Wednesday, October 11, 2006

Ragam berlatih puasa....

Tahun ini saya latih kakngah berpuasa. Umurnya sudah tujuh tahun, sesuai benarlah mula dilatih. Rasanya saya termasuk kategori ibu yang lewat melatih anak berpuasa. Ada budak lain yang sudah mula berlatih puasa seawal empat atau lima tahun. Memang bagus kalau dapat dilatih sejak kecil lagi. Tetapi saya rasa tak sampai hati pula nak suruh mereka berpuasa terlalu muda. Takut mereka rasa berat dan membebankan.

Tapi, tak boleh jugalah nak ikut sangat rasa tak sampai hati tu. Kena juga dilatih. Kalau sampai tua tak berlatih puasa nanti lagi susah. Kena ada ukur rujuk juga bila nak mula latih mereka berpuasa. Jadi, saya ikut pesanan Rasulullah s.a.w. mengenai mula melatih anak bersolat iaitu latih pada umur tujuh tahun dan pukullah jika masih tidak mahu bersolat pada usia 10 tahun. Begitulah juga dalam latihan berpuasa. Tetapi itu cara sayalah. Lain orang, lainlah pula caranya.

Kaklong dulu pun mula berpuasa pada umur lapan tahun. Banyak hari juga dia berpuasa walaupun tidak cukup 30 hari. Tahun berikutnya, masa dia berumur sembilan tahun, kami bawa dia mengerjakan umrah. Di sana dia tak berapa tahan berpuasa kerana panas dan letih mengerjakan umrah. Jadi banyak hari jugalah dia ponteng puasa ketika di sana. Umur 10 tahun baru kaklong betul-betul dapat berpuasa penuh. Ha, nasib baik. Kalau tidak dah kena pukul! :)

Si bujang kecil saya, abang yang baru berumur lima tahun, tidak saya beratkan berpuasa. Saya rasa dia terlalu muda. Kasihan pula melihat badannya yang kurus itu nanti bertambah kurus kerana berpuasa.

Tetapi saya terlupa yang abang pasti akan mengikut apa saja yang dilakukan oleh kakngah. Bila abang dapat tahu kami kejutkan kakngah untuk bersahur tapi tak kejutkan dia, dia mengamuk! Puas pula kena pujuk. Esoknya, sekali kejut saja dengan kata-kata, “Abang nak sahur tak? Kakak dah bangun!”, abang terus bangun walaupun masih terpisat-pisat.

Tak sangka pula saya yang abang tahan juga berpuasa. Kalau di rumah, dia tak langsung minta makan. Bila saya tanya cikgu di tadika/taska abang sama ada abang puasa atau tidak, katanya abang tak mahu makan walaupun budak-budak lain makan. Tapi, abang tidaklah berpuasa seorang. Ada juga dua tiga orang budak lain di tadika itu yang berpuasa macam abang.

Cuma, masa dua tiga hari awal berpuasa, bila balik daripada taska, abang cari air atau susu dalam peti sejuk. Begitulah selama beberapa hari awal puasa. Abang “puasa nasi” saja tapi tak puasa “air”. Itu pun dia minum bukan selalu. Lama jugalah jaraknya baru dia minum lagi.

Adik saya berjanji nak beri duit raya RM1 untuk setiap hari berpuasa penuh. “Kalau abang puasa nasi saja, busu bagi 50 sen sahajalah bang! Kena tolak 50 sen lagi sebab abang tak puasa air!” usik adik.

“Lepas minum tu abang puasa baliklah busu!” jawab abang. Ikut logik abang, jarak antara satu kali minum dengan minum yang seterusnya tu dikira berpuasalah.

Tapi sekarang abang berpuasa penuh. Kadang-kadang dia minta nak minum. Bila saya kata ok, dia tanya saya sama ada kakngah pun boleh minum atau tidak. Saya kata tak boleh sebab kakngah dah tujuh tahun. Dah besar dan mesti puasa betul-betul. Bila abang umur tujuh tahun nanti, abang pun mesti puasa betul-betul, kata saya.

Bila abang dengar yang kakngah tak boleh minum, dia kata, “Tak apalah mak. Abang pun taknak minum!” Begitulah sayangnya abang pada kakngah.

Kakngah pun sebenarnya tidaklah susah sangat hendak dilatih berpuasa. Kalau ke sekolah, godaan untuk makan itu hampir tak ada. Kakngah bersekolah di sekolah rendah agama integrasi yang masuk jam 7.40 pagi dan balik jam 4.30 petang, kemudian disambung pula dengan kelas iqrak sehingga jam 5.30 petang. Kalau bukan bulan puasa, makan tengah hari disediakan oleh pihak kantin (kena bayar bulanan kepada pihak sekolah). Waktu rehat pagi pula budak-budak boleh membeli jajan yang dijual di kantin.

Tetapi, kantin sekolah diarahkan tutup sepanjang bulan puasa. Tiada makanan disediakan dan tiada jajan untuk dibeli. Penjual aiskrim yang biasanya duduk di hadapan sekolah waktu petang pun tiada. Pihak sekolah minta mereka jangan datang menjual di sekolah sepanjang bulan puasa. Jadi, mahu tak mahu semua kena berpuasa. Godaannya barangkali kalau ada kawan-kawan yang tak puasa dan bawa bekal. Tapi, itu pun tak ramai. Malu bawa bekal sebab kawan-kawan lain semuanya berpuasa.

Tapi, masa saya menjemputnya pulang, bermulalah ragam “drama queen” saya yang seorang ini. Masa itulah dia mengadu sakit kaki, sakit tangan, sakit kepala, sakit perut, sakit sana, sakit sini. Masa bermain dan melompat, tak sakit pula!

Selalunya lepas menjemput kakngah, saya singgah membeli lauk berbuka sebelum bergegas ke taska pula untuk menjemput abang. Memang tak sempat nak masak. Boleh mati tegak saya kalau nak kejar untuk buat semua! Pak aji pula memang hanya akan sampai ke rumah hampir Maghrib sepanjang bulan puasa ni. Kalau bukan bulan puasa, dia balik lebih lewat lagi. Waktu pagi, dia yang mengurus dan menghantar anak ke sekolah dan ke tadika kerana dia masuk ke pejabat agak lewat sedangkan saya pula jam 6.30 pagi lagi sudah keluar rumah. Saya hanya masak untuk sahur dan untuk berbuka pada hujung minggu saja.

Mula-mula berpuasa dulu, bila melihat bermacam-macam jenis minuman yang dijual, kakngah mula meragam. “Kakak haus, kakak tak tahan!” rengeknya.

Terpaksalah saya memujuknya dengan penuh sabar (walaupun kadang-kadang rasa angin satu badan juga dibuatnya!), suruh tunggu “sekejappppppp lagi” boleh berbuka.

“Mak pun haus juga, nak minum juga. Mak pun tak tahan juga!” Saya beri alasan. Lepas itu saya perasan orang sekeliling yang menengok ‘drama’ kami dua beranak senyum-senyum kambing mendengar kata-kata saya. Mungkin janggal sangat bunyinya bila makcik yang cakap “tak tahan puasa”.

Ada juga yang tolong saya memujuk kakngah. Wanita sarat mengandung yang tengah beratur di hadapan saya untuk membayar harga makanan di kaunter senyum pada kakngah sambil menunjuk perutnya, “Sabarlah kakak. Tengok ni, baby auntie ni pun puasa tau! Semua orang kena puasa.” Kakngah hanya terkebil-kebil melihat perut boyot wanita itu. Agaknya tengah memikirkan logiknya bayi dalam perut disuruh berpuasa.

Sekarang ini sudah tak banyak masalah lagi. Dua-duanya nampak tahan berpuasa. Masih cergas berlari, melompat dan menjerit macam tak puasa. Dari manalah budak-budak ni dapat tenaga! Tapi, biasalah, asyik tanya dah pukul berapa dan berapa lama lagi nak berbuka, sampai kita dah tak larat nak jawab.

Bangun sahur pun kedua-duanya sudah tak banyak ragam macam mula-mula dulu. Kalau dulu, kadang-kadang kakngah menangis, ada masa abang pula meragam. Tapi sekarang sudah ok.

Selalunya, dekat jam 5 pagi pak aji akan kejutkan mereka dan dukung seorang demi seorang ke meja makan. Mereka akan duduk di kerusi sebentar, moyok macam ayam berak kapur. Lepas cuci muka dan makan dua tiga suap, segarlah balik. Lepas sahur, hingar bingarlah pula dua beradik itu bermain dan bergurau. Tak letih langsung!

Yang menggusarkan saya ialah kakngah tak mahu makan lauk apa pun masa sahur kecuali telur goreng dan kicap. Saya pernah berkeras tak mahu gorengkan telur untuknya, tapi dia hanya membatukan diri saja di meja, tak mahu sentuh nasi langsung. Terpaksalah saya beralah kerana takut pula nanti dia lapar dan melepek di sekolah sebab tak sahur.

Melihat anak-anak berlatih puasa, saya teringatkan pengalaman saya sendiri dulu. Saya mula berpuasa masa umur enam tahun. Bukan sebab dilatih oleh emak tapi sebab menyahut cabaran dua kakak saya (sekarang hanya ada satu kakak. Yang sulung sudah meninggal dunia ketika remaja). Mereka mengejek saya kerana tak berpuasa dan kata yang saya tidak boleh beraya, apa lagi pakai baju dan kasut raya sebab raya hanya untuk orang yang berpuasa sahaja. Masa raya nanti, kata mereka, saya kena pakai baju buruk sahaja.

Mana boleh tahan kalau tak dapat pakai baju raya! Sudahlah baju baru hanya berganti setahun sekali masa raya saja. Takkan nak pakai baju buruk masa raya! Ini tak boleh jadi, saya mesti berpuasa juga.

Saya suruh emak kejutkan saya untuk bersahur dan saya pun berpuasa. Saya masih ingat lagi bagaimana saya tersandar keletihan, kelaparan dan kehausan tapi tak mahu berbuka walaupun dipujuk dan dipaksa emak. Kawan-kawan sebaya saya masa itu tak ada yang berpuasa. Jadi, dahsyat jugalah `cobaan’nya melihat orang lain makan. Saya pula puasa tak main separuh-separuh hari. Terus penuh sampai ke petang. Kalau tidak nanti kakak-kakak saya kata puasa saya tak “kira”.

Esoknya emak tidak kejutkan saya bersahur kerana kasihankan saya. Saya pun mengamuk sakanlah dan dengan degilnya terus juga berpuasa walaupun tak bersahur. Memang terbaring melepek sepanjang hari macam orang kebuluran di Afrika. Seksa memang seksa, namun berbuka tidak sekali. Dalam kepala saya cuma satu, kalau tak puasa tak boleh pakai baju raya! Masih saya ingat lagi bagaimana anak-anak jiran, kawan-kawan saya jugalah, berkerumun di tingkap melihat saya terbaring melepek sedangkan mereka segar bugar bermain di luar.

Mungkin inilah antara peristiwa yang menyebabkan emak selalu berkata yang saya anak paling degil dan keras kepala!

Lepas itu emak kejutkan saya bersahur setiap hari kerana dia tahu kalau tak dikejutkan pun saya tetap berpuasa juga. Tahun itu saya dapat berpuasa sebanyak 27 hari! Penuh, tak ada separuh-separuh hari!

2 comments:

Sya said...

mak aji, saya dulu masa anak sulong kecil baru 5 tahun, arwah MIL paksa pose, saya tak bagi tapi tak berani nak bantah. Kesian tenguk dia.. walaupun tak cukup sebulan tapi lebih le 15 hari. Tapi susah payah sikit le paksa makan sahur, bila 6 tahun cukup sebulan pose, dari tahun tu memang saya ajar anak sejak umur 5 tahun lepas tu bila masuk 6 tahun semuanya berpuasa walaupun makanan diberi di Tadika tapi mereka tak makan

mak aji said...

Salam Sya,
Harap-harap mereka tak lupa didikan kita bila dah dewasa nanti.