Monday, January 28, 2008

Logik budak-budak....

Abang bertanya pada ayahnya. “Ayah, kenapa kita kena sembahyang pagi-pagi, sembahyang siang-siang, sembahyang malam-malam?”

Jawab pak aji, “Sebab kita kena bersyukur pada Allah. Allah beri kita macam-macam – makan, minum, permainan, sekolah. Sembahyang itu tanda kita cakap terima kasih pada Allah. Lagi pun, kalau kita sembahyang, kita boleh minta pada Allah untuk jadi orang berjaya.”

Abang: “Habis tu, orang lain yang tak sembahyang tu, orang Cina tu, kenapa dia orang berjaya juga? Kenapa dia orang kaya?”

Pak aji: “Dia kaya di dunia saja. Di akhirat nanti dia tak kaya. Kita nak kaya di dunia dan di akhirat. Sebab tu kita kena sembahyang.”

Abang: “Ooooooo.......”

Tafsiran ‘berjaya’ dari pandangan budak berusia enam tahun lebih – berjaya=kaya. Tapi, pandangan kebanyakan orang dewasa pun begitu juga kan?

-----------------------------------------------------

Kakngah tanya saya. “Mak, kenapa kita kena pakai tudung? Kenapa adik tu tak payah pakai?”

“Sebab adik tu lelaki. Orang lelaki tak payah pakai tudung. Orang perempuan wajib pakai.”

“Kenapa pula orang lelaki tak payah pakai tudung? Kenapa orang perempuan kena pakai?”

“Sebab Allah tu adil. Orang lelaki tak payah pakai tudung tapi tengah hari Jumaat kena pergi sembahyang Jumaat di masjid. Tak boleh sembahyang di rumah. Orang perempuan kena pakai tudung, tapi tak payah pergi masjid masa tengah hari panas tu. Boleh sembahyang di rumah saja.”

“Oooooo.......”

Nak jawab soalan kanak-kanak ni kena pakai logik paling mudah. Kalau berbelit-belit nanti dia tak faham.

----------------------------------------------------

Kakngah dan abang tanya saya: “Mak, boleh tak kita pergi ke Jepun?”

“Nak buat apa pergi ke Jepun?”

“Nak jumpa pasukan GUTS yang jaga bandar kat Jepun dari serangan raksasa. Lepas tu nak jumpa Ultraman! Nak tengok dia lawan dengan raksasa!”

Termenung sekejap. Teringat masa kecil dulu saya pernah berazam tidak mahu ke Jepun sebab di sana ‘ada banyak raksasa’. Fikir saya, bangunan di Jepun semuanya hancur musnah sebab selalu ada raksasa datang mengamuk, kemudian bergaduh dengan Ultraman. Budak-budak ni pula terbalik. Mereka hendak ke Jepun sebab nak tengok Ultraman berlawan dengan raksasa. Sedikit pun tak kisah walaupun seluruh bandar di Jepun musnah disebabkan raksasa mengamuk.

Teringat masa kaklong seusia kakngah dulu. Lepas baca buku “Batu Belah Batu Bertangkup” dia kata pada saya, “Apalah mak dia ni. Fasal telur pun boleh sampai hati tinggalkan anak-anak dia yang masih kecil tu. Pentingkan diri sendiri saja. Kesian anak-anak dia. Dahlah tak ada ayah. Emak dia tak fikir ke kalau dia mati anak dia nak tinggal dengan siapa?”

Masa tu saya pun termenung seketika sebab memikirkan masa saya kecil dulu, lepas baca buku tu saya rasa hiba memikirkan sampai hati anak-anak itu habiskan telur ikan tembakul yang emak dia ingin sangat nak makan sampai mak dia kempunan. Jahat betul budak-budak tu, fikir saya.

Tapi, tanggapan generasi kaklong terhadap cerita itu berlainan pula. Kalau nak ditafsirkan, seolah-olah anak tak ada tanggungjawab terhadap emak bapa, tapi emak bapa mesti sentiasa bertanggungjawab terhadap anak-anak.

Pandangan kanak-kanak dulu dan kanak-kanak sekarang jauh berbeza. Mengapa begitu ya?

No comments: