Thursday, January 10, 2008

Tabik untuk yang berhijrah

Selamat Tahun Baru Hijrah 1429.

Pada setiap awal Muharram, saya selalu terkenangkan bagaimana Rasulullah s.a.w. berhijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah dengan segala kesusahan panas terik padang pasir dan diburu oleh kaum kafir Quraisy yang mahu membunuhnya. Masa di Tanah Suci, dalam perjalanan menaiki bas berhawa dingin menggunakan lebuhraya yang lebar dan moden, saya selalu membayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya merentasi padang pasir yang berbukit batu tanpa pokok untuk berteduh, hanya dengan berjalan kaki atau menaiki unta, di panah terik matahari dan mungkin terkena ribut pasir.

Begitu perit dan sukarnya penghijrahan Baginda dan para sahabat untuk mengembangkan Syiar Islam. Saya menyoal diri sendiri, apa sumbangan saya sendiri untuk agama tercinta? Bila difikir-fikirkan, rasanya tak ada langsung. Memang tak ada. Penghijrahan yang dibuat setakat ini hanyalah penghijrahan untuk kepentingan peribadi semata-mata. Rasa malu sendiri.

Semalam saya uzur, tak dapat ke masjid membawa anak-anak untuk menyambut kedatangan Awal Muharram. Rasa cukup kesal tapi apa nak dikata. Nasib orang perempuan begitulah. Rasulullah s.a.w. sendiri pun pernah menyebut yang kaum perempuan ini kurang ibadahnya berbanding lelaki kerana fitrahnya begitu. Pak aji pula terpaksa balik lewat kerana kerja. Baca doa akhir tahun dan awal tahun sendiri sajalah.

Bagi menghidupkan suasana sambutan Awal Muharram, saya suruh anak-anak yang di rumah ambil wuduk awal-awal menunggu masuk waktu Maghrib dan bersedia depan TV untuk mengikuti siaran langsung acara membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun dari Masjid Negara. Tak dapat ke masjid, mengalami suasana masjid di TV pun jadilah.

Yang menarik perhatian saya, dalam memperlihatkan suasana dalam masjid, kamera TV fokus kepada (bekas) aktres/penyanyi/model Noorkumalasari sedang duduk bersama jemaah wanita yang lain. Berpakaian serba hitam, wajahnya tenang dan bersih.

Kisah Noor adalah satu kisah penghijrahan yang patut dikagumi. Daripada dunia penuh glamour dengan pakaian dan penampilan yang sentiasa seksi dan menarik, dia menghijrahkan dirinya sepenuhnya untuk menghayati dan mengamalkan ajaran dan tuntutan Islam. Bukan mudah sebenarnya untuk melakukan penghijrahan sebegitu. Ramai yang mencuba, ramai juga yang kecundang di tengah jalan. Harap-harap Noor tidak kecundang malah terus boleh menjadi contoh satu cerita penghijrahan yang indah dan berjaya.

Awal Muharram tahun lepas pula, saya pernah menonton satu rancangan berbentuk forum di TV yang memperkatakan mengenai konsep hijrah. Antara tetamunya ialah pelakon Wardina yang bercerita mengenai bagaimana dia menghijrahkan dirinya daripada seorang yang berpakaian tidak menutup aurat, liar (ini kata-katanya sendiri), suka pergi clubbing dan melakukan aktiviti lain kegemaran remaja sepertinya, kepada dirinya sekarang.

"Saya rasa ini adalah berkat doa ibu saya. Mungkin doa ibu yang begitu kuat menyebabkan saya tiba-tiba saja terasa hidup saya kosong dan perlu melakukan perubahan. Saya mulakan dengan menjaga solat lima waktu dahulu, kemudian perlahan-lahan menutup aurat dan meninggalkan aktiviti lain," kata-kata Wardina yang masih saya ingat.

Begitulah kuat dan pentingnya doa ibu sebagaimana janji Allah bahawa doa ibu adalah antara doa yang makbul.

Satu lagi cerita penghijrahan yang saya kagumi ialah kisah Azmil Mustapha (bekas pelakon juga). Saya pernah baca cerita beliau tentang penghijrahannya daripada seorang yang langsung tak tahu membaca al-Quran, suka berpeleseran dan sebagainya, menjadi dirinya sekarang yang mendalami dan menghayati agama dan boleh pula memberi ceramah dan motivasi agama kepada orang lain. Dunia glamour pelakon popular ditinggalkan dan dia kini banyak membabitkan diri dalam kerja-kerja dakwah.

Kalau Allah nak beri Hidayah kepada seseorang itu, caranya mudah sangat. Asas perubahan Azmil bermula apabila suatu malam, selepas pulang daripada berpeleseran, dia buka TV yang sedang hendak menamatkan siaran dengan menyiarkan bacaan al-Quran dengan maknanya sekali. Tiba-tiba dia rasa berminat untuk mendengarnya kerana merasakan bacaan ayat itu dan maknanya terlalu indah. Esoknya dia sengaja pulang awal untuk menonton siaran yang sama. Begitu juga pada malam-malam seterusnya. Daripada situlah bermulanya benih keazamannya untuk mengubah diri walaupun proses yang diambil agak lama selepas itu. Menurutnya, antara harga mahal yang terpaksa dibayarnya untuk penghijrahan itu ialah kehancuran rumahtangganya apabila isterinya tidak dapat menerima perubahan itu.

Saya bawakan cerita penghijrahan artis kerana memang sukar mereka hendak menghijrahkan diri daripada kehidupan yang penuh mewah, menyeronokkan dan glamour kepada satu kehidupan yang serba sederhana dan langsung tidak glamour.Yang bukan artis pun susah hendak menghijrahkan diri, apa lagi yang bergelar artis. Jadi, apabila mereka berazam dan berusaha untuk menghijrahkan diri, itu satu kejayaan besar buat mereka.

Noorkumalasari, Wardina dan Azmil, contoh mereka yang berjaya menghijrahkan diri. Ada banyak lagi contoh penghijrahan lain sebenarnya termasuk penghijrahan agama daripada bukan Islam kepada Islam oleh saudara-saudara baru. Untuk berhijrah seperti mereka memerlukan pengorbanan yang amat besar termasuk kemungkinan dibuang keluarga, kehilangan orang tersayang dan penghidupan yang selesa. Tidak semua kita mampu berkorban seperti itu. Contoh paling mudah, dalam soal menutup aurat. Melakukan perubahan daripada berpakaian tidak menutup aurat kepada menutup aurat nampak sangat mudah, tetapi sebenarnya ia tidaklah semudah itu. Ada macam-macam alasan yang selalu diberikan untuk menolak hukum menutup aurat termasuk soal 'ikhlas' atau 'tidak ikhlas' dalam menutup aurat. Ada juga yang terpaksa menghadapi pelbagai tekanan daripada pelbagai sudut jika mahu menutup aurat.

Penghijrahan bukanlah mudah. Adakala, penghijrahan memerlukan pengorbanan. Justeru, kita patut tabik hormat kepada mereka yang berani berhijrah (walau dalam apa perkara sekalipun) demi agama Islam tercinta!

No comments: