Wednesday, October 04, 2006

Abah 2

Bulan Ramadhan menjelang tiba. Kami dikejutkan oleh permintaan abah untuk pergi menunaikan umrah pada bulan Ramadhan itu. Pening juga kami memikirkannya. Duit baru saja keluar untuk membayar kos haji, ini abah nak buat umrah pula!

Bermesyuaratlah lagi kami adik-beradik. Adik saya cadangkan supaya pujuk abah tak usah buat umrah kerana dia akan mengerjakan haji tak lama lagi. Tapi pak aji dan kakak saya tak setuju. Kata mereka, kita mesti berusaha menunaikan hajat abah kerana sebelum ini abah memang tak pernah meminta apa-apa daripada anak-anak, apa lagi soal-soal duit. Abah memang tak pernah menyusahkan anak-anak.

Maka, “mesyuarat” memutuskan supaya hajat abah mesti disampaikan. Sekali lagi kami kena korek saki-baki duit yang ada dan terpaksa meminta abah tambah sedikit daripada simpanannya sendiri. Dan sekali lagi pak aji dilantik untuk menjadi peneman abah. Kami sama sekali tak kan benarkan abah ke tanah suci sendirian pada usia begitu.

Maka pertengahan Ramadhan itu berangkatlah abah ke Makkah bersama pak aji. Cukup seronok nampaknya dia. Kami bergambar beria-ia di KLIA dengan abah. Suasana cukup meriah kerana dua orang kakak pak aji pun pergi sama dan keluarga mereka masing-masing turut menghantar di KLIA. Macam menghantar orang pergi haji pula rasanya. Di Makkah, abah dapat menyempurnakan umrah beberapa kali walaupun diserang batuk dan demam sedikit. Sebelum hari raya Aidilfitri, abah dan pak aji kembali ke tanah air dengan selamat.

Tibalah musim haji dan masa untuk abah berangkat ke Makkah bersama pak aji (kalau ada yang membaca tulisan ini dan mungkin tertanya-tanya mengapa asyik-asyik pak aji saja yang menemankan abah ke tanah suci dan banyak sangatkah duit kami untuk menampung perbelanjaan itu, saya tak dapat menjawabnya kerana ini agak peribadi. Cukuplah saya katakan, pendirian kami, kalau untuk ibadah, pendidikan anak-anak dan untuk kepentingan orang tua, kalau ada harta yang melebihi keperluan asas dan boleh dilupuskan, maka perlulah dilupuskan). Saya pula masih tak dapat ikut sama kerana baru habis sambung belajar (dah tua baru nak sambung belajar!) dan baru bekerja semula. Manalah boleh dapat cuti panjang untuk mengerjakan haji..

Penerbangan mereka sebelah malam, siang itu semua berkumpul di rumah saya. Kami beramai-ramai menolong abah mengemas begnya. Riuh kami mengusik abah yang hendak memenuhkan begnya dengan macam-macam barang yang tak perlu. Kami juga tolong menuliskan nama dan alamatnya besar-besar pada begnya. Abah nampak cukup ceria dan tersenyum saja mendengar gurauan kami. Kakngah yang ketika itu belum sampai setahun usianya, memanjat dan memijak-mijak begnya pun dia tak kisah. Sebaliknya dia marahkan saya kerana memarahi cucunya.

Penerbangan mereka sepatutnya jam 12 malam. Selepas Maghrib kami bertolak ke KLIA. Walaupun sudah makan di rumah, saya tanya abah sama ada dia hendak makan atau minum apa-apa. Abah hanya mahu kopi dan sandwic. Saya terpaksa beratur panjang untuk membelikan makanannya itu kerana KLIA malam itu memang sangat sibuk dan ramai. Pak aji pula sibuk menguruskan beg dan urusan lain dengan ejen pakej.

Siapa sangka bahawa itulah perkhidmatan terakhir saya sebagai anak kepada abah!

Kalau ketika abah berangkat menunaikan umrah Ramadhan dahulu kami bergambar beria-ia dengan abah, kali ini kami semua macam tak ada mood untuk bergambar walaupun kamera dibawa bersama. Malah, satu dua gambar yang diambil pun tak begitu jelas, macam guna kamera manual tahun 70an sahaja rupanya. Kalaulah kami tahu.....! Ahhh!! “kalau”! Kata orang, perkataan ini wajar dihapuskan daripada kamus!

Ketika menunggu, abah tak banyak bercakap. Tapi itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana memang begitulah perangai abah. Sesekali dia menghilang lama, entah ke mana. Mungkin berjalan-jalan menghilangkan lenguh sambil melihat-lihat bangunan KLIA yang tersergam megah itu. Walaupun sudah mencapai usia 70, abah masih tegap. Penyakit kencing manisnya terkawal.

Pak aji datang memberitahu yang penerbangan mereka ditunda ke jam 3 pagi. Dia menyuruh kami pulang sahaja kerana kasihan pada anak-anak terutama kakngah yang masih kecil. Abah pun setuju menyuruh kami pulang dulu. Jemaah lain sudah pun berbaris untuk pemeriksaan imigresen dan pak aji juga mahu membawa abah masuk menunggu di dalam, “Lebih selesa” katanya. Lalu, kami pun bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan sambil mengucapkan selamat jalan dan selamat tinggal.

Entah mengapa, hati saya menyuruh saya peluk abah lama-lama. Masa itu saya rasa bagaikan tak mahu melepaskan abah daripada pelukan saya. Abah pun berair matanya dipeluk dan dicium oleh anak dan cucu. Selepas itu, kami menghantar abah dan pak aji dengan mata menuju ke pintu pemeriksaan masuk. Kami memerhatikan mereka sehingga hilang daripada pandangan. Dua insan yang fizikalnya begitu kontras - abah yang rendah dan pak aji yang tinggi. Abah melangkah cepat-cepat mengekori langkah panjang-panjang pak aji. Dia tidak langsung menoleh ke arah kami.

Itulah kali terakhir kami melihat abah!

Bersambung......

No comments: