Tuesday, October 03, 2006

Abah 1

Pernah saya tulis dahulu, cara pemergian pengacara/pelakon Allahyarham Hani Mohsin dijemput menghadap Ilahi di lapangan terbang cukup menyentuh perasaan saya kerana mengingatkan saya kepada pemergian seseorang yang amat saya kasihi, juga di lapangan terbang, enam tahun lalu. Orang itu ialah ayah saya sendiri yang kami anak-anaknya panggil Abah.

Cuma bezanya, Allahyarham Hani Mohsin meninggal dunia di tanah air sendiri, dihadapi oleh anak tunggalnya, sedangkan Allahyarham abah menghembuskan nafas terakhir nun di tanah asing, di bumi Arab Saudi, tanpa anak kandung di sisi. Teringat saya pada tulisan seorang wartawan yang menyifatkan terminal LCCT sebagai terminal terakhir bagi Allahyarham Hani Mohsin di dunia. Bagi abah saya pula, “terminal terakhirnya” ialah Terminal Haji di Jeddah.

Cerita ini sebenarnya pernah saya tulis dahulu dalam satu e-group yang saya menjadi ahli. Mungkin ada yang pernah membacanya. Tapi, saya mahu merakamkannya kembali di sini kerana ini blog saya, dengan harapan suatu hari nanti anak-anak saya akan membaca blog ini dan tak perlulah lagi saya bercerita panjang mengenai kisah pemergian datuk mereka.

Di bawah ini saya “potong dan tampal” artikel yang pernah saya tulis dahulu dengan beberapa penyesuaian. Kerana tulisan ini agak panjang, terpaksalah dibahagikan kepada beberapa bahagian.

********************************************************************

Ketika menerima surat tawaran mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) untuk musim haji 1422H/2002M, saya rasa seronok dan bersyukur kerana akhirnya sampai juga giliran saya menyempurnakan perkara terakhir dalam Rukun Islam yang lima. Namun, jauh di sudut hati, tak dapat dihindarkan rasa sedih dan sebak. Sedih kerana, bersama-sama surat tawaran untuk saya suami isteri, dihantar sama satu surat tawaran untuk seseorang yang pada ketika itu sudah tiada di muka bumi ini, sudah pun pergi menyahut panggilan Ilahi dua tahun sebelumnya. Orang itu ialah bapa saya yang kami panggil abah.

Imbas kembali, kami mendaftar untuk mengerjakan haji lebih kurang empat tahun sebelum itu. Nama abah turut didaftarkan sama. Ketika itu usianya 68 tahun. Tetapi bila diberitahu oleh pegawai TH di kaunter bahawa giliran kami mungkin lima tahun lagi, kami pun mula membuat congakan. Kalau lima tahun lagi, usia abah sudah mencapai 73 tahun. Kami bimbang kesihatannya terganggu dan tak larat menyempurnakan ibadah hajinya. Satu lagi kebimbangan (yang masing-masing tak berani nak suarakan) ialah, takut umur abah tak sampai ke tahap itu.

Maka bermesyuaratlah kami adik beradik. Keputusannya, kami sepakat memujuk abah untuk pergi menunaikan haji pada musim haji yang terdekat melalui pakej swasta (bukan melalui kuota TH). Suami saya (pak aji) akan pergi bersama.

Sebenarnya, sejak abah pencen pada pertengahan tahun 80-an, kami selalu mencadangkan kepadanya supaya pergi menunaikan haji. Ketika itu nak pergi haji lebih mudah, tak perlu tunggu lama-lama. Tahun itu nak pergi, tahun itu juga boleh mendaftar. Tetapi dia selalu memberi alasan “nanti dulu”, “belum masanya” atau “cucu aku tinggal tak ada siapa nak jaga”.

Kami naik risau juga memikirkan mengapa berat sangat abah hendak mengerjakan haji? (walaupun pernah mengerjakan umrah). Kadang-kadang timbul juga fikiran yang bukan-bukan. Apakah abah ada apa-apa amalan yang menyebabkan tertutup hatinya untuk mengerjakan haji? Manalah kami dapat meneka apa yang sudah tersurat dan sudah dijanjikan Allah untuk setiap hambaNya!

Abah seorang yang amat “simple” dan tidak banyak cakap sejak muda lagi. Lebih banyak mendengar dan tersenyum saja daripada menyampuk perbualan orang. Dia memang tidak suka mengumpat atau mengata orang, tidak pernah menganiaya atau menyakiti orang. Sukakan kanak-kanak dan rajin melayani anak-anak jiran hingga mereka selalu datang ke rumah mencari “atuk” untuk “berbual” atau menonton TV dan berkongsi minum nescafe dan makan biskut dengan abah.

Kami anak-anaknya sendiri memang manja dengannya ketika kecil kerana dia jarang meninggikan suara atau menjentik kami. Malah, bila emak memukul kami kerana nakal atau pelajaran merosot (sayalah terutamanya!), abah yang selalu jadi pelindung. Cuma, apabila kami meningkat remaja dan dewasa, mungkin kerana kami perempuan dan abah pula jenis pendiam, kami lebih banyak bercerita mengenai segala macam hal dengan emak. Hanya setelah emak meninggal dua tahun selepas abah pencen, barulah abah lebih pandai berbual dengan anak-anaknya. Itu pun, abah bukan jenis suka bercerita macam emak. Dia lebih banyak mendengar daripada bercerita.

Abah jenis tidak suka berhutang dan sanggup tinggal di rumah sewa sehingga akhir hayatnya. Dia tidak mahu berpindah ke rumah yang saya suami isteri belikan untuknya kerana rumah itu agak jauh dari masjid. Rumah sewanya terletak di hadapan masjid. Sejak pencen, jarang sekali dia meninggalkan solat jemaah lima waktu di masjid walaupun kurang sihat atau hari hujan. Pernah kami marahkan dia kerana ke masjid juga selepas keluar hospital kerana pembedahan membuang selaput mata, sebab kami takut dia kurang awas melintas jalan yang agak sibuk terutama dengan motosikal yang laju-laju belaka. Tapi dia buat tak dengar saja.

Abah tinggal dengan anak bongsunya (adik saya) dan enggan duduk dengan kakak ataupun saya sendiri walaupun puas dipujuk kerana katanya, “Biar banyak rumah, jangan banyak serumah”. Mujurlah kami semua tinggal di Lembah Klang, tidaklah terlalu jauh untuk mengunjunginya selalu.

Setelah dipujuk, akhirnya abah setuju untuk mengerjakan haji pada musim haji tahun 1999 lalu dia dan pak aji pun mendaftarlah dengan sebuah syarikat agensi pelancongan yang menguruskan pakej haji (bukan melalui kuota TH). Tapi, sebelum bayaran dijelaskan, abah tiba-tiba menukar fikiran. Dia enggan pergi walaupun puas dipujuk. Alasannya, “cucu aku tinggal” (anak sulung saya, kaklong, adalah cucu kesayangannya kerana dia juga merupakan cucu sulung. Sejak kecil dia memang selalu di rumah abah dan mereka jarang berenggang).

Bila didesak lagi, abah memberikan pula alasan, “tak yakin dengan ejen swasta, takut kena tipu kalau tak pergi dengan Tabung Haji”. Kami rasa cukup gusar memikirkan abah yang masih belum terbuka hati untuk mengerjakan haji. Tetapi kata pak aji, “Jangan paksa kalau abah tak mahu pergi”.

Bagaimanapun, pak aji tetap meneruskan hajatnya mengerjakan haji tahun itu bersendirian walaupun tanpa abah. “Semua syarat dah lengkap, tak ada sebab patut ditangguhkan,” katanya. Saya sendiri tak dapat ikut sama kerana hamilkan kakngah.

Selepas pak aji pulang dari tanah suci, abah tiba-tiba kata dia mahu pergi haji tahun berikutnya. Kami rasa cukup bersyukur tetapi masih bimbang. Takut dia menukar fikiran di saat-saat akhir macam tahun lepas. Tapi kali ini abah nampak bersungguh-sungguh mahu pergi.

Hanya sekali dia pernah bertanya pada saya, “Kalau abah ke Makkah nanti, kaklong macam mana?” Lalu saya menjawab, “Abah! abah pergi sajalah ke Makkah. Fasal kaklong tu tak usah difikirkan. Saya kan ada. Cucu abah tu semua tanggungjawab saya!” Sekali itu sahajalah abah membuka mulut fasal cucunya, selepas itu dia tidak lagi menimbulkan soal itu macam dahulu. Saya rasa cukup lega!

Kami tiga beradik - saya, kakak dan adik - berkongsi mengeluarkan perbelanjaan abah ke Makkah dengan pakej swasta yang sama. Cepat-cepat kami membuat bayaran yang diminta supaya urusan visa, penerbangan, penginapan dan sebagainya dapat diuruskan segera. Kami rasa cukup lega dan hanya membilang hari untuk abah berangkat ke Makkah. Abah pun nampaknya bersungguh-sungguh membuat persiapannya sendiri dengan menghadiri kursus haji di masjid dekat rumahnya dan membaca buku-buku panduan mengerjakan haji.

Bersambung.....

4 comments:

Bergen said...

We won't the place we are going down. Maybe it's better that way.

aNIe said...

Mak aji....menceritakan kisah perginya seseorang yang kita sayangi...pasti mengundang sebak....begitu juga dengan ibu kak lady...bila saja orang menulis tentang ibu mereka...kak lady jadi sedih...kerana ibu kak lady telah pergi mengadap Illahi 13 tahun yang lepas dlm satu kemalangan

Kak Teh said...

mak aji - saya kan kembali baca hingga habis - sebab nak pi kerja dah!

mak aji said...

Bergen: I agree. It's better that way.

kak lady: tentu pemergian ibu kak lady lebih tragis berbanding ibu saya. Apa pun, sama-samalah kita doakan mereka ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Amin.

kak teh: terima kasih kerana sudi membaca.