Monday, October 16, 2006

Raya di mana?

“Raya nanti balik mana?”
“Raya tak balik kampung ke?”
“Raya nanti balik kampung husband ke kampung sendiri?”

Sigh!

Dah tibalah masa untuk menghadapi pertanyaan yang sama setiap tahun. Nasib baiklah pertanyaan bermusim. Kalau tiap-tiap hari, memang tak larat nak menjawabnya sebab satu jawapan akan mencetuskan pertanyaan yang lain pula. Nak jawab, kena pula buka salasilah keluarga! Yang buat lagi malas nak jawab ialah bila soalan diajukan oleh orang yang sama setiap tahun.

Tapi, orang bertanya takkan tak jawab kan? Biasanya saya akan senyum dan jawab, “Saya beraya di rumah saja. Tak ada kampung.”

Jawapan ini pasti akan mencetuskan soalan seterusnya. “Tak ada kampung? Macam mana pula tu? You asal orang mana? Habis tu husband you pun tak ada kampung?”

Panjang lebarlah pula lepas tu saya nak kena jelaskan kenapa saya tak ada kampung.

Mungkin nanti saya akan buat macam seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Heathrow masa saya dan beberapa orang kawan setugas ke London beberapa tahun dulu (sebenarnya singgah bercuti di London setelah ke Kuwait untuk membuat liputan suasana Kuwait selepas Perang Teluk). Tengah beratur untuk mengecop pasport, saya perasan pegawai imigresen depan kami sebiji macam muka John Major, Perdana Menteri Britain ketika itu. Lalu saya cuit kawan di hadapan saya untuk memberitahunya apa yang saya nampak.

Sampai giliran kawan saya menyerahkan pasportnya kepada pegawai itu, dia cuba-cubalah nak beramah tamah, “You look like your Prime Minister.”

Nak tahu apa pegawai itu buat? Dia langsung tak mengangkat muka tapi mengeluarkan satu sepanduk kecil daripada bawah mejanya dan mengangkatnya tinggi-tinggi. Pada sepanduk itu tertulis, “I KNOW!”

Saya ingat, saya pun patut buat satu sepanduk macam tu. Atasnya saya tulis, “SAYA BERAYA DI RUMAH SAHAJA SEBAB TAK ADA SIAPA DI KAMPUNG. MAK BAPA SAYA DAN MAK BAPA MENTUA SEMUA DAH MENINGGAL”.

Bila orang tanya, saya angkat saja sepanduk itu. Taklah letih mulut nak menjawab.

Senang gitu kan?

Kalau nak sebut nama kampung asal emak (di Hulu Langat, Selangor) dan abah (di Rembau, Negeri Sembilan) sebagai kampung saya, memang boleh (ha...inilah dia anak Minang jati yang tak tahu bercakap bahasa Minang walau sepatah pun! Rugi...rugi!). Tapi apalah ertinya kampung yang sudah tiada sesiapa lagi di sana kecuali saudara jauh. Sudah pangkat “berpupu-pupu”, bukan sepupu atau dua pupu lagi! Tak mesra kerana tidak biasa bergaul sejak kecil. Orang tua-tua semuanya sudah tak ada, kebanyakannya jenis tak panjang umur. Begitulah keadaannya sama ada di sebelah emak mahupun di sebelah abah.

Sejak zaman budak-budak lagi saya sudah duduk di KL dan kini masih tinggal dalam lingkungan Lembah Klang juga. Adik beradik saya pun dua-duanya di sini. Kalau mereka duduk di kampung bolehlah juga saya balik kampung! Orang balik kampung kerana akarnya ada di sana. "Akar" saya tiada di kedua-dua kampung itu. Akar saya di sini. Di rumah sendiri.

Memang saya ditakdirkan miskin keluarga. Jenis tak “berkembang biak” dan tak berapa panjang umur (mudah-mudahan saya sekeluarga panjang umur, InsyaAllah. Amin!). Kadang-kadang saya teringin juga mempunyai keluarga besar macam orang lain. Ramai sampai boleh buat satu persatuan atau kelab, boleh buat satu perjumpaan besar-besaran macam yang pernah keluar ceritanya di akhbar atau majalah. Tapi, kata seorang kawan saya yang datang daripada keluarga besar, "Ramai saudara, banyaklah pula ragamnya. Kadang-kadang nampak elok on the surface sahaja. Di sebaliknya ada macam-macam cerita!" Pulak! Begitu ke?

Sama macam saya, pak aji pun “anak yatim piatu” (tapi, yatim piatu bila dah dewasalah!). Mak dan ayahnya juga sudah meninggal dunia selepas kami berkahwin. Kalau balik kampung, kami balik ke rumah kakak dan abang pak aji di Kuala Terengganu (KT). Seorang lagi kakaknya di Bangi. Kalau pak aji rajin dan dapat cuti panjang, dan kalau kakaknya yang di Bangi itu pulang beraya di KT, barulah pak aji akan mengajak kami beraya di sana untuk berkumpul dengan adik beradiknya. Barulah tahun itu saya boleh tersengih menjawab, "Saya balik beraya di KT tahun ini!"

Tapi, beraya di rumah kakak dan abang ipar tentulah berbeza dengan beraya di rumah orang tua sendiri atau di rumah mentua. Apa lagi kakak-kakak pak aji sudah bermenantu dan bercucu. Kalau beraya di KT, kakaknya yang di Bangi akan mengangkut semua anak, menantu dan cucu. Walaupun rumah kakak pak aji yang di KT itu besar, tapi tak selesa nak menampung semua orang. Abangnya pula ada 11 anak.

Sejak kakak-kakaknya bermenantu dan bercucu, kalau kami balik beraya di KT, kami sekeluarga menginap di hotellah jawabnya sebab rumah tak muat! Bukanlah sengaja berlagak tak nak tidur bersesak-sesak, tapi tak selesa tidur bergelimpangan beramai-ramai bercampur lelaki perempuan di ruang tamu atau mana saja ruang yang ada sebab tak cukup bilik - anak dara di sudut sana, anak bujang di sudut sini, yang berkelamin pula di sudut situ. Takut aurat tak terjaga.

Kalau tidak ke Terengganu, lepas solat raya biasanya kami akan ziarah kubur emak saya di Cheras dan kubur emak serta ayah pak aji di Kajang (lawat kubur pagi raya ni amalan orang Melayu, bukan ajaran Islam sebenarnya. Tapi, masa itulah yang betul-betul terluang untuk ambil kesempatan berziarah!). Lepas tu tengoklah. Kalau rajin, kami akan menziarahi saudara mara pak aji dan saya yang masih ada di Selangor. Kalau malas, atau kalau orang yang hendak diziarahi itu pun tiada di rumah, kami balik rumah dan....tidur! Hari raya kedua barulah merancang nak menziarahi rumah siapa kerana kebanyakan orang pun berjalan juga.

Sunyi sebenarnya beraya di kota. Jiran-jiran kebanyakannya balik kampung. Rumah tertutup rapat. Yang tinggal hanya jiran-jiran bukan Islam atau dua tiga kerat jiran yang sama-sama tak ada kampung macam kami juga. Kalau nak bertandang ke rumah jiran, tunggu mereka baliklah nanti. Itu pun, selalunya mereka balik bila kita dah mula bekerja dan anak-anak bersekolah semula. Rutin harian sudah bermula semula dan susahlah nak berjalan ke mana-mana. Agaknya di sinilah punca terciptanya beraya sampai sebulan Syawal sebab memang tak dapat nak saling berziarah kalau merayakan hari raya sehari sahaja.

Memang saya selalu mengimpikan suasana raya yang meriah dan ramai seperti di kampung. Atau sekurang-kurangnya suasana raya macam masa emak dan abah saya serta emak dan ayah pak aji masih ada. Masa itu kami hanya mengikut sahaja ke mana mereka hendak pergi. Jadi drebar dia orang. Banyak jugalah rumah saudara mara yang kami ziarahi. Tapi, bila orang tua dah tak ada, hubungan putus begitu saja. Salah sendiri juga sebenarnya sebab kurang mengambil berat. Masa tu pun muda lagi, tak begitu peduli fasal peri pentingnya menjalin silaturrahim.

Saya ada terbaca satu pantun jenaka fasal orang yang tak balik kampung beraya. Sayang saya dah lupa susunannya, kalau tidak boleh dituliskan di sini. Tapi kalau tak silap saya, kata pantun tu, masa raya nanti yang tinggal di bandar cuma penyamun dengan pencuri. Orang lain semuanya balik kampung. Mana pula! yang tinggal itulah baru benar-benar orang kota sebab dah sah tak ada kampung. Pencuri dengan penyamun pun balik beraya juga sebab mereka pun ada kampung! Ha...ha...jangan ada yang terasa pula ya, bergurau saja!

Namun ada juga seronoknya tak balik kampung beraya. Tidaklah terpaksa bergaduh atau “main osom” nak balik kampung siapa. Juga, tak payahlah bersesak-sesak berjam-jam di jalan raya dalam letih berpuasa dan tak payah menghadapi kemungkinan kena saman sebab langgar undang-undang jalan raya.

Tapi, bila kakngah dan abang sekarang ini mula bertanya, "Mak, kampung kita di mana? Kakak dengan abang nak balik raya rumah atuk!" Saya garu kepala nak jawab. Ini semua pengaruh kawan-kawanlah ni!

Selamat hari raya semua. Raya ni balik mana? ;-)

6 comments:

AuntyN said...

Samalah kita MakAji, AN pun tak balik balik kampung dan raya kat rumah sendiri saja. Bezanya AN tinggal di kampung makaji di bandaraya.

Selamat Hari Raya, maaf zahir bathin.

Kak Teh said...

nasib baik kami di sini tak ada soalan-saoalan begitu! Selamat hari rayadan maaf zahir dan batin, Mak Aji!

Sri Diah said...

Saya tak perlu `osom' sbb tiap tahun balik beraya di Alor Setar, kampung hubby.

mak aji said...

AN: Raya di kampung mesti meriah kan? Samalah juga, saya mohon maaf kalau ada komen yang pernah menyinggung perasaan. Selamat Hari Raya.

Kak Teh: Tak ada orang pernah tanya bila nak balik beraya di Malaysia ke? :-) Selamat Hari Raya KT (teringin juga nak beraya di London!)

Sri: Hati-hati di jalan raya. Selamat hari raya!

simah said...

Saya pun mcm mak aji..beraya di bandar sebab pak mentua kat bandar dan mak bapak serta keluarga tersayang nunnnnnnnnnnnnnnnn jauh di malaysia....

memang kekadang ada yg *berperang* utk decide balik kampung mana...

memang best kalau dapat berkumpul ramai ramai..tapi kalau dah tak ada kampung nak buat mcm mana la kan?

Salam aidilfitri utk mak aji dan keluarga..

maaf zahir dan batin

mak aji said...

Simah: Di mana-mana sama saja rupa-rupanya ya? Ingatkan di Malaysia saja orang "berperang" nak balik raya.
Nanti ceritalah bagaimana orang Turki menyambut raya. Saya seronok membaca pengalaman Simah di perantauan.
Selamat hari raya dan maaf zahir batin juga buat Simah sekeluarga.