Monday, January 21, 2008

PADAN MUKA!!!

Biasanya saya takut nak cakap ‘padan muka’ kalau apa-apa yang kurang baik berlaku pada orang lain. Takut perkara itu boleh berbalik pada diri sendiri. Tapi kali ini saya nak cakap, malah nak jeritkan kuat-kuat, “PADAN MUKA!!!!!”

Padan muka kepada tiga orang (kalau ikut laporan akhbar) yang ditangkap polis setakat ini sebab mempermainkan keluarga adik Sharlinie Mohd Nashar, 5 tahun, yang hilang sejak 9 Januari lalu dekat padang permainan di rumahnya di Kampung Medan, Petaling Jaya.

Satu, wanita pembantu rumah warga Indonesia yang asyik hantar SMS berbau ugutan dan dendam pada keluarga Sharlinie dan mengaku akan pulangkan anak itu dalam masa dua tiga hari lagi. Dua, budak berumur 16 tahun yang peras ugut minta duit daripada keluarga Sharlinie, termasuk minta top-upkan kredit telefonnya (nampak sangat ‘penculik’ tak cerdik). Dan tiga, seorang lelaki yang menyamar jadi polis dan pergi menemui keluarga Sharlinie untuk minta gambar kanak-kanak itu yang lebih jelas. Tembelangnya pecah apabila keluarga malang itu rasa curiga dan beritahu orang kampung. Apabila ditanya orang kampung kenapa dia menyamar, jawabnya sekadar nak ‘suka-suka’. Yang ini saya lagi seronok sebab orang kampung dapat belasah dulu lelaki ini sebelum diserahkan pada polis. Malangnya seorang lagi kawannya dapat melepaskan diri. Kalau dapat belasah kedua-duanya sekali sampai tinggal separuh nyawa, lagi bagus! (Sadisnya saya...tapi memang geram sangat!)

Saya memang seronok mereka ini ditangkap polis kerana cukup meluat campur menyampah campur geram dengan perangai orang yang tak ada perasaan belas kasihan langsung terhadap masalah dan kesusahan orang lain. Sudahlah tak ada perasaan simpati dan kasihan, seronok pula menjadikan penderitaan orang sebagai bahan gurauan dan suka-suka. Langsung tak prihatin bahawa yang hilang itu anak orang, bukan anak kucing, bukan anak anjing dan bukan anak ayam! Kalau anak kita sendiri pulang lewat setengah jam saja pun hati dan perut kita sudah terasa bagai diramas-ramas kerisauan, inikan pula anak hilang sudah hampir dua minggu.

Memang sudah tiba masanya tindakan diambil ke atas mereka ini sebab kerjanya menyusahkan orang saja. Bukan mereka saja, malah orang yang rajin sangat menghantar SMS kepada keluarga malang ini untuk saja-saja memberi maklumat palsu atau mengutuk mereka kerana ‘tak pandai menjaga anak’, patut juga diambil tindakan. Maklumat palsu dan kutukan begini tak diperlukan langsung pada masa yang sangat genting bagi keluarga itu dan juga bagi polis sendiri. Kalau pun tak simpati langsung atau merasakan yang ibu bapa anak yang hilang itu tidak pandai menjaga anak, simpan saja pandangan itu sendiri kerana pandangan itu buat masa ini tidak diperlukan langsung.

Sejak kehilangan anak kecil lima tahun bernama Yin di Sogo dulu, selepas itu kehilangan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, 8, dan sekarang Sharlinie pula, semacam ada trend baru di kalangan masyarakat kita (harap-harap hanya segelintir) yang seolah-olah ‘seronok’ mengambil peluang mengutuk dan mempermainkan keluarga yang sedang ditimpa musibah dan ujian itu. Ramai pula rupa-rupanya yang tak sayang duit untuk menelefon dan berSMS untuk ‘berseronok’ (talk about cheap thrill!) . Yang saya hairan, tidakkah mereka ini terfikir bahawa perkara yang sama boleh berlaku kepada mereka atau ahli keluarga mereka sendiri satu hari nanti? Masa itu baru tahu langit itu tinggi atau rendah!

Kalau tak boleh, tak berupaya atau tak mahu membantu walaupun sekadar tolong mendoakan supaya anak kecil itu dikembalikan semula dengan selamat kepada keluarganya, duduk saja diam-diam. Tak payah menyibuk dan tak payah tambah kesengsaraan orang!

Kalau bercakap soal ‘tidak pandai menjaga anak’ sebab itu anak hilang, saya fikir tidak adil melabelkan keluarga yang kehilangan anak itu begitu. Ada kanak-kanak jenis tidak berapa lasak dan penakut, ada pula kanak-kanak yang jenis sangat lasak, berani dan aktif. Ketiga-tiga anak saya sendiri adalah jenis yang kedua, iaitu jenis tak tahu duduk diam dan kalau ke mana-mana, selalu membuat orang lain menjeling benci kerana terlalu lasak. Apa nak dikata, dah gene mak bapanya begitu!

Menjaga anak yang aktif lebih sukar daripada menjaga anak yang kurang aktif sebab anak yang aktif sentiasa ingin mencuba dan mempunyai inquisitive mind. Menjaga mereka juga lebih meletihkan, letih badan dan letih minda!

Kawan saya, Brien, pernah bercerita mengenai kakaknya yang dimarahi seseorang ketika berjalan-jalan di pusat membeli-belah kerana mengikat anaknya yang berumur lebih kurang lima tahun dengan tali (macam mengikat anjing). Orang itu kata, perbuatan itu kejam dan menganiayai kanak-kanak.

Jawab kakak Brien, “Kalau awak belum pernah mengalami trauma setengah mati kerana kehilangan anak selama empat jam di shopping complex yang sibuk, jangan cuba menasihati saya tentang kekejaman dan penganiayaan ke atas kanak-kanak!”.

Begitulah! Orang hanya sedap bercakap dan membuat andaian berdasarkan apa yang dilihat secara luaran saja. Hakikatnya, hanya orang yang mengalami saja yang tahu. Bagi budak-budak terutama yang jenis lasak, dunia ini satu padang permainan yang maha luas. Semua yang dilihat hendak dijadikan permainan. Di celah-celah pakaian yang tersangkut rapi di pusat membeli-belah pun boleh jadi tempat permainan sorok-sorok bagi mereka. Kadang-kadang, semakin dimarahi, ditegur atau dicubit, semakin seronok pula mereka. Saya bercakap melalui pengalaman.

Apa pun, saya harap tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang berseronok-seronok atas kesusahan orang lain. Biar jadi pengajaran kepada orang lain. Kalau dibiarkan saja, tentu akan jadi semakin tenat dan melarat. Bayangkanlah, ikut laporan akhbar baru-baru ini, polis akan mendakwa seorang dewasa yang membuat panggilan palsu sebanyak 3,500 kali ke balai bomba! Bukankah itu hanya menyusahkan orang saja? Kalau budak-budak buat perangai macam tu bolehlah juga kita faham, sebab budak-budak belum berapa mengerti akibat perbuatannya. Ini, orang dewasa! Yang boleh dikatakan, mungkin dia ini belum cukup akal atau ada masalah mental.

Kepada mereka yang akan dan telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa sebab buat kerja bodoh macam ini, yang boleh saya ucapkan hanyalah, “PADAN MUKA!!!!!!” Harap-harap lepas ni seriklah!






Suraya Ahmad, ibu Sharlinie. Panas air mata ibu mengenangkan anak yang hilang. Jangan tambah lagi kesengsaraannya!

No comments: