Sunday, January 13, 2008

Kaedah Jibril vs Kaedah Izrail

Semalam saya menghadiri satu seminar mengenai hafazan al-Quran mengikut satu kaedah yang dinamakan Kaedah Jibril. Apa itu kaedah Jibril? Itu yang menarik minat saya sebenarnya.

Kaedah Jibril ini dinamakan mengikut kaedah Malaikat Jibril mengajar Rasulullah s.a.w. membaca al-Quran. Kaedah ini dibentuk hasil kajian oleh Ustaz Haji Mohd Asraff Ayob al-Hafiz, seorang Hafiz al-Quran yang berpengalaman selama 16 tahun dalam bidang hafazan dan berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang al-Quran dan Qiraat dari Universiti Al-Azhar, Mesir serta ijazah sarjana dalam bidang Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kaedah ini diasaskan khusus untuk mereka yang sentiasa sibuk setiap hari tapi ingin menghafaz al-Quran. Memanglah tak sama dengan kaedah hafazan pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz. Tapi, tak payahlah saya bercerita panjang lebar di sini mengenai kaedah ini kerana ia merupakan hak cipta orang. Kalau ada yang berminat, bolehlah mengikuti ceramah Ustaz Haji Asraff (lengkap dengan praktikalnya sekali). Boleh telefon di nombor 019 2229602 atau beli VCD beliau mengenai kaedah itu (gambar di bawah). Setakat ini, beliau sudah memberi ceramah mengenai kaedah ini di seluruh negara sehinggalah ke negara Brunei Darussalam.



Saya tidak ada sebarang kepentingan dalam ceramah atau penjualan VCD itu. Ustaz Haji Asraff dan kakitangannya pun tak kenal siapa saya. Cuma saya ingin memanjangkan maklumat ilmu yang baik kepada sesiapa yang berminat. Saya sendiri pun banyak mendapat maklumat ilmu daripada tulisan dan hebahan orang lain.

Kaedah ini, kalau betul-betul dipatuhi, membolehkan kita menghafaz, dalam masa enam bulan dua minggu sahaja, 10 surah popular yang banyak fadhilatnya itu Surah Sajadah, Surah Yasiin, Surah Ad-Dukhan, Surah Ar-Rahman, Surah Waqiah, Surah Jum'ah, Surah Mulk, Surah Muzammil, Surah Qiyamah dan Surah Insan. Selepas itu, mudahlah nak menghafaz surah-surah lain pula, umpamanya Surah Baqarah yang merupakan surah paling panjang dalam al-Quran. Tapi, kalau 'mengelat' (banyak berehat daripada menghafaz), tentulah tak mencapai matlamat yang diharapkan!

Dalam seminar itu juga, Ustaz Haji Asraff memberikan 40 soal selidik mengenai penghayatan Islam yang peserta jawab sendiri secara jujur (tak payah tunjuk pada orang lain hasilnya). Tujuannya untuk melihat skor diri sendiri mengenai berapa jauh dan mendalamnya penghayatan diri sendiri terhadap Islam. Skor orang lain saya tak tahu, tapi skor saya sendiri amat menyedihkan! Ibarat kalau ambil periksa di universiti, mesti CGPA bawah 1.00 poin!

Kata Ustaz Haji Asraff, sebagai orang yang cintakan Islam, kita mesti cintakan al-Quran. Al-Quran suatu kitab yang sangat banyak keajaibannya. Sekadar menyebut beberapa contoh: ramai boleh hafaz al-Quran tanpa faham maknanya; tiada Maahad Tahfiz bagi sebarang kitab lain selain al-Quran (setakat ini tak ada Maahad Tahfiz Bible misalnya); Al-Quran paling banyak dibuat kajian oleh orang Islam dan bukan Islam; daripada satu kitab al-Quran, lahir beribu-ribu kitab dan buku lain seperti tafsir, tesis, kajian, dsb; tidak setakat tafsir, kaedah membaca al-Quran sahaja pun banyak ditulis orang (tidak ada kitab lain yang dikatakan 'suci' mempunyai kaedah atau cara membaca seperti al-Quran).

Itu hanya sebahagian daripada keajaiban al-Quran.Ada banyak lagi keajaiban yang lain. Justeru, kata Ustaz Haji Asraff, jangan jadikan al-Quran sekadar tulisan kaligrafi di dinding, ayat jampi penghalau hantu syaitan dan dibaca ketika mengiringi orang nak mati sahaja. Selain membaca, cubalah juga menghafaz al-Quran. Kalau tidak semua, sebahagiannya pun sudah memadai supaya boleh jadi kawan ke mana sahaja kita pergi dan boleh jadi 'peguam' kita di Padang Mahsyar kelak.

Membaca dan menghafaz al-Quran juga perlukan guru yang mursyid, untuk menyemak dan memperbetulkan bacaan kita. Rasulullah s.a.w. sendiri pun mempunyai guru al-Qurannya sendiri iaitu Malaikat Jibril. Hafazan tanpa guru sukar dipertanggungjawabkan kebenarannya.

Kata Ustaz Haji Asraff lagi, baca dan hafazlah al-Quran tak kira ikut kaedah apa sekalipun. Nak ikut kaedah Jibril pun boleh, asal jangan tunggu sampai tiba kaedah Izrail. Hah! Kaedah Izrail? Kaedah apa pula tu?

"Kaedah mati! Kalau diperkenalkan kaedah Izrail, nanti semua di sini cabut lari!" gurau Ustaz Haji Asraff disambut ketawa kami semua.

Betullah tu. Malaikat Izrail cuma ada satu kaedah sahaja iaitu kaedah mencabut nyawa. Sebelum tiba `kaedah' itu pada kita, elok jugalah diamalkan kaedah Jibril ini.

Tapi, manusia (sayalah tu!) macam nilah selalu. Masa dalam seminar, rasa berkobar-kobar nak mula menghafaz. Keluar seminar, belum tentu lagi.

Semoga Allah melancarkan lidah, menerangkan hati dan menajamkan otak. Amin!

1 comment:

Kaedah Jibril said...

Salam.

Boleh dapatkan kaedah jibril melalui link di bawah

http://tinyurl.com/promosi-kaedah-jibril

atau

http://tinyurl.com/promosi-kaedah-jibril2