Tuesday, January 29, 2008

Banyak susah!

Salah satu lampu di dapur saya sudah seminggu tak menyala. Stor kecil di dapur pula sudah lebih sebulan bergelap. Pak aji kata mungkin ada pendawaiannya yang terbakar, bukan lampunya yang rosak. Saya dah lemas bergelap. Nak buat DIY, bukannya pandai pun. Takut nanti jadi tikus membaiki labu. Nak tunggu pak aji uruskan, mahu satu rumah bergelap baru dia ada masa. Sibuk memanjang!

Saya panggil tukang pendawaian elektrik untuk betulkan lampu yang rosak itu. Tunggu punya tunggu, baru petang semalam, dalam hujan lebat, dia sampai. Legalah saya sebab dapur dan stor dah terang semula.

Dia minta maaf sebab baru ada kelapangan untuk datang ke rumah saya. Katanya dia baru balik dari ‘Siam’. “Saya dengan mini (bini) saya. Saya baru kahwin.” katanya. Namanya Ah Loo. Orangnya masih muda, dalam lingkungan 20an.

“Ohh…awak pergi bercuti ya? Pergi honeymoon?” tanya saya.

“Bukan…bukan, kakak. Mini saya orang Siam, saya pigi kampung dia.” Jawabnya.

“Orang Siam? Kenapa tak kahwin sama amoi sini? Apa fasal cari amoi Siam?” Saya jadi Minah Kepoh sekejap. Saja nak mengusik.

Dia tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. “Sini punya amoi ka? Ada orang tanya saya itu macam juga. Haiyaa….kakak! Susahlah….banyak susah!”

“Apa yang susah? Amoi Malaysia tak cantik ka?” Tanya saya lagi. Pembantu rumah saya, Nur, yang tengah membasuh pinggan di singki, menutup mulutnya menahan gelak.

“Bukan itu macamlah kakak! Haiyaa… susahlah. Banyak susah!” Itu saja yang boleh si Ah Loo ni katakan. Susah! Susah! Sampai dia balik pun saya masih tak tahu apa yang susahnya kalau nak kahwin dengan ‘amoi’ Malaysia.

Tiba-tiba saya teringat satu berita yang keluar di akhbar dua atau tiga minggu lalu tentang kebimbangan sesetengah pihak mengenai trend terkini lelaki Malaysia yang semakin memilih wanita Indonesia untuk dijadikan isteri. Mempunyai rupa paras menawan, langsing, kecil molek dan telatah menggoda dikatakan antara punca wanita Indonesia menjadi pilihan lelaki Malaysia. Hantaran perkahwinan mereka yang lebih murah berbanding wanita Malaysia juga menjadi alasan.

Selain itu, status wanita Malaysia yang semakin kukuh dan berpelajaran tinggi turut mewujudkan jurang antara mereka dengan lelaki tempatan. Kebanyakan wanita Malaysia yang berpelajaran menjadikan soal jodoh sebagai perkara kedua selepas karier. Senario ini menyebabkan lelaki Malaysia segan untuk menghampiri wanita dari negara sendiri.

Mungkinkah itu juga sebabnya si Ah Loo kata susah nak kahwin dengan amoi Malaysia?

Pernah juga dulu akhbar menyiarkan cerita tentang trend terkini di kalangan lelaki Cina Malaysia yang memilih untuk berkahwin dengan wanita asing terutama dari Vietnam dan Thailand kerana alasan yang sama seperti di atas. Mereka juga mengakui, wanita Vietnam terutamanya, lebih patuh dan lemah lembut terhadap suami selain lebih murah mengahwini mereka berbanding mengahwini wanita tempatan.

Kalau lelaki Cina semakin ramai memilih amoi Siam atau Vietnam dan lelaki Melayu semakin suka pilih cewek seberang, bagaimana pula dengan lelaki India Malaysia? Pilih meenaci Bollywood pula kah? Ayoyooooo.....Kasihan amoi, minah dan meenaci Malaysia!

Kalau macam tu...memang susahlah Ah Loo! Memang baaanyaaak susah!

2 comments:

Abang Long said...

Gadis Melayu tetap ada kehebatannya. Namun tidak terserlah.

mak aji said...

Abang long:
Hanya jauhari mengenal manikam kan?