Malam itu pak aji telefon lagi. Kalau dua kali sebelum itu suaranya tenang, kali ini dia menangis. Susah sebenarnya nak tengok pak aji menangis. Ketika ayah dan emaknya sendiri meninggal dahulu (sakit tua) tidak setitik pun air matanya tumpah. Begitu juga ketika emak saya meninggal.
Kali ini, pak aji menelefon untuk memberitahu bahawa jenazah abah sudah selamat disempurnakan. Abah dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Jeddah selepas dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan di salah sebuah masjid. Ramai yang menyelenggarakan jenazah abah (sebahagian mereka memang mengambil upah menyelenggarakan jenazah) dan mereka bekerja begitu cepat dan cekap sehingga tiada ruang untuk pak aji mencelah sama. Masjid juga penuh ketika solat jenazah kerana memang begitulah budaya orang Arab dalam memuliakan jenazah.
Begitu ramai yang mengusung jenazah ke tanah perkuburan dan langkah mereka begitu pantas sehinggakan pak aji tak dapat mencari ruang untuk ikut memikul jenazah abah. Cuma ketika jenazah hendak dimasukkan ke liang lahad barulah mereka menjerit, “Waris! Waris!”, memanggil waris si mati untuk memberi keizinan dan ikut sama dalam pengebumian. Dapatlah pak aji ikut sama mengebumikan abah.
Setelah selesai segala-galanya, pak aji dan Ustaz M pergilah mencari sebuah hotel untuk mandi dan berehat. Sebelum itu mereka terpaksa pergi membeli pakaian kerana kedua-duanya tinggal sehelai sepinggang sahaja. Seperkara lagi ialah mendapatkan penerbangan pulang ke Malaysia. Oleh kerana ketika itu musim haji sudah berakhir dan semua jemaah warga asing sedang berangkat meninggalkan Arab Saudi, sukar bagi mereka hendak mendapat penerbangan pulang. Penerbangan terdekat yang mereka dapat ialah tiga hari kemudian.
Pak aji berpesan juga supaya tunggu dia pulang dahulu kalau mahu mengadakan kenduri tahlil di rumah. Buat masa itu, dia meminta saya berjumpa imam di surau untuk meminta diadakan tahlil di surau sahaja. Saya tahu, pak aji tak mahu saya dan yang lain-lain rasa lebih tertekan untuk menguruskan kenduri pula dalam keadaan begitu. Lagipun, tahlil atau kenduri arwah bukanlah suatu tuntutan dalam Islam.
Esoknya saudara mara dan rakan-rakan berkunjung ke rumah untuk mengucapkan takziah dan bertanya khabar. Kakak sulung pak aji datang dari pantai timur dan tinggal di rumah kami selama seminggu.
Tiga hari kemudian, saya bersama adik dan kaklong ke KLIA untuk menjemput pak aji manakala kakak saya dan yang lain-lain menunggu di rumah. Suasana menyambut kepulangan pak aji dari tanah suci begitu berbeza berbanding yang sudah-sudah. Kalau dulu, kepulangannya disambut dengan rasa seronok dan senyum lebar, kali ini kepulangannya disambut dengan air mata. Hanya Allah yang tahu bagaimana rasanya melihat pak aji yang jelas kelihatan letih, keluar seorang diri daripada balai ketibaan sedangkan seperti baru semalam melihat dia berangkat berdua dengan abah ke tanah suci. Pergi berdua, pulang seorang!
Kaklong terus menerkam memeluk ayahnya dan menangis teresak-esak. Saya nampak, sekumpulan pemuda berhampiran ketawa dan mengejek-ejek kaklong dengan menangis olok-olok. Ingin sekali saya pergi kepada mereka dan memberitahu mereka bahawa anak saya itu bukan sengaja “berdrama” tetapi dia baru sahaja kehilangan seseorang yang amat dikasihi tanpa dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Tetapi, bila difikirkan kembali, apalah gunanya. Biarlah itu menjadi pengajaran kepada saya sendiri bahawa kita jangan mudah membuat andaian apabila melihat sesuatu yang tersurat kalau kita tidak tahu apa sebenarnya yang tersirat.
Setelah pak aji pulang, barulah saya dapat mendengar cerita tentang saat-saat kematian abah. Menurut pak aji, abah memang sihat sepanjang berada di tanah suci, cuma batuk sedikit dan demam selama dua hari. Lepas itu abah cergas kembali. Sehinggalah mereka tiba di Terminal Haji di lapangan terbang di Jeddah untuk penerbangan pulang, abah masih sihat dan ceria. Ketika menunggu waktu berangkat, abah masih sempat bersolat dan makan roti Arab (macam roti nan). Sempat juga abah berkongsi rotinya dengan seorang peminta sedekah yang datang meminta makan daripada abah.
Tidak berapa lama sebelum waktu berangkat, abah tiba-tiba sesak nafas. Pasukan perubatan lapangan terbang dipanggil untuk memeriksa abah tetapi mereka belum juga sampai ketika panggilan terakhir memanggil semua penumpang menaiki pesawat. Seorang doktor dalam kumpulan jemaah abah dan pak aji sempat memberikan pertolongan cemas kepada abah.
Kemudian, petugas lapangan terbang membawa kerusi roda untuk abah dan membawa abah untuk dinaikkan ke dalam pesawat menggunakan sejenis alat (crane?). Tetapi, belum sempat kerusi roda abah mencecah pintu pesawat, datang arahan daripada pasukan perubatan supaya abah dibawa semula ke bangunan terminal untuk diperiksa dahulu sebelum boleh dibenarkan terbang. Mereka bimbang abah tidak cukup sihat untuk terbang dan memerlukan rawatan di hospital.
Memang sudah tertulis yang abah tidak akan meninggalkan bumi Arab Saudi buat selama-lamanya.
Abah dibawa semula ke dalam bangunan terminal dan disorong ke dalam sebuah bilik sementara menanti pasukan perubatan tiba. Pak aji yang memang tidak berenggang dengan abah sejak tadi, ikut sama. Hanya mereka berdua di dalam bilik itu. Abah semakin lemah dan memang jelas dalam keadaan nazak. Pak aji tak henti-henti membisikkan kalimah syahadah ke telinga abah. Bibir abah bergerak-gerak dan dadanya turun naik.
Tiba-tiba, tanpa disuruh atau diajar, perlahan-lahan abah mengangkat takbir, “Allahu akbar!”. Kemudian, kedua-dua tangannya yang mengangkat takbir itu perlahan-lahan dikiamkannya sendiri ke dadanya seperti kiam dalam solat.
Selepas itu abah pergi dengan wajah yang cukup tenang.
Beberapa minit selepas itu barulah pasukan perubatan tiba dan mengesahkan kematian abah. Ketua pakej haji yang ketika itu sudah pun berada dalam pesawat bersama-sama ahli rombongan dan penumpang lain diberitahu mengenai peristiwa itu. Dia kemudian meminta Ustaz M supaya tinggal menemani pak aji kerana Ustaz M fasih berbahasa Arab dan ini boleh membantu memudahkan urusan. Tidak ramai ahli rombongan yang mengetahui kejadian itu dan mereka cukup terkejut apabila diberitahu ketika tiba di KLIA. Mereka terkejut kerana abah memang nampak sihat sebelum ini.
Pak aji menangis ketika bercerita. Katanya, tidak pernah dia menyaksikan sebuah kematian yang, padanya, cukup “indah”. Dia menangis memikirkan bahawa apakah kematiannya nanti juga akan “seindah” itu.
Kini, manusia yang kami panggil abah itu sudah tidak ada di dunia, sudah hilang dari mata. Tetapi dia tetap hidup subur dalam ingatan dan kenangan kami. Saya sekeluarga memang cukup reda dengan pemergiannya. Apa lagi kerana pada mata kasar kita manusia yang jahil ini, nampak bahawa abah dijemput Allah dengan cara yang begitu baik sekali. Cuma sebagai insan yang jahil dan lemah, hati ini tetap rasa sedih memikirkan kami tak dapat menatap wajah abah buat kali terakhir, tak dapat sama-sama menyelenggarakan jenazahnya dan tak dapat selalu menziarahi pusaranya. Sedih juga mengenangkan bahawa orang asing yang tidak pernah kami kenali yang menyelenggarakan jenazah abah sedangkan kami anak darah dagingnya sendiri tidak berpeluang.
Kini jasad abah terbaring seorang di bumi asing, jauh daripada kami. Amat berbeza dengan kehilangan emak setelah menderita diserang barah dahulu. Berbulan-bulan emak terlantar sakit dan kami sempat bergilir-gilir menjaganya. Jenazahnya pun dapat kami sama-sama selenggarakan. Pusaranya mudah kami kunjungi.
Paling tak dapat saya lupakan ialah bagaimana kami semua risau dan selalu mendesak supaya abah pergi menunaikan haji segera dan abah selalu menjawab, “belum masanya!”.
Rupa-rupanya memang benar “belum masanya” lagi kerana langkahnya keluar rumah untuk mengerjakan haji merupakan langkah pertama ke arah satu perjalanan yang jauh dan panjang – langkah peralihan daripada dunia yang sementara ke dunia yang kekal. Langkah yang hanya berlaku apabila tiba masanya - sesaat pun tidak boleh dilambatkan dan sedetik pun tidak boleh dipercepatkan.
Tetapi, bila dikenang-kenang, sebenarnya secara tidak disedari abah pernah “memberitahu” kami sebelum itu bahawa umurnya tidak akan panjang. Beberapa bulan sebelum ke tanah suci, abah selalu berkata pada kami yang dia rasa dia akan mati tak lama lagi sebab dia selalu bermimpi Allahyarham emak kami datang dalam mimpinya. Tetapi, kami selalunya beritahu abah supaya jangan cakap yang “bukan-bukan” seperti itu. Kami tak begitu ambil berat pun kata-kata abah itu dan hanya anggap abah bergurau. Mimpi hanyalah mainan tidur, begitu kata orang.
Kalaulah kami tahu.....!
Selepas pemergian abah, kami terpaksa pula berhadapan dengan masalah hendak memulihkan semangat adik dan kaklong yang seolah-olah hilang bersama kehilangan abah. Ambil masa juga sebelum mereka benar-benar kuat semangat menghadapi kehilangan yang mengejut itu lebih-lebih lagi adik saya.
Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kaklong nampaknya lebih tenang berbanding adik. Mungkin kerana dua malam berturut-turut selepas pemergian abah, dia bermimpi berjumpa abah yang datang menemuinya berpakaian jubah dan serban serba putih. Abah tidak bercakap, hanya berdiri di hujung katilnya dan tersenyum memandang kaklong. Itu pun tidak lama. Memang ada bermacam-macam tafsiran orang tentang mimpi berjumpa orang yang sudah meninggal dunia. Tetapi bagi saya, kalau itu boleh menjadi pengubat rindu dan penenang jiwa kaklong, saya amat bersyukur.
Ramadhan tahun yang sama, saya bersama pak aji, kaklong dan adik saya berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan umrah. Saya sedang mengandungkan abang tiga bulan ketika itu. Kakngah kami tinggalkan dengan kakak saya. Selain mengerjakan umrah dan beraya di sana, kami berniat untuk menziarahi pusara abah di Jeddah, seolah-olah menziarahinya pada hari raya. Sekurang-kurangnya dapatlah meredakan rasa rindu yang membara padanya.
Bagaimanapun, kami yang perempuan hanya dapat melihat tanah perkuburan itu dari pondok di pintu masuk sahaja. Penjaga kubur cukup ketat peraturannya, tidak membenarkan kaum wanita menziarahi perkuburan. Hanya pak aji sahaja yang dibenarkan masuk hingga ke pusara abah.
Amat terkilan rasa hati dengan peraturan orang Arab yang lebih mengikut budaya daripada agama. Pada awalnya memang Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan wanita ke perkuburan kerana budaya orang Arab yang suka meratap tangis sampai mengoyak-ngoyakkan pakaian apabila ada kematian. Tetapi kemudian, Rasulullah telah melonggarkan larangannya itu dan memberi kebenaran kepada wanita menziarahi perkuburan. Malangnya, peraturan manusia biasa kini lebih dipatuhi daripada peraturan nabi.
Kerana dilarang, berdiri sahajalah kami dalam kawasan pondok itu sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran dan memandang dari jauh. Itu pun pusara abah tak kelihatan pada kami kerana terletak nun jauh ke dalam. Hibanya hati ketika itu hanya Allah yang tahu. Sudahlah tak dapat menatap wajah abah buat kali terakhir dan juga tidak berpeluang menguruskan jenazahnya. Tanah kuburnya pun tak dapat kami lihat, apa lagi sentuh.
“Tak apalah. Banyakkan berdoa dan sedekahkan bacaan Quran. Itu lebih afdal. Tak semestinya kena buat semua itu dekat kuburnya sahaja. Di mana-mana pun kita boleh buat.” Pak aji memujuk untuk meredakan kekecewaan kami ketika itu.
Begitulah. Yang pergi tetap pergi, kita yang hidup ini memang tetap akan menyusul bila tiba masa dan ketikanya. Cuma bila tarikh kita pula menerima “jemputan” itu, dan cara bagaimana kita “dijemput”, tak dapatlah hendak kita ramalkan. Cuma, yang dapat kita lakukan ialah menggiatkan usaha mencari bekalan untuk satu perjalanan yang panjang itu nanti.
Semoga roh abah, dan juga emak, dan seluruh kaum Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat, dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan mereka yang beriman dan beramal soleh. Amin.
Al-Fatihah.
Takziah saya ucapkan kepada ahli bait lapan jemaah umrah yang dilaporkan meninggal dunia di tanah suci baru-baru ini dalam perjalanan untuk bermiqat di Tanaim. Semoga ahli keluarga yang ditinggalkan reda dan banyakkan bersabar menerima ketentuan Allah ini. Memetik kata-kata seorang ustaz dalam satu tazkirah yang saya ikuti baru-baru ini, janganlah terlalu bersedih apabila kehilangan orang yang dikasihi kerana semua kita sebenarnya sedang meniti perjalanan menuju ke arah yang sama. Cuma giliran mereka tiba dahulu daripada kita.
Friday, October 06, 2006
Abah 5
Posted by mak aji at 10:40 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment