Friday, January 18, 2008

Cerita Yah

Kawan saya, namakan dia Yah sajalah di sini, sudah bercerai hampir tiga tahun lalu atas kehendak bekas suaminya. Tak payahlah diceritakan sebab perceraian. Tetapi masing-masing sampai sekarang belum berkahwin lain. Tiga anak mereka yang semuanya masih bersekolah rendah, dijaga bekas suami.

Yah bergaya dan menarik orangnya dan muda beberapa tahun daripada saya. Tak hairanlah kalau tidak sampai setahun bercerai ada tiga duda yang ajak dia kahwin (Yah memang tak berahsia dengan kawan-kawan). Kami kawan-kawannya yang teruja, bagi semangat suruh dia kahwin cepat. “Apa tunggu lagi Yah. Dah beratur orang menunggu, pilih sajalah yang mana satu berkenan. Kalau tunggu lama-lama, nanti melepas!” kata kami.

Tapi nampaknya tak ada seorang pun daripada duda itu yang Yah berkenan. “Too old, too young, too fat, too thin, too ugly, not handsome enough, too dark, too pale, too poor, not rich enough, not romantic enough, too straightforward, too gatal….” Begitulah antara alasan Yah.

Akhirnya dia putus begitu saja dengan ketiga-tiga duda itu.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Yah sibuk bercerita tentang teman lelaki barunya (bf) pula. Kata Yah, lelaki itu sudah berumur dan berharta orangnya. Cuma yang tak sedapnya, lelaki itu masih ada isteri. Sekarang ini tengah sibuk mengambil hati Yah; bagi hadiah, pergi dating, bawa pergi ke majlis-majlis jamuan dan telefon tiga empat kali sehari.

Baru-baru ini bf baru Yah pergi menunaikan haji. Hampir setiap hari dia telefon Yah dari Tanah Suci (terfikir pula saya sendirian, tengah beribadah itu pun sempat lagi bercinta? Apa hal Puan Hajah di sebelah? Oh lelaki!).

Tetapi kali ini, kami kawan-kawannya tidaklah menggalakkan sangat ‘percintaan’ Yah sebab lelaki itu sudah beristeri. Rasa berdosa dan bersalah pula pada isterinya. Apalagi bila dengar alasan `klasik’ lelaki itu yang memberitahu Yah bahawa dia tidak mendapat layanan secukupnya daripada isterinya (maaflah...tapi alasan ini dah lali sangat didengar daripada lelaki beristeri yang nak mengurat perempuan lain!).

Tapi agaknya kali ini Yah serius sebab dia bertanya pada saya, “Kalau awak jadi saya, awak akan kahwin lagi ke tidak?”

Alahai! Saya memang pening kepala kalau orang tanya saya soalan-soalan ‘kalau’ ni. “Bagaimana kalau awak jadi saya?”. Memang susah nak jawab. Cara pemikiran dan penampilan diri sahaja sudah berlainan, saya memang tak mungkin jadi dia dan dia tak mungkin jadi saya!

Mana tidaknya. Yah bergaya orangnya sedangkan saya (bak kata budak-budak sekarang) `sempoi’ saja. Kalau kami turun bersama ke surau untuk solat, saya akan naik dulu sebab tak sanggup tunggu Yah bermekap. Saya jenis setakat tepek bedak ke muka (kadang-kadang terlupa pun bila nak cepat!), kemudian sarung tudung serbah-serbih saya (adik saya kata, macam kain alas meja!) dan jalan. Yah pula setiap lepas solat mesti ‘cat’ muka dengan rapi dulu. Lepas itu pakai tudung yang diikat sana ikat sini, belit sana belit sini, cucuk sana cucuk sini. Kadang-kadang Yah pakai tudung yang macam ‘shower cap’ (ala-ala yang Ogy Ahmad Daud pakai sekarang ni) siap dibelit-belit di belakang kepala bagi berbunga-bunga. Yah kutuk saya tak pandai melawa. Saya pula fikir gaya Yah kadang-kadang berlebihan. Tapi tak apalah. Masing-masing ada hak ke atas diri masing-masing. Itu tidak membatasi persahabatan.

Itu sekadar penampilan diri. Corak pemikiran sudah tentulah berbeza juga. Jadi, macam mana saya nak jadi Yah?

Tapi Yah desak juga saya berikan jawapan. Sambil garu kepala yang tak gatal saya cuba jawab jugalah pertanyaan Yah. Kata saya, setiap orang berbeza-beza kehendak dan keperluannya. Kehendak dan keperluan saya dan Yah mungkin tak sama. Apa yang baik bagi saya tak semestinya baik bagi Yah. Masing-masing kena tengok apa yang terbaik bagi dirinya sendiri. Tak boleh nak ikut dan dengar cakap orang secara melulu kerana orang lain tak tahu diri kita yang sebenar. Selain Allah, hanya kita sendiri yang tahu. Tapi kita sendiri pula tak boleh mengutamakan kehendak dan nafsu sendiri sahaja. Banyak perkara lain mesti juga difikirkan termasuk anak-anak.

“Yalah, tapi kalau awak jadi saya, apa awak buat? Awak kahwin lagi tak?” desak Yah.

Sekali lagi saya garu kepala yang tak gatal. Perkara belum berlaku, Nauzubillah (saya sentiasa berdoa ia tidak akan berlaku), macam mana nak jawab?

Kata saya, “Macam inilah. Saya sebenarnya takut nak jawab yang saya tak akan kahwin lagi kalau itu berlaku sebab hati ini boleh dibolak-balikkan oleh Allah dalam sekelip mata. Tapi, buat masa ini, saat ini, detik ini, kalau itu berlaku, yang pertama dan paling utama bagi saya adalah anak-anak. Saya ada dua anak perempuan dan saya sangat cemburu pada mereka. Saya tak mahu sentiasa bimbang dan hati sentiasa berkata-kata sama ada anak perempuan saya akan selamat kalau tinggal berdua sahaja dengan bapa tiri di rumah kalau saya terpaksa balik lewat atau pergi ke mana-mana beberapa hari.

“Satu lagi, saya ini jenis ‘pemalas’. Malas nak mulakan hubungan baru, malas nak menghadapi kemungkinan anak-anak tak terima bapa tiri dan malas nak menghadapi banyak masalah lain yang mungkin timbul. Saya malas nak serabutkan kepala dengan masalah yang dicari sendiri.”

“Tapi,” tambah saya lagi “Tak semestinya yang baik bagi saya itu, baik juga bagi awak. Awak kenalah fikirkan sendiri apa yang terbaik bagi diri awak dan apa keutamaan awak pada masa ini.”

Yah termenung sebentar. Kemudian dia bertanya lagi, “Awak fikir saya patut kahwin lagi tak?”

Saya pun ikut termenung juga sebelum menjawab, “Rasanya awak patut kahwin lagi.”

“Kenapa?” tanya Yah.

“Sebab awak jenis suka bermanja, suka berteman ke sana sini, selalu mengeluh kesunyian. Awak perlu teman hidup,” kata saya, cuba buat analisis tidak ilmiah tentang diri Yah. Kalau tak jawab nanti, Yah akan paksa juga suruh saya jawab. Tapi, memang pun Yah jenis manja tak kira dengan kawan-kawan lelaki atau perempuan, selalu mengeluh kesunyian dan sering menyebut rindu belaian suami.

Yah diam saja. Sekarang ini dia tidak bertanya lagi soalan sama ada dia patut kahwin lagi atau tidak. Tapi dia masih keluar dengan bfnya tu.

Sebenarnya, saya dapat agak apa yang ada dalam hati Yah. Dia masih sayang dan masih mengharapkan dapat kembali bersama bekas suaminya macam dulu. Kalau berkenalan dengan mana-mana lelaki, Yah selalu membandingkannya dengan bekas suaminya daripada segala segi terutama paras rupa. Kami selalu kata pada Yah, tidak adil dia membuat perbandingan begitu tapi Yah buat-buat tak dengar saja.

Kadang-kadang, bila Yah ke rumah bekas suami untuk mengambil anak-anak, pembantu rumah cerita pada Yah yang suaminya mungkin sudah ada girlfriend baru. Seharianlah Yah termenung di pejabat. Wajah yang ceria bertukar mendung.

Tapi, apa nak dikata. Kadang-kadang saya usik Yah, nyanyikan lagu Allahyarham P Ramlee untuknya:
“Barang yang lepas, hai jangan dikenang.
Kalau dikenang merosak lah hati.
Tiap insan hai tidaklah kekal
Tentu kan pulang di mana berasal.”

Dia senyum saja.

Sebagai kawan, saya cuma berharap Yah akan menemui kebahagiaan yang dicari-carinya.

Get on with your life, woman!

3 comments:

Abang Long said...

Teringat pada lagu Jamal Abdillah -
"kembalilah wahai sayang,
pada ku yang kesepian,
bawakanlah ku penawar rindu".

Sri Diah said...

Mak Aji;
Orang macam Yah ni memang ada ramai sekeliling kita. Kekadang jenuh kita menasihati mereka, aleh-aleh depa guna juga keputusan sendiri. Gamaknya mintak nasihat orang buat syarat je... Nak balik pada yang lama? teringat lak lagu jay jay dgn dayang ku intan - kalau boleh kuulang masa remaja - Harap-harap Yah kawan Mak Aji tu temui cinta sejatinya.

mak aji said...

Abang long: yalah tu. agaknya saya nyanyi salah lagu :-)

Sri: Harap-harap begitulah...buat apa diharap pada yang tak sudi, ya tak? :-)