. Kalau beraya di KT, kakaknya yang di Bangi akan mengangkut semua anak, menantu dan cucu. Walaupun rumah kakak pak aji yang di KT itu besar, tapi tak selesa nak menampung semua orang. Abangnya pula ada 11 anak.

Sejak kakak-kakaknya bermenantu dan bercucu, kalau kami balik beraya di KT, kami sekeluarga menginap di hotellah jawabnya sebab rumah tak muat! Bukanlah sengaja berlagak tak nak tidur bersesak-sesak, tapi tak selesa tidur bergelimpangan beramai-ramai bercampur lelaki perempuan di ruang tamu atau mana saja ruang yang ada sebab tak cukup bilik - anak dara di sudut sana, anak bujang di sudut sini, yang berkelamin pula di sudut situ. Takut aurat tak terjaga.

Kalau tidak ke Terengganu, lepas solat raya biasanya kami akan ziarah kubur emak saya di Cheras dan kubur emak serta ayah pak aji di Kajang (lawat kubur pagi raya ni amalan orang Melayu, bukan ajaran Islam sebenarnya. Tapi, masa itulah yang betul-betul terluang untuk ambil kesempatan berziarah!). Lepas tu tengoklah. Kalau rajin, kami akan menziarahi saudara mara pak aji dan saya yang masih ada di Selangor. Kalau malas, atau kalau orang yang hendak diziarahi itu pun tiada di rumah, kami balik rumah dan....tidur! Hari raya kedua barulah merancang nak menziarahi rumah siapa kerana kebanyakan orang pun berjalan juga.

Sunyi sebenarnya beraya di kota. Jiran-jiran kebanyakannya balik kampung. Rumah tertutup rapat. Yang tinggal hanya jiran-jiran bukan Islam atau dua tiga kerat jiran yang sama-sama tak ada kampung macam kami juga. Kalau nak bertandang ke rumah jiran, tunggu mereka baliklah nanti. Itu pun, selalunya mereka balik bila kita dah mula bekerja dan anak-anak bersekolah semula. Rutin harian sudah bermula semula dan susahlah nak berjalan ke mana-mana. Agaknya di sinilah punca terciptanya beraya sampai sebulan Syawal sebab memang tak dapat nak saling berziarah kalau merayakan hari raya sehari sahaja.

Memang saya selalu mengimpikan suasana raya yang meriah dan ramai seperti di kampung. Atau sekurang-kurangnya suasana raya macam masa emak dan abah saya serta emak dan ayah pak aji masih ada. Masa itu kami hanya mengikut sahaja ke mana mereka hendak pergi. Jadi drebar dia orang. Banyak jugalah rumah saudara mara yang kami ziarahi. Tapi, bila orang tua dah tak ada, hubungan putus begitu saja. Salah sendiri juga sebenarnya sebab kurang mengambil berat. Masa tu pun muda lagi, tak begitu peduli fasal peri pentingnya menjalin silaturrahim.

Saya ada terbaca satu pantun jenaka fasal orang yang tak balik kampung beraya. Sayang saya dah lupa susunannya, kalau tidak boleh dituliskan di sini. Tapi kalau tak silap saya, kata pantun tu, masa raya nanti yang tinggal di bandar cuma penyamun dengan pencuri. Orang lain semuanya balik kampung. Mana pula! yang tinggal itulah baru benar-benar orang kota sebab dah sah tak ada kampung. Pencuri dengan penyamun pun balik beraya juga sebab mereka pun ada kampung! Ha...ha...jangan ada yang terasa pula ya, bergurau saja!

Namun ada juga seronoknya tak balik kampung beraya. Tidaklah terpaksa bergaduh atau “main osom” nak balik kampung siapa. Juga, tak payahlah bersesak-sesak berjam-jam di jalan raya dalam letih berpuasa dan tak payah menghadapi kemungkinan kena saman sebab langgar undang-undang jalan raya.

Tapi, bila kakngah dan abang sekarang ini mula bertanya, "Mak, kampung kita di mana? Kakak dengan abang nak balik raya rumah atuk!" Saya garu kepala nak jawab. Ini semua pengaruh kawan-kawanlah ni!

Selamat hari raya semua. Raya ni balik mana? ;-)

Friday, October 13, 2006

Kaklong dan Ramadhan

Sepanjang bulan puasa ini kaklong tetap macam biasa, sibuk dengan studi dan tugasannya. Apa lagi lepas raya nanti dia akan menghadapi peperiksaan akhir semester. Jadi dia tak dapatlah nak balik hujung minggu ke rumah untuk berbuka dan bersahur dengan keluarga. Banyak tugasan diberi pensyarah dan nak disiapkan sebelum bercuti raya, kata kaklong.

Tahun lepas, peperiksaan akhir semester kaklong sebelum raya. Tengah berpuasa kaklong bergelut dengan periksa. Jadi, lepas raya dia relak habis. Kawan-kawannya di universiti-universiti lain pula bergelumang dengan peperiksaan. Kerja kaklong masa itu ialah menelefon dan menyakat kawan-kawannya yang tengah periksa. Berlagak sebab “seksa” dia dah lepas. Tahun ini dia pula merasa macam kawan-kawannya tu (talk about life is a circle!)

Hampir setiap hari saya telefon kaklong pada waktu bersahur dan berbuka untuk tanya dia makan apa. Ada kala dia yang telefon kami. Untuk berbuka, kaklong beli saja di kafetaria di kolej kediamannya dan makan di bilik atau berbuka beramai-ramai di kafetaria. Untuk sahur, dia dan kawan sebiliknya makan roti saja sebab malas nak turun ke kafetaria walaupun kafetaria dibuka sampai jam 4 pagi. Kadang-kadang mereka makan mi segera untuk sahur. Dua anak dara yang pemalas berkongsi bilik. Memang padanlah tu!

Kadang-kadang saya usik kaklong. Bila dia kata dia makan roti atau mi segera, saya kata yang saya tengah ratah ketam atau saya ada masak lauk yang dia suka. Kadang-kadang dia menjerit, “Nak balikkkkk!!!!”. Ada masa dia kata, “Tak jealous pun!”

Bila saya usik kaklong, pak aji selalunya berkerut keningnya, “Mengapalah you suka sakat anak tu!”

Sambil bertanya makan apa untuk berbuka, sebenarnya saya juga secara tak langsung nak ambil peluang untuk mengingatkan kaklong supaya jangan tinggalkan solat tarawih dan baca al-Quran. Anak-anak ni, walaupun dah besar panjang, perlu kerap dipantau juga. Tak boleh dibiarkan begitu saja. Apa lagi usianya masih dalam kategori remaja.

Kaklong dan kawan-kawannya bertarawih di surau di kolej kediamannya sahaja. Tak perlu ke Masjid UKM. Saya pun tak berapa suka kaklong memandu waktu malam.

Kata kaklong, di surau kolejnya hanya buat tarawih lapan rakaat dan tiga witir sahaja. “Orang kat sini tak buat 20 rakaat mak. Semua orang besok nak pergi kelas. Nanti letih!” kata kaklong. Tak kisahlah 20 ke lapan ke, janji buat! Ramadhan hanya setahun sekali. Tahun depan tak tentu lagi sama ada kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan ke tidak.

Macam tahun lepas, tahun ini kaklong dan kawan-kawannya juga ambil kesempatan bertadarus sepanjang Ramadhan. Bolehlah sama-sama semak bacaan masing-masing. Kalau baca seorang diri, kadang-kadang tajwid lintang pukang pun kita tak berapa perasan.

Saya bersyukur kerana kaklong kini tahu tanggungjawabnya sebagai seorang Muslimah tanpa payah disuruh atau dileteri kalau nak dibandingkan masa awal remaja dulu. Itulah perkara utama yang saya mahu daripada anak-anak – tahu tanggungjawab dan bertanggungjawab sebagai seorang Islam dan seorang insan. Tak sia-sia jugalah saya tak jemu-jemu mengingatkan dia selama ini.

Tapi, kadang-kadang kaklong merungut sebab saya asyik bertanya macam tak percayakan dia. Katanya, dia dah besar, sudah tahu tanggungjawabnya. Tak kan emak masih tak percayakan dia. Tapi saya beritahu dia bahawa memang jadi tugas ibu sentiasa mengingatkan anak tentang apa jua perkara termasuk soal-soal ibadah. Kalau dia dah tua nanti (dan emaknya ni masih panjang umur, InsyaAllah!), saya tetap akan bertanya dan mengingatkan dia.

Pak aji pula kalau boleh mahu kaklong balik ke rumah setiap hujung minggu untuk berbuka, bersahur dan bertarawih bersama-sama. Minggu lepas dia pergi jemput kaklong lepas tarawih malam minggu dan hantar kaklong balik lepas tarawih malam Isnin. Nasib baiklah kaklong hanya di UKM Bangi. Taklah berapa jauh untuk upacara jemput dan hantar macam tu. Kalau dibuatnya universiti kaklong di Pulau Pinang, Kedah, Johor, Sabah, Sarawak atau luar negara, lagilah tak ada peluang langsung nak balik ke rumah.

Dulu, waktu kaklong di Kolej Matrikulasi Johor di Tangkak sebelum ke UKM, masa bulan puasa selalu juga pak aji termenung menghadap nasi waktu berbuka atau bersahur sebab terkenangkan kaklong. Di kolej matrikulasi bukan macam di universiti boleh bebas keluar masuk sesuka hati. Nak balik mesti dapatkan kebenaran bertulis dengan alasan yang boleh diterima. Perjalanan pula ambil masa lebih kurang dua jam pergi dan dua jam balik. Memang sepanjang bulan puasa tahun itu kaklong tak balik. Maka, sepanjang bulan puasa itulah pak aji termenung masa berbuka dan bersahur.

Nak buat macam mana! Kenalah terima hakikat bahawa anak-anak umpama burung yang suatu hari nanti akan terbang meninggalkan sarangnya. Sekarang ini kaklong umpama burung muda yang tengah belajar mengirai sayap. Bila sayapnya sudah kuat dan stabil nanti, akan terbanglah burung muda itu menerokai alam luas. Tapi, tak usahlah terlalu bimbang. Kata peribahasa Melayu (klisenya mak aji ni!), “Setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya akan hinggap ke belakang kerbau jua.”

Saya tak tahu macam manalah ceritanya pak aji tu kalau anak-anaknya kahwin atau berpindah jauh nanti!

Wednesday, October 11, 2006

Ragam berlatih puasa....

Tahun ini saya latih kakngah berpuasa. Umurnya sudah tujuh tahun, sesuai benarlah mula dilatih. Rasanya saya termasuk kategori ibu yang lewat melatih anak berpuasa. Ada budak lain yang sudah mula berlatih puasa seawal empat atau lima tahun. Memang bagus kalau dapat dilatih sejak kecil lagi. Tetapi saya rasa tak sampai hati pula nak suruh mereka berpuasa terlalu muda. Takut mereka rasa berat dan membebankan.

Tapi, tak boleh jugalah nak ikut sangat rasa tak sampai hati tu. Kena juga dilatih. Kalau sampai tua tak berlatih puasa nanti lagi susah. Kena ada ukur rujuk juga bila nak mula latih mereka berpuasa. Jadi, saya ikut pesanan Rasulullah s.a.w. mengenai mula melatih anak bersolat iaitu latih pada umur tujuh tahun dan pukullah jika masih tidak mahu bersolat pada usia 10 tahun. Begitulah juga dalam latihan berpuasa. Tetapi itu cara sayalah. Lain orang, lainlah pula caranya.

Kaklong dulu pun mula berpuasa pada umur lapan tahun. Banyak hari juga dia berpuasa walaupun tidak cukup 30 hari. Tahun berikutnya, masa dia berumur sembilan tahun, kami bawa dia mengerjakan umrah. Di sana dia tak berapa tahan berpuasa kerana panas dan letih mengerjakan umrah. Jadi banyak hari jugalah dia ponteng puasa ketika di sana. Umur 10 tahun baru kaklong betul-betul dapat berpuasa penuh. Ha, nasib baik. Kalau tidak dah kena pukul! :)

Si bujang kecil saya, abang yang baru berumur lima tahun, tidak saya beratkan berpuasa. Saya rasa dia terlalu muda. Kasihan pula melihat badannya yang kurus itu nanti bertambah kurus kerana berpuasa.

Tetapi saya terlupa yang abang pasti akan mengikut apa saja yang dilakukan oleh kakngah. Bila abang dapat tahu kami kejutkan kakngah untuk bersahur tapi tak kejutkan dia, dia mengamuk! Puas pula kena pujuk. Esoknya, sekali kejut saja dengan kata-kata, “Abang nak sahur tak? Kakak dah bangun!”, abang terus bangun walaupun masih terpisat-pisat.

Tak sangka pula saya yang abang tahan juga berpuasa. Kalau di rumah, dia tak langsung minta makan. Bila saya tanya cikgu di tadika/taska abang sama ada abang puasa atau tidak, katanya abang tak mahu makan walaupun budak-budak lain makan. Tapi, abang tidaklah berpuasa seorang. Ada juga dua tiga orang budak lain di tadika itu yang berpuasa macam abang.

Cuma, masa dua tiga hari awal berpuasa, bila balik daripada taska, abang cari air atau susu dalam peti sejuk. Begitulah selama beberapa hari awal puasa. Abang “puasa nasi” saja tapi tak puasa “air”. Itu pun dia minum bukan selalu. Lama jugalah jaraknya baru dia minum lagi.

Adik saya berjanji nak beri duit raya RM1 untuk setiap hari berpuasa penuh. “Kalau abang puasa nasi saja, busu bagi 50 sen sahajalah bang! Kena tolak 50 sen lagi sebab abang tak puasa air!” usik adik.

“Lepas minum tu abang puasa baliklah busu!” jawab abang. Ikut logik abang, jarak antara satu kali minum dengan minum yang seterusnya tu dikira berpuasalah.

Tapi sekarang abang berpuasa penuh. Kadang-kadang dia minta nak minum. Bila saya kata ok, dia tanya saya sama ada kakngah pun boleh minum atau tidak. Saya kata tak boleh sebab kakngah dah tujuh tahun. Dah besar dan mesti puasa betul-betul. Bila abang umur tujuh tahun nanti, abang pun mesti puasa betul-betul, kata saya.

Bila abang dengar yang kakngah tak boleh minum, dia kata, “Tak apalah mak. Abang pun taknak minum!” Begitulah sayangnya abang pada kakngah.

Kakngah pun sebenarnya tidaklah susah sangat hendak dilatih berpuasa. Kalau ke sekolah, godaan untuk makan itu hampir tak ada. Kakngah bersekolah di sekolah rendah agama integrasi yang masuk jam 7.40 pagi dan balik jam 4.30 petang, kemudian disambung pula dengan kelas iqrak sehingga jam 5.30 petang. Kalau bukan bulan puasa, makan tengah hari disediakan oleh pihak kantin (kena bayar bulanan kepada pihak sekolah). Waktu rehat pagi pula budak-budak boleh membeli jajan yang dijual di kantin.

Tetapi, kantin sekolah diarahkan tutup sepanjang bulan puasa. Tiada makanan disediakan dan tiada jajan untuk dibeli. Penjual aiskrim yang biasanya duduk di hadapan sekolah waktu petang pun tiada. Pihak sekolah minta mereka jangan datang menjual di sekolah sepanjang bulan puasa. Jadi, mahu tak mahu semua kena berpuasa. Godaannya barangkali kalau ada kawan-kawan yang tak puasa dan bawa bekal. Tapi, itu pun tak ramai. Malu bawa bekal sebab kawan-kawan lain semuanya berpuasa.

Tapi, masa saya menjemputnya pulang, bermulalah ragam “drama queen” saya yang seorang ini. Masa itulah dia mengadu sakit kaki, sakit tangan, sakit kepala, sakit perut, sakit sana, sakit sini. Masa bermain dan melompat, tak sakit pula!

Selalunya lepas menjemput kakngah, saya singgah membeli lauk berbuka sebelum bergegas ke taska pula untuk menjemput abang. Memang tak sempat nak masak. Boleh mati tegak saya kalau nak kejar untuk buat semua! Pak aji pula memang hanya akan sampai ke rumah hampir Maghrib sepanjang bulan puasa ni. Kalau bukan bulan puasa, dia balik lebih lewat lagi. Waktu pagi, dia yang mengurus dan menghantar anak ke sekolah dan ke tadika kerana dia masuk ke pejabat agak lewat sedangkan saya pula jam 6.30 pagi lagi sudah keluar rumah. Saya hanya masak untuk sahur dan untuk berbuka pada hujung minggu saja.

Mula-mula berpuasa dulu, bila melihat bermacam-macam jenis minuman yang dijual, kakngah mula meragam. “Kakak haus, kakak tak tahan!” rengeknya.

Terpaksalah saya memujuknya dengan penuh sabar (walaupun kadang-kadang rasa angin satu badan juga dibuatnya!), suruh tunggu “sekejappppppp lagi” boleh berbuka.

“Mak pun haus juga, nak minum juga. Mak pun tak tahan juga!” Saya beri alasan. Lepas itu saya perasan orang sekeliling yang menengok ‘drama’ kami dua beranak senyum-senyum kambing mendengar kata-kata saya. Mungkin janggal sangat bunyinya bila makcik yang cakap “tak tahan puasa”.

Ada juga yang tolong saya memujuk kakngah. Wanita sarat mengandung yang tengah beratur di hadapan saya untuk membayar harga makanan di kaunter senyum pada kakngah sambil menunjuk perutnya, “Sabarlah kakak. Tengok ni, baby auntie ni pun puasa tau! Semua orang kena puasa.” Kakngah hanya terkebil-kebil melihat perut boyot wanita itu. Agaknya tengah memikirkan logiknya bayi dalam perut disuruh berpuasa.

Sekarang ini sudah tak banyak masalah lagi. Dua-duanya nampak tahan berpuasa. Masih cergas berlari, melompat dan menjerit macam tak puasa. Dari manalah budak-budak ni dapat tenaga! Tapi, biasalah, asyik tanya dah pukul berapa dan berapa lama lagi nak berbuka, sampai kita dah tak larat nak jawab.

Bangun sahur pun kedua-duanya sudah tak banyak ragam macam mula-mula dulu. Kalau dulu, kadang-kadang kakngah menangis, ada masa abang pula meragam. Tapi sekarang sudah ok.

Selalunya, dekat jam 5 pagi pak aji akan kejutkan mereka dan dukung seorang demi seorang ke meja makan. Mereka akan duduk di kerusi sebentar, moyok macam ayam berak kapur. Lepas cuci muka dan makan dua tiga suap, segarlah balik. Lepas sahur, hingar bingarlah pula dua beradik itu bermain dan bergurau. Tak letih langsung!

Yang menggusarkan saya ialah kakngah tak mahu makan lauk apa pun masa sahur kecuali telur goreng dan kicap. Saya pernah berkeras tak mahu gorengkan telur untuknya, tapi dia hanya membatukan diri saja di meja, tak mahu sentuh nasi langsung. Terpaksalah saya beralah kerana takut pula nanti dia lapar dan melepek di sekolah sebab tak sahur.

Melihat anak-anak berlatih puasa, saya teringatkan pengalaman saya sendiri dulu. Saya mula berpuasa masa umur enam tahun. Bukan sebab dilatih oleh emak tapi sebab menyahut cabaran dua kakak saya (sekarang hanya ada satu kakak. Yang sulung sudah meninggal dunia ketika remaja). Mereka mengejek saya kerana tak berpuasa dan kata yang saya tidak boleh beraya, apa lagi pakai baju dan kasut raya sebab raya hanya untuk orang yang berpuasa sahaja. Masa raya nanti, kata mereka, saya kena pakai baju buruk sahaja.

Mana boleh tahan kalau tak dapat pakai baju raya! Sudahlah baju baru hanya berganti setahun sekali masa raya saja. Takkan nak pakai baju buruk masa raya! Ini tak boleh jadi, saya mesti berpuasa juga.

Saya suruh emak kejutkan saya untuk bersahur dan saya pun berpuasa. Saya masih ingat lagi bagaimana saya tersandar keletihan, kelaparan dan kehausan tapi tak mahu berbuka walaupun dipujuk dan dipaksa emak. Kawan-kawan sebaya saya masa itu tak ada yang berpuasa. Jadi, dahsyat jugalah `cobaan’nya melihat orang lain makan. Saya pula puasa tak main separuh-separuh hari. Terus penuh sampai ke petang. Kalau tidak nanti kakak-kakak saya kata puasa saya tak “kira”.

Esoknya emak tidak kejutkan saya bersahur kerana kasihankan saya. Saya pun mengamuk sakanlah dan dengan degilnya terus juga berpuasa walaupun tak bersahur. Memang terbaring melepek sepanjang hari macam orang kebuluran di Afrika. Seksa memang seksa, namun berbuka tidak sekali. Dalam kepala saya cuma satu, kalau tak puasa tak boleh pakai baju raya! Masih saya ingat lagi bagaimana anak-anak jiran, kawan-kawan saya jugalah, berkerumun di tingkap melihat saya terbaring melepek sedangkan mereka segar bugar bermain di luar.

Mungkin inilah antara peristiwa yang menyebabkan emak selalu berkata yang saya anak paling degil dan keras kepala!

Lepas itu emak kejutkan saya bersahur setiap hari kerana dia tahu kalau tak dikejutkan pun saya tetap berpuasa juga. Tahun itu saya dapat berpuasa sebanyak 27 hari! Penuh, tak ada separuh-separuh hari!

Tuesday, October 10, 2006

Bengang!

Hari ini halal.
Besok haram.
Lusa halal balik.
Tulat haram balik!

Lama-lama dah tak tahu apa hukumnya. Halam sahajalah! (pinjam istilah Ustaz Datuk Ismail Kamus).

Semudah itu hukum halal haram yang menjadi pegangan kita dipermain-mainkan. Tidak menghormati langsung apa yang sangat penting dalam amalan kita. Apa lagi untuk menghormati perasaan kita. Kalau pun mereka tidak menghormati Islam, hormatilah hak orang Islam. Kononnya satu dunia sekarang ini sibuk berpegang kepada hak kemanusiaan. Sikit-sikit human’s right, sikit-sikit human’s right konon. Mengapa tidak menghormati hak kemanusiaan orang Islam? Orang Islam tak ada human’s right ke?

Dulu, sudah ada pun sijil halal yang sah.Untuk dapat sijil itu mestilah sudah melalui proses tertentu. Masa dapat pengesahan halal itu mestilah produk dia sudah diperiksa dan diteliti betul-betul. Barulah boleh dapat sijil itu. Ya tak?

Tapi, sesudah beberapa tahun, apa sudah jadi? Sudahlah kilang membuat produknya itu kotor melebihi j*mb*n. Bahan yang digunakan pun tak halal pula. Mana pergi sijil pengesahan halal dulu tu? Buat lap pun**ung lepas b*rak aje ke?

Dulu, kilangnya bukan main bersih dan produknya mematuhi peraturan Tapi semua itu cuma fasal nakkan sijil halal saja. Lepas dah dapat, lepas dah tak ada siapa peduli nak datang buat pemantauan, suka hati dia sajalah apa nak buat. Bukan orang tahu. Taruh saja apa suka dalam produk dia. Janji boleh kaut untung sebanyak-banyaknya. Lepas tu gelakkan orang Islam sebab tiap-tiap hari barang tak halal masuk dalam perut. Nanti, boleh berbangga mencemik, “Siapa kata orang Islam tak makan b*b*?”

Lepas heboh fasal produk dia tak halal dan kilang dia kotor macam jamb*n, barulah sibuk-sibuk nak membetulkan keadaan. Cepat-cepat bersihkan kilang dan panggil orang surat khabar melawat. Sambil itu, tunjukkan pula bahan baru yang halal dan dapat pengesahan halal yang digunakan untuk produknya sekarang.

Oklah, mungkin bahan halal itu digunakan sekarang, masa orang tengah sibuk dan kecoh sekarang ni. Tapi bagaimana dengan dulu? Bagaimana dengan beberapa tahun dulu lepas kilang dan produknya tidak lagi diperiksa dan dipantau? Mengapa gunakan bahan haram itu sedangkan produknya ada sijil halal? Tak pernah diberikan garis panduankah apa bahan yang boleh atau tidak boleh digunakan? Mengapa orang surat khabar tak tanya soalan itu?

Budak-budak wartawan sekarang ini pun satu hal juga. Main pakai angguk saja apa yang dikatakan orang. Kalau aku jadi wartawan, “masak” orang itu aku kerjakan!

Aku cukup marah!
Aku cukup jengkel!
Aku cukup bengang!
Aku cukup sakit hati!

Sudah berbantal-bantal produknya masuk ke dalam perut aku dan keluarga aku. Bermakna, sudah banyak sangatlah benda haram itu aku bagi makan anak-anak aku. Jadi darah daging mereka. Bayangkanlah, aku dan suami aku selama ini bagi anak-anak makan benda haram! Itu keluarga aku saja. Aku yakin ada banyak lagi keluarga Islam yang turut terkena macam aku.

Sekarang ini sibuklah mereka nak ambil hati pengguna Islam termasuk buat majlis berbuka puasa untuk anak yatim. Panggil pula tokoh yang memang dihormati di kalangan masyarakat Islam untuk umumkan kehalalan produknya. Tuduh pula ada orang nak sabotaj perniagaannya.

Hello! Yang kasi kotor kilang tu dan dok import bahan tak halal daripada luar tu ialah awak sendiri. Si tukang sabotaj tu tak buat semua tu. Kalau pun betul ada orang nak sabotaj, dia cuma ambil kesempatan menangguk di air yang keruh saja. Dia cuma jadi tukang sebar cerita. Cerita itu tak akan diterima kalau tak ada bukti. Ini, bukti sah-sah terpampang depan mata!.

Bagi aku, cukuplah terkena sekali. Halal ke, haram ke produk dia aku akan boikot terus. Aku tak mahu hak dan pegangan aku dipermain-mainkan. Mungkin sekarang ini halal. Besok-besok belum tahu lagi. Halal pun tidak, haram pun tidak. Jadi halam lah pula. Aku memboikot produknya bukan atas sifat tidak halalnya tetapi atas prinsip aku yang amat benci dengan pembohongannya dan sikapnya yang tidak menghormati pegangan dan perasaan orang Islam.

Kau orang nak makan apa pun selamanya kami tak pernah kacau. Suka hati kau oranglah. Tapi, mengapalah tak sudah-sudahnya satu dunia nak sabotaj makanan orang Islam? Kalau boleh, nak juga suruh kami makan "benda" tu. Mengapa tak boleh nak hormat hak dan pegangan orang lain?

Si tukang bagi sijil halal tu pun sama juga. Bagi sijil, lepas tu biarkan saja bertahun-tahun begitu. Tak ada pemeriksaan berkala dan pemantauan rapi. Kalau tak cukup kakitangan, tambahlah. Budak-budak keluar universiti bukan main ramai tengah cari kerja. Yang bayar gaji mereka tu ialah pembayar cukai macam aku. Jangan asyik sibuk gunakan duit pembayar cukai nak buat pembangunan infrastruktur saja sedangkan pembangunan insan dikesampingkan. Pembangunan insan ni bermula daripada akar umbi. Pemakanan salah satu daripadanya.

Kalau pembangunan insan, pembangunan rohaniah tidak dijaga, jangan kata yang negara kita ada "kemudahan dan infrastruktur kelas bangsawan tetapi minda dan sikap kelas kambing"!

Kadang-kadang aku rasa cukup lemas. Nama saja hidup dalam “negara Islam” tapi kepentingan orang Islam punyalah tidak terjaga. Benda yang sepatutnya halal pun belum tentu halal lagi. Benda yang haram apatah lagi.

Ehh...membebel panjang pula aku hari Nuzul al-Quran ni!

Friday, October 06, 2006

Abah 5

Malam itu pak aji telefon lagi. Kalau dua kali sebelum itu suaranya tenang, kali ini dia menangis. Susah sebenarnya nak tengok pak aji menangis. Ketika ayah dan emaknya sendiri meninggal dahulu (sakit tua) tidak setitik pun air matanya tumpah. Begitu juga ketika emak saya meninggal.

Kali ini, pak aji menelefon untuk memberitahu bahawa jenazah abah sudah selamat disempurnakan. Abah dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Jeddah selepas dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan di salah sebuah masjid. Ramai yang menyelenggarakan jenazah abah (sebahagian mereka memang mengambil upah menyelenggarakan jenazah) dan mereka bekerja begitu cepat dan cekap sehingga tiada ruang untuk pak aji mencelah sama. Masjid juga penuh ketika solat jenazah kerana memang begitulah budaya orang Arab dalam memuliakan jenazah.

Begitu ramai yang mengusung jenazah ke tanah perkuburan dan langkah mereka begitu pantas sehinggakan pak aji tak dapat mencari ruang untuk ikut memikul jenazah abah. Cuma ketika jenazah hendak dimasukkan ke liang lahad barulah mereka menjerit, “Waris! Waris!”, memanggil waris si mati untuk memberi keizinan dan ikut sama dalam pengebumian. Dapatlah pak aji ikut sama mengebumikan abah.

Setelah selesai segala-galanya, pak aji dan Ustaz M pergilah mencari sebuah hotel untuk mandi dan berehat. Sebelum itu mereka terpaksa pergi membeli pakaian kerana kedua-duanya tinggal sehelai sepinggang sahaja. Seperkara lagi ialah mendapatkan penerbangan pulang ke Malaysia. Oleh kerana ketika itu musim haji sudah berakhir dan semua jemaah warga asing sedang berangkat meninggalkan Arab Saudi, sukar bagi mereka hendak mendapat penerbangan pulang. Penerbangan terdekat yang mereka dapat ialah tiga hari kemudian.

Pak aji berpesan juga supaya tunggu dia pulang dahulu kalau mahu mengadakan kenduri tahlil di rumah. Buat masa itu, dia meminta saya berjumpa imam di surau untuk meminta diadakan tahlil di surau sahaja. Saya tahu, pak aji tak mahu saya dan yang lain-lain rasa lebih tertekan untuk menguruskan kenduri pula dalam keadaan begitu. Lagipun, tahlil atau kenduri arwah bukanlah suatu tuntutan dalam Islam.

Esoknya saudara mara dan rakan-rakan berkunjung ke rumah untuk mengucapkan takziah dan bertanya khabar. Kakak sulung pak aji datang dari pantai timur dan tinggal di rumah kami selama seminggu.

Tiga hari kemudian, saya bersama adik dan kaklong ke KLIA untuk menjemput pak aji manakala kakak saya dan yang lain-lain menunggu di rumah. Suasana menyambut kepulangan pak aji dari tanah suci begitu berbeza berbanding yang sudah-sudah. Kalau dulu, kepulangannya disambut dengan rasa seronok dan senyum lebar, kali ini kepulangannya disambut dengan air mata. Hanya Allah yang tahu bagaimana rasanya melihat pak aji yang jelas kelihatan letih, keluar seorang diri daripada balai ketibaan sedangkan seperti baru semalam melihat dia berangkat berdua dengan abah ke tanah suci. Pergi berdua, pulang seorang!

Kaklong terus menerkam memeluk ayahnya dan menangis teresak-esak. Saya nampak, sekumpulan pemuda berhampiran ketawa dan mengejek-ejek kaklong dengan menangis olok-olok. Ingin sekali saya pergi kepada mereka dan memberitahu mereka bahawa anak saya itu bukan sengaja “berdrama” tetapi dia baru sahaja kehilangan seseorang yang amat dikasihi tanpa dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Tetapi, bila difikirkan kembali, apalah gunanya. Biarlah itu menjadi pengajaran kepada saya sendiri bahawa kita jangan mudah membuat andaian apabila melihat sesuatu yang tersurat kalau kita tidak tahu apa sebenarnya yang tersirat.

Setelah pak aji pulang, barulah saya dapat mendengar cerita tentang saat-saat kematian abah. Menurut pak aji, abah memang sihat sepanjang berada di tanah suci, cuma batuk sedikit dan demam selama dua hari. Lepas itu abah cergas kembali. Sehinggalah mereka tiba di Terminal Haji di lapangan terbang di Jeddah untuk penerbangan pulang, abah masih sihat dan ceria. Ketika menunggu waktu berangkat, abah masih sempat bersolat dan makan roti Arab (macam roti nan). Sempat juga abah berkongsi rotinya dengan seorang peminta sedekah yang datang meminta makan daripada abah.

Tidak berapa lama sebelum waktu berangkat, abah tiba-tiba sesak nafas. Pasukan perubatan lapangan terbang dipanggil untuk memeriksa abah tetapi mereka belum juga sampai ketika panggilan terakhir memanggil semua penumpang menaiki pesawat. Seorang doktor dalam kumpulan jemaah abah dan pak aji sempat memberikan pertolongan cemas kepada abah.

Kemudian, petugas lapangan terbang membawa kerusi roda untuk abah dan membawa abah untuk dinaikkan ke dalam pesawat menggunakan sejenis alat (crane?). Tetapi, belum sempat kerusi roda abah mencecah pintu pesawat, datang arahan daripada pasukan perubatan supaya abah dibawa semula ke bangunan terminal untuk diperiksa dahulu sebelum boleh dibenarkan terbang. Mereka bimbang abah tidak cukup sihat untuk terbang dan memerlukan rawatan di hospital.

Memang sudah tertulis yang abah tidak akan meninggalkan bumi Arab Saudi buat selama-lamanya.

Abah dibawa semula ke dalam bangunan terminal dan disorong ke dalam sebuah bilik sementara menanti pasukan perubatan tiba. Pak aji yang memang tidak berenggang dengan abah sejak tadi, ikut sama. Hanya mereka berdua di dalam bilik itu. Abah semakin lemah dan memang jelas dalam keadaan nazak. Pak aji tak henti-henti membisikkan kalimah syahadah ke telinga abah. Bibir abah bergerak-gerak dan dadanya turun naik.

Tiba-tiba, tanpa disuruh atau diajar, perlahan-lahan abah mengangkat takbir, “Allahu akbar!”. Kemudian, kedua-dua tangannya yang mengangkat takbir itu perlahan-lahan dikiamkannya sendiri ke dadanya seperti kiam dalam solat.

Selepas itu abah pergi dengan wajah yang cukup tenang.

Beberapa minit selepas itu barulah pasukan perubatan tiba dan mengesahkan kematian abah. Ketua pakej haji yang ketika itu sudah pun berada dalam pesawat bersama-sama ahli rombongan dan penumpang lain diberitahu mengenai peristiwa itu. Dia kemudian meminta Ustaz M supaya tinggal menemani pak aji kerana Ustaz M fasih berbahasa Arab dan ini boleh membantu memudahkan urusan. Tidak ramai ahli rombongan yang mengetahui kejadian itu dan mereka cukup terkejut apabila diberitahu ketika tiba di KLIA. Mereka terkejut kerana abah memang nampak sihat sebelum ini.

Pak aji menangis ketika bercerita. Katanya, tidak pernah dia menyaksikan sebuah kematian yang, padanya, cukup “indah”. Dia menangis memikirkan bahawa apakah kematiannya nanti juga akan “seindah” itu.

Kini, manusia yang kami panggil abah itu sudah tidak ada di dunia, sudah hilang dari mata. Tetapi dia tetap hidup subur dalam ingatan dan kenangan kami. Saya sekeluarga memang cukup reda dengan pemergiannya. Apa lagi kerana pada mata kasar kita manusia yang jahil ini, nampak bahawa abah dijemput Allah dengan cara yang begitu baik sekali. Cuma sebagai insan yang jahil dan lemah, hati ini tetap rasa sedih memikirkan kami tak dapat menatap wajah abah buat kali terakhir, tak dapat sama-sama menyelenggarakan jenazahnya dan tak dapat selalu menziarahi pusaranya. Sedih juga mengenangkan bahawa orang asing yang tidak pernah kami kenali yang menyelenggarakan jenazah abah sedangkan kami anak darah dagingnya sendiri tidak berpeluang.

Kini jasad abah terbaring seorang di bumi asing, jauh daripada kami. Amat berbeza dengan kehilangan emak setelah menderita diserang barah dahulu. Berbulan-bulan emak terlantar sakit dan kami sempat bergilir-gilir menjaganya. Jenazahnya pun dapat kami sama-sama selenggarakan. Pusaranya mudah kami kunjungi.

Paling tak dapat saya lupakan ialah bagaimana kami semua risau dan selalu mendesak supaya abah pergi menunaikan haji segera dan abah selalu menjawab, “belum masanya!”.

Rupa-rupanya memang benar “belum masanya” lagi kerana langkahnya keluar rumah untuk mengerjakan haji merupakan langkah pertama ke arah satu perjalanan yang jauh dan panjang – langkah peralihan daripada dunia yang sementara ke dunia yang kekal. Langkah yang hanya berlaku apabila tiba masanya - sesaat pun tidak boleh dilambatkan dan sedetik pun tidak boleh dipercepatkan.

Tetapi, bila dikenang-kenang, sebenarnya secara tidak disedari abah pernah “memberitahu” kami sebelum itu bahawa umurnya tidak akan panjang. Beberapa bulan sebelum ke tanah suci, abah selalu berkata pada kami yang dia rasa dia akan mati tak lama lagi sebab dia selalu bermimpi Allahyarham emak kami datang dalam mimpinya. Tetapi, kami selalunya beritahu abah supaya jangan cakap yang “bukan-bukan” seperti itu. Kami tak begitu ambil berat pun kata-kata abah itu dan hanya anggap abah bergurau. Mimpi hanyalah mainan tidur, begitu kata orang.

Kalaulah kami tahu.....!

Selepas pemergian abah, kami terpaksa pula berhadapan dengan masalah hendak memulihkan semangat adik dan kaklong yang seolah-olah hilang bersama kehilangan abah. Ambil masa juga sebelum mereka benar-benar kuat semangat menghadapi kehilangan yang mengejut itu lebih-lebih lagi adik saya.

Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kaklong nampaknya lebih tenang berbanding adik. Mungkin kerana dua malam berturut-turut selepas pemergian abah, dia bermimpi berjumpa abah yang datang menemuinya berpakaian jubah dan serban serba putih. Abah tidak bercakap, hanya berdiri di hujung katilnya dan tersenyum memandang kaklong. Itu pun tidak lama. Memang ada bermacam-macam tafsiran orang tentang mimpi berjumpa orang yang sudah meninggal dunia. Tetapi bagi saya, kalau itu boleh menjadi pengubat rindu dan penenang jiwa kaklong, saya amat bersyukur.

Ramadhan tahun yang sama, saya bersama pak aji, kaklong dan adik saya berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan umrah. Saya sedang mengandungkan abang tiga bulan ketika itu. Kakngah kami tinggalkan dengan kakak saya. Selain mengerjakan umrah dan beraya di sana, kami berniat untuk menziarahi pusara abah di Jeddah, seolah-olah menziarahinya pada hari raya. Sekurang-kurangnya dapatlah meredakan rasa rindu yang membara padanya.

Bagaimanapun, kami yang perempuan hanya dapat melihat tanah perkuburan itu dari pondok di pintu masuk sahaja. Penjaga kubur cukup ketat peraturannya, tidak membenarkan kaum wanita menziarahi perkuburan. Hanya pak aji sahaja yang dibenarkan masuk hingga ke pusara abah.

Amat terkilan rasa hati dengan peraturan orang Arab yang lebih mengikut budaya daripada agama. Pada awalnya memang Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan wanita ke perkuburan kerana budaya orang Arab yang suka meratap tangis sampai mengoyak-ngoyakkan pakaian apabila ada kematian. Tetapi kemudian, Rasulullah telah melonggarkan larangannya itu dan memberi kebenaran kepada wanita menziarahi perkuburan. Malangnya, peraturan manusia biasa kini lebih dipatuhi daripada peraturan nabi.

Kerana dilarang, berdiri sahajalah kami dalam kawasan pondok itu sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran dan memandang dari jauh. Itu pun pusara abah tak kelihatan pada kami kerana terletak nun jauh ke dalam. Hibanya hati ketika itu hanya Allah yang tahu. Sudahlah tak dapat menatap wajah abah buat kali terakhir dan juga tidak berpeluang menguruskan jenazahnya. Tanah kuburnya pun tak dapat kami lihat, apa lagi sentuh.

“Tak apalah. Banyakkan berdoa dan sedekahkan bacaan Quran. Itu lebih afdal. Tak semestinya kena buat semua itu dekat kuburnya sahaja. Di mana-mana pun kita boleh buat.” Pak aji memujuk untuk meredakan kekecewaan kami ketika itu.

Begitulah. Yang pergi tetap pergi, kita yang hidup ini memang tetap akan menyusul bila tiba masa dan ketikanya. Cuma bila tarikh kita pula menerima “jemputan” itu, dan cara bagaimana kita “dijemput”, tak dapatlah hendak kita ramalkan. Cuma, yang dapat kita lakukan ialah menggiatkan usaha mencari bekalan untuk satu perjalanan yang panjang itu nanti.

Semoga roh abah, dan juga emak, dan seluruh kaum Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat, dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan mereka yang beriman dan beramal soleh. Amin.

Al-Fatihah.

Takziah saya ucapkan kepada ahli bait lapan jemaah umrah yang dilaporkan meninggal dunia di tanah suci baru-baru ini dalam perjalanan untuk bermiqat di Tanaim. Semoga ahli keluarga yang ditinggalkan reda dan banyakkan bersabar menerima ketentuan Allah ini. Memetik kata-kata seorang ustaz dalam satu tazkirah yang saya ikuti baru-baru ini, janganlah terlalu bersedih apabila kehilangan orang yang dikasihi kerana semua kita sebenarnya sedang meniti perjalanan menuju ke arah yang sama. Cuma giliran mereka tiba dahulu daripada kita.

Abah 4

Air mata saya tak dapat ditahan-tahan lagi. Adik saya yang terdengar esakan saya cepat-cepat naik ke tingkat atas bersama anak kecil saya. “Kenapa? Kenapa Lang?” tanyanya bertalu-talu sedangkan saya terlalu sebak untuk menjawab.

Bila saya dapat bertenang semula dan sebak di dada berkurangan, saya ulang semula kata-kata pak aji tadi, “Banyak-banyak sabar ya dik! Abah dah tak ada!”

Adik saya, anak bongsu yang manja dengan abah dan emak, terduduk di situ juga. Anak saya hampir terlepas daripada pelukannya. Seperti saya, dia juga bertanya bertalu-talu – bila abah meninggal? Kan abah sihat aja? Kan abah nak balik hari ini? “Habis, jenazahnya nak dikebumikan di mana? Suruh abang N bawa abah balik!”

Pak aji yang masih ada di hujung talian telefon turut mendengar kata-kata adik lalu dia menyuruh saya meminta adik banyak-banyak bersabar dan beristighfar. “Lebih baik jenazahnya dikebumikan di sini saja. Mungkin itu permintaannya!” kata pak aji.

Tapi adik berkeras. “Adik tak kira, suruh Abang N bawa abah balik! Suruh juga dia bawa abah balik! Bawa abah balik!” kata adik, separuh histeria.

Kata pak aji, “Oklah, nantilah abang tengok apa yang boleh dibuat. Abang tak boleh cakap lama-lama ni. Abang nak pergi uruskan jenazah abah. Nanti abang telefon lagi. Jaga anak baik-baik! Assalamu`alaikum!”

Kaklong yang terdengar kecoh di luar segera keluar dari biliknya. Ini pun satu masalah juga kerana dia terlalu rapat dan manja dengan datuknya. Sejak pandai berjalan, abah sudah mengusung cucunya itu ke mana sahaja dia pergi – ke masjid, ke kedai, ke pasar atau ke bank untuk ambil duit pencen. Ketika kecil, dia suka sup ayam. Maka, hampir setiap hari abah memasakkan sup ayam untuknya. Bila saya tegur supaya abah tak usahlah bersusah payah memasak untuk cucunya, kata abah, “Nanti dia mogok tak nak makan!” Sehingga sekarang pun, kaklong tetap kata, “Sup ayam atuk `the best in the world’”. Kalau kena marah dengan saya, dia akan mengadu pada abah dan abah akan marahkan saya, “Engkau jangan marah cucu aku!” kata abah. Di meja tulisnya sampai sekarang terpampang besar gambar abah. Bagaimana hendak memberitahunya yang datuknya sudah meninggal dunia dan kami tidak akan dapat menatap jenazahnya buat kali terakhir?

Seperti yang dijangka, kaklong juga ikut menangis tanpa dapat dikawal lagi walaupun puas saya cuba menyabarkannya. Adik saya pula tiba-tiba rebah tak sedarkan diri Dengan adik yang tak sedarkan diri, anak remaja yang teresak-esak dan anak kecil yang ikut menangis kerana ketakutan melihat suasana kecoh itu, saya rasa panik seketika. Sambil memangku adik dan memeluk anak-anak, saya telefon kakak saya.

Apabila terdengar sahaja suara kakak di hujung talian, dalam esakan saya terus memberitahu dia bahawa abah sudah meninggal dan minta dia datang ke rumah saya secepat mungkin kerana adik pula tak sedarkan diri. Dalam keadaan begitu, lupa semua nasihat mengenai pendekatan psikologi dalam menyampaikan perkhabaran buruk supaya orang yang menerimanya tidak terperanjat. Mujurlah kakak tidak ada sakit jantung atau darah tinggi!

Tentulah kakak terperanjat besar. Dia ketika itu sedang berkemas dan bersiap-siap untuk ke rumah saya mengikut perancangan kami. Tiba-tiba pula mendapat berita yang cukup tidak disangka-sangka!

Tanggal 8 April 2000. Tarikh yang dirancang untuk abah pulang. Memang benar abah pulang pada tarikh itu. Tetapi bukan pulang ke pangkuan keluarga, tetapi pulang kepada al-Khaliq. Pulang kepada Penciptanya. Manusia merancang, Allah merancang. Tetapi perancangan Allah lah yang terbaik dan pasti berlaku.

Sementara menunggu kakak sampai, saya cuba menyedarkan adik dengan merenjiskan air ke mukanya dan membacakan ayat-ayat suci ke telinganya. Sambil itu, saya bisikkan juga supaya dia bersabar dan reda dengan qada dan qadar Allah. Di sisi saya, anak-anak menangis tetapi saya biarkan dulu. Ketika itu, adik lebih penting. Syukurlah tak lama selepas itu adik sedar kembali dan terus terbaring lemah.

Kakak dan keluarganya sampai kira-kira sejam selepas itu. Bersama-sama kami cuba memujuk adik dan kaklong supaya banyak bersabar dan sentiasa ingat Allah. Selepas itu kami ajak mereka mengambil wuduk dan membaca surah Yasin. Ketika itu, memang tak teringat langsung untuk menghubungi sesiapa yang lain. Lagipun, saya memang jenis tak ramai saudara mara. Abah anak tunggal dan adik beradik emak juga kebanyakannya sudah meninggal dunia (jenis tak panjang umur).

Tak lama selepas itu, pak aji telefon lagi. Suaranya masih tenang. Dia mahu kepastian sama ada saya dan kakak mahu jenazah abah dibawa pulang ke Malaysia atau mahu dikebumikan di Arab Saudi sahaja. Adik dan kaklong berkeras mahu jenazah abah dibawa balik tetapi kakak dan saya sendiri fikir lebih baiklah jenazah abah disimpan di tanah tempat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir – Arab Saudi. Itu lebih baik baginya dan bagi semua orang dan mungkin itu jugalah perjanjiannya dengan Allah. Pak aji setuju dan katanya, memang sejak awal dia berfikir begitu. Malah, itu jugalah nasihat dan pandangan beberapa orang lain yang ada bersama membantu pak aji menguruskan jenazah abah ketika itu.

Pak aji sebenarnya diberikan pilihan sama ada hendak mengebumikan jenazah abah di Jeddah atau di Makkah. Selepas berbincang dengan mereka yang arif, pak aji pilih untuk mengebumikan abah di Jeddah sahaja kerana dua sebab. Pertama, untuk menyegerakan pengebumian supaya tidak menyeksa mayat. Abah sudah meninggal beberapa jam dan jenazahnya masih belum dapat diuruskan kerana beberapa urusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan Kedutaan Malaysia yang perlu diselesaikan. Perjalanan ke Makkah dari Jeddah pula mengambil masa kira-kira sejam dan ini akan melambatkan lagi urusan pengebumian. Sebab kedua, pasport pak aji dan ustaz M (juru bimbing daripada syarikat yang mengendalikan pakej haji itu) sudah pun dicop keluar oleh pihak Imigresen. Untuk masuk semula ke Makkah dan keluar semula nanti tentulah panjang ceritanya.

Saya dan kakak terpaksa memujuk adik yang tak berhenti-henti menangis dan sebentar-sebentar sesak nafas serta kaklong yang terus mendesak supaya jenazah datuknya dibawa balik. Kata saya, redalah dengan pemergian abah kerana abah pergi dengan cara yang cukup baik. Redakan juga abah dikebumikan di bumi Arab Saudi kerana mungkin memang itulah perjanjiannya.

Mungkin sebab itu, sebelum ini abah cukup liat bila disuruh menunaikan haji walaupun tiada masalah baginya untuk mengerjakan umrah. Rupa-rupanya, langkahnya keluar rumah untuk menunaikan perkara kelima dalam Rukun Islam itu adalah langkah terakhirnya dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang Islam di dunia yang fana ini dan dia tidak akan kembali lagi selepas itu. Dan sudah ditentukan bahawa bumi Arab Saudi adalah rumah terakhir bagi jasadnya.

Pak aji juga berpesan bahawa malam itu beberapa orang dari syarikat pakej haji yang mereka sertai itu akan datang ke rumah untuk menghantarkan beg abah dan beg pak aji. Beg-beg itu sudah pun di masukkan ke dalam pesawat sebelum abah tiba-tiba sakit. Pak aji yang berada di Jeddah ketika itu hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja kecuali sebuah beg kecil berisi sejadah, kain pelekat, al-Quran dan buku.

Sepanjang hari itu rasanya tiada siapa yang makan walau sebiji nasi kecuali anak kecil saya. Itulah kali kedua dalam hidup ini saya rasa begitu sunyi dan kosong. Kali pertama ialah ketika kehilangan emak kira-kira 13 tahun sebelum itu. Matahari tetap bersinar dan perjalanan waktu tetap berputar. Tetapi hati terasa begitu kosong dan kehidupan terasa seolah-olah hilang maknanya.

Kami tidak berbual, masing-masing dengan fikirannya sendiri-sendiri. Dengan al-Quran atau surah Yasin di tangan, masing-masing mencari sudut sendiri-sendiri. Ruang rumah dipenuhi bacaan ayat suci yang sesekali dipecahkan oleh esakan yang tak dapat ditahan-tahan. Menjelang lewat petang barulah kami teringat untuk menghubungi saudara mara.

Malam itu, selepas Maghrib, beberapa orang daripada syarikat pakej haji yang disertai oleh abah dan pak aji, datang menghantarkan beg-beg abah dan pak aji. Mereka selamat sampai ke tanah air pada jam 2 petang seperti yang dijadualkan dan beg-beg abah dan pak aji mereka ambil dan bawa pulang bersama. Mereka mengucapkan takziah sambil bercerita betapa abah sihat dan ceria sepanjang di tanah suci. Malah, abah rajin bergurau dan mengusik salah seorang daripada mereka yang berkongsi bilik dengan abah dan pak aji serta sesekali mengajaknya pergi menemani abah menyusur kedai-kedai di sekitar masjid.

Tak dapat saya bayangkan perasaan hiba melihat beg-beg abah. Begnya pulang, tuannya tidak akan kembali lagi. Bila dibuka, nampak ada bermacam-macam barang yang abah beli. Ada beberapa helai jubah lelaki yang masih berbungkus rapi dalam plastik, ada tasbih, beberapa helai sejadah, bungkusan inai dan beberapa barang lagi. Mungkin barang-barang itu hendak abah hadiahkan kepada kawan-kawan masjidnya atau mungkin dipesan oleh seseorang. Sebahagian barang-barang itu kemudiannya kami sedekahkan.

Paling menyedihkan, terselit sama sehelai jubah wanita berwarna hijau pudar yang bersulam di dada dan di lengan. Rupa-rupanya, abah usahakan juga membelikan jubah yang dipesan oleh adik walaupun abah memang tak pandai membeli pakaian wanita. Adik rebah tak sedarkan diri lagi apabila melihat jubah itu. Jenuh juga kami hendak menyedarkan dan menenangkannya. Jubah itu agak besar bagi adik tetapi adik membiarkannya dalam keadaan asal dan tidak mengubahsuainya. Sehingga kini adik menyimpan jubah itu dengan rapi dan hanya dipakai istimewa untuk ke masjid bagi mengerjakan solat tarawih sahaja.

Mujurlah kaklong nampaknya lebih kuat semangat berbanding adik. Dia hanya menangis sambil memeluk dan mencium sehelai baju panas abah yang ada dalam beg itu.

Bersambung.....

Thursday, October 05, 2006

Abah 3

Sepanjang berada di tanah suci, beberapa kali pak aji menelefon untuk bertanya khabar, tetapi hanya dua kali saya dapat bercakap dengan abah. Ini kerana, kebanyakannya pak aji menelefon daripada kabin telefon yang terdapat di beberapa tempat di sepanjang jalan ke masjid untuk menjimatkan kos menggunakan telefon bimbit atau telefon dalam bilik. Barisan orang yang hendak menggunakan telefon selalunya sangat panjang dan abah memang malas nak menunggu. Kami hanya dapat bercakap dengan abah bila pak aji menggunakan telefon di bilik.

Kata pak aji, abah sihat dan ceria. Abah pun mengaku dia sihat. Hati kami di tanah air lega mendengarnya. Tak sabar menunggu kepulangan abah, untuk mengusik-usiknya dengan panggilan “Haji M”. Tentu abah akan senyum lebar bila kami mengusiknya nanti.

Kali kedua saya bercakap dengan abah, abah bertanya macam mana nak belikan jubah yang dipesan oleh adik saya. “Abah bukan tahu nak beli itu semua,” katanya. Memang abah tak tahu langsung soal pakaian wanita. Pakaian emak dulu pun dia tak pernah belikan. Dia beri duit, pandai-pandailah beli sendiri.

Saya menjawab acuh tak acuh, “Kalau abah tak tahu nak beli, tak usah belilah bah! Adik tu bukan tak tahu yang abah tak pandai nak beli baju orang perempuan. Saja, mengada-ngada. Nanti saya cakap dengan dia!”

Abah diam sahaja mendengar kata-kata saya (sebenarnya adik saya pesan minta dibelikan jubah itu kalau boleh. Kalau tak beli pun tak mengapa.)

Begitulah sepanjang mereka di tanah suci. Nampak segala-galanya berjalan lancar. Abah dan pak aji sama-sama sihat dan dapat menunaikan ibadah mereka dengan sempurna. Berwukuf, melontar jamrah, tawaf, saie dan umrah – semuanya telah sempurna dikerjakan. Kini hanya merebut masa beribadah sebanyak yang mungkin di Masjidil Haram sebelum sampai masa untuk berangkat pulang ke tanah air. Sebelum ke Makkah dahulu, mereka telah pun menghabiskan masa 10 hari di Madinah, mengambil kesempatan beribadah di Masjid Nabi dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w. setiap hari.

8 April 2000

Tarikh ini sebenarnya tak pernah saya ingat. Seolah-olah ada penghalang pada otak untuk mengingati tarikh ini. Seolah-olah minda saya tak mahu terima tentang kewujudannya dan peristiwa pahit yang terjadi pada tarikh ini. Untuk menulis ini, saya terpaksa bertanya dengan adik. Malah, sebelum ini pun, setiap kali teringatkan abah, saya terpaksa bertanya dengan orang lain – dengan adik, dengan anak dan dengan pak aji - tentang tarikh ini. Sampaikan mereka naik bosan menjawabnya.

Tanggal 8 April 2000 – tarikh yang sepatutnya kami sambut kepulangan abah dan pak aji dari tanah suci. Saya sudah lupa sama ada hari itu hari minggu atau mungkin juga hari bekerja dan kami semua sudah mengambil cuti untuk menyambut kepulangan abah dan pak aji yang dijadualkan tiba di KLIA pada jam 2 petang nanti. Kalau ikut perancangan, kakak saya sekeluarga akan datang berkumpul di rumah saya pagi itu (adik pula memang sudah ada di rumah saya). Kami akan memasak bersama-sama dan kemudian ke KLIA untuk menjemput abah dan pak aji.

Jam 6 pagi: saya sedang melayan kakngah di tingkat bawah ketika telefon berdering. Saya biarkan saja adik saya mengangkatnya. Saya fikir barangkali kakak saya yang telefon untuk bertanya sesuatu. Tiba-tiba, adik memanggil saya, “Alang, abang N telefon,” katanya.

“Abang N? (pak aji). Dia telefon dari mana pula? Kan sepatutnya dia dalam penerbangan sekarang ni? Mungkin penerbangan tertunda agaknya,” Fikir saya sendirian sambil menaiki tangga ke tingkat atas untuk menyambut panggilan. Adik saya pula turun untuk melayan anak saudaranya.

Saya memberi salam lantas bertanya pak aji menelefon dari mana. Tapi dia tidak terus menjawab, sebaliknya bertanyakan khabar anak-anaknya dan saya serta adik saya. Suaranya tenang tapi saya dapat rasakan ada getaran dalam suaranya. Seolah-olah dia sedang menyimpan sesuatu berita kurang baik dan teragak-agak untuk meluahkannya. Dalam membina perkahwinan ini, kami sudah dapat membaca mood masing-masing walaupun cuba disembunyikan. Antara kami memang sukar untuk berahsia.

Kemudian, bila saya tanya fasal abah, dengan suara lembut dan lambat-lambat, pak aji berkata, “Banyak bersabar dan ingat Allah ya! Ingat bahawa kalau kita sayang seseorang, Allah lebih sayangkan orang itu. Jadi, kita mesti reda dengan ketentuan Allah.”

Pak aji belum habis bercakap, tetapi saya sudah boleh mengagak maksud perkataannya. Dada saya berdebar kencang, darah rasa kering dalam badan. Kaki dan tangan saya tiba-tiba rasa sejuk.

“Amatullah, abah dah tak ada!” kata pak aji lambat-lambat.

Lutut saya terus rasa lemah. Antara percaya dengan tidak, saya terus bertanya bertalu-talu, “Abah dah tak ada? Apa maksud ayah? (kadang-kadang saya memanggil ayah pada pak aji kerana mengajuk anak-anak). Ayah jangan nak melawak pula. Kan abah sihat aja?”

“Memang abah sihat sebelum ini. Tapi dia tiba-tiba sesak nafas masa tunggu nak naik kapal terbang.”

Innalillahi Wa’inna ilaihi Rajiun! Daripada Allah dia datang. Kepada Allah, dia kembali.

Bersambung.....

Wednesday, October 04, 2006

Abah 2

Bulan Ramadhan menjelang tiba. Kami dikejutkan oleh permintaan abah untuk pergi menunaikan umrah pada bulan Ramadhan itu. Pening juga kami memikirkannya. Duit baru saja keluar untuk membayar kos haji, ini abah nak buat umrah pula!

Bermesyuaratlah lagi kami adik-beradik. Adik saya cadangkan supaya pujuk abah tak usah buat umrah kerana dia akan mengerjakan haji tak lama lagi. Tapi pak aji dan kakak saya tak setuju. Kata mereka, kita mesti berusaha menunaikan hajat abah kerana sebelum ini abah memang tak pernah meminta apa-apa daripada anak-anak, apa lagi soal-soal duit. Abah memang tak pernah menyusahkan anak-anak.

Maka, “mesyuarat” memutuskan supaya hajat abah mesti disampaikan. Sekali lagi kami kena korek saki-baki duit yang ada dan terpaksa meminta abah tambah sedikit daripada simpanannya sendiri. Dan sekali lagi pak aji dilantik untuk menjadi peneman abah. Kami sama sekali tak kan benarkan abah ke tanah suci sendirian pada usia begitu.

Maka pertengahan Ramadhan itu berangkatlah abah ke Makkah bersama pak aji. Cukup seronok nampaknya dia. Kami bergambar beria-ia di KLIA dengan abah. Suasana cukup meriah kerana dua orang kakak pak aji pun pergi sama dan keluarga mereka masing-masing turut menghantar di KLIA. Macam menghantar orang pergi haji pula rasanya. Di Makkah, abah dapat menyempurnakan umrah beberapa kali walaupun diserang batuk dan demam sedikit. Sebelum hari raya Aidilfitri, abah dan pak aji kembali ke tanah air dengan selamat.

Tibalah musim haji dan masa untuk abah berangkat ke Makkah bersama pak aji (kalau ada yang membaca tulisan ini dan mungkin tertanya-tanya mengapa asyik-asyik pak aji saja yang menemankan abah ke tanah suci dan banyak sangatkah duit kami untuk menampung perbelanjaan itu, saya tak dapat menjawabnya kerana ini agak peribadi. Cukuplah saya katakan, pendirian kami, kalau untuk ibadah, pendidikan anak-anak dan untuk kepentingan orang tua, kalau ada harta yang melebihi keperluan asas dan boleh dilupuskan, maka perlulah dilupuskan). Saya pula masih tak dapat ikut sama kerana baru habis sambung belajar (dah tua baru nak sambung belajar!) dan baru bekerja semula. Manalah boleh dapat cuti panjang untuk mengerjakan haji..

Penerbangan mereka sebelah malam, siang itu semua berkumpul di rumah saya. Kami beramai-ramai menolong abah mengemas begnya. Riuh kami mengusik abah yang hendak memenuhkan begnya dengan macam-macam barang yang tak perlu. Kami juga tolong menuliskan nama dan alamatnya besar-besar pada begnya. Abah nampak cukup ceria dan tersenyum saja mendengar gurauan kami. Kakngah yang ketika itu belum sampai setahun usianya, memanjat dan memijak-mijak begnya pun dia tak kisah. Sebaliknya dia marahkan saya kerana memarahi cucunya.

Penerbangan mereka sepatutnya jam 12 malam. Selepas Maghrib kami bertolak ke KLIA. Walaupun sudah makan di rumah, saya tanya abah sama ada dia hendak makan atau minum apa-apa. Abah hanya mahu kopi dan sandwic. Saya terpaksa beratur panjang untuk membelikan makanannya itu kerana KLIA malam itu memang sangat sibuk dan ramai. Pak aji pula sibuk menguruskan beg dan urusan lain dengan ejen pakej.

Siapa sangka bahawa itulah perkhidmatan terakhir saya sebagai anak kepada abah!

Kalau ketika abah berangkat menunaikan umrah Ramadhan dahulu kami bergambar beria-ia dengan abah, kali ini kami semua macam tak ada mood untuk bergambar walaupun kamera dibawa bersama. Malah, satu dua gambar yang diambil pun tak begitu jelas, macam guna kamera manual tahun 70an sahaja rupanya. Kalaulah kami tahu.....! Ahhh!! “kalau”! Kata orang, perkataan ini wajar dihapuskan daripada kamus!

Ketika menunggu, abah tak banyak bercakap. Tapi itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana memang begitulah perangai abah. Sesekali dia menghilang lama, entah ke mana. Mungkin berjalan-jalan menghilangkan lenguh sambil melihat-lihat bangunan KLIA yang tersergam megah itu. Walaupun sudah mencapai usia 70, abah masih tegap. Penyakit kencing manisnya terkawal.

Pak aji datang memberitahu yang penerbangan mereka ditunda ke jam 3 pagi. Dia menyuruh kami pulang sahaja kerana kasihan pada anak-anak terutama kakngah yang masih kecil. Abah pun setuju menyuruh kami pulang dulu. Jemaah lain sudah pun berbaris untuk pemeriksaan imigresen dan pak aji juga mahu membawa abah masuk menunggu di dalam, “Lebih selesa” katanya. Lalu, kami pun bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan sambil mengucapkan selamat jalan dan selamat tinggal.

Entah mengapa, hati saya menyuruh saya peluk abah lama-lama. Masa itu saya rasa bagaikan tak mahu melepaskan abah daripada pelukan saya. Abah pun berair matanya dipeluk dan dicium oleh anak dan cucu. Selepas itu, kami menghantar abah dan pak aji dengan mata menuju ke pintu pemeriksaan masuk. Kami memerhatikan mereka sehingga hilang daripada pandangan. Dua insan yang fizikalnya begitu kontras - abah yang rendah dan pak aji yang tinggi. Abah melangkah cepat-cepat mengekori langkah panjang-panjang pak aji. Dia tidak langsung menoleh ke arah kami.

Itulah kali terakhir kami melihat abah!

Bersambung......

Tuesday, October 03, 2006

Abah 1

Pernah saya tulis dahulu, cara pemergian pengacara/pelakon Allahyarham Hani Mohsin dijemput menghadap Ilahi di lapangan terbang cukup menyentuh perasaan saya kerana mengingatkan saya kepada pemergian seseorang yang amat saya kasihi, juga di lapangan terbang, enam tahun lalu. Orang itu ialah ayah saya sendiri yang kami anak-anaknya panggil Abah.

Cuma bezanya, Allahyarham Hani Mohsin meninggal dunia di tanah air sendiri, dihadapi oleh anak tunggalnya, sedangkan Allahyarham abah menghembuskan nafas terakhir nun di tanah asing, di bumi Arab Saudi, tanpa anak kandung di sisi. Teringat saya pada tulisan seorang wartawan yang menyifatkan terminal LCCT sebagai terminal terakhir bagi Allahyarham Hani Mohsin di dunia. Bagi abah saya pula, “terminal terakhirnya” ialah Terminal Haji di Jeddah.

Cerita ini sebenarnya pernah saya tulis dahulu dalam satu e-group yang saya menjadi ahli. Mungkin ada yang pernah membacanya. Tapi, saya mahu merakamkannya kembali di sini kerana ini blog saya, dengan harapan suatu hari nanti anak-anak saya akan membaca blog ini dan tak perlulah lagi saya bercerita panjang mengenai kisah pemergian datuk mereka.

Di bawah ini saya “potong dan tampal” artikel yang pernah saya tulis dahulu dengan beberapa penyesuaian. Kerana tulisan ini agak panjang, terpaksalah dibahagikan kepada beberapa bahagian.

********************************************************************

Ketika menerima surat tawaran mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) untuk musim haji 1422H/2002M, saya rasa seronok dan bersyukur kerana akhirnya sampai juga giliran saya menyempurnakan perkara terakhir dalam Rukun Islam yang lima. Namun, jauh di sudut hati, tak dapat dihindarkan rasa sedih dan sebak. Sedih kerana, bersama-sama surat tawaran untuk saya suami isteri, dihantar sama satu surat tawaran untuk seseorang yang pada ketika itu sudah tiada di muka bumi ini, sudah pun pergi menyahut panggilan Ilahi dua tahun sebelumnya. Orang itu ialah bapa saya yang kami panggil abah.

Imbas kembali, kami mendaftar untuk mengerjakan haji lebih kurang empat tahun sebelum itu. Nama abah turut didaftarkan sama. Ketika itu usianya 68 tahun. Tetapi bila diberitahu oleh pegawai TH di kaunter bahawa giliran kami mungkin lima tahun lagi, kami pun mula membuat congakan. Kalau lima tahun lagi, usia abah sudah mencapai 73 tahun. Kami bimbang kesihatannya terganggu dan tak larat menyempurnakan ibadah hajinya. Satu lagi kebimbangan (yang masing-masing tak berani nak suarakan) ialah, takut umur abah tak sampai ke tahap itu.

Maka bermesyuaratlah kami adik beradik. Keputusannya, kami sepakat memujuk abah untuk pergi menunaikan haji pada musim haji yang terdekat melalui pakej swasta (bukan melalui kuota TH). Suami saya (pak aji) akan pergi bersama.

Sebenarnya, sejak abah pencen pada pertengahan tahun 80-an, kami selalu mencadangkan kepadanya supaya pergi menunaikan haji. Ketika itu nak pergi haji lebih mudah, tak perlu tunggu lama-lama. Tahun itu nak pergi, tahun itu juga boleh mendaftar. Tetapi dia selalu memberi alasan “nanti dulu”, “belum masanya” atau “cucu aku tinggal tak ada siapa nak jaga”.

Kami naik risau juga memikirkan mengapa berat sangat abah hendak mengerjakan haji? (walaupun pernah mengerjakan umrah). Kadang-kadang timbul juga fikiran yang bukan-bukan. Apakah abah ada apa-apa amalan yang menyebabkan tertutup hatinya untuk mengerjakan haji? Manalah kami dapat meneka apa yang sudah tersurat dan sudah dijanjikan Allah untuk setiap hambaNya!

Abah seorang yang amat “simple” dan tidak banyak cakap sejak muda lagi. Lebih banyak mendengar dan tersenyum saja daripada menyampuk perbualan orang. Dia memang tidak suka mengumpat atau mengata orang, tidak pernah menganiaya atau menyakiti orang. Sukakan kanak-kanak dan rajin melayani anak-anak jiran hingga mereka selalu datang ke rumah mencari “atuk” untuk “berbual” atau menonton TV dan berkongsi minum nescafe dan makan biskut dengan abah.

Kami anak-anaknya sendiri memang manja dengannya ketika kecil kerana dia jarang meninggikan suara atau menjentik kami. Malah, bila emak memukul kami kerana nakal atau pelajaran merosot (sayalah terutamanya!), abah yang selalu jadi pelindung. Cuma, apabila kami meningkat remaja dan dewasa, mungkin kerana kami perempuan dan abah pula jenis pendiam, kami lebih banyak bercerita mengenai segala macam hal dengan emak. Hanya setelah emak meninggal dua tahun selepas abah pencen, barulah abah lebih pandai berbual dengan anak-anaknya. Itu pun, abah bukan jenis suka bercerita macam emak. Dia lebih banyak mendengar daripada bercerita.

Abah jenis tidak suka berhutang dan sanggup tinggal di rumah sewa sehingga akhir hayatnya. Dia tidak mahu berpindah ke rumah yang saya suami isteri belikan untuknya kerana rumah itu agak jauh dari masjid. Rumah sewanya terletak di hadapan masjid. Sejak pencen, jarang sekali dia meninggalkan solat jemaah lima waktu di masjid walaupun kurang sihat atau hari hujan. Pernah kami marahkan dia kerana ke masjid juga selepas keluar hospital kerana pembedahan membuang selaput mata, sebab kami takut dia kurang awas melintas jalan yang agak sibuk terutama dengan motosikal yang laju-laju belaka. Tapi dia buat tak dengar saja.

Abah tinggal dengan anak bongsunya (adik saya) dan enggan duduk dengan kakak ataupun saya sendiri walaupun puas dipujuk kerana katanya, “Biar banyak rumah, jangan banyak serumah”. Mujurlah kami semua tinggal di Lembah Klang, tidaklah terlalu jauh untuk mengunjunginya selalu.

Setelah dipujuk, akhirnya abah setuju untuk mengerjakan haji pada musim haji tahun 1999 lalu dia dan pak aji pun mendaftarlah dengan sebuah syarikat agensi pelancongan yang menguruskan pakej haji (bukan melalui kuota TH). Tapi, sebelum bayaran dijelaskan, abah tiba-tiba menukar fikiran. Dia enggan pergi walaupun puas dipujuk. Alasannya, “cucu aku tinggal” (anak sulung saya, kaklong, adalah cucu kesayangannya kerana dia juga merupakan cucu sulung. Sejak kecil dia memang selalu di rumah abah dan mereka jarang berenggang).

Bila didesak lagi, abah memberikan pula alasan, “tak yakin dengan ejen swasta, takut kena tipu kalau tak pergi dengan Tabung Haji”. Kami rasa cukup gusar memikirkan abah yang masih belum terbuka hati untuk mengerjakan haji. Tetapi kata pak aji, “Jangan paksa kalau abah tak mahu pergi”.

Bagaimanapun, pak aji tetap meneruskan hajatnya mengerjakan haji tahun itu bersendirian walaupun tanpa abah. “Semua syarat dah lengkap, tak ada sebab patut ditangguhkan,” katanya. Saya sendiri tak dapat ikut sama kerana hamilkan kakngah.

Selepas pak aji pulang dari tanah suci, abah tiba-tiba kata dia mahu pergi haji tahun berikutnya. Kami rasa cukup bersyukur tetapi masih bimbang. Takut dia menukar fikiran di saat-saat akhir macam tahun lepas. Tapi kali ini abah nampak bersungguh-sungguh mahu pergi.

Hanya sekali dia pernah bertanya pada saya, “Kalau abah ke Makkah nanti, kaklong macam mana?” Lalu saya menjawab, “Abah! abah pergi sajalah ke Makkah. Fasal kaklong tu tak usah difikirkan. Saya kan ada. Cucu abah tu semua tanggungjawab saya!” Sekali itu sahajalah abah membuka mulut fasal cucunya, selepas itu dia tidak lagi menimbulkan soal itu macam dahulu. Saya rasa cukup lega!

Kami tiga beradik - saya, kakak dan adik - berkongsi mengeluarkan perbelanjaan abah ke Makkah dengan pakej swasta yang sama. Cepat-cepat kami membuat bayaran yang diminta supaya urusan visa, penerbangan, penginapan dan sebagainya dapat diuruskan segera. Kami rasa cukup lega dan hanya membilang hari untuk abah berangkat ke Makkah. Abah pun nampaknya bersungguh-sungguh membuat persiapannya sendiri dengan menghadiri kursus haji di masjid dekat rumahnya dan membaca buku-buku panduan mengerjakan haji.

Bersambung.....