Thursday, January 31, 2008

Perginya seorang ulama


Pak aji menelefon saya di pejabat petang semalam untuk menyampaikan berita yang amat menyedihkan. Berita tentang bekas Mufti Selangor, Dato’ Ishak Haji Baharom, 80, yang kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 3 petang semalam di Hospital Sungai Buloh selepas koma akibat komplikasi tekanan darah.

Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

“Kita pergi ziarah malam ni,” kata pak aji. Suaranya sebak. Ini kali kedua saya dengar dan lihat dia menangis kerana kematian seseorang. Kali pertama ketika kematian abah saya di Jeddah dalam perjalanan untuk pulang ke tanah air selepas menyempurnakan ibadah haji pada tahun 2000. Ketika emak dan ayahnya sendiri meninggal dunia, dia tenang sahaja.

Malam tadi kami hanya dapat bertolak ke kediaman Allahyarham di Taman Sri Andalas, Klang, kira-kira jam 9.30 malam. Ketika sampai di sana orang sudah ramai datang berziarah. Jalan di hadapan banglo berkembar itu sesak dengan kereta yang diletakkan di sepanjang jalan. Kami dan ramai yang lain, terpaksa meletakkan kereta agak jauh dan kemudian berjalan ke rumah itu.

Di halaman rumah tersedia dua khemah dan kerusi untuk keselesaan mereka yang datang berziarah. Di luar dan di dalam rumah penuh sesak dan kami perlahan-lahan mencelah masuk, mencari ruang untuk melihat jenazah. Pak aji dapat duduk untuk membaca Surah Yasin berdekatan jenazah bersama penziarah lelaki yang lain. Saya pula cuba mencari ruang seberapa dekat yang boleh bersama tetamu wanita yang lain kerana orang perempuan memang tidak ada yang duduk berdekatan jenazah kecuali anak cucu dan kaum keluarga terdekat Allahyarham.

Jenazah Dato’Ishak diletakkan di tengah-tengah ruang tamu, diselimuti kain ihram. Mungkin kain ihram yang pernah digunakannya ketika mengerjakan umrah atau haji. Kain yang menutup wajahnya tak sempat ditutup kerana orang yang datang bertali arus ingin menatap dan mengucup wajahnya buat kali terakhir. Wajahnya sangat bersih dan tenang. Seolah-olah sedang tidur sahaja.

Selesai membaca Yasin dan berdoa, pak aji mengucup dahi jenazah. Lama dia mengucupnya sebelum bangun dan terus mencelah keluar. Saya nampak matanya merah.

Hujan turun dengan lebatnya ketika kami tiba di rumah Allahyarham. Hujan masih turun ketika kami pulang. Tapi orang yang datang tetap bertali arus.

Pagi ini, saya tak dapat ikut sama menghadiri upacara pengebumian. Tapi pak aji pagi-pagi lagi sudah keluar menuju ke rumah Allahyarham. Jam 10.30 pagi dia SMS saya dari Makam Diraja Shah Alam mengatakan yang kawasan makam penuh sesak. “Tak kurang 3,000 orang di sini,” katanya.

Kata pak aji, solat jenazah dilakukan di dua tempat. Pertama, di masjid berhampiran rumah Allahyarham dan kali kedua di Masjid Negeri Shah Alam. Pak aji ikut sama bersolat di kedua-dua tempat dan berkonvoi mengiringi jenazah. Itulah penghormatan terakhir yang mampu diberikannya untuk seorang insan yang sangat dihormati dan disayangi kerana jasanya terhadap agama dan keperibadiannya yang begitu disegani.

Saya tanya pak aji, apa yang menyebabkan dia menangis dengan pemergian Dato’ Ishak kerana sebelum ini sudah banyak kali kami menziarahi orang meninggal termasuk saudara maranya sendiri, tetapi tidak pernah saya melihat dia tersentuh sampai begitu sekali.

Kata pak aji, dia menangis kerana tiga sebab. Pertama, kerana tiba-tiba dia teringat bagaimana dia menghadapi abah saya yang meninggal dunia di Terminal Haji, Lapangan Terbang Jeddah dan kemudian terpaksa menelefon untuk memberitahu saya. Kedua, kerana dia mempunyai banyak kenangan bersama Allahyarham ketika hayatnya dulu. Dan ketiga, mengenangkan kita kini kehilangan seorang ulama yang tegas, gigih dan berani dalam menegakkan yang hak.

Dulu, ketika Allahyarham menjadi Mufti Selangor (1985–1997), pak aji juga bertugas di Selangor. Dalam tugasnya, dia banyak berurusan dengan pelbagai jabatan di Selangor termasuk pejabat Mufti. Di sanalah dia berkenalan dan rapat dengan Allahyarham. Mereka pernah singgah ke tanah suci dan mengerjakan umrah bersama dalam satu lawatan kerja ke Mesir. Disebabkan itu kali pertama pak aji mengerjakan umrah dan menjejakkan kaki ke tanah suci, Allahyarhamlah yang menjadi pembimbing dan banyak memberikan tunjuk ajar mengenai ibadah tersebut.

“Dia umpama guru bagi saya. Banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar. Selalu juga saya pergi berjumpa dia untuk bertanya mengenai sesuatu hukum atau ayat al-Quran. Walaupun dia nampak serius, sebenarnya dia jovial orangnya dan suka bergurau,” kata pak aji.

Ketika kakngah dan abang baru lahir, pak aji bawa mereka ke rumah Allahyarham dengan membawa bersama buah kurma dan air zamzam untuk Allahyarham menyempurnakan tahnik* ke atas mereka dan menyuapkan air zamzam ke mulut mereka. Kemudian, ketika kami mengadakan majlis bercukur rambut, aqiqah dan kenduri doa selamat untuk kakngah dan abang, Allahyarham kami jemput ke rumah. Sempatlah Allahyarham mengimamkan solat Isyak berjemaah dan kemudian memberikan tazkirah ringkas kepada tetamu yang hadir sebelum majlis bercukur dimulakan.

(*Tahnik adalah amalan yang afdal dilakukan ke atas bayi baru lahir iaitu dengan menggosok kunyahan kurma (tamar) dengan telunjuk kanan pada gusi dan langit-langit bayi itu. Gerakan ke kiri dan ke kanan bahagian dalam mulut bayi dilakukan dengan lembut sehingga sampai manisan kurma itu ke semua bahagian dalam mulut. Jika tidak ada kurma, boleh juga digunakan benda-benda manis lain seperti madu.

Lebih afdal lagi jika yang melakukan tahnik ini adalah seseorang yang dipandang mulia, bertaqwa dan soleh, sebagai mengambil keberkatan dengan harapan semoga bayi tersebut kelak juga memiliki sifat-sifat yang terpuji sepertinya. Para sahabat sendiri banyak yang meminta jasa baik Rasulullah s.a.w. untuk mentahnikkan anak-anak mereka yang baru lahir sebagaimana yang pernah disebut dalam hadis.)


Walaupun Allahyarham juga kelihatan nampak lemah lembut dan soft spoken, tetapi dia sebenarnya seorang yang berjiwa kental, berani dan tegas dalam memperjuangkan yang hak dan menolak yang batil. Allahyarham sanggup dipecat daripada jawatan Mufti ekoran fatwanya yang menegaskan bahawa pertandingan ratu cantik adalah haram.

Masih saya ingat lagi, fatwa itu dikeluarkannya ekoran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan dan mendakwa tiga orang gadis Melayu/Islam yang masuk pertandingan ratu cantik. Peristiwa itu mendapat perhatian besar pelbagai pihak termasuk orang politik, pertubuhan-pertubuhan wanita dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO). JAIS dikritik begitu teruk sekali dan Allahyarham mempertahankan tindakan JAIS itu.

Juga masih saya ingat lagi kata-katanya selepas dipecat. “Saya bangga kerana anak cucu saya nanti boleh berbangga bahawa ayah/datuk mereka dipecat bukan kerana rasuah atau perbuatan salah laku, tetapi kerana menegakkan kebenaran.”

Sebagai seorang yang banyak menerima ilmu daripada tazkirah dan ceramah beliau, saya juga rasa sebak dan sedih dengan pemergian Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.

Doa yang sama juga saya panjatkan untuk semua mereka yang telah pergi baru-baru ini termasuklah bekas Presiden Indonesia, Allahyarham Suharto, dan penulis lirik terkenal, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, 50. Allahyarham Loloq meninggal dunia pada hari yang sama dengan Allahyarham Dato’ Ishak, juga akibat pendarahan otak.

Mereka telah tiba di penghujung pengembaraan di dunia yang fana ini. Kini mereka sedang memulakan pula perjalanan yang lebih panjang, meniti alam baqa. Akan tiba giliran kita semua nanti. Itu pasti.

Al-Fatihah untuk mereka yang pergi mendahului kita.


Allahyarham menggunting rambut kakngah dalam majlis bercukur, aqiqah dan doa selamat kakngah.


Allahyarham memangku abang pada majlis bercukur, aqiqah dan doa selamat untuk abang.


Allahyarham sedang memberikan tazkirah.

4 comments:

Sri Diah said...

Salam untuk Mak Aji;
Saya teramat sedih dengan kematian Pak Harto, Loloq & Datuk Hj Ishak Baharum minggu ini. Masing-masing ada karisma tersendiri. Pak Harto dengan jiwa kentalnya. Loloq dengan lirik-liriknya yang ada `roh' dan Datuk Hj Ishak dengan sifat tegasnya. Dia lembut tapi berjiwa keras. AlFatihah untuk semuanya.

mak aji said...

Salam juga untuk Sri.
Setiap kematian itu sebanyak sedikit pasti menyentuh perasaan. Apa lagi kalau yang meninggal itu ada kenangan bersama kita.
Semoga Allah mengampunkan dosa mereka dan dosa kita juga. Amin.

IKHWANI said...

salam kenal mak aji,
saya ni blog-hop from mak teh.

Al-Fatihah untuk yang telah mendahului kita, semoga mereka ditempatkan di kalangan orang2 yang soleh.

Terharu kita telah kehilangan seorang ulama yang jujur dan amanah menjalankan tugasnya..semoga ada bakal2 pengganti yang dapat memegang tugas mereka dengan iman yang kental. Ameen.

mak aji said...

Salam kenal juga OndeOnde. Bak kata orang putih, "Welcome! Welcome!"

Betul tu. yang membuat kita sangat terharu dan tersentuh adalah kerana kehilangan seorang yang jujur dan amanah. Ada ramai yang bergelar ulama sekarang ini, tapi, maaf, sesetengahnya lebih layak dipanggil 'ular dalam semak'!