Friday, October 13, 2006

Kaklong dan Ramadhan

Sepanjang bulan puasa ini kaklong tetap macam biasa, sibuk dengan studi dan tugasannya. Apa lagi lepas raya nanti dia akan menghadapi peperiksaan akhir semester. Jadi dia tak dapatlah nak balik hujung minggu ke rumah untuk berbuka dan bersahur dengan keluarga. Banyak tugasan diberi pensyarah dan nak disiapkan sebelum bercuti raya, kata kaklong.

Tahun lepas, peperiksaan akhir semester kaklong sebelum raya. Tengah berpuasa kaklong bergelut dengan periksa. Jadi, lepas raya dia relak habis. Kawan-kawannya di universiti-universiti lain pula bergelumang dengan peperiksaan. Kerja kaklong masa itu ialah menelefon dan menyakat kawan-kawannya yang tengah periksa. Berlagak sebab “seksa” dia dah lepas. Tahun ini dia pula merasa macam kawan-kawannya tu (talk about life is a circle!)

Hampir setiap hari saya telefon kaklong pada waktu bersahur dan berbuka untuk tanya dia makan apa. Ada kala dia yang telefon kami. Untuk berbuka, kaklong beli saja di kafetaria di kolej kediamannya dan makan di bilik atau berbuka beramai-ramai di kafetaria. Untuk sahur, dia dan kawan sebiliknya makan roti saja sebab malas nak turun ke kafetaria walaupun kafetaria dibuka sampai jam 4 pagi. Kadang-kadang mereka makan mi segera untuk sahur. Dua anak dara yang pemalas berkongsi bilik. Memang padanlah tu!

Kadang-kadang saya usik kaklong. Bila dia kata dia makan roti atau mi segera, saya kata yang saya tengah ratah ketam atau saya ada masak lauk yang dia suka. Kadang-kadang dia menjerit, “Nak balikkkkk!!!!”. Ada masa dia kata, “Tak jealous pun!”

Bila saya usik kaklong, pak aji selalunya berkerut keningnya, “Mengapalah you suka sakat anak tu!”

Sambil bertanya makan apa untuk berbuka, sebenarnya saya juga secara tak langsung nak ambil peluang untuk mengingatkan kaklong supaya jangan tinggalkan solat tarawih dan baca al-Quran. Anak-anak ni, walaupun dah besar panjang, perlu kerap dipantau juga. Tak boleh dibiarkan begitu saja. Apa lagi usianya masih dalam kategori remaja.

Kaklong dan kawan-kawannya bertarawih di surau di kolej kediamannya sahaja. Tak perlu ke Masjid UKM. Saya pun tak berapa suka kaklong memandu waktu malam.

Kata kaklong, di surau kolejnya hanya buat tarawih lapan rakaat dan tiga witir sahaja. “Orang kat sini tak buat 20 rakaat mak. Semua orang besok nak pergi kelas. Nanti letih!” kata kaklong. Tak kisahlah 20 ke lapan ke, janji buat! Ramadhan hanya setahun sekali. Tahun depan tak tentu lagi sama ada kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan ke tidak.

Macam tahun lepas, tahun ini kaklong dan kawan-kawannya juga ambil kesempatan bertadarus sepanjang Ramadhan. Bolehlah sama-sama semak bacaan masing-masing. Kalau baca seorang diri, kadang-kadang tajwid lintang pukang pun kita tak berapa perasan.

Saya bersyukur kerana kaklong kini tahu tanggungjawabnya sebagai seorang Muslimah tanpa payah disuruh atau dileteri kalau nak dibandingkan masa awal remaja dulu. Itulah perkara utama yang saya mahu daripada anak-anak – tahu tanggungjawab dan bertanggungjawab sebagai seorang Islam dan seorang insan. Tak sia-sia jugalah saya tak jemu-jemu mengingatkan dia selama ini.

Tapi, kadang-kadang kaklong merungut sebab saya asyik bertanya macam tak percayakan dia. Katanya, dia dah besar, sudah tahu tanggungjawabnya. Tak kan emak masih tak percayakan dia. Tapi saya beritahu dia bahawa memang jadi tugas ibu sentiasa mengingatkan anak tentang apa jua perkara termasuk soal-soal ibadah. Kalau dia dah tua nanti (dan emaknya ni masih panjang umur, InsyaAllah!), saya tetap akan bertanya dan mengingatkan dia.

Pak aji pula kalau boleh mahu kaklong balik ke rumah setiap hujung minggu untuk berbuka, bersahur dan bertarawih bersama-sama. Minggu lepas dia pergi jemput kaklong lepas tarawih malam minggu dan hantar kaklong balik lepas tarawih malam Isnin. Nasib baiklah kaklong hanya di UKM Bangi. Taklah berapa jauh untuk upacara jemput dan hantar macam tu. Kalau dibuatnya universiti kaklong di Pulau Pinang, Kedah, Johor, Sabah, Sarawak atau luar negara, lagilah tak ada peluang langsung nak balik ke rumah.

Dulu, waktu kaklong di Kolej Matrikulasi Johor di Tangkak sebelum ke UKM, masa bulan puasa selalu juga pak aji termenung menghadap nasi waktu berbuka atau bersahur sebab terkenangkan kaklong. Di kolej matrikulasi bukan macam di universiti boleh bebas keluar masuk sesuka hati. Nak balik mesti dapatkan kebenaran bertulis dengan alasan yang boleh diterima. Perjalanan pula ambil masa lebih kurang dua jam pergi dan dua jam balik. Memang sepanjang bulan puasa tahun itu kaklong tak balik. Maka, sepanjang bulan puasa itulah pak aji termenung masa berbuka dan bersahur.

Nak buat macam mana! Kenalah terima hakikat bahawa anak-anak umpama burung yang suatu hari nanti akan terbang meninggalkan sarangnya. Sekarang ini kaklong umpama burung muda yang tengah belajar mengirai sayap. Bila sayapnya sudah kuat dan stabil nanti, akan terbanglah burung muda itu menerokai alam luas. Tapi, tak usahlah terlalu bimbang. Kata peribahasa Melayu (klisenya mak aji ni!), “Setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya akan hinggap ke belakang kerbau jua.”

Saya tak tahu macam manalah ceritanya pak aji tu kalau anak-anaknya kahwin atau berpindah jauh nanti!

6 comments:

AuntyN said...

Kak Long AN pun baru saja habis periksa semalam 12/10. Awal Ramadhan dulu dia balik sekali, esok kami nak jemput dia. Dia dah siap tanya baba nak ambik dia ke atau dia kena naik bas. Siap bagi excuse tiket bas kena beli awal sbb raya dah nak dekat dan jugak beg banyak nak bawak balik. Mau lah kena drive 4 jam pergi dan 4 jam balik ni.

mak aji said...

AN, bila semua anak berkumpul di rumah, ada depan mata, seronok rasanya kan? Hilang penat drive jauh-jauh tu.

Sri Diah said...

Mak Aji; Jauh ya beza umur Kak Long dengan Angah (tanya je nih) ;-) Kita sediakan alam yang terbentang luas untuk anak-anak berlari, asalkan mereka tidak tersadung akar, tidak terjatuh dan terluka... insyaAllah.

Pak Tuo said...

Salam Mak Aji,

Baiknya emak hai!

mak aji said...

Sri: Umur kaklong dengan kakngah? 13 tahun jaraknya. tentang anak2=-anak, begitulah harapan kita. Tapi, akan ada masanya mereka pasti terjatuh dan terluka juga. Itu adat hidup. Harap-harap mereka bijak untuk bangun kembali dan mengubat luka itu sebaik-baiknya...

Pak tuo: Salam Ramadhan. Apa yang baiknya tu? kadang-kadang garang juga....

Anonymous said...

Ni baru further study dalam negeri ni. Camana nak gi oversea nih? Kalau oversea mau tak sahur kut parents aku ni huahuahuahua