Friday, January 25, 2008

Sudah-sudahlah tu.....

Setiap pagi, sambil memandu ke pejabat, saya sempat mendengar berita di radio. Pagi ini, dalam banyak-banyak berita yang dibacakan, ada satu berita yang terasa macam menusuk-nusuk otak saya. Bukan isi beritanya tapi apabila pembaca berita menyebut “Kuala Lumpur Bandaraya Islam”.

Segera terbayang di kepala saya segala macam pub, kelab hiburan, disko, rumah urut, kedai nombor ekor dan kawasan lampu merah (red light area) yang berselerak di KL. Kalau di kawasan segi tiga emas KL jangan cakaplah. Kawasan Bukit Bintang misalnya. Dulu, ada wakil rakyat sebut di parlimen tentang Bukit Bintang yang semakin jadi macam Patpong di Bangkok. Malah, ada kalendar Tahun Melawat Malaysia yang mencatatkan Bukit Bintang sebagai kawasan lampu merah! Ada orang marah dan menafikan dakwaan itu. Tapi kemudian, mukanya jadi merah dan mengaku tak tahu menahu apabila bukti ditunjukkan padanya.

Begitulah, walau dinafikan macam mana sekalipun, mata tetap boleh melihat, telinga boleh mendengar. Cuma mulut yang tak berapa boleh nak berkata-kata.

Itu di pusat kota. Di kawasan perumahan dalam KL macam Bangsar pun apa kurangnya. Dulu, Bangsar tempat ‘lepak’ saya dan kawan-kawan kalau kami tak sibuk dengan assignment. Pergi makan, atau pergi ke bank atau ke kedai buku. Tapi, kalau ke Bangsar sekarang ini saya rasa cukup sedih. Bangsar sudah terlalu banyak berubah berbanding dulu. Bangsar kini terlalu maju bagi orang Melayu/Islam 'kuno' macam saya. Bukan kemajuan infrastrukturnya yang dimaksudkan, tapi kemajuan pusat-pusat hiburannya. Kini, pub berlambak di sana. Botol-botol air ‘kencing setan’ yang dipamerkan megah dalam pub, jelas boleh dilihat dari luar. Sedih kerana tempat-tempat maksiat ini terletak tidak berapa jauh dari Masjid Saidina Abu Bakar. Bayangkan senario, sambil togok arak, sambil dengar azan dari masjid! Itukah konsep Bandaraya Islami?

Paling sedih, nama mulia sahabat Rasulullah s.a.w., antara manusia paling dikasihi Rasulullah s.a.w, yang sentiasa berganding bahu berjuang menegakkan syiar Islam itu kini seolah-olah dipermainkan. Sesetengah orang pula menggunakan kawasan masjid itu hanya sebagai tempat meletakkan kereta, sebab di situ percuma dan di Bangsar memang payah nak cari tempat letak kereta yang kosong. Hinggakan pihak masjid terpaksa sentiasa menutup pagar supaya tempat letak kereta masjid tidak disalahgunakan dan menyusahkan orang lain yang benar-benar datang nak bersolat.

Ada banyak kedai menjual kain di KL. Yang menjual tudung pun banyak. Tapi rasanya masih tak mencukupi untuk menampung keperluan warga kota. Atau, mungkin harga kain di KL terlalu mahal sampai orang tak mampu beli. Mana tidaknya. Kalau ke ‘KL Bandaraya Islam’ ini, kita boleh nampak ramai yang tak mampu nak beli kain untuk tutup aurat. Ramai yang berjalan-jalan di kota dalam keadaan separuh telanjang. Maka nampaklah benda-benda yang tak sepatutnya nampak – yang bulat, yang leper, yang pipih, yang tembam, yang tembun, yang rata, yang licin, yang berbulu, yang berselulit, yang putih melepak, yang sawo matang, yang putih kuning, yang hitam legam – segala macam bentuk dan warna dipamerkan sampai ada kalanya kita yang melihat pula terasa malu dan nak termuntah. Anehnya, mereka itu nampak selamba saja, malah nampak bangga dan megah pula!

Betullah kata Rasulullah s.a.w. lebih kurang 1,400 tahun dulu bahawa pada akhir zaman nanti, manusia berpakaian tetapi seperti bertelanjang.

Itu belum masuk bab orang berjalan sambil berpeluk-pelukan (mereka itu mungkin suami isteri, berprasangka baik. But, honestly, who are you trying to kid?) Itu tak masuk lagi bab, sambil kita naik eskalator di kompleks membeli-belah, kadangkala boleh tengok 'wayang percuma' apabila pasangan depan kita bercium mulut. Memang belum ramai buat begitu, tapi jangan ‘bimbang’! Satu hari nanti pasti semakin ramai yang buat dan akan jadi pemandangan biasa di ‘Bandaraya Islam’ ini.

Beranikah kita menegur? Tentu sekali tidak! Silap-silap, kita pula yang kena sembur balik dengan di ‘backing’ oleh orang sekeliling. Dan kalau nasib lagi malang, kita pula kena saman sebab mengganggu hak asasi orang lain. Tengok saja apa yang jadi bila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam macam JAWI dan JAIS yang cuba nak ambil tindakan terhadap perkara-perkara mungkar begini. Heboh dalam media (bosnya Melayu/Islam, itu yang sedih tu!) mengutuk JAWI dan JAIS dan mempertahankan hak orang itu. Banyak kali juga Mak Menteri dan Pak Menteri masuk ‘backing’ sama. Itu tak termasuk sokongan berapi-api daripada organisasi bukan kerajaan (NGO) macam Sisters-in-Islam. Kesudahannya, jabatan-jabatan agama ini yang kena mengalah, lepaskan orang berkenaan daripada pertuduhan dan kena minta maaf pula.

Pada akhir zaman ini, yang salah jadi benar, yang benar jadi salah! Kita pula, yang memang lemah iman, hanya mampu melakukan cara pencegahan yang selemah-lemahnya - sekadar menegur dalam hati.

(Saya sebenarnya memang rasa malu sendiri sebab selalu juga terfikir kenapa saya tak lahir dan hidup di zaman Rasulullah s.a.w. kerana saya ingin jadi Sumaiyah, wanita berjiwa kental yang mati syahid dan sanggup melihat keluarganya sendiri mati syahid di depan matanya semata-mata kerana hendak menegakkan Islam. Macam mana nak jadi Sumaiyah? Setakat nak tegur perempuan yang pakai seksi sampai nampak seluar dalam dan alur punggungnya, yang duduk di sebelah saya dan anak-anak di McDonalds, pun masih teragak-agak!)

Tengok pula hiasan di cermin kedai di kompleks membeli belah. Ada patung yang sengaja dipakaikan baju yang dari jauh dah boleh nampak puting buah dadanya (maaf kalau saya sedikit lucah). Poster-poster yang digunakan pula terpampang besar-besar gambar perempuan seksi atau lelaki berbadan berketul-ketul tak berbaju. Ada juga gambar model-model itu tengah bercium. Selalunya gambar model ‘Mat Salleh’ (agaknya takut timbul kontroversi kalau guna gambar model tempatan atau mungkin model tempatan kurang nilai komersialnya). Kadang-kadang yang diiklankan ialah jam tangan atau seluar jean atau sesuatu jenama pakaian, tapi guna gambar orang bertemu bibir. Pening juga memikirkannya sampai terpaksa garu kepala yang tak gatal. Di mana relevannya?

Itukah yang dikatakan ‘Bandaraya Islam’? Apa bezanya dengan kota-kota ‘Bukan Islam” macam New York, macam Paris, macam London, macam Amsterdam, Macam Sydney, macam Bangkok, macam Singapura atau macam yang lain-lain tu? Ada beza tak?

Oh lupa pula. Memang ada bezanya. Di KL ada penampilan Islami yang tak ada di kota lain. Sekurang-kurangnya, di celah-celah manusia ‘separuh telanjang’ di khalayak ramai, pub-pub, disko-disko, rumah-rumah urut dan pusat-pusat hiburan itu, di KL ada banyak masjid, masih ada perempuan-perempuan ‘ekstremis Islam’ atau `berfikiran kuno’ yang bertudung, berbaju kurung atau berjubah (sesetengah orang kata mereka ini terpengaruh dengan budaya Arab kuno). Di KL juga ada bangunan dan organisasi yang ada perkataan 'Islam' pada namanya. Maka, layaklah KL digelar ‘Bandaraya Islam’!

Kita, dan anak-anak kita terutamanya, perlahan-lahan didedahkan dan dibiasakan untuk menerima segala-galanya ini tanpa banyak soal. Otak kita 'ditarbiahkan' secara perlahan-lahan untuk menganggap itu perkara biasa dan sebahagian daripada kehidupan ‘normal’. Setakat ini nampaknya sudah ada banyak kejayaan dalam mencapai matlamat itu. Ada banyak benda dan perkara mungkar yang kita sudah anggap perkara `biasa’ kini, yang tidak sedikitpun lagi menyebabkan kita tersentak atau mata kita berkelip-kelip kehairanan.

Orang kerdil macam kita ini tak boleh nak kata apa. Sekadar menangis dalam hati saja. Itulah yang dinamakan hak asasi kemanusiaan (tapi dalam konteks yang bercelaru). Itulah harga pembangunan duniawi. Hasilnya, pembangunan ukhrawi semakin terpinggir.

“Kita tak boleh nak hapuskan semua itu sebab ini negara berbilang kaum dan kita kena hormat keperluan dan hak orang bukan Islam juga. Kita juga tak boleh nak halang pembangunan dan daya kreativiti orang. Orang Islam tidak boleh bersikap jumud. Orang Islam kena berfikiran terbuka. Orang Islam kena ada sikap toleransi terhadap hak orang lain!” Begitu selalu yang dikatakan kalau persoalan ini ditimbulkan.

Kalau begitu, namakanlah KL ini apa saja, tapi tolonglah jangan menamakannya sebagai Bandaraya Islam.

Sudah-sudahlah tu menghina agama sendiri!

4 comments:

jorazak said...

mak aji
Bangsar dulu saya pernah pergi masa tahun 80an. Okaylah. Tahun 90an saya tersesat ke sana. Masuk situ tambah sesat saya tengok memacam "pembangunan" kat situ. Tahun 00an belum pernah pergi lagi. Takut tersesat lagi...
Bandaraya Islam...err...macam pernah dengar aje,... Malaysia negara Islam...Tunggu Karpal Singh komen

Sri Diah said...

Mak Aji;
Cakaplah apa saja emngenai Islam di KL, memang payah nak kita terima. Seperti apa yg Mak Aji tuliskan, semua betul - Islam tapi betis terdedah. Belilah tudung bawal mahal macamana sekalipun, kalau pakai baju jarang macamana? Atau pakailah kopiah sekalipun kalau dalam LRT kerjanya meraba dan merenung `bukit dan lurah' orang lain.

Namun saya salute dengan usaha sebilangan kecil yang yakin akan kebangkitan semula Islam di KL. Mereka terus dengan kelas agama di Kg Baru, dengan majlis kuliah di Masjid Negara, di bangsar dan sebagainya. Semoga Allah memberkati usaha mereka. Elok buat berdikit, perlahan-lahan daripada tak buat langsung...

Anonymous said...

Surah Al-Infitaar

kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;

Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.

Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,
Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?

mak aji said...

Salam semua,

Encik Jo: Saya sekarang jarang ke Bangsar. Sesekali ke sana, saya rasa sedih sangat kerana terlalu 'maju'. Puak-puak 'itu' memang tak lepas peluang nak mempermainkan Islam. Yang sedihnya, kita tolong bagi poin pula pada mereka...

Sri: Saya cuma tak mahu nama Islam terus dipermainkan oleh orang Islam sendiri. Kalau bukan kita yang sayang Islam, siapa lagi?
Betul tu. Walau apa pun, masih banyak kelas-kelas pengajian diadakan di sekitar KL. Di Masjid Bangsar sendiri pun penuh aktiviti pengajian, ceramah dan kuliah. Kita masih boleh berbangga dan hormat dengan usaha gigih ini.

Syahril: Orang selalu sebut, Allah itu Ar-Rahman (Maha Pengampun) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang). Tapi kita selalu lupa bahawa Allah juga bersifat Al-Muntaqin (Maha Penyeksa), Al-Hakam (Maha Menetapkan Hukum), Al-Mudzil (Maha Pemberi Kehinaan) dan Asy-Syakur (Maha Pembalas).
Bagaimanapun, Allah juga bersifat Al-Tawwab (Maha Penerima Taubat).