Hari pertama dan kedua persekolahan, saya dan pak aji ambil cuti untuk menghantar abang memulakan langkah pertama alam persekolahannya. Seronok melihat abang mengenakan uniform sekolah. Nampak macam dah besar sangat.
Sekolah cuma kira-kira 15 minit dari rumah, jadi kami keluar macam biasa, kira-kira jam 7 pagi. Terlupa pula itu hari pertama persekolahan dan tentulah ramai ibu bapa bercuti nak menghantar anak ke sekolah atau nak uruskan pembayaran yuran. Pagi itu jalan sesak dan kami terlewat hampir 15 minit. Tapi bukan kami saja yang lewat. Ada banyak lagi orang lain yang turut lewat. Maklumlah, murid sekolah itu bukan datang dari kawasan sekitar Shah Alam saja. Malah, ada yang duduk di PJ, Rawang, Klang, Puncak Alam dan tempat-tempat lain yang agak jauh pun turut menghantar anak ke situ.
Sekolah kakngah dan abang ini sekolah satu sesi. Masuk 7.30 pagi, balik 4 petang. Hari Jumaat pula hanya setengah hari. Pakej makan tengah hari disediakan oleh pihak sekolah dengan bayaran RM50 sebulan. Solat Zohor dimestikan berjemaah di bawah pengawasan guru dan seminggu sekali murid dilatih bersolat Dhuha.
Barangkali kerana sekolah ini hanya satu sesi maka ramai yang berebut-rebut untuk menghantar anak ke sekolah ini. Senang sebab anak tak payah berulang alik; pagi ke sekolah kebangsaan dan sebelah petang ke sekolah agama pula. Kata guru besar, permohonan yang diterima untuk masuk ke tahun satu hampir tiga kali ganda berbanding tempat yang disediakan. Kerana itu sejak beberapa tahun lalu terpaksa diadakan ujian kelayakan masuk untuk menapis permohonan.
Saya duduk menunggu dua hari di sekolah walaupun tahu abang boleh berdikari. Saja nak bagi sokongan moral sambil meninjau pakej makanan yang disediakan dan bagaimana pihak sekolah mengatur dan melaksanakan jadual harian murid. Dalam duduk memerhati itu, saya rasa simpati pula pada para guru dan kakitangan sekolah. Penat nampaknya mereka nak menguruskan jadual murid-murid seharian. Kalau tak betul, nanti mak bapa komplen. Bak kata guru besar masa sesi orientasi, kalau sekolah ada 1,000 orang pelajar, katakan setiap pelajar ada sepasang ibu bapa, bermakna pihak sekolah sebenarnya menghadapi 3,000 kerenah, bukan 1,000. Jadi, kadangkala kena kasihan juga pada guru-guru.
Walaupun satu sekolah, jadual rehat waktu pagi, makan tengah hari dan solat abang dan kakngah berbeza. Jadi mereka tak berjumpa sehinggalah tamat waktu persekolahan.
Pak aji pula,pada hari pertama, lepas abang dan kakngah masuk ke kelas masing-masing, terus menghantar kaklong balik ke kampus. Cuti semester sudah berakhir. Kelas belum bermula tapi kaklong kena pergi menguruskan pendaftaran kolej kediaman dan pendaftaran subjek. Ramai juga kawannya yang sepanjang cuti semester tak balik kampung pun sebab terlibat dengan banyak aktiviti dan program. Kaklong hanya terlibat dengan satu program sahaja selama seminggu. Selebihnya saya minta dia duduk di rumah saja untuk jadi driver adik-adiknya ke kelas mengaji dan kelas tambahan masa cuti.
Sambil duduk menunggu, sesekali orang di pejabat menelefon untuk bertanya sesuatu sebab mereka kena ambil alih tugas saya sepanjang bercuti. Sempat pula tanya saya tengah buat apa. "Saya tengah buat kerja sambilan jadi jaga sekolah!" kata saya. Terdengar suara mereka tergelak di talian telefon.
Begitulah jadi mak bapa. Kita boleh jadi apa sahaja untuk anak-anak. Boleh jadi jaga, jadi pemandu, jadi bank, jadi warden 'penjara', jadi cikgu, jadi tukang masak, jadi juruwang, jadi jururawat, jadi doktor, jadi badut dan macam-macamlah lagi. Harapan, matlamat dan doa daripada tenaga yang dicurahkan itu cuma satu. Semoga mereka berjaya menjadi 'manusia' apabila dewasa nanti.
Perhimpunan pagi sebelum masuk ke kelas
Berselera makan tengah hari. Menu: nasi putih, lauk ayam/daging/ikan (bertukar-tukar setiap hari), sayur, sepotong buah dan air mineral.
Anak-anak menjamu selera. Cikgu-cikgu jadi pengawas. Emak bapa jadi tukang sibuk.
Menunggu untuk solat Zohor.
Berjemaah diimamkan guru.
Solat berjemaah murid tahun satu.
Saturday, January 05, 2008
Abang dah sekolah
Posted by mak aji at 11:25 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam untuk makaji. Firstly thx for visiting & leaving your comments on my Blogs. I have not been updating for sometimes now due to time constraint. Al maklumlah anak-anak sedang membesar dan komputer memang menjadi rebutan dirumah. Lebih lebih lagi dimusim cuti sekolah. Jika berkesempatan memang saya akan penceritaan saya seperti mak aji yang sentiasa penuh dengan idea untuk menulis.
Jangan lupa singgah lagi..
Wasalam.
Wa`alaikum salam Zu,
Thanks for dropping by. Saya sebenarnya menulis ikut mood. Adakala seronok sangat nak menulis. Ada masa, rasa tersangat malas sampai tak menulis berbulan-bulan. Menjenguk blog orang pun macam tu juga. InsyaAllah, saya akan selalu singgah ke blog Zu.
Selamat Tahun Baru Hijrah.
Post a Comment