Minggu lepas saya bercuti panjang, hari Isnin lalu apabila masuk semula ke pejabat, saya dikejutkan dengan berita salah seorang rakan mahu berhenti kerja 24 jam.
Orang berhenti kerja awal tahun selepas dapat bonus, itu perkara biasa; berhenti kerja 24 jam pun biasa juga. Cuma mungkin kerana kawan saya ini tak pernah bersuara pun yang dia akan berhenti kerja dalam masa terdekat menyebabkan kami agak terkejut mendengarnya.
Kami satu unit dalam satu jabatan yang besar. Hanya ada tujuh orang dalam unit ini, termasuk bos. Dalam unit ini ada lelaki, ada perempuan, ada Cina, ada Melayu. Mungkin kerana unit ini kecil, kami rapat dan mesra macam satu keluarga. Sesekali berselisih faham atau bermasam muka itu biasalah. Selalunya fasal kerja. Tapi sekejap sahaja, lepas itu baik balik macam biasa.
CK, kawan saya ni, berhenti tiba-tiba macam bom meletup tanpa dijangka. Agaknya sebab itulah bos terkejut dan termenung panjang seharian. Seharian juga mukanya masam. Dia begitu bukan kerana sayang sangat CK nak berhenti (bak kata orang, “Nobody is indispensable”). Tapi kerana masa yang dipilih CK sangat “kena” atau sangat “tidak kena”, ikut pandangan masing-masing.
Lazimnya, pada tiga bulan pertama awal tahun, unit kami mengendalikan penerbitan laporan tahunan. Masing-masing ada tugasnya; ada yang bertanggungjawab mengumpul laporan daripada setiap jabatan dan bahagian, mengolah semula laporan, menyunting, menterjemah, membuat reka letak buku laporan termasuk carta dan graf, berurusan dengan pencetak, hinggalah menyemak semula buku yang sudah siap untuk kawalan mutu. Ini masa paling sibuk sehingga ada kalanya kami terpaksa berkampung di pejabat sehingga jauh malam untuk mengejar deadline. Laporan itu mesti disiapkan ikut masa yang ditetapkan kerana perlu diserahkan kepada Kabinet untuk diteliti sebelum dibentangkan di Parlimen.
Masa ini, bak kata bos saya selalu, setengah serius setengah bergurau, “Nobody can afford to be sick or die at this time. If you want to die, die after the annual report is done, printed and delivered!” Dan CK memilih masa ini untuk berhenti kerja 24 jam!
Bos tanya saya sama ada saya sudah lama tahu fasal CK nak berhenti. Saya kata, saya pun baru tahu.
“He is so mean!” bos memang nampak sangat bengang.
Saya tak tahu nak kata apa. “He just got a good offer elsewhere,” kata saya cuba menyejukkan hati bos.
“Yes I know. But to me, he is being mean on purpose. Why chose this peak period to go? He must have planned this for quite some time,” kata bos. “He better pray that he won’t need any recommendation letter from me, ever.”
Saya diam sahaja. Tak tahu nak jawab apa. Nak kata ‘sabarlah sebab sabar itu separuh daripada iman’, dia bukannya golongan orang beriman. Lagipun saya tak mahu meniup bara yang nak menyala.
Bila difikir-fikirkan balik, memang jelas CK sebenarnya sudah lama membuat perancangan untuk berhenti kerja. Pinjaman perumahannya sudah dipindahkan ke bank. Proses pemindahan baru selesai minggu lalu, minggu ini dia berhenti mengejut. Selain dapat kerja baru, alasan lain untuk berhenti kerja adalah kerana tidak tahan bebanan kerja yang dilambakkan ke atasnya. Dan memang pun dia sengaja memilih untuk meletak jawatan selepas dapat bonus dan sebelum kerja-kerja menyiapkan laporan tahunan bermula.
Otak saya cuba menterjemahkan perkataan ‘mean’ yang disebut bos. Jahat? Busuk hati? Jahat atau busuk hatikah kalau seseorang itu berhenti kerja mengejut kerana dapat peluang kerja lain yang lebih baik?
Dalam soal ini, susah juga nak kata siapa yang betul. Kedua-duanya ada alasan yang munasabah. Satu duit syiling itu ada dua permukaan yang berbeza, begitu selalu dikatakan orang. Masing-masing pastilah memandangnya daripada sudut kepentingan masing-masing. CK memandangnya daripada sudut kepentingan peribadinya manakala bos pula memandangnya daripada sudut keperibadian dan prinsip.
Mungkin kalau saya ditawarkan kerja yang lebih baik, dengan gaji lebih lumayan dan faedah-faedah sampingan yang menarik, saya juga akan teruja untuk menerimanya. Mungkin juga saya akan berfikir macam CK, buat apa lagi bersengkang mata, memerah tenaga di tempat kerja lama sedangkan tempat baru sudah menunggu.
Tapi, jika dipandang dari sudut pandangan bos pula, perbuatan itu tidak beretika, tidak bertanggungjawab dan tidak bertimbang rasa. Kalau pun hendak berhenti kerja, perlu juga dilihat kesesuaian masa supaya tidak membebankan orang lain yang tinggal. Ataupun, sekurang-kurangnya beritahulah dulu perancangan hendak berhenti kerja pada masa yang cukup “tenat’ bagi unit kami ini supaya mudah bos buat perancangan awal untuk menampung beban kerja unit kami yang memang pun kekurangan kakitangan.
Majikan selalu mengingatkan pekerja tentang konsep kesetiaan. Kita kena setia kepada organisasi dan mesti ada rasa tanggungjawab. Seluruh tenaga dan pemikiran perlu dikerah untuk kejayaan organisasi. Adakalanya sehingga keluarga pun terpaksa diletakkan pada nombor dua.
Pekerja pula mengharapkan majikan mengamalkan sikap ‘mengenang budi’. Maksudnya, tenaga dan kesetiaan yang dicurahkan sekian lama itu perlulah dikenang melalui ganjaran yang sewajarnya dan tidak menyingkirkan pekerja sewenang-wenangnya apabila majikan memikirkannya perlu termasuk apabila seseorang pekerja tidak berupaya, sakit atau cacat kerana kemalangan.
Itu jangkaan kedua-dua pihak terhadap satu sama lain. Kenyataannya, pekerja sudah tentu mengutamakan kepentingan peribadi terlebih dahulu. Jika dirasakan ganjaran yang diterima tidak setimpal dengan tenaga yang dicurahkan, untuk apa menunggu lama kalau ada peluang lain yang lebih baik?
Majikan pula jarang sekali mengamalkan konsep ‘mengenang budi’. Paling penting dan utama ialah pembangunan organisasi (dibaca: pembangunan pihak pengurusan dan pembuat keputusan dalam organisasi). Misalnya, saya pernah lihat sendiri bagaimana ada majikan yang berusaha bermacam-macam cara untuk menyingkirkan seorang pekerja yang kena strok dan tidak berupaya bekerja dengan cergas seperti sebelum sakit. Dia masih boleh bekerja sebenarnya, cuma perlu budi bicara majikan untuk meletakkannya di bahagian yang sepatutnya mengikut keupayaannya. Tetapi, majikan sengaja meletakkannya di bahagian yang memerlukan pergerakan cergas dan lasak. Apabila dia tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik, itu dijadikan alasan untuk memberhentikannya. Kesetiaan dan ketekunannya bekerja selama berbelas-belas tahun di organisasi itu tidak diambil kira.
Justeru, di manakah garis sempadan untuk dijadikan kayu ukur di antara kesetiaan dan kepentingan peribadi dan mengenang budi dan kepentingan organisasi?
Jawapannya, pandai-pandai sendirilah. Bagi saya sendiri, pembangunan diri sendiri itu sama penting dengan pembangunan organisasi. Jika organisasi berkembang maju sedangkan pekerja tetap di takuk lama, lama kelamaan organisasi juga akan merasa kesannya. Tetapi, kalau mahu meninggalkan sesuatu tempat itu, seboleh mungkin saya mahu meninggalkannya dengan baik supaya tidak ada rasa tidak baik yang terbuku di hati masing-masing. Dunia ini kecil, Malaysia ini kecil, Kuala Lumpur apatah lagi. Entah-entah suatu hari nanti kita ditakdirkan bekerja semula di bawah atau dengan orang yang sama! Tentu serba salah jadinya, "mata bertentangan, budi kedapatan'.
Apapun, CK punya fasal, saya dan orang lain pun pasti terkena tempiasnya. Mungkin kami kena bawa tikar bantal dan tidur terus di pejabat sepanjang musim menyiapkan laporan tahunan kali ini.
Selamat menyambut Awal Muharram esok dan Selamat Tahun Baru Hijrah 1429. Petang ini jangan lupa membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun.
Wednesday, January 09, 2008
Kepentingan peribadi atau organisasi?
Posted by mak aji at 1:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Kita berhibur jap dengan pantun di bawah, yang dipetik dari buku ‘Alamak, Bosku Seperti Hitler!’ hahaha:
Pagi-pagi, sudah mencemuh,
Si pemandu terus terdiam mengeluh,
Bos ini jenis yang kecoh,
Dapat “Tan Sri”, satu dunia dia heboh.
“Ada pelanggan hendak jumpa”,
Itulah kata si setiausaha,
Bos enggan, mengantuk katanya,
Biarkan pelanggan berjumpa air liur basinya.
Bos memanggil mesyuarat mengejut,
Ada pekerja berjalan bak siput,
Bos pun menengking sampailah semput,
Para pekerja terkentut-kentut.
Post a Comment