Friday, October 06, 2006

Abah 4

Air mata saya tak dapat ditahan-tahan lagi. Adik saya yang terdengar esakan saya cepat-cepat naik ke tingkat atas bersama anak kecil saya. “Kenapa? Kenapa Lang?” tanyanya bertalu-talu sedangkan saya terlalu sebak untuk menjawab.

Bila saya dapat bertenang semula dan sebak di dada berkurangan, saya ulang semula kata-kata pak aji tadi, “Banyak-banyak sabar ya dik! Abah dah tak ada!”

Adik saya, anak bongsu yang manja dengan abah dan emak, terduduk di situ juga. Anak saya hampir terlepas daripada pelukannya. Seperti saya, dia juga bertanya bertalu-talu – bila abah meninggal? Kan abah sihat aja? Kan abah nak balik hari ini? “Habis, jenazahnya nak dikebumikan di mana? Suruh abang N bawa abah balik!”

Pak aji yang masih ada di hujung talian telefon turut mendengar kata-kata adik lalu dia menyuruh saya meminta adik banyak-banyak bersabar dan beristighfar. “Lebih baik jenazahnya dikebumikan di sini saja. Mungkin itu permintaannya!” kata pak aji.

Tapi adik berkeras. “Adik tak kira, suruh Abang N bawa abah balik! Suruh juga dia bawa abah balik! Bawa abah balik!” kata adik, separuh histeria.

Kata pak aji, “Oklah, nantilah abang tengok apa yang boleh dibuat. Abang tak boleh cakap lama-lama ni. Abang nak pergi uruskan jenazah abah. Nanti abang telefon lagi. Jaga anak baik-baik! Assalamu`alaikum!”

Kaklong yang terdengar kecoh di luar segera keluar dari biliknya. Ini pun satu masalah juga kerana dia terlalu rapat dan manja dengan datuknya. Sejak pandai berjalan, abah sudah mengusung cucunya itu ke mana sahaja dia pergi – ke masjid, ke kedai, ke pasar atau ke bank untuk ambil duit pencen. Ketika kecil, dia suka sup ayam. Maka, hampir setiap hari abah memasakkan sup ayam untuknya. Bila saya tegur supaya abah tak usahlah bersusah payah memasak untuk cucunya, kata abah, “Nanti dia mogok tak nak makan!” Sehingga sekarang pun, kaklong tetap kata, “Sup ayam atuk `the best in the world’”. Kalau kena marah dengan saya, dia akan mengadu pada abah dan abah akan marahkan saya, “Engkau jangan marah cucu aku!” kata abah. Di meja tulisnya sampai sekarang terpampang besar gambar abah. Bagaimana hendak memberitahunya yang datuknya sudah meninggal dunia dan kami tidak akan dapat menatap jenazahnya buat kali terakhir?

Seperti yang dijangka, kaklong juga ikut menangis tanpa dapat dikawal lagi walaupun puas saya cuba menyabarkannya. Adik saya pula tiba-tiba rebah tak sedarkan diri Dengan adik yang tak sedarkan diri, anak remaja yang teresak-esak dan anak kecil yang ikut menangis kerana ketakutan melihat suasana kecoh itu, saya rasa panik seketika. Sambil memangku adik dan memeluk anak-anak, saya telefon kakak saya.

Apabila terdengar sahaja suara kakak di hujung talian, dalam esakan saya terus memberitahu dia bahawa abah sudah meninggal dan minta dia datang ke rumah saya secepat mungkin kerana adik pula tak sedarkan diri. Dalam keadaan begitu, lupa semua nasihat mengenai pendekatan psikologi dalam menyampaikan perkhabaran buruk supaya orang yang menerimanya tidak terperanjat. Mujurlah kakak tidak ada sakit jantung atau darah tinggi!

Tentulah kakak terperanjat besar. Dia ketika itu sedang berkemas dan bersiap-siap untuk ke rumah saya mengikut perancangan kami. Tiba-tiba pula mendapat berita yang cukup tidak disangka-sangka!

Tanggal 8 April 2000. Tarikh yang dirancang untuk abah pulang. Memang benar abah pulang pada tarikh itu. Tetapi bukan pulang ke pangkuan keluarga, tetapi pulang kepada al-Khaliq. Pulang kepada Penciptanya. Manusia merancang, Allah merancang. Tetapi perancangan Allah lah yang terbaik dan pasti berlaku.

Sementara menunggu kakak sampai, saya cuba menyedarkan adik dengan merenjiskan air ke mukanya dan membacakan ayat-ayat suci ke telinganya. Sambil itu, saya bisikkan juga supaya dia bersabar dan reda dengan qada dan qadar Allah. Di sisi saya, anak-anak menangis tetapi saya biarkan dulu. Ketika itu, adik lebih penting. Syukurlah tak lama selepas itu adik sedar kembali dan terus terbaring lemah.

Kakak dan keluarganya sampai kira-kira sejam selepas itu. Bersama-sama kami cuba memujuk adik dan kaklong supaya banyak bersabar dan sentiasa ingat Allah. Selepas itu kami ajak mereka mengambil wuduk dan membaca surah Yasin. Ketika itu, memang tak teringat langsung untuk menghubungi sesiapa yang lain. Lagipun, saya memang jenis tak ramai saudara mara. Abah anak tunggal dan adik beradik emak juga kebanyakannya sudah meninggal dunia (jenis tak panjang umur).

Tak lama selepas itu, pak aji telefon lagi. Suaranya masih tenang. Dia mahu kepastian sama ada saya dan kakak mahu jenazah abah dibawa pulang ke Malaysia atau mahu dikebumikan di Arab Saudi sahaja. Adik dan kaklong berkeras mahu jenazah abah dibawa balik tetapi kakak dan saya sendiri fikir lebih baiklah jenazah abah disimpan di tanah tempat dia menghembuskan nafasnya yang terakhir – Arab Saudi. Itu lebih baik baginya dan bagi semua orang dan mungkin itu jugalah perjanjiannya dengan Allah. Pak aji setuju dan katanya, memang sejak awal dia berfikir begitu. Malah, itu jugalah nasihat dan pandangan beberapa orang lain yang ada bersama membantu pak aji menguruskan jenazah abah ketika itu.

Pak aji sebenarnya diberikan pilihan sama ada hendak mengebumikan jenazah abah di Jeddah atau di Makkah. Selepas berbincang dengan mereka yang arif, pak aji pilih untuk mengebumikan abah di Jeddah sahaja kerana dua sebab. Pertama, untuk menyegerakan pengebumian supaya tidak menyeksa mayat. Abah sudah meninggal beberapa jam dan jenazahnya masih belum dapat diuruskan kerana beberapa urusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan Kedutaan Malaysia yang perlu diselesaikan. Perjalanan ke Makkah dari Jeddah pula mengambil masa kira-kira sejam dan ini akan melambatkan lagi urusan pengebumian. Sebab kedua, pasport pak aji dan ustaz M (juru bimbing daripada syarikat yang mengendalikan pakej haji itu) sudah pun dicop keluar oleh pihak Imigresen. Untuk masuk semula ke Makkah dan keluar semula nanti tentulah panjang ceritanya.

Saya dan kakak terpaksa memujuk adik yang tak berhenti-henti menangis dan sebentar-sebentar sesak nafas serta kaklong yang terus mendesak supaya jenazah datuknya dibawa balik. Kata saya, redalah dengan pemergian abah kerana abah pergi dengan cara yang cukup baik. Redakan juga abah dikebumikan di bumi Arab Saudi kerana mungkin memang itulah perjanjiannya.

Mungkin sebab itu, sebelum ini abah cukup liat bila disuruh menunaikan haji walaupun tiada masalah baginya untuk mengerjakan umrah. Rupa-rupanya, langkahnya keluar rumah untuk menunaikan perkara kelima dalam Rukun Islam itu adalah langkah terakhirnya dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang Islam di dunia yang fana ini dan dia tidak akan kembali lagi selepas itu. Dan sudah ditentukan bahawa bumi Arab Saudi adalah rumah terakhir bagi jasadnya.

Pak aji juga berpesan bahawa malam itu beberapa orang dari syarikat pakej haji yang mereka sertai itu akan datang ke rumah untuk menghantarkan beg abah dan beg pak aji. Beg-beg itu sudah pun di masukkan ke dalam pesawat sebelum abah tiba-tiba sakit. Pak aji yang berada di Jeddah ketika itu hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja kecuali sebuah beg kecil berisi sejadah, kain pelekat, al-Quran dan buku.

Sepanjang hari itu rasanya tiada siapa yang makan walau sebiji nasi kecuali anak kecil saya. Itulah kali kedua dalam hidup ini saya rasa begitu sunyi dan kosong. Kali pertama ialah ketika kehilangan emak kira-kira 13 tahun sebelum itu. Matahari tetap bersinar dan perjalanan waktu tetap berputar. Tetapi hati terasa begitu kosong dan kehidupan terasa seolah-olah hilang maknanya.

Kami tidak berbual, masing-masing dengan fikirannya sendiri-sendiri. Dengan al-Quran atau surah Yasin di tangan, masing-masing mencari sudut sendiri-sendiri. Ruang rumah dipenuhi bacaan ayat suci yang sesekali dipecahkan oleh esakan yang tak dapat ditahan-tahan. Menjelang lewat petang barulah kami teringat untuk menghubungi saudara mara.

Malam itu, selepas Maghrib, beberapa orang daripada syarikat pakej haji yang disertai oleh abah dan pak aji, datang menghantarkan beg-beg abah dan pak aji. Mereka selamat sampai ke tanah air pada jam 2 petang seperti yang dijadualkan dan beg-beg abah dan pak aji mereka ambil dan bawa pulang bersama. Mereka mengucapkan takziah sambil bercerita betapa abah sihat dan ceria sepanjang di tanah suci. Malah, abah rajin bergurau dan mengusik salah seorang daripada mereka yang berkongsi bilik dengan abah dan pak aji serta sesekali mengajaknya pergi menemani abah menyusur kedai-kedai di sekitar masjid.

Tak dapat saya bayangkan perasaan hiba melihat beg-beg abah. Begnya pulang, tuannya tidak akan kembali lagi. Bila dibuka, nampak ada bermacam-macam barang yang abah beli. Ada beberapa helai jubah lelaki yang masih berbungkus rapi dalam plastik, ada tasbih, beberapa helai sejadah, bungkusan inai dan beberapa barang lagi. Mungkin barang-barang itu hendak abah hadiahkan kepada kawan-kawan masjidnya atau mungkin dipesan oleh seseorang. Sebahagian barang-barang itu kemudiannya kami sedekahkan.

Paling menyedihkan, terselit sama sehelai jubah wanita berwarna hijau pudar yang bersulam di dada dan di lengan. Rupa-rupanya, abah usahakan juga membelikan jubah yang dipesan oleh adik walaupun abah memang tak pandai membeli pakaian wanita. Adik rebah tak sedarkan diri lagi apabila melihat jubah itu. Jenuh juga kami hendak menyedarkan dan menenangkannya. Jubah itu agak besar bagi adik tetapi adik membiarkannya dalam keadaan asal dan tidak mengubahsuainya. Sehingga kini adik menyimpan jubah itu dengan rapi dan hanya dipakai istimewa untuk ke masjid bagi mengerjakan solat tarawih sahaja.

Mujurlah kaklong nampaknya lebih kuat semangat berbanding adik. Dia hanya menangis sambil memeluk dan mencium sehelai baju panas abah yang ada dalam beg itu.

Bersambung.....

3 comments:

Kak Teh said...

Al Fatihah utk abah mak aji. Sungguh sedih membaca catatan mak aji, tapi dah ditakdirkan begitu baginya.

Sri Diah said...

Al Fatihah utk abah dan emak Mak Aji. Sudah tersurat di situlah terminal terakhir arwah, saya sedih membaca catatan ini. Sedih... tak dapat bayangkan bagaimana pula nanti saya akan menghadapi keadaan ini apabila tiba waktunya nanti. Apakah saya sekuat dan setabah Mak Aji...

Salam Ramadan daripada saya.

mak aji said...

kak teh: Ya, begitulah sudah ditakdirkan. Kita hanya manusia kerdil yang wajib menerimanya dengan reda.

Sri: Salam Ramadhan juga buat Sri. jenguklah emak ayah selalu sementara mereka masih ada.